Support My Blog

Wednesday, May 18, 2016

CARA TANAM DURIAN BELANDA

DURIAN BELANDA (Annona muricata) merupakan sejenis buah-buahan tempatan yang semakin mendapat perhatian ramai petani masa kini. Ini disebabkan buah durian belanda didakwa mempunyai kelebihan tersendiri dalam mengawal sel kanser dan merawat masaalah penyakit Gout. Selain daripada itu daun durian belanda organik yang dijadikan teh didakwa mempunyai khasiat yang berkaitan dengan rawat kesihatan seperti dinyatakan. Selain daripada buahnya yang dijual dengan harga mahal (sekitar RM 20.00 sekilogram keatas bagi buah organik) dilaporkan teh daun teh durian belanda juga amat berharga. Menanam pokok durian belanda memerlukan anakbenih berkualiti dan jenis tanah subur yang mempunyai sistem saliran baik. Kini beberapa orang petani menanam pokok durian belanda secara monokrop dan komersil kerana tumbuhan ini kini telah mendapat pasaran yang baik. Pada madsa dahulu tidak ada orang yang pedulikan tanaman ini yang juga pernah dianggap sebagai salah satu daripada jenis buah nadir. Belum banyak tulisan mengenai amalan agronomi dan teknik-teknik pemprosesan buah ini. Kini telah banyak informasi mengenai durian belanda dan khasiatnya dan telah diangkat sebagai satu jenis tanaman berpotensi tinggi untuk diusahakan. Artikel malam ini saya menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai cara menanam durian belanda berdasarkan beberapa artikel dan tinjauan penulis yang melawat kebun sirsak di Indonesia.


Penanaman durian belanda atau dipanggil sebagai 'sirsak' di negara jiran ini lazimnya ditanam dikawasn tanah yang subur. Tanah perlu disediakan dengan memilih kawasan yang tidak bertakung air kerana pokok durian belanda amat sensitif dengan air bergenang dalam tanah. Kalau tanah tersebut mempunyai paras air tinggi dalam tanah juga perlu dielakkan. ini kerana beberapa laporan menyatakan jika akar tunjang durian belanda mencecah paras air dalam tanah maka ia akan mula mati pucuk dan timbul masaalah lain. Kesannya pokok yang tidak subur tidak memberikan hasil optima. Lakukan kerja menggemburkan tanah untuk tanaman durian belanda dengan membajak sebanyak 2 kali dan dibersihkan dari rumput dan sisa-sisa tanaman. Bagi tanaman monokrop memang perlukan penggemburan tanah dan sediakan sistem perparitan sebaiknya. Pembuatan lubang tanaman perlu dilakukan 2 - 4 minggu sebelum menanam. Lubang tersebut digali dengan ukuran 50cm x50 cm x 50 cm dimana setiap lubang diberi baja organik dan CIRP dengan kadar disyorkan. Dibeberapa lokasi kadar pemberian baja organik sekitar 10-15 kg satu lubang kemudian dicampur dengan tanah. 


Penanaman pokok durian belanda dengan menggunakan anakbenih yang dipilih dari pihak tertentu (Sila lihat foto sebelah benih berumur 2-3 bulan)Benih yang telah cukup umur ditanam dalam lubang dengan jarak 4m × 4 m atau 4×5 m atau 5×5 m bergantung pada keadaan kebun dan darjah kecerunan tanah. Penanaman sebaiknya dilakukan diawal musim hujan dimana benih dalam polibeg dikeluarkan dan ditanam di tengah-tengah lubang tanam, dikambus dan seterusnya dipadatkan kemudian disiram hingga cukup basah. Penjagaan tanaman durian belanda meliputi kerja menyulam, pasang sistem pengairan, pembajaan, aktiviti pemangkasan, kebersihan kebun dan kawalan serangga serta penyakit diladang. Penyulaman pokok bertujuan untuk mencukupkan tanaman agar anakbenih yang mati setelah ditanam atau pertumbuhannya kurang sempurna maka perlu melakukan sulaman iaitu sampai 6 minggu setelah masa menanam. Pengairan adalah penting dari peringkat awal menanam dengan aktiviti menyiram dilakukan minima 2 hari sekali terutama apabila tidak ada hujan sehingga keadaan tanah di sekitar tanaman menjadi lembab. Pembajaan dilakukan dengan memberikan baja dengan kadar yang mencukupi. Pemberian baja sebatian NPK kali pertama adalah berupa NPK dengan kadar 1.0 kg sepokok dengan cara dicampurkan pada media tanam. Kemudian apabila pokok berumur 4 - 8 bulan setelah ditanam diberikan kadar sama dengan dengan menabur disekeliling pokok iaitu sekitar 30 cm dari pangkal pokok. Selepas membaja juga disyorkan menutup tanah dan disiram dengan air. 


Aktiviti pemangkasan untuk pokok durian belanda biasanya memiliki bentuk pokok yang seimbang dan sesuai. Cantasan pembentukan dilakukan dengan memotong batang utama untuk membenarkan dahan membentuk pokok yang rimbun dan tidak terlalu tinggi. Dahan lain yang tidak sesuai dibuang agar keadaan pokok seimbang. Lazimnya tunas air, cabang-cabang yang tidak teratur akan dibuang menggunakan scateurs atau gergaji (pruning saw). Penulis mendapati proses pendebungaan bagi pokok durian belanda adalah satu masaalah dalam penghasilan buah. Ini kerana proses pendebungaan tanaman ini adalah telah dikenalpasti sebagai faktor pembatas dalam pokok berbuah. Oleh itu petani komersil melakukan pendebungaan berbantu (artificial pollination) untuk proses pendebungaan yang lebih baik. Penulis juga mengesyorkan agar mereka menternak Lebah Tukang (Carpenter bee) untuk membantu proses pendebungaan. Hanya lebah tukang yang mampu membuka bunga durian belanda. Batang kayu diletakkan disekitar kebun durian belanda untuk membolehkan lebah tukang bersarang dan membantu proses pendebungaan. Saya ada menulis artikel mengenai perkara ini dalam penulisan sebelum ini (Sila klik disini). Bagaimana pun lebah tukang ini juga masih ada yang mempertikaikan keujudannya dalam kawasan kebun atau kampong.


Kawasan tanaman durian belanda perlu dijaga kebersihannya daripada rumput dan sebagainya (Sila lihat foto disebelah). Rumpai dan noxious plant dikawal secara manual atau menyembur racun rumput. Kawalan serangga perosak dan penyakit perlu dikawal dengan cara kultura, kawalan kimia atau pelbagai kaedah lain yang sesuai. Kualiti buah durian belanda yang baik hanya boleh didapati dengan amalan agronomi yang yang betul mengikut pakej tanaman yang disediakan. Diantara perosak tanaman durian belanda adalah Kutu Sisik (Scale insects) yang boleh juga merugikan dimana ia sering menyerang tanaman. Biasanya kutu ini melekat pada bahagian tanaman yang masih muda seperti tunas pucuk, ranting, daun muda, bunga dan buah. Hama ini terutama yang betina mengisap cairan tanaman dan seterusnya jika tidak dikawal akan menyebabkan kadar pertumbuhan pokok terencat.  Seterusnya dilaporkan bahawa kutu ini juga mengeluarkan manisan seperti madu dimana ia menyebabkan serangan cendawan jelaga (Hitam). Kesannya dimana jelaga hitam ini akan menarik serangga seperti semut, lebah dan lalat. Kutu betina dari kumpulan iaitu Ceropastes rubens ini akan bertelur pada bahagian bawah badannya dan akan menetas 2 hari kemudian. Seterunya peringkat nim muda akan pindah dari perut induknya menuju ke ranting-ranting muda terutama pada bagian tulang daun untuk merosakkan tanaman. 


Pokok durian belanda yang dijaga dengan baik dan sihat akan menghasilkan buah apabila matang. Buah durian belanda lazimnya tidak mempunyai bentuk yang seragam. Buah yang terbentuk lengkap selalunya membunyai bentuk seperti hati dan bulat penoh. Bagaimana pun selalu dijumpai dimana buahnya bengkok atau berlekok (Sila lihat foto disebelah). Memetik buah durian belanda selalu dilakukan apabila buah sudah tua sebenar (matang secara fisiologi). Buah durian belanda yang selalu dianggap tua dapat dilihat apabila kelihatan durinya sudah saling berjauhan dan warna kulit buah yang asalnya selalu berwarna hijau berkilat berubah menjadi hijau kekuningan. Bagaimana pun perlu ada pengalaman dan kemahiran khusus untuk mengenali buah durian belanda yang boleh dipetik mengikut kehendak pasaran (ada yang suka buah muda). Ada laporan menunjukan bahwa buah yang dipetik pada umur 12 minggu setelah pendebungaan dimana dilihat keadaan jarak durinya mencapai 2/cm2 serta kadar kandungan gula pada bacaan14 darjah Brix adalah ciri yang dikatakan bermutu baik. Buah yang dipetik muda sebelum waktunya menyebabkan mutu rendah. Bagaimana pun sebaliknya jika terlambat petik menyebabkan buah akan dimakan kelelawar selanjutnya jatuh ke tanah. Tanaman yang berpontensi ini jika dijaga dengan baik boleh berhasil sehingga lebih dari 20 tahun. Semuga tulisan ini berguna untuk anda!. Wasallam!.
TANAM POKOK.. DURIAN BELANDA...
BENIH DIBELI... TANAMAN DIJAGA...
SERANGGA PEROSAK...ELAK DIA...
BUAH MASAK ... DIPETIK SEGERA...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Projek Tanaman Durian Belanda,
Bera, Pahang,
Malaysia.
(21 JamadilAkhir  1437H)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...