Support My Blog

Friday, July 22, 2016

MESTA - KUTIP BUAH

MESTA (Garcinia mangostana L) merupakan sejenis buah tropika yang agak kurang dikenali berbanding dengan buah manggis. Buah mesta sebenarnya hampir sama dengan buah manggis pada orang biasa dari segi pokoknya, daun, warna buah, isi buah, kemanisan dan sebagainya. Hanya mereka yang pakar dalam bidang pertanian dan petani yang mempunyai dan menanam pokok mesta sahaja akan kenal ciri-ciri perbezaan antara keduanya. Buah mesta berbentuk lonjong berbanding dengan buah manggis dan apa yang lebih penting adalah isinya kurang berbiji dan isinya lebih manis serta tahan lama disimpan selepas dituai dengan kaedah memetik dan aktiviti lepas tuai. Jika anda ingin memdapatkan info lebih mengenai mesta boleh baca artikel tulisan saya sebelum ini (Sila klik disini), (Sila klik disini), dan (Sila klik disini). Mesta pada penulis memang sangat superior daripada buah manggis dari segi kualiti, status harga dipasaran dan juga penerimaan oleh ramai pelanggan yang mengenali buah mesta. Mereka yang sudah kenal akan bush mesta ini memang akan lebih gemar dan memilih buah mesta ini berbanding dengan manggis. Penulis sendiri yang memang sudah kenal akan buah mesta ini yang telah lama popular di kawasan Pahang Tengah dan Pahang Barat semenjak lebih 15 tahun dulu. Kini penulis lebih arif tentang amalan agronomi tanaman mesta yang mana ia semakin luas penanamannya di sekitar Temerloh, Maran, Jerantut, Lipis dan beberapa daerah lagi. Laporan statistik Jabatan Pertanian Negeri Pahang 2014 menyatakan terdapat seluas 890 hektar tanaman manggis di Pahang dimana seluas 133 ha berada di Lipis, 95 ha di Raub, 87 ha di Jerantut, 62 ha di Temerloh, 60 ha di Bera, 48 ha di Bentong, 37 ha di Rompin, Kuantan 34 ha dan 32 ha di Maran. Daerah Pekan hanya ada seluas 3 ha dan Cameroon Highland tiada laporan tanaman mesta / manggis. Manggis yang ditanam secara selingan dengan tanaman lain atau pun ditanam secara monokrop ini semakin mendapat perhatian ramai orang dari kalangan petani, pemborong dan pengeksport kerana harga yang semakin baik dipasaran. Artikel tengah malam ini saya menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai penuaian buah mesta berdasarkan lawatan ke ladang mesta di Kg Paya Pasir, Maran, Pahang untuk dijadikan bahan rujukan. 


Usahawan bernama En Shuib menanam seluas 1.3 hektar tanaman mesta dimana kawasan kebun tersebut dahulunya adalah dari kawasan kebun getah yang dibeli dari penduduk tempatan. Pokok mesta beliau kini sedang berhasil semasa lawatan penulis kekebunnya pada 20 Julai 2016 untuk membuat tinjauan teknologi teknik memetik buah mesta dan menganalisa saluran pasaran buah istimewa ini. Penulis yang disambut baik Encik Shuib (Rakan lama semasa belajar di UPM) dimana beliau sebelumnya whatapps ada menyatakan tahun ini pokok mesta berbuah agak lebat. Ini menyebabkan ada beberapa dahan mesta yang terlalu lebat buahnya telah melempai atau patah. Encik Shuib berharap tahun ini akan memberikan hasil jualan mesta agak baik berbanding tahun 2015 dimana kutipan hasil rendah disebabkan kesan bencana banjir besar yang berlaku sebelumnya. Lawatan selama 2 jam ini memberi peluang penulis untuk melihat cara memetik buah mesta untuk menjamin kualiti buah mesta sesuai untuk pasaran domestik dan eksport (Sila lihat foto saya dengan En Shuib dikebunnya). Selain daripada dusun tanaman mesta, beliau mempunyai 15 ekar kebun kelapa sawit untuk diuruskannya. Amalan agronomi yang dilakukan dikebun mesta ini seperti membaja, kawalan rumpai, kawalan serangga perosak dijalankan mengikut syor yang diberikan oleh pelbagai pihak termasuk Jabatan Pertanian.  Pesara RISDA ini memang mempunyai minat amat tinggi dalam penanaman mesta dan merupakan salah seorang penanam mesta yang boleh dijadikan contoh.


Memetik buah mesta sama kaedahnya juga seperti memetik buah manggi. Aktiviti ini juga merupakan satu kerja yang amat perlukan kemahiran, kesabaran dan penuh minat. Ini kerana buah mesta dan manggis selalunya berbuah dihujung ranting atau dahan dicelah-celah helaian daun. Ketajaman mata melihat dan meninjau buah mesta yang sesuai dipetik memerlukan kemahiran dan ketepatan dari segi warna, saiz dan kedudukan tangkai buah. Buah Mesta kepunyaan En Shuib musim tahun ini akan mula mengutip hasil daripada pertengahan bulan Julai - Pertengahan Bulan September 2016 dimana ia mengambil masa selama 2 bulan untuk diselesaikan. Ini kerana buah mesta dari putik akan matang berperingkat-peringkat dan sesuai untuk dipetik mengikut tahap indeks kematangan.  Buah mesta yang telah masak akan gugur dan akan dikutip untuk dikumpulkan dalam bekas berlainan dengan buah mesta yang dipetik dipokok. Penulis dapati lazimnya buah mesta yang gugur sudah masak ranum dengan indek kematangan 5. Ia boleh tahan diantara 4-5 haro sebelum ianya membusuk. Bagaimana oun buah yang gugur diatas tanah perlu diperiksa dengan teliti dari segi kekotoran, kerosakkan, kualiti dan sebegainya sebelum ianya digredkan untuk dijual. Buah mesta indeks 3 atau indeks 4 boleh dipetik menggunakan buluh yang dipecahkan hujungnya untuk dibuat jejari. Jejaji yang terbuka dihujung akan memasukkan biji mesta dan dijolok agar buah masuk didalamnya.


Buah mesta ini akan dikumpulkan dalam bekas baldi satu per satu dan tidak boleh ianya jatuh ketanah. Buah mesta yang jatuh ketanah akan merosakkan struktur kulitnya menjadikan ia jatuh kuelitinya. Cara memetik atau menjolok atau memutar buah manggis perlu dilakukan dengan sabar dan teliti. Buah mesta dalam hujung jejari buluh akan dikeluarkan dengan cermat masuk dalam bekas (Sila lihat foto disebelah). Buah indeks 3 atau indeks 4 ini akan diasingkan mengikut warna kulit, saiz buah mesta, rupabentuk buah dan sama ada kulit hijau diatasnya masih segar atau telah kering. Lazimnya satu kali 'jolok' buah akan ambil satu biji mesta sahaja walau pun ruang jejari galah buluh tersebut mampu menampung lebih dari 3 biji sekali petik. Bagi mempastikan buah tahan lama dan lebih menarik ia akan digosok dengan kain dan disappu dengan minyak sehingga kulitnya berkilat. Kemudian buah mesta ini akan disusun dalam bekas plastik dengan susunan 3-4 biji dijual dengan harga RM10.00 satu bekas. Daripada harga ladang sekitar RM8.00 bagi gred A untuk 12 biji bagi sekilogram, produk akhir buah mesta dijual runcit adalah pendapatan sekitar RM30.00 - RM40.00 untuk kuantiti buah yang sama. Harga Ladang buah mesta dikebun adalah sebanyak RM8.00 sekilogram dimana En Shuib akan ambil bersih RM5.00 sekilogram dan RM2.00 adalah untuk upah petik dan kos pengangkutan oleh pemborong. Bagi Gred B pula lazimnya dijual pada harga ladang RM5.00. Sistem pajakan buah mesta dikebun ini mempastikan harga diberikan stabil sepanjang musim memetik hasil atau ada jaminan pasaran yang baik. Kepada pembaca yang belum pernah makan buah mesta boleh mendapatkannya daripada jualan runcit atau berhubung dengan En Shuib. Makan mesta yang juga digelar sebagai 'Ratu Buah' merupakan satu nikmat makan buah-buahan tempatan yang baik. Semuga anda mendapat info berguna dengan tulisan artikel ini. Wasallam!!!...


MUSIM DAH TIBA....BUAH MESTA...
DIMARAN... TERLETAK KEBUNNYA...
BERKUALITI...AGRONOMI DI JAGA...
HARGA BAIK... BERBALOI MAKANNYA...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Kg Paya Pasir, Maran,
Pahang, Malaysia.
(20 Syawal 1437H)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...