KEMPEN KAWALAN RPW peringkat nasional telah pun diadakan pada 7 Mei 2016 di Kg Baru Kuala Abang, Dungun, Terengganu oleh Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani anjuran Jabatan Pertanian Malaysia. Kempen ini diadakan dengan tujuan untuk pengawalan, pembendungan dan penghapusan Kumbang Merah Palma (Red Palm Weevil) atau singkatannya dipanggil sebagai RPW. Kumbang RPW adalah sejenis kumbang yang menyerang tanaman palma seperti Pokok Kelapa (Cocos nucifera), Pokok Kurma dan juga tanaman hiasan palma yang lain. Perosak ini juga ada beberapa jenis dimana species Rhynchophorus ferrungineus merupakan spesis dari luar negara yang menyerang dengan cepat dan kesannya amat serius. Species tempatan iaitu Rhynchophorus vulneratus yang juga ada menyerang kelapa tetapi kurang aktif seperti mana jenis pertama tadi. Kempen ini diadakan bertujuan untuk meningkatkan kefahaman dan kesedaran kepada semua akan bahaya perosak RPW yang menjadi ancaman kepada tanaman kelapa, kelapa sawit, palma hiasan dan palma lain. Ia juga untuk menghebahkan kepada orang ramai tentang ancaman RPW serta kaedah kawalannya. Kempen yang diadakan juga adalah untuk meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai risiko kemasukkan perosak asing berbahaya melalui pengimportan bahan tanaman yang tidak sah dan tidak mematuhi prosedur atau protokol kuarantin tumbuhan sepertii yang telah pun diperuntukkan didalam Akta Kuarantin Tumbuhan 1976 dan peraturan-peraturan kuarantin Tumbuhan 1981. Objektif terakhir kempen ini adalah untuk menghapuskan perosak RPW melalui operasi pengawalan dan juga aktiviti pembendungan dalam negara dan menyekat kemasukkan perosak RPW dari negara lain. Artikel subuh Ahad ini saya menulis dalam "Anim Agro Technolgy" mengenai kempen peringkat nasional ini yang penulis dapat hadir dan melihat bagaimana serangan RPW di Kg Baru Kuala Abang ini telah memusnahkan tanaman kelapa di kampong tersebut.
Kumbang RPW ini (Sila lihat foto diatas) telah mula dikesan oleh Jabatan Pertanian Malaysia pada 2010 dibeberapa buah negeri di Terengganu, Kelantan, Perlis dan Kedah serta Pulau Pinang. Perosak RPW ini telah diwartakan sebagai sejenis perosak berbahaya dibawah Akta Kuarantin Tumbuhan 1976 pada 19 Julai 2011. Melalui bancian status kehadiran kumbang ini oleh Jabatan Pertanian, dilaporkan sehingga bulan April 2016 kumbang RPW ini telah didapati merosakkan seluas 498 hektar tanaman kelapa, 335 pokok kurma dan beberapa pokok palma hiasan yang lain (Madagascar Palm dan Royal Palm) diseluruh negara. Anggaran potensi nilai kerosakkan akibat serangan RPW ini jika tidak dikawal terhadap industri tanaman kelapa adalah sekitar RM500 juta. Serangan RPW ini juga dilaporkan berpotensi untuk menyerang tanaman kelapa sawit yang luasnya lebih 4.1 juta hektar dengan nilai ekonomi tahunan mencecah RM63 billion setahun. Jika tidak dikawal dan berlaku serangan (outbreak) maka ia akan mengancam ekonomi negara dan menjejaskan pendapatan kepada ratusan ribu penanam kelapa sawit serta banyak syarikat perladangan. Kempen ini diadakan bertujuan agar semua orang tahu akan bahaya serangan RPW kepada industri kelapa, kelapa sawit dan tanaman palma yang lain. Kini Jabatan Pertanian telah melaporkan keujudan RPW didalam pokok sagu (sehingga 3,000 ekor larva pada sepokok sagu), ujud juga dibeberapa kawasan tanaman kelapa sawit (walau pun belum ada serangan serius) dan telah disahkan menyerang teruk pokok Palma Hiasan Bismarkia.
Aktiviti kempen dimulakan dengan acara lawatan VVIP kelokasi seorang petani di Kg Baru Kuala Abang, Dungun ini untuk melihat sendiri kerosakkan yang berlaku dikampong ini. Daripada 20 pokok kelapa yang dahulu dipunyai oleh petani Encik Hassan, sebanyak 18 pokok telah musnah dan menjadi tunggul seperti 'tiang ragbi' dan 2 pokok lagi masih mempunyai daun (crown) tetapi telah ada tanda-tanda serangan (Sila lihat foto saya ambil bukti serangan disebelah). Boleh dikatakan kebanyakkan pokok kelapa dikampong ini telah diserang sebelum ia dibuat kawalan bersama Jabatan Pertanian mulai tahun 2015 lagi. Dilaporkan lebih daripada 1,550 pokok kelapa telah dibuat kawalan dengan membuat 'soil drenching treatment' diseluruh kampong. Melihat seluruh kawasan kampong tersebut dan beberapa kampong lain dimukim tersebut, penulis memang dapat menilai bagaimana teruknya kesan serangan RPW terhadap pokok kelapa. Walau pun dilihat pokok kelapa masih ada daun dan buah, sebelum ini ianya memang tidak disedari kerana serangan RPW kesannya akan hanya dapat dilihat pada peringkat akhir serangan dimana pokok kelapa tersebut sudah tidak boleh untuk diselamatkan. Sebaiknta dibuat pemeriksaan semasa diperingakt awal dahulu. Anda boleh baca artikel tulisan saya sebelum ini mengenai RPW dengan link kepada (Sila klik disini), (Sila klik disini), (Sila klik disini) dan (Sila klik disini) dan banyak lagi pautan.
Acara pameran untuk orang ramai juga diadakan di sebelah khemah utama perasmian dengan mempamerkan pelbagai maklumat terkini mengenai RPW. Orang ramai didapati membuat banyak pertanyaan mengenai RPW dalam pemeran yang diadakan. VVIP juga ramai yang baru tahu akan RPW dari peringkat telur, larva, kepompong dan dewasa dan juga batang kelapa yang musnah teruk diserang (Sila lihat foto disebelah). Dalam ucapan perasmian kempen, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Malaysia yang diwakilkan oleh YB Exco Kerajaan Negeri Terangganu berharap kesedaran orang ramai dalam membantu membuat aktiviti bersama Jabatan Pertanian mengenai pengawalan, pembendungan dan juga pemusnahan RPW perlu diambil serius. Ini kerana kehadiran RPW ini terus meningkat daripada 3,215 pada tahun 2015 telah bertambah sebanyak 510 ekor lagi sehingga April 2016 dibeberapa lokasi sedia ada dan beberapa lokasi dibeberapa negeri lain. Negeri Terenggani dan Kelantan dilaporkan dua negeri yang paling banyak didapati kehadiran RPW. Berkait dengan beberapa kes kemasukkan tanaman palma hiasan daripada negara jiran yang dikatakan 'illegal' beberapa pihak berkerjasama dalam penguatkuasaan. Ini kerana pokok palma hiasan daripada luarnegara didapati merupakan salah satu punca kemasukkan RPW ini ke negara kita. Beberapa penerangan melalui media masa seperti TV, Internet, Akhbar dan sebagai dilakukan untuk memberi kesedaran akan ancaman oleh RPW ini. Kempen diperingkat nasional ini dihadiri oleh hampr 1,000 hadirin dari seluruh negara dan berjaya dilaksanakan dengan cemerlang. Wasallam!.
KEMPEN KAWALAN...SATU ACARA...
KG BARU KUALA ABANG...TEMPATNYA...
BERI KESEDARAN... KEPADA SEMUA...
MENGANCAM INDUSTRI..BAHAYA...
By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Kg Baru Kuala Abang,
Dungun, Terengganu,
Malaysia.
(7 Mei 2016)
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.