Support My Blog

Wednesday, November 15, 2023

BAJA NANO DAN KAJIAN PADA MELON

BAJA (ferlilizer) adalah bahan tambahan yang mengandungi unsur pemakanan bagi tumbuhan yang dibekalkan kepada tanah untuk membantu proses pertumbuhan pokok agar tumbuhan diberi baja akan lebih sihat. Pada penulis blog memang sejak dulu sudah diberitahu akan beberapa jenis unsur baja yang penting kepada tubuhan iaitu unsur Nitrogen (N), Phosphorus (P) dan Kalium (K) atau selalu disebut sebagai 'NPK' yang mempunyai nisbah yang tersendiri seperti (15:15:15) untuk tumbesaran vegetatif dan NPK 12:12:17:2TE untuk peringkat reproduktif (berbuah). Formulasi baja ini boleh di pelbagaikan agar menepati kehendak tanaman dan peringkat pertumbuhan. Penulis blog yang sudah menulis beratus artikel mengenai baja mendapati dimana baja dipasaran lazimnya boleh didapatkan atau dibuat sendiri dalam bentuk Cecair (liquid), Serbuk (Powder), Butiran (Granules) dan juga ketulan dimana kesemua baja tersebut akan mempunyai fungsi yang berbeza-beza. Sekarang ini sudah ada dikaitkan 'Nano Technology' dengan produk baja yang dipasarkan dimana 'Baja Revolusi Nano' jini sudah memasukki pasaran di Malaysia. Ada banyak jenama baja nano import dan buatan tempatan yang boleh di dapatkan dari agen atau kedai tertentu. Apa pun dari testimoni dimana antara fungsi baja nano ini adalah untuk tanaman dan pokok bunga yang lebih sihat  dimana ada laporan menyatakan ia adalah kaedah pembajaan melalui daun (foliar spray) dimana didakwa lebih berkesan 10 hingga 12 kali lebih dari pembajan melalui tanah. Ada laporan umum yang didakwa oleh agen penjual baja ini menyatakan teknologi pertanian Thailand yang mana telah menggunakan baja nano ini dilaporkan hasilnya adalah jauh lebih tinggi dan lebih berkualiti. Salah satu yang penulis blog pernah lihat pproduk baja jenama Nano Green berasaskan cecair didakwa ia lebih efektif bertindak balas melalui dedaun dan batang pokok. Dilaporkan baja ini sebagai 'booster foliar' dengan molekul yang lebih halus memudahkan tumbuhan menyerap nutrien dimana kesannya ia akan dapat meningkatkan aktiviti fotosintesis dan pembaharuan sel pokok dengan sangat drastik membuatkan pokok bertindak balas dengan cepat. Melihat kepada label dinyatakan dimana kandungan Nano Green adalah foliar dan di jamin halal dan selamat di gunakan. Ia juga dilaporkan menyebabkan pokok akan galak berbunga serta mampu merangsang pertumbuhan sel baru pokok pada bahagian akar dan daun. Dilaporkan juga dimana pokok lebih lasak dari serangan makhluk perosak. Apa pun baja NanoGreen ini dilaporkan ia menggunakan kaedah foliar feeding melibatkan penyemburan dimana ia adlah satu amalan yang sangat mudah untuk di gunakan. Caranya adalah dengan menyembur pada keseluruhan pokok termasuk tanah dengan kekerapan diantara 7-10 hari sekali dimana walyu sesuai adalah dilakukan pada waktu pagi atau petang. Dilamanweb dan shoppe dan lazada antara jenama yang ada seperti Nano Green, Transform, Golden Nano, Dr Nano Fertilizer dan beberapa lagi. Artikel pada petang jumaat ini dalam blog "Anim Agro Technology" saya menulis semua kajian oleh MARDI berkaitan aplikasi baja nano untuk dijadikan bahan rujukkan dan laporan berkaitan baja nano dalam media tempatan untuk dijadikan bahan rujukkan semua.


Kajian oleh MARDI dimana mereka memilih tanaman Melon 
(Cucumis melo Linn) merupakan sejenis kumpulan tembikai susu berwarna keorenan yang mempunyai tekstur buah yang rangup dan manis sesuai dijadikan asas bagi rujukkan. Proses penanaman dan penjagaan melon wangi dikatakan agak sukar, namun jika dijaga dengan baik selalunya menghasilnya pendapatan yang lumayan. Pokok melon wangi kebanyakannya ditanam dengan menggunakan sistem fertigasi. Penulis blog yang membangunkan tanaman melon wangi di beberapa Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) kelolaan Jabatan Pertanian Malaysia juga mendapati adalah ia memerlukan kesabaran dan pengawasan yang tinggi dengan proses yang agak rumit untuk mendapatkan hasil buah yang optimum. Melon wangi mampu mengeluarkan hasil sebanyak tiga kali setahun selepas 75 hari penuaian. Sebiji buah melon wangi selalu ia mempunyai berat anggaran 1 - 2.5 kg dan dijual selepas mencapai tahap bacaan kemanisan yang ditetapkan iaitu pada 11 °Brix. Harga buah melon wangi di pasaran ialah RM5/kg dan boleh menjana pendapatan bulanan sehingga RM4,000.00. Bagaimana pun aspek pembajaan tanaman melon wangi biasanya menggunakan baja AB iaitu sejenis baja kimia hasil campuran pelbagai baja tunggal yang dicampurkan dengan jumlah tertentu sehingga membentuk baja AB yang lengkap. Baja AB mempunyai unsur yang berbeza seperti contohnya baja A terdiri daripada campuran kalsium nitrat dan ferum EDTA. Manakala baja B pula terdiri daripada campuran kalium nitrat, monokalium hidrogen fosfat, magnesium sulfat, mangan sulfat, asid borik, zink sulfat, kuprum sulfat dan natrium molibdat. Apa pun penulis blog yang sering membuat tinjauan teknologi mendapati dimana masalah utama dalam penanaman pokok melon wangi ini ialah tanaman ini mudah diserang penyakit yang akan menjejaskan hasil buah. Proses penjagaan yang rumit berbanding dengan tanaman lain terutamanya pada usia tanaman berumur 1 - 30 hari yang mana ia memerlukan pengawasan yang tinggi dan penjagaan yang rapi kerana pada tempoh ini tanaman mudah mati, rosak dan diserang penyakit. Dijangkakan pada setiap kali penanaman melon wangi akan terdapat 50% daripada pokok akan rosak sama ada kekurangan nutrien mineral atau diserang oleh penyakit dan serangga perosak. Isu ini pada penulis blog akan menghasilkan gred dan kualiti buah yang rendah dan tidak seperti yang diharapkan. Penelitian dibuat dimana akibat dari  kekurangan sumber nutrien adalah kerana baja yang disasarkan kepada tumbuhan hilang disebabkan oleh proses larut lesap, penyejatan, hidrolisis, degradasi mikrobiota dan fotolitik. Pihak saintis yang dirujuk ada laporkan dimana dianggarkan 40 - 70% unsur nitrogen, 80 - 90% unsur fosforus dan 50 - 90% unsur kalium daripada baja digunakan hilang di persekitaran dan tidak dapat diambil oleh tumbuhan sekali gus menyebabkan kerugian ekonomi secara berterusan. Dalam pada itu kesan kekurangan jumlah unsur makro dan unsur mikronutrien menyebabkan pokok melon wangi mengalami klorosis, pertumbuhan terbantut, hasil dan kualiti tanaman yang tidak memuaskan.


Penanaman melon di dalam SPH selalunya dilakukan dengan amalan agronomi yang ketat. Bagaimana pun penulis blog dapati dan menerima laporan usahawan di beberapa TKPM dimana mereka sering menghadapi masaalah serangan oleh d
ua penyakit yang disebabkan oleh kulat ini menyebabkan kerosakan yang tinggi pada tanaman melon. Jika tidak cepat dirawat dengan cara penggunaan racun yang betul akan menyebabkan daun yang dijangkiti bertukar menjadi kering lalu pokok akan mati dan menyebabkan kehilangan hasil sehingga 50% daripada hasil sebenar. Terdapat beberapa usaha penggunaan alternatif seperti bahan agrokimia yang mesra alam sebagai salah satu pilihan atau cara untuk menangani masalahan ini. Semambu atau dikenali sebagai Neem (Azadirachta indica) adalah salah satu contoh dan ia merupakan salah satu tumbuhan yang berkesan menentang serangan perosak ini. Komponen utama semambu ialah bahan tetranotriterpenoid (azadirachtin) yang terkenal sebagai antifeedansi, penghalau serangga dan agen perencatan pertumbuhan serangga. Daun Semambu juga terbukti sebagai perencat proses nitrifikasi yang dapat memperlahankan pembebasan nutrien nitrogen. Ini dapat menyediakan nitrogen dalam tempoh yang lebih lama dengan kehilangan sumber nitrogen yang minimum sekali gus dapat ia meningkatkan kecekapan penggunaannya pada pokok. Dalam pada itu pendekatan konsep  Nanoteknologi dilihat ada menawarkan potensi yang besar dalam menyesuaikan pengeluaran baja dengan komposisi kimia yang lengkap. Oleh yang demikian pihak MARDI memperkenalkan kajian tentang baja nano-emulsi daripada semambu sebagai satu sistem pembawa makro dan mironutrien mineral baja telah berjaya dibangunkan dan diaplikasikan ke ladang sebagai agen penggalak pertumbuhan dan kawalan penyakit kulat pada tanaman melon wangi untuk dikongsikan infonya. 


Menarik dikongsikan pemahaman penulis blog bagaimana p
embangunan baja nano pintar didalam kajian yang telah dilakukan. Minyak semambu telah diformulasikan sebagai nano-emulsi yang digunakan sebagai sistem penghantaran sumber mineral nutrien NPK-TE (Nitrogen, Phosphorus, Potassium-Trace Element) sebagai bahan aktif melalui permukaan hidrofobik tanaman. Formulasi baja nano yang telah dibangunkan adalah terdiri daripada fasa air yang mengandungi air (21.6%), mineral nutrien baja, NPK-TE (47.4%), fasa minyak daripada minyak semambu (5.6%) serta surfaktan, Tween 80 (25.4%). Kandungan mineral nutrien NPK-TE terdiri daripada unsur makronutrien yang diperlukan dalam kuantiti yang banyak seperti nitrogen (N), fosforus (P) dan kalium (K) yang berfungsi untuk tumbesaran daun yang sihat, tumbesaran akar serta perkembangan bunga dan buah serta keseluruhan tumbuhan. Manakala sumber mikronutrien terdiri daripada boron (B), zink (Z), besi (Fe), mangan (Mn), kuprum (Cu), klorin (Cl) dan molibdenum (Mo) yang diperlukan dalam kuantiti yang sedikit dan berfungsi sebagai kofaktor untuk enzim dan pemindahan elektron di dalam tumbuhan. Setiap unsur makro dan mikronutrien mempunyai fungsi dan peranan yang tersendiri bagi memastikan tanaman melon wangi yang ditanam mendapat semua nutrien yang diperlukan untuk proses tumbesaran dan penghasilan buah yang baik dan memenuhi piawaian pasaran. Minyak semambu yang digunakan dalam formulasi baja nano ini bertindak sebagai fasa minyak yang diikat oleh surfaktan (Tween 80) dan fasa air, mineral nutrien baja untuk penghantaran nutrien secara perlahan. Di samping bertindak sebagai fasa minyak di dalam formulasi, ia juga memberi banyak kelebihan kepada tanaman. Semambu mempunyai spektrum luas yang mampu berfungsi sebagai racun serangga dan racun kulat yang diekstrak daripada biji pokok semambu (Azadirachta indica). 


Peranan utama mod tindakan semambu adalah mengganggu metamorfosis serangga dan menghalang pertumbuhan kulat yang sangat baik apabila disembur pada permukaan daun tumbuhan. Kandungan bahan aktif azadirachtin dan liminoid yang terdapat dalam semambu bertindak sebagai steroid yang akan mengganggu pengeluaran dan pemprosesan hormon yang menyebabkan hilang selera makan, gangguan proses pembiakan dan pematangan bagi serangga. Laporan kajian tentang baja berstuktur nano pelepasan perlahan pada kesuburan tanah dimana profil hasil Vigna radiata juga menunjukkan semambu mampu untuk melambatkan proses amonifikasi dan nitrifikasi seterusnya meminimumkan kehilangan nitrogen. Penggunaan surfaktan terpilih iaitu Tween 80 dalam pembangunan baja nano secara foliar adalah relevan kerana berfungsi untuk mengurangkan ketegangan permukaan formulasi. Ini secara tidak langsung dapat meningkatkan penyebaran dan pelekatan baja pada permukaan daun dan meningkatkan luas permukaan daun terhadap mineral nutrien baja. Surfaktan bukan ionik seperti Tween 80 ini sering digunakan dalam semburan foliar kerana sifatnya yang kurang berinteraksi dengan komponen polar yang lain dalam formulasi. Selain itu dilaporkan kandungan etilena oksida yang tinggi dalam Tween 80 meningkatkan penghidratan kutikular seterusnya mengurangkan kesan fitotoksik terhadap tumbuhan dan meningkatkan kadar pengambilan baja foliar. 
Mekanisme pelepasan baja nano menunjukkan nano-partikel memasuki daun melalui stomata yang merupakan liang untuk pertukaran gas dan transpirasi wap air. Ukuran stomata yang besar dan ketumpatannya yang tinggi memudahkan pengangkutan nanopartikel melalui stomata ke dalam daun (Sila lihat foto disebelah). Setelah memasuki stomata maka nano-partikel ini akan ditranslokasi oleh sistem floem. Floem terdiri daripada tisu vaskular hidup yang berfungsi untuk menukar produk fotosintetik seperti sukrosa, protein dan mineral ion untuk pertumbuhan tumbuhan. Oleh itu, pembangunan baja nano foliar dalam kajian ini dapat digunakan sebagai agen penghantaran baja, agen antibakteria dan nano-partikel nutrien yang efisien dan mampu meningkatkan pertumbuhan tanaman sekali gus menghalang masalah keselamatan ekosistem tanah dan meningkatkan sistem imuniti tumbuhan. Kesimpulan kajian MARDI dimana diantara semua rawatan baja nano, 0.5% (T2-T5), rawatan T3 iaitu empat kali semburan baja nano dipilih kerana lebih ekonomikal dan sebagai indikator bagi formulasi baja yang paling optimum kerana tumbesaran dan daya tahan pokok yang signifikan direkodkan melalui pemerhatian fizikal serta kadar kematian pokok yang minimum sebanyak 5.5% sahaja berbanding dengan kawalan iaitu 19.6%. Rawatan ini akan digunakan sebagai cadangan kepada salah satu pendekatan yang boleh digunakan dalam amalan pertanian para pengusaha melon wangi. Sesiapa yang ingin membeli baja nano dipasaran boleh membelinya sahaja dan bertanya kaedah penggunaannya. Semuga artikel ini memberi info berguna kepada pambaca blog anim agro technology kali ini. Wasallam!!!...
BAJA NANO... PELBAGAI JENAMA...
ADA YANG LOKAL... IMPORT JUGA...
DALAM TALIAN... PUN DIJUAL JUGA...
KAJIAN MARDI... HANYA SATU CARA...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Precint 11, Putrajaya,
WP Putrajaya,
Malaysia.
(26 Rabiulakhir 1445H).

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...