Support My Blog

Sunday, July 31, 2016

SAWI - BEBERAPA TIP MENANAM

TANAMAN SAWI (Brassica spp) merupakan satu aktiviti penanaman sayuran jenis daun yang intensif. Sawi merupakan tanaman sayuran daun dengan nama saintifiknya Brassica sp. yang dipercayai dari keluarga Brassicaceae dan mempunyai banyak jenis atau varieti. Terdapat beberapa jenis sawi yang mudah ditanam di Malaysia diantaranya seperti Sawi Hijau atau choy sum (Brassica parachinensis), Sawi Putih atau pak choy (Brassica chinensis var. pekinensis Cruciferae), Sawi Mini atau bok choy (Brassica rapa chinensis), Sawi Bunga (Brassica rapa Cruciferae) dan juga Sawi Ropol. Dari segi jenis-jenis sawi lain yang ditanam ada banyak lagi apa lagi mengenai jenama dagangan sawi oleh penjual benih sawi. Terdapat banyak cara penanaman sawi termasuk sama ada secara konvensional diatas batas tanah, didalam sistem fertigasi, diatas batas, didalam SPH dan terkini telah ramai menanam sawi dengan menggunakan teknologi pertanian terkini iaitu mereka menggunakan pasu. Sawi merupakan sayuran daun singkat masa dimana dalam masa sebulan ianya boleh dituai atau dipetik sendiri jika ditanam dikawasan keliling rumah. Sawi juga merupakan diantara pilihan aktiviti pertanian bandar yang boleh aktiviti penenamnnya sesuai diperluaskan amalannya terutama dikawasan perumahan dibandar. Dalam sistem tanaman secara hidroponik, sawi dan salad merupakan pilihan utama untuk sistem tanaman ini. Sawi yang ditanam sendiri lazimnya adalah lebih segar, selamat dimakan dan paling penting ia dihasilkan sendiri oleh mereka yang berminat. Penanaman sayuran sawi dikawasan keliling eumah juga dilaporkan mempu menjimatkan kos keluarga. Artikel subuh Ahad ini selepas solat saya menulis artikek ke 4,033 dalam "Anim Agro Technlogy" beberapa tips menanam sawi sekadar dijadikan bahan bacaan dan rujukkan.

Sawi diketahui merupakan sejenis dayur daun yang mengandungi banyak vitamin A,B,C,E,K, karbohidrat, protein, kalsium, kalium, zat besi dan magnesium. Ia juga sangat kaya dengan serat yang boleh membantu proses pencernaan. Banyak juga penyakit yang dipercayai boleh dihindarkan dengan mengamalkan makan sayur daun seperti sawi antaranya anemia, mengurangkan risiko penyakit barah, mengurangkan kadar kolestrol dalam darah dan mempercepatkan pembekuan darah semasa luka. Penanaman sayur sawi adalah mudah dilakukan jika mempunyai minat, kemahiran dan pengalaman menanamnya. Sawi sesuai ditanam pada pelbagai jenis tanah dengan kelembapan yang sederhana. Keperluan suhu pula dimana ia paling sesuai antara 25 - 35ºC. Pada keadaan yang terlalu lembap atau kekerapan hujan yang tinggi boleh menjejaskan kualiti daun sawi (Sila lihat foto disebelah). Cara menanam sayuran sawi secara konvensional adalah diatas sistem batas yang disyorkan berukuran satu meter lebar dan panjang bergantung pada luas kawasan. Batas perlu digemburkan dan ditambah dengan kompos dan baja organik. Rapikan tanah diatas batas sebelum menanam. Menanam sawi dijalankan dengan menggunakan biji benih sama ada ditanam terus atau disemai terlebih dahulu. Jika mshu benih sawi ditanam terus sebaiknya benih tersebut di tabur di atas batas selepas dicampur dengan pasir. Buat penjarangan selepas 10 hingga 14 hari ditanam. Bagi kaedah semaian selalunya biji benih sawi akan disemai dan disimpan di dalam rumah semaian selama lapan hingga 10 hari. Kemudian anak pokok boleh dipindahkan di atas batas. Selepas memindahkan anak benih, letak sungkupan (plastik silver shine, daun kering, jerami padi) di bahagian batas yang terdedah bertujuan mengekalkan kelembapan tanah dan mengawal pertumbuhan rumpai.


Penanaman sawi perlukan sistem pengairan yang baik kerana ia memerlukan banyak air dari mula menanam sehingga hampir menuai. Ini kerana air adalah sumber yang terpenting untuk tanaman selain cahaya matahari, karbon dioksida dan baja. Tanaman Sawi perlu disiram dua kali sehari pagi dan petang kecuali hari hujan menggunakan air bebas klorin. Kekurangan air boleh membantutkan pertumbuhan tanaman. Pengairan boleh dilakukan sama ada secara manual atau menggunakan sistem pengairan renjis bergantung pada kemampuan pengusaha. Pembajaan tanaman sawi dimulakan dengan menggunakan baja organik telah disediakan di peringkat awal semasa penyediaan tanah. Baja tersebut memadai bagi pertumbuhan awal anak pokok. Selepas dua minggu maka baja organik diberikan sekali lagi dengan anggaran antara 40 dan 50g per pokok.  Sebelum membaja pastikan juga tanah di sekeliling pokok digembur untuk tujuan bagi meningkatkan pengudaraan akar tanaman. Baja ditabur di keliling pokok tetapi jauh dari batang pokok. Tutup baja dengan sungkupan. Sebaiknya lakukan kawalan rumpai dari peringkat awal penanaman. Batas tanaman perlu sentiasa dibersihkan daripada rumpai sekurang-kurangnya seminggu sekali. Rumpai yang tumbuh di atas batas dibuang secara manual, manakala rumpai yang tumbuh di luar batas boleh dipotong dengan mesin pemotong rumput atau sabit. Ada juga sesetengah petani menggunakan alat membakar rumpai. Kaedah ini bukan sahaja berkesan mematikan rumpai dan biji benihnya, ia juga boleh membunuh telur serangga perosak yang bersembunyi di dalam tanah atau batas.


Antara jenis perosak dan penyakit yang menyerang tanaman diladang perlu dipantau dari peringkat awal. Diantara penyakit yang biasa menyerang sawi ialah reput daun, bintik daun dan reput lembut. Perosak seperti Ulat Ratus, Ulat Pangkas dan Kumbang Lenting adalah antara perosak yang mudah ditemui pada pokok sawi. Kehadiran perosak ini boleh dikawal dengan menggunakan jenis racun organik campuran iaitu cili padi, bawang putih, pudina, serai wangi, daun kesum dan beberapa repellent yang lain boleh membantu didalam mengurangkan serangan perosak dan penyakit sawi. Cara amalan agronomi seperti penanaman bergilir juga disyorkan sebagai kawalan penyakit ini. Penuaian sawi boleh mula dituai selepas 27- 30 hari ditanam (30 HLT) bergantung kepada umur pokok, saiz pokok, serangan perosak dan sebagainya. selalunya cara menuai sawi adalah dengan memotong bahagian pangkal paling hampir dengan tanah. Akar dibiarkan reput di batas. Kemudian sawi perlu dicuci kotoran tanah yang melekat pada sawi dengan air bersih. Kemudian rendam sawi di dalam air sejuk bersuhu 5ºC untuk proses prapenyejukan selama antara lima dan 10 minit. Ia untuk mengekalkan kualiti sawi dalam tempoh yang lebih lama. Bungkus hasil sawi dengan menggunakan plastik lutsinar yang berlubang untuk pengudaraan sawi. Selain itu jika sawi disimpan dalam suhu 10ºC didapati ia boleh tahan selama seminggu. Sayuran sawi selain daripada dimakan segar sebagai sayuram ianya juga digunakan dalam masakan mee goreng, mee kari, sawi jeruk dan sebagainya, Artikel ini diharap memberi info berguna kepada pembaca semua. Wasallam!!!.

TANAM SAWI...BERAPA TIPSNYA...
MUDAH DITUAI...CEPAT TUAINYA...
SEDIA ALATAN...HIDROPONIK JUGA...
SAWI SEGAR ....KUALIRI DIJAGA...

By,
M Anrm,
Senior Agronomist.
Kg Padang Permai 4,
Jalan Sg Lembing,
Kuantan, Pahang,
Malaysia.
(24 Syawal 1437H)

Saturday, July 30, 2016

KACANG TANAH - TIPS MENANAM MUDAH

KACANG TANAH (Arachis hypogea) atau Groundnuts merupakan sejenis tanaman kontan yang semakin kurang popular ditanam di Malaysia. Malaysia kini merupakan pengimport tegar kacang tanah dari luar negara untuk pelbagai kegunaan domestik. Hanya beberapa negara didunia yang menanam kacang tanah secara meluas untuk ianya dijadikan produk pertanian utama negera tersebut. Keluasan tanaman kacang tanah semakin menurun semenjak 20 tahun lalu kerana kurang menarik minat petani. Hanya beberapa negari sahaja yang masin menanam kacang tanah iaitu di Perak, Kelantan, Johor, Terengganu dan Sabah serta Sarawak. Hampir sebahagian besar kacang tanah yang ditanam di Malaysia adalah untuk kegunaan segar sahaja iaitu dibuat kacang rebus dan sebahagian kecil pula diproses menjadi Kacang Goreng. Kacang Goreng 'Cap mengelembu' pun kebanyakan bahan asas adalah diimport. Dipasaran dunia bijirin kacang tanah banyak digunakan sebagai minyak, marjerin, sabun, kacang goreng dan sebagainya . Minyak Masak (cooking oil) yang dibuat daripada kacang tanah merupakan salah satu produk global yang didagangkan. Kacang tanah juga mengandungi banyak nutrien seperti niacin, folate, serat, magnesium, vitamin E dan sebagainya. Kacang tanah adalah merupakan sumber niacin yang baik untuk kesihatan otak dan perjalanan darah di samping kandungan unsur antioksidan. Artikel subuh Ahad ini saya menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai beberapa tips amalan agronomi penanaman kacang tanah sebagai satu sumbangan penulis untuk pembaca iaitu artikel ke 4,042 yang ditulis.


Penulis melawat beberapa kebun tanaman kacang tanah di sekitar Ipoh, Perak dan di Tangkak, Johor bagi menjalankan tinjauan amalan teknologi. Secara ummumnya antara keperluan bentuk muka bumi dan keadaan tanah bagi tanaman ini sebaiknya dari jenis tanah rata hingga sedikit bercerun atau tanah berpasir seperti tanah bekas lombong (Sila lihat foto disebelah). Tanah dipilih untuk tanaman kacang tanah mesti tiada berlaku  kejadian air bertakung dengan saliran air yang baik kerana tanaman ini akan rosak jika ada masalah takungan air. Sebaiknya kedalaman tanah melebihi 50 cm dengan tekstur tanah yang longgar dan pH tanah sekitar pH5.5 - 7.0. Lazimnya proses penyediaan tanah sebelum menanam disediakan dengan membajak dengan bajak piring untuk membalik-balikkan tanah untuk menghapuskan rumpai dan pada waktu sama semestinya dilakukan aktiviti menambah bahan organik atau baja tahi ayam atau kompos dengan kadar disyorkan. Ia kemudian akan diikuti dengan kerja membajak putar untuk menghancurkan tanah untuk mendapatkan tekstur yang sesuai. Pemasangan sistem pengairan adalah digalakkan dengan jenis sistem pengairan renjis (sprinkler system) terutama untuk peringkat awal pertumbuhan kacang tanah. Jika kawasan menpunyai kelempapan mencukupi seperti tanah tepi sungai maka keperluan sistem pengairan boleh disesuaiakan.

Penanaman kacang tanah menggunakan biji benih berkualitii yang boleh di beli daripada Jabatan Pertanian atau kedai swasta atau benih sendiri simpanan petani yang dibuat pada muim sebelumnya. Keperluan dan kadar biji benih serta jarak tanaman perlu dilkira awal sebelum menanam. Kadar biji benih kacang tanah yang disyorkan adalah 60kg/ha. Biji benih perlu dirawat dengan racun kulat sebelum ditanam bagi tujuan mengelakkan serangan kulat. Jarak tanaman yang sesuai adalah 50 cm x 10 cm dimana sebaiknya bubuh sebiji selubang dengan kepadatan 200,000 pokok /hektar (Sila lihat foto disebelah). Cara penanaman kacang tanah dikawasan tradisional adalah dengan menggunakan tugal atau mengunakan jentera bagi kawasan tanaman luas. Apa yang penting dalam penanaman kacang tanah adalah bagaimana menguruskan amalan agronomi. Pembajaan perlu dilakukan mengikut jadual dimana kadar pembajaan yang biasa adalah menggunakan baja NPK dengan kadar iaitu 34:56:56 kg/ha bergantung kepada kesuburan tanah. Kacang tanah memerlukan unsur kalsium yang lebih tinggi terutama pada peringkat pembentukan lengai dimana jika berlaku kekurangan unsur ini akan menyebabkan lengai tidak berisi. Sumber kalsium ini boleh didapati dari baja kapur dimana adalah disyorkan ditabur pada peringkat pokok mula berbunga. Penggunaan kapur seperti GML dan sebagainya akan membantu meningkatkan kutipan hasil.


Pengawalan rumpai dikawasan tanaman kacang tanah amat penting dilakukan. Lazimnya kacang tanah akan kalah dengan pertumbuhan rumpai yang lebih dominan jika tidak dikawal dari peringkat awal penanaman. Penggunaan racun rumpai pracambah seperti Lasso boleh digunakan sebelum menanam. Aktiviti merumpai pusingan pertama boleh dijalankan pada antara 14 dan 21 hari selepas menanam dan pusingan kedua dia antara 30 dan 35 hari selepas menanam. Kebun yang bebas dari rumai akan menjamin hasil yang bakal dituai (Sila lihat foto disebelah). Kacang tanah adalah tanaman yang juga mempunyai ancaman serangan serangga perosak dan penyakit. Diantara serangga perosak yang sering dan boleh menyerang kaang tanah seperti Ulat Makan daun. Ulat daun seperti Spodotera litura dan Heliothis arnigera lazimnya akan memakan daun menyebabkan daun berkurangan dan pokok lembat naik. Serangga ini boleh dikawal dengan racun serangga yang bersesuaian. Jenis perosak lain adalah seperti Ulat Perosak Lengai seperti Etella zinckenella yang masuk dalam lengai kacang tanah dan merosakannya. Cara kawalan dengan racun serangga Diazinon yan disembur mengikut aturan. Perosak lain yang boleh merendahkan penghasilan adalah serangan haiwan iaitu Tikus. Ini kerana tikus merupakan perosak utama yang boleh menyebabkan kerugian besar dalam kacang tanah seperti mana didakwa pleh petani semasa tinjauan saya lakukan. Amalan kultura yang baik dan kebersihan kawasan dodapati mampu mengurangkan serangan tikus. Ada juga petani yang menggunaan racun dan umpan untuk mengawal serangan dari berlaku. Bagi serangan penyakit seperti serangan oleh Penyakit Layu Bakteria disebabkan oleh Pseudomonas solanacearum boleh menyebabkan pokok kacang tanah layu dan mati. Penyakir lain iaitu Mozek Kacang Tanah pula yang disebarkan oleh kutu daun (aphid) menyebabkan daun bertompok-tompok berwarna hijau tua. selalunya penyakit kacang tanah dapat dikawal dengan amalan kultura yang baik termasuk penggiliran tanaman. Kajian oleh penulis mendapati aktiviti pemungutan hasil kacang tanah boleh dikutip antara di antara 90 dan 110 hari selepas ditanam bergantung kepada varieti yang ditanam. Ia juga merekodkan purata anggaran hasil adalah 3-3.7 tan/ha. Diharap tulisan ini memberi infoo berguna kepada anda. Wasallam!!!.

MENANAM KACANG...BAGAIMANA...
KACANG TANAH... MUDAH SAHAJA...
BENOH DITANAM... TUMBUH DIA...
LEPAS 3 BULAN... MENUAI JUA...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Kg Solok, Tangkak,
Ledang, Johor,
Malaysia.
(21 Syawal 1437H)

Friday, July 29, 2016

KENALI POKOK MERUNGAI

Mengenali POKOK MERUNGGAI (Moringa oleifera) adalah baik untuk kita memahami akan kehebatan khasiat pokok ini. Di negara kita tumbuhan ini selalunya ditanam sebagai satu jenis tanaman hiasan atau tanaman disekeliling rumah sahaja. Kini telah ada beberapa orang petani yang menanam pokok merunggai secara monokrop dan komersil sebagai satu tanaman ekonomik. Pokok merunggai juga dikalangan orang Melayu dipanggil sebagai Kacang Kelur, Merunggai, Rembungai atau Lembungai. Tumbuhan ini adalah dari keluarga Moringaceae. Dalam membaca beberapa buku rujukkan penulis dapati tumbuhan ini adalah natif dari India, Pakistan dan Afganistan. Pokok ini mampu tumbuh menegak dengan anggaran ketinggian pokok sehingga lebih 10 meter. Ia mempunyai banyak cabang yang mempunyai daun yang banyak. Bagi memilih kawasan tanaman sesuai sebaiknya dari jenis tanah yang kering dan berpasir. Sebenarnya dulu khasiat pokok ini kurang diketahui oleh masyarakat Melayu dimana ini mungkin disebabkan pokok ini tidak berasal dari negara kita. Dalam beberapa pembacaan penulis juga mendapati pokok merunggai ini telah dikaji dengan teliti oleh saintis dari negara barat. Dalam beberapa kes ia dilaporkan sebagai 'Trees for Life' dimana mereka gunapakai pokok ini untuk menolong rakyat negara miskin disamping menyebar agama mereka. Mengikut kajian negara barat pokok ini adalah ‘food supplement’ dalam dunia yang termurah. Daun pokok merunggai mempunyai pertama adalah khasiat iaitu vitamin A yang lebih tinggi dari lobak merah (carrot). Kedua ia juga mengandungi lebih banyak zat besi dari bayam dan ketiga dimana ia lebih banyak vitamin C dari buah limau. Seterusnya khasiatnya adalah ia lebih banyak kalsium dari susu dan ke 5 ia adalah lebih banyak potassium dari pisang serta akhirnya khasiatnya ke 6 adalah kualiti proteinnya setanding dengan telur dan susu. Artikel subuh ini saya menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai pokok merungai dan kehebatannya untuk dijadikan bahan bacaan dan rujukan semua.

Dalam kajian analisa makmal di negara barat kehebatan khasiatnya juga telah menyebabka ia dikelaskan sebagai pokok yang paling berguna kepada manusia dan dipanggil ‘Pokok Ajaib' atau 'miracle tree’. Daunnya yang berzaiz kecil berwarna hijau juga mudah untuk diperolehi daripada pokok yang ditanam (Sila lihat foto disebelah). Pokok ini dikatakan mempunyai kandungan bahan protein yang senang dan mudah untuk di hadam dalam perut. Daripada laporan oleh pakar pemakanan didakwa orang yang selalu mengamalkan memakan daun dan buah pokok ini kurang berisiko daripada terkena penyakit kanser. Selain dari tumbuhan ini diambil dan diguna sebagai makanan ia kini telah diproses untuk dijadikan produk kesihatan.Semua bahagian pokok ini boleh dimakan dan berguna tetapi tidak digalakkan makan akarnya oleh kerana ada alkaloid iaitu bahan Spirichin. Daun merunggai yang segar boleh dipetik dan kemudian dimasak pelbagai cara dan resepi. Dikalangan orang kita di Malaysia ia paling disukai dimasak sebagai Masak lemak Merunggai, Masak Air Merunggai dan pelbagai resepi masakan India. Sementara itu jika daun tersebut dikeringkan ia boleh disimpan lama tanpa hilang khasiatnya.

Dalam pada itu buah merunggai yang masih muda boleh dimasak macam sayuran lain. Buah ini masih lembut dan sesuai dijadikan ulaman jika mahu. Biji buah merunggai boleh dimasak atau dipanggang dan jika diperah maka minyaknya yang diekstrak adalah jenis minyak yang susah rosak.Bunga yang keluar dari pokok merunggai sesuai dimakan kalau dimasak atau dicelur. Minyak ekstrak ini amat sesuai digunakan untuk diguna sebagai perisa makanan hidangan ‘salad’.  Minyak dari biji merunggai yang dianalisa didapati mempunyai kandungan 30-40% minyak pati bernilai. Kini minyak ini di kenali sebagai BEN OIL yang sering digunakan sebagai salah satu bahan asas dalam pemprosesan membuat minyak wangi dan perubatan lain. Minyak biji merunggai juga tidak melekat dan sesuai digunakan untuk peralatan atau jentera halus. Biji merunggai matang yang telah dikisar menjadi debu sesuai juga digunakan untuk merawat air menggantikan bahan aluminium sulphate. Rawatan ini bertujuan untuk penapisan air, pemendakkan, anti-biosis dan sebagainya. Biji merunggai sesuai juga untuk digunakan dalam merawat air dari tanah gambut. Daun merunggai yang banyak dan segar amat sesuai dijadikan bahan makanan ternakkan. Dari segi kesihatan beberapa bahagian pokok merunggai yang diproses didakwa boleh menstabilkan tekanan darah tinggi serta mampu untuk mengawal kadar glukos dalam darah. Jika ada masaalah seperti cirit birit atau bengkak dalam usus ia juga mampu merawatnya. Daun moringga juga mengandungi kompaun beta sitosterol yang berpotensi untuk menurunkan tekanan darah dalam badan yang mana ia banyak digunakan untuk merawat darah tinggi di India. Tumbuhan ini mempunyai nilai perubatan yang tinggi kerana ia bersifat bebas racun atau tidak bertoksik selain mempunyai sejarah yang lama dalam bidang perubatan Ayurveda di kalangan masyarakat India. Rekod Ayurveda mengenalpasti 300 ramuan daripada Moringa sesuai diamalkan untuk mengatasi dan merawat pelbagai penyakit. Pencairan zat dan jus hijau Moringa mempercepatkan penyerapan biologi badan dan larutan zat yang bersifat 100 peratus biokimia membolehkan badan menggunakannya terus tanpa proses penghadaman. Semuga tulisan ini memberi info untuk pembaca mengenali akan pokok moringga kali ini. Wasallam!!!...
POKOK MORRINGAI...APA DIA...
RAMAI TAK KENAL...ASAL INDIA...
KHASIATNYA.....BANYAK GUNA...
BACA ARTIKEL...INFO DITERIMA..

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Room 21, Hotel M Suite, Seri Kembbangan,
Serdang, Selangor,
Malaysia.
(30 April 2016)

Thursday, July 28, 2016

TANAM TIMUN - TIPS MUDAH

TANAMAN TIMUN (Cucumis sativus) merupakan sayuran yang sangat popular di Malaysia. Ia termasuk dari sayuran jenis buah yang kedua terpopular selepas cili. Buah timun yang masih muda digunakan sebagai ulaman dan dimakan mentah dimana ada juga timunyang dimasak atau dibuat acar atau jeruk. Timun tua pula ditanam untuk dijadikan bahan sayuran sup dikalangan penduduk tempatan atau masakan asam ikan patin tempoyak. Timun mengandungi 0.65% protein, 0.1% lemak dankarbohidrat sebanyak 2.2%. Selain itu timun juga mengandungi kalsium, zat besi, magnesium, fosforus, vitamin A, vitamin B1,vitamin B2 dan vitamin C. Biji timun mengandungi racun alkoloid jenis hipoxanti yang berkesan untuk merawat kanak-kanak yang kecacingan. Bagi mereka yang menhidapi sakit tekak apabila diserang batuk , penyakit ini dapat dirawat dengan biji timun dimana sedikit biji timun dicampurkan dengan sedikit garam dan dikumuh beberapa kali sehari. Pengamalan ini dapat mengembalikan suara yang hilang. Selain itu, penyakit sampu pucat iaitu sejenis penyakit pening-pening yang berterusan sehingga dapat menurunkan berat badan dapat diatasi dengan pengamalan makan timun mentah atau yang telah dimasak. Timun juga dapat mengubati penyakit disesteri iaitu keluar darah semasa membuang air besar. Artikel malam selasa ini sambil menonton TV2 berjudul 'Laksamana Do Re Mi' saya menulis dalam blog "Anim Agro Technology" mengenai beberapa tips menanam timun.


Timun banyak terjual di pasar-pasar termasuk pasar tani, pasar malam, pasar tamu dan pasar sayur. Ia terletak dalam famili yang sama dengan tembikai dan labu. Timun merupakan sejenis pokok memanjat dan sesuai untuk ditanam pada pagar. Ia boleh membiak daripada biji benih.
Timun mengandungi mineral besi, fosforus, kalsium, magnesium, vitamin A, B1,B2, niasin dan vitamin C. Pokok timun adalah herba semusim yang tumbuh menjalar dan memanjat serta mempunyai sulur paut yang kuat dan tidak bercabang. Ia adalah jenis monoecious yang berbunga dua jantina. Kini penulis dapati terdapat pelbagai jenis timun tetapi yang biasa ditanam ialah jenis tempatan iaitu berwarna hijau, jenis putih besar dan timun gherkin. Dari segi khasiat ubatan, timun dimakan sebagai ubat melawaskan buang air kecil, menyejukkan badan, merawat batu karang dalam hempedu dan sakit kerongkong, membaiki tekanan dan perjalanan darah. Ia boleh mengubati masalah kulit seperti terbakar atau melecur dan untuk melicinkan kulit dan awet muda. Aktiviti menanam timun dimulakan dengan persediaan tanah. Timun akan mengeluarkan hasil yang tinggi jika ditanam di tanah yang gembur berpasir dan mempunyai saliran yang baik. Tanah perlu dibajak dan digembur sedalam antara 20 dan 30 centimeter (cm) untuk memudahkan pertumbuhan akar. Batas disediakan menggunakan jentera atau secara manual mengikut saiz yang disyorkan, biasanya lebar batas antara satu dan 1.2 meter, tinggi batas 23 cm dan panjang batas mengikut kesesuaian tempat. Jarak antara batas ialah 0.6 meter. Batas di tambak dengan bahan ystem tahi ayam atau kompos antara satu dan tiga kg/meter persegi, bahan ini hendaklah digaulkan ke dalam tanah satu minggu sebelum menanam bagi membekalkan zat makanan kepada pokok.


Penanaman timun lazimnya memerlukan sistem para kerana tanaman ini melilit batang  dan kayu pancang. Jarak tanaman yang disyorkan ialah antara 50 dan 60 cm antara pokok dan 60 cm antara barisan. Biji benih boleh ditanam terus ke batas atau disemai dulu ditapak semaian sebelum di ubah ke ladang. Jika ditanam terus, gali lubang sedalam 2.5 cm dan letak dua atau tiga biji benih dengan menjarakkan dua sm antara satu sama lain, benih dikambus menggunakan tanah halus. Selepas seminggu anak benih yang bercambah, ia perlu dijarangkan dengan mencabut anak benih yang kurang segar, tidak sihat ,tinggalkan satu pokok sahaja setiap lubang penanaman bagi mengelakkan persaingan dari segi makanan, ruang, cahaya dan air. Tanah dikeliling anak benih dipadatkan supaya pokok lebih kuat dan akar tidak terdedah. Meletakkan sungkupan merupakan satu amalan meletak sungkupan pada batas penanaman amat digalakkan. Ia dapat mengurangkan pertumbuhan rumpai, mengekalkan kelembapan batas, mengurangkan hakisan. Terdapat banyak bahan yang boleh dijadikan sungkupan antaranya rumput kering, jerami padi kering atau sistem agrosheet. Teknologi terkini kebanyakan petani komersil suka menggunakan jenis sungkupan Plastik Silvershine yang memberikan banyak faedah lain serta mudah dipasang. Plastik ini dijual dikedai-kedai pertanian dengan harga yang berpatutan.


Penanaman timun memerlukan sistem para atau kerja penyediaan junjung. Timun adalah tanaman yang memerlukan junjung atau penyokong untuk membolehkan pokok memanjat dan memudahkan proses penuaian. Bagimana pun kini petani yang menanam timun dengan cara fertigasi gantung semakin popular dijalankan (Sila lihat foto disebelah). Menanam timun dengan cara fertigasi gantung lebih menguntungkan petani yang mempunyai kawasan tanah rendah sering banjir. Sistem memacang para secara tradisional dilakukan dengan memacakkan kayu berukuran 5 cm x 5 cm x 6.5 meter panjang setiap jarak tiga meter dimana ia kemudian perlu diregangkan dawai kasar. Dawai ini diikat antara puncak kayu beruti dan sambungkan tiang kayu yang bertentangan antara kedua hujung batas. Sebaiknya menggunakan paku untuk memasang dawai. Tali sistem diguna bagi membantu anak pokok memanjat bila telah berumur dua minggu. Tanaman timun merupakan tanaman yang memerlukan sistem pengairan samaada menanam diatas tanah atau sistem fertigasi. Pokok timun memerlukan air yang banyak untuk kelembapan yang cukup untuk pertumbuhan yang lebih subur, Penyiraman dibuat dua kali sehari di peringkat awal penanaman dan dikurangkan sekali sehari bila pokok besar dan sistem memungut hasil.  


Rumpai merupakan ancaman kepada aktiviti menanam timun dikawasan kebun. Pengawalan rumpai adalah penting untuk menjamin hasil yang tinggi, kawasan tanaman perlu sentiasa bersih bagi mengelakkan persaingan dalam mendapatkan zat makanan, air, cahaya dan ruang. Adanya rumpai juga menjadi perumah bagi perosak dan penyakit tanaman. Kerja merumpai perlu dilakukan setiap minggu. Pembajaan tanaman timun dijalankan mengikut jadual yang disyorkan, Baja yang disyorkan ialah 70 kg N:140 kg P2O5:200 kg K2O untuk setiap hektar tetapi ia bergantung pada keadaan tanah disesuatu kawasan dan juga sistem tanaman. Penggunaan baja NPK Hijau 15:15:15 untuk pembajaan pertama boleh di gunakan dengan kadar 30gm/pokok dan ditabur keliling dengan jarak 15-20 cm dari rumpun pokok serta dikambus. Pembajaan ulangan kedua dan ketiga boleh menggunakan NPK biru 12:12:7 dengan kadar 40-50 gm/pokok diselangkan setiap dua minggu. Kerja membuat pemangkasan tidak perlu dilakukan kecuali bila terdapat terlalu banyak daun atau dikenali sebagai mabuk daun. Penyusunan pucuk yang jatuh melempai bagaimana pun perlu dilakukan untuk tanaman timun fertigasi gantung. Tanaman timun perlukan kawalan perosak dan penyakit. Ini kerana antara serangga perosak yang biasa menyerang timun ialah kutu afid . kumbang daun dan lalat buah. Lazimnya serangan adalah pada bahagian daun, bunga dan buah muda. Jika serangan teruk menyebabkan daun rosak dan 'berkerekot' dan buah berubah bentuk, menjadi terbantut dan busuk. Daun dan buah yang diserang deengan perosak ini perlu dimusnahkan serta selalu menjaga kebersihan kawasan kebun. Dalam keadaan perlu lakukan semburan dengan jenis racun perosak yang sesuai. Penyakit yang biasa menyerang ialah kulapok berdebu. Penyakit ini akan menyebabkan tompok misilia putih dan berdebu pada permukaan daun, daun bertukar kekuningan,perang ,kering dan berkedut. Pokok yang diserang kurang berbuah dan kecil saiznya. Serangan kulapok downy ialah pada daun,terdapat bintik berbentuk bersiku siku ,berwarna hijau pucat kekuningan di atas daun, lapisan bawah diselaputi spora dan akhirnya menjadi perang dan mati, buah akan terbantut, pastikan daun yang diserang dimusnahkan. Jika serangan teruk sembur dengan racun kulat yang sesuai.


Tanaman timun yang dijaga dengan baik akan mula membuat pungutan hasil selepas sebulan lebih menanam. Lazimnya pokok timun akan mula berbunga selepas tiga atau empat minggu ditanam. Hasil dituai selepas 10 hari selepas proses pendebungaan berlaku atau lima dan enam minggu selepas ditanam. Timun dikutip sebelum ia cukup tua apabila mencapai panjang antara antara 15 dan 20 cm. Bergantung kepada varieti timun yang ditanam lazimnya buah muda mempunyai kulit kasar, warna hijau tua dan berkilat. Peringkat kematangan yang sesuai untuk pasaran ialah buah timun yang berwarna hijau gelap kepada hijau cerah dan berkilat. Tanda lain adalah sudah tiada duri pada buah dan benang sari dihujung buah telah tanggal. Mengenai kualiti buah timun lazimnya bentuk timun yang lurus dan sekata, warna ¾ bahagian keseluruhan permukaan berwarna hijau sederhana gelap, tekstur buah rapuh dan bebas dari penyakit, rosak dan kekotoran adalah baik. Buah timun dipetik dengan memotong tangkainya menggunakan gunting untuk mengelakkan batangnya rosak. Timun dmasukkan dalam bakul dan akan digredkan mengikut saiz dan kualiti. Timun segar ini kemudian perlu dihantar kepada pemborong atau terus dijual runcit mengikut sistem pemasaran. Harga ladang timun turun naik mengikut pasaran diantara RM0.50 - RM2.00 sekilogram. Semuga tulisan ini memberi info berguna kepada pembaca semua. Wasallam!!!..

MENANAM TIMUN...MUDAH SAJA...
ADA PENGETAHUAN...MODAL ADA...
KAEDAH TERBUKA...FERTIGASI JUA...
MEMBACA ARTIKEL... IA BERGUNA...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Kg Batu Talam, Raub,
Pahang, Malaysia.
(24 Syawal 1437H)
Melawat tanaman timun fertigasi gantung.

Wednesday, July 27, 2016

JENIS-JENIS BAJA IKAN

BAJA IKAN (Fish fertilizer) adalah satu jenis baja yang diproses daripada hasil laut seperti ikan, udang dan sebagainya. Penggunaan baja ikan di Malaysia adalah pada tahap masih kurang popular dikalangan petani tradisional kerana kurang pengetahuan dan faktor harga. Bagaimana pun baja ikan banyak digunakan dinegara maju dan negara jiran kerana keberkesanannya untuk menyuburkan tanah dan memberikan hasil tanaman yang berkualiti. Penulis buat tinjauan dikawasan dusun buah-buahan komersil dan kawasan sayuran daun komersil di beberapa negeri termasuk di Johor, Selangor, Pahang dan Perak terhadap penggunaan baja ikan dimana hasilnya mereka masih lagi kurang menggunakan baja ikan. Banyak kebaikan baja ikan digunaan terutama untuk menghasilkan produk Organik. Ini kerana baja ikan merupakan bahan asas utama yang penting dalam perladangan organik. Secara umumnya terdapat 3 jenis baja ikan yang dibuat dan dijual dipasaran. Ia disedia dan dijual dalam bentuk FISH MEAL, HYDROLYZED MEAL dan FISH EMULSION. Artikel subuh yang hening ini saya menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai jenis-jenis baja ikan yang dijual dan diedarkan dipasaran.



(1) Fish Meal:
Jenis baja Fish Meal selalunya dalam bentuk pepejal yang kering dan dihasilkan daripada ikan-ikan yang dikisar sehingga halus (Sila lihat foto diatas). Baja fish meal ini lazimnya mengandungi banyak unsur baja yang diperlukan tumbuhan. Selain unsur nutrien, ia juga tinggi kandungan mineral dan bahan organik yang menambah baik keadaan struktur tanah. Baja jenis ini adalah jenis 'Slow Release Fertilizer' dimana nutiren dalam baja ini akan terurai dan diambil oleh tanaman secara perlahan-lahan. Kandungan baja ini termasuk tulang-tulang ikan yang dikisar halus yang lazimnya berwarna coklat dan boleh digunakan terus atau disimpan dalam sistem bag atau kontena yang sesuai. Produk fish meal ini banyak dijual dipasaran atau dikedai pertanian berhampiran dan mendapatkan harganya. Anda oleh membuat fish meal sendiri jika ada ilmu pengetahuan, bahan mentah, peralatan memproses dan sebagainya.




(2) Hydrolyzed fish:

Hydrolyzed fish merupakan jenis baja ikan yang dihasilkan melalui proses separa hadam pada semua jenis iakan sisa dengan gunakan enzim (enzymes). Produk akhir selalunya seakan seperti baja kompos yang mengandungi dan menyediakan bahan nutrien yang mudah diserap akar tumbuhan dan juga mengandungi Asid Amino yang tidak terdapat dalam Baja jenis Fish Emulsion. Hydrolyzed fish fertilizer selalu dihasilkan dengan proses berlainan dimana biasanya bahan 100% ikan digunakan sebagai baja yang banyak unsur untuk diambil tanaman. Proses ini walau pun agal lama tetapi hasil baja yang didapati adalah kos ekfektif dan tahan lama. Baja ini juga sangat mesra alam kerana ia menggunakan bahan terbuang dan tidak ada bahan kini didalamnya.  Hydrolyzed fish fertilizers mengandungi unsur N-P-K yang sangat rendah (nitrogen, phosphorous and potassium) yang akhirnya adalah baik untuk tumbuhan dan tanah. Ia adalah bahan Tidak Toksik (Non Toxic) yang dipunyai oleh formula emulsi yang pekat. Dalam sesetangah produk mereka gunakan rumpai laut sebagai salah satu bahan campuran. Ia didakwa sangat baik untuk proses pertumbhanan tanaman sayuran (anaman makanan) dan juga tanaman kekal. Ia memproses bahan terbuang yang sepatutnya murah dan beri faedah. Selain daripada produk yang dijual komersil, bahan ini juga boleh dibuat sendiri jika ada bahan mentah, peralatan dan ilmu pengetahuan yang sesuai.    




(3) Fish Emulsion:
Baja Ikan jenis ini adalah jenis yang paling disyorkan untuk digunakan. Ia disediakan dan dijual dalam bentuk CECAIR atau pekatan yang boleh dan mudah diguna dan disimpan. Banyak jenama produk ini dipasaran (Sila lihat foto distas). Baja jenis ini sesuai digunakan dalam pertanian secara fertigasi dimana ia mudah larut dan dibancuh. Ia mat sesuai diguna sebagai 'Baja Foliar' atau sebagai baja semburan pada daun. Ia mengandungi sedikit bahan P dan K tetapi banyak unsur N yang sedia untuk digunakan tanaman. Selalunya jenis ini disediakan dalam 'larutan pekat' dalam botol plastik yang boleh dicairkan dengan membancuh bersama air. Sama ada disembur terus kpeada tanaman, dimasukkan dalam tangki Fertagasi atau disiram dipangkal pokok (soil drenching) ia amat mudah dilakukan. Menyediakan baja ini melalui 2 fasa penting iaitu Fasa penguraian komponen ikan dengan menggunakan enzim, proteases dan bahan kimia sesuai. Ini diikuti dengan memasak bahan mentah  agar semua minyak dan asid amino mudah diasingkan. Baja jenis ini sesuai diguna untuk banyak jenis tanaman makanan, sayur-sayuran dan kontan malahan juga untuk tanaman buah-buahan.  Semuga anda mendapat info bergina dari tulisan ini. Wasallam!... 

BAJA IKAN... BANYAK JENAMA...
3 JENIS... PEJAL, CECAIR ADA...
PETANI MALAYSIA..BAIK MENGGUNA...
BACA ARTIKEL... PUN DAH GEMBIRA..


By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Taman Cendana, Bandar Melaka,
Melaka, Malaysia.
(30 April 2016)

Tuesday, July 26, 2016

KANGKUNG - ADA TIPS MENANAM

TANAMAN KANGKONG (Impomea spp) merupakan sejenis tanaman dalam kategori sayur daun yang popular di negara kita untuk pasaran domestik. Kangkong tergolong dalam famili Convolvulaceae ddipercayai ia berasal dari India. Kangkong di negara Cina dikenali sebagai 'weng cai' yang juga merupakan satu jenis tanaman sayuran penting untuk kegunaan harian. Di negara barat pula, kangkung biasa disebut 'swamp cabbage', 'water convolvulus', atau 'water spinach'. Kangkung terbahagi kepada dua jenis iaitu Jenis Kangkung Darat (Impomea reptans) dan Jenis Kangkung Air (Impomea aquatica). Perbezaannya boleh dilihat pada bentuk daun, batang dan warna bunga. Kangkung darat berdaun tirus, batang berwarna hijau cerah dan bunga putih. Manakala kangkung air pula berdaun agak lebar, batang lebih besar dan hijau tua, bunga kemerah-merahan. Kangkung darat boleh ditanam di batas seperti sayur lain, tetapi kangkung air hanya hidup di kawasan yang berair. Keluasan tanaman kangkong di Malaysia seperti dilaporkan oleh Jabatan Pertanian Malaysia seluas 2,600 hektar dengan anggaran pengeluaran sebanyak 125,500 metrik tan yang bernilai RM 14.6 juta setahun (Laporan Tahunan Statistik Jabatan Petanian Malaysia 2013). Terdapat banyak khasiat pada kangkung, antaranya sebagai antitoksik, sedatif, antiradang, deuratik dan boleh menyejukkan badan. Kangkung juga kaya dengan vitamin A, B, C, protein, fosforus dan karoten. Artikel petang Ahad ini dalam "Anim Agro Technology" saya menulis mengenai tanaman kangkong dan beberapa tips serta asas teknologi penanamannya.

Tanaman kangkung menjanjikan satu pulangan lumayan jika diusahakan bersungguh-sungguh. Kangkung Air juga merupakan tanaman popular (Ipomoea aquatic) dibeberapa negara yang tumbuh secara semulajadi. Kangkong merupakan tanaman sayur yang singkat masa dari menyemai benih sehingga menuai hasi. Selain daripada kangkong ditanam secara komersil dikebun sayur, ianya juga amat sering ditanam dikawasan keliling rumah sama ada dalam bekas mengandungi media tanaman atau secara hidroponik. Kepada mereka yang ingin memulakan tanaman kangkung sendiri buat kali pertama dikawasan keliling rumah mesti mengenai jenis kangkong yang hendak ditanam. Perlu diketahui akan perbezaan antara keduanya yang boleh dilihat pada bentuk daun, batang dan warna bunga. Kangkung darat berdaun tirus, batang berwarna hijau cerah dan bunga putih. Manakala kangkung air pula berdaun agak lebar, batang lebih besar dan hijau tua, bunga kemerah-merahan. Kangkung darat boleh ditanam di batas seperti sayur lain, tetapi kangkung air hanya hidup di kawasan yang berair. Terdapat banyak khasiat pada kangkung, antaranya sebagai antitoksik, sedatif, antiradang, deuratik dan boleh menyejukkan badan. Kangkung juga kaya dengan vitamin A, B, C, protein, fosforus dan karoten.


Penanaman kangkung boleh dilakukan dengan dua kaedah iaitu bahan tanaman daripada biji benih (kangkung darat) dan vegetatif bagi kangkung air (keratan batang yang berakar). Sebaiknya adalah menggunakan biji benih kangkung dimana ianya tidak perlu disemai disebabkan saiznya yang besar. Biji kangkong mudah hidup jika ditanam terus di atas batas. Cara menanam kangkong sebaiknya dilakukan diatas batas. Batas ini perlu disediakan selebar satu meter (m) dan panjang bergantung pada kawasan dan tujuan penanaman. Semasa menggemburkan tanah sebaiknya ditambah bahan organik sebagai baja permulaan dan menyuburkan tanah. Dalam menanam kangkung dalam batas selebar 1 meter adalah ditanam dalam 4 barisan. Jarak tanaman yang disyorkan antara alur ialah 20 cm. Biji benih ditabur jarang-jarang di dalam alur.- Sungkupan seperti jerami padi diletakkan di permukaan batas yang terdedah untuk kawalan rumpai dan mengekalkan kelembapan tanah. Selepas menabur bebenih diantara 3 - 4 hari biasanya biji benih akan bercambah. Menyulam benih kangkung jarang dijalankan kecuali kadar peratus pencambahan adalah rendah. Kaedah menanam kangkung air pula dengan mengambil keratan batang kangkung yang telah berakar dipotong sepanjang antara 5-8 cm untuk dijadikan keratan benih. Kemudian cucuk batang kangkung yang berakar secara mencondong di kawasan tanah lembap dan berair. Amalkan penjagaan penanaman sayur kangkong agar tumbuh dengan baik dan subur.


Penanaman kangkong memerlukan air yang mencukupi dimana sistem pengairan dipasang. Kangkung perlu air yang agak banyak. Keadaan tanah yang kering dan cuaca terlalu panas tanpa air boleh membantutkan pertumbuhan kangkung sekali gus menurunkan kualitinya. Siram air pada tanaman kangkong setiap dua kali sehari pagi dan petang kecuali hari hujan. Pembajaan untuk tanaman kangkong perlu ikut pakej amalan teknologi yang dikeluarkan oleh Jabatan Pertanian. Semasa menyemai maka berikan sedikit baja organik telah digaul semasa penyediaan batas. Kadar itu cukup bagi kangkung yang baru membesar. Baja kedua akan diberi pada minggu kedua selepas menanam. Baja organik jenis butir boleh ditabur di sepanjang setiap alur. Anggaran antara 40 dan 50 gram bagi setiap pokok. Bagi yang suka menggunakan baja organik bentuk cecair, sembur baja sekali setiap minggu di waktu pagi. Kawalan rumpai perlu dilakukan dimana rumpai perlu sentiasa dikawal untuk elak persaingan (makanan dan cahaya) dengan tanaman. Kerja merumpai di atas batas secara manual, potong rumpai di luar batas dengan sabit atau mesin pemotong rumput. Aktiviti kawalan serangga perosak tanaman kangkong kurang kritikal. Kangkung jarang diserang oleh perosak atau penyakit. Namun sesekali ada juga serangga perosak yang mengganggu pertumbuhannya. Perosak seperti Kepinding dan penyakit karat putih biasa ditemui pada pokok kangkung. Cara kawalan dengan membuat penggiliran tanaman boleh membantu mengawal penyakit tersebut. Kepinding pula mudah dikutip dan dibuang.


Kangkung boleh di tuai antara 28 -35 hari lepas tanam dan dijual lingkungan RM 0.50 hingga RM 0.80 seklogram pada harga ladang. Kangkung yang dituai perlu dibersihkan dari tanah pada akar dan dimasukkan dalam baul buluh untuk dihantar segera ke pasaran. Pastikan TIDAK MENYEMBUR racun beberapa hari sebelum menuai untuk elakkan Sisabaki Racun. Bagi racun Dimethoate perlukan 7 hari, Racun Cymethrin (3 hari), Benomyl dan Mancozeb (14 hari) sebelum menuai. Kangkong juga mempunyai simptom kekurangan nutrien seperti kekurangan N, P,K dan zat pekit seperti Ca, Fe, Mo, Boron, Mn dan sebagainya yanng perlu dikaji dan diatasi masaalah ini. Penuaian kangkong adalah dengan mencabut menggunakan tangan keselurohan pokok bersama-sama akarnya untuk mengekalkan kesegarannya dan tahan lama. Bersihkan dari tanah dengan membasuh menggunakan air bersih dan ikat dengan lapisan kertas surat khabar dan masukkan dalam bakul buloh yang dilapis kertas sebelum dihantar kepasar. Secara fizikal kangkong perlu di tuai sebelum ianya mula menjalar atau pokok mulai tunduk (asalnya menegak). Potensi pengeluaran hasil kangkong sebanyak 10-15 metrik tan sehektar tetapi lazimnya sebanyak 12 mt sehektar di kebanyakan tempat di Malaysia.

TANAM KANGKONG... ADA CARA...
BENIH DISEMAI...BATAS DISEDIA...
SATU BULAN... DITUAI MASANYA...
DIBUAT SAYUR...ENAK RASANYA...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Kg Ulu Sungai,
Raub, Pahang,
Malaysia.
(23 Syawal 1437H)

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...