Support My Blog

Tuesday, July 19, 2016

TANAM CENDAWAN - POTENSI PENOREH GETAH

HARGA GETAH yang rendah menyebabkan penoreh getah menghadapi masaalah pendapatann yang rendah masa ini. Petang tadi dalam Berita Utama TV3 jam 8.00 diumumkan bahawa kerajaan akan memberi bantuan kewangan sebanyak RM500 kepada pekebun kecil getah dan juga penoreh getah yang berdaftar. Ini merupakan satu fenomena yang serius dimana beratus ribu pekebun kecil dan penoreh getah terjejas pendapatannya akibat harga gertah yang sangat rendah. Penurunan harga getah yang agak ketara dan juga penghasilan susu getah yang semakin berkurang telah memberi kesan begitu besar buat kebanyakan pekebun kecil. Rata-rata daripada mereka bergantung kepada sumber pendapatan hasil menoreh. Justeru itu kini pekebun getah terpaksa mencari alternatif lain bagi menambah sumber pendapatan. Dalam akhbar tempatan telah dilaporkan satu kejayaan meningkatkan pendapatan pekebun kecil getah dengan menanam cendawan. Sebagai pihak yang peka dengan masalah petani, Pegawai Pertanian Daerah Padang Terap, Kedah, Mohamad Yuzaidi Azmi, 35, telah berjaya menghasilkan inovasi teknologi untuk membantu petani di daerah tersebut. Cendawan Volvariella atau biasanya dipanggil cendawan jerami telah diperkenal kepada pekebun kecil sebagai tanaman alternatif bagi menambah pendapatan mereka. Sebelum ini, ia ditanam menggunakan jerami padi sebagai media tanaman, namun kini lebih mudah apabila tandan sawit yang hanya perlu diperap digunakan sebelum disusun untuk dijadikan batas penanaman. Beberapa pekebun kecil getah yang menjalankan projek ini gembira dengan pendapatan tambahan hasil tanaman cendawan dijalankan dengan bimbingan Jabatan Pertanian. Artikel malam ini saya menulis semula lapoan dalam "Anim Agro Technology" satu testimoni untyuk dijadikan bahan rujukan.

Penanaman cendawan volvariella atau pun jerami ini sebenarnya menggunakan konsep ringkas 3T iaitu Tanam, Tunggu dan Tuai menjadikan inovasi teknologi bagi tanaman ini lebih istimewa. Inovasi yang dimulakan pada tahun 2014 dengan tiga kali percubaan yang kemudiannya diperkenal kepada orang ramai itu menggunakan adaptasi daripada teknologi yang digunakan di Thailand dan Indonesia. Melalui teknologi ini petani tidak memerlukan kos yang tinggi selain proses pengurusannya yang lebih mudah jika hendak dibandingkan dengan jenis cendawan lain. Bukan itu sahaja, teknologi yang diamalkan ini juga dapat memaksimumkan penggunaan tanah di kebun getah. Inovasi yang telah diolah dan ditambah baik ini menggunakan semula bahan buangan dari ladang kelapa sawit iaitu tandan sawit yang dijadikan batas untuk menanam cendawan (Sila lihat foto disebelah). Hasil tandan yang telah digunakan pula boleh dijadikan baja kompos. Tandan sawit yang disusun menjadi batas di ruang antara pokok getah mulanya akan disiram dan ditutup dengan plastik hitam selama sembilan hari. Dalam tempoh itu, batas tersebut akan disiram setiap tiga hari.

Dari segi teknologi, selepas beberapa hari cendawan akan mula tumbuh dan hasilnya boleh bertahan hingga sebulan. Setiap batas mampu menghasilkan sehingga dua kilogram cendawan sehari (Sila lihat foto disebelah). Anggaran sekiranya pekebun mempunyai 20 batas tandan sawit, ia mampu menjana pendapatan sehingga RM2,700 sebulan. Apa yang lebih istimewa menurut peserta projek adalah cendawan Volvariella ini 100 peratus organik kerana tidak menggunakan sebarang baja mahupun racun serangga. Inovasi teknologi ini juga telah berjaya memenangi tempat pertama bagi kategori awam dan johan keseluruhan dalam Konvensyen Pertandingan Inovasi Inklusif Jabatan Pertanian dan Peringkat Nasional pada tahun 2015. Terkini adalah dimana Jabatan Pertanian juga memperoleh bantuan dana daripada Agensi Nuklear Malaysia bagi membina makmal khas untuk cendawan Volvariella. Sebagai agen pembangunan pertanian, Jabatan Pertanian juga kini turut menyediakan perkhidmatan membekalkan benih cendawan Volvariella kepada pekebun-pekebun yang berminat untuk terlibat dengan penanaman cendawan berkenaan. Mereka kini berhasrat untuk membantu pekebun dengan membina bengkel pemprosesan khas untuk cendawan ini. Mereka juga turut membantu pekebun dari segi pemasaran dengan menghasilkan produk hiliran menggunakan cendawan ini seperti rendang dan serunding cendawan Volvariella.

Produk berasaskan cendawan ini akan dipelbagaikan serta dikomersialkan. Kini dibuat perancangan untuk menubuhkan persatuan khas untuk petani yang mengusahakan projek tanaman cendawan ini. Sehingga kini jumlah petani yang mengusahakan cendawan jenis itu di negeri Kedah adalah seramai 30 orang. Selain itu, negeri lain seperti Johor, Kuantan, Terengganu, Perak, Negeri Sembilan dan Pahang juga telah mula menjalankan projek tanaman cendawan Volvariella. Bagi mereka yang berminat untuk menanam cendawan Volvariella tetapi tidak mempunyai kawasan lapang atau tanah luas, boleh menggunakan sistem rak atau sistem bertingkat. Sistem tanaman cendawan tersebut juga boleh dilakukan bagi mereka yang tinggal di kawasan bandar dan mempunyai ruang terhad untuk bertani. Salah seorang pekebun cendawan Volvariella, Embun Shafie, 60, berkata, tanaman tersebut sangat senang untuk dijaga dan diuruskan selain tidak memerlukan modal yang besar. “Saya mula menanam cendawan ini bermula bulan Mei 2015 dan kini sudah memasuki pusingan kesembilan. “Dalam masa sehari, saya berjaya mengutip sehingga 19 kilogram cendawan dan menjualnya terus kepada penduduk di sekitar kampung,” katanya. Menurutnya lagi, walaupun tanaman itu senang diuruskan tetapi halangan tetap ada apabila berlaku banjir kilat yang telah menenggelamkan kesemua batas cendawannya sehingga musnah. Walau bagaimanapun, apa yang terjadi tidak mematahkan semangatnya apabila kakitangan Jabatan Pertanian banyak membantu untuk memulihkan semula projek cendawan Volvariella yang diusahakannya. Dalam pada itu, seorang lagi pekebun, Anizaton Nanyan, 49, berkata, cendawan Volvariella memiliki banyak khasiat berbanding cendawan jenis lain. Menurutnya, cendawan istimewa ini kaya dengan protein dan merupakan sejenis cendawan yang paling tinggi kandungan vitamin serta mineral. “Selain itu, ia juga bebas karbohidrat dan sangat sesuai bagi mereka yang sedang mengamalkan diet atau ingin menjaga bentuk badan. “Bukan itu sahaja, kandungan antioksidan yang tinggi pada cendawan ini dapat melindungi kita daripada penyakit berkaitan radikal bebas,” katanya. Menurut Anizaton lagi, cendawan jenis ini hanya mampu bertahan selama dua hari sahaja dan bagi mengekalkan serta memastikan ia mampu bertahan selama beberapa bulan, cendawan ini perlu dicelur dan disimpan dalam bekas berair di dalam peti ais. “Terdapat pelbagai jenis masakan yang boleh dihasilkan bagi menikmati keenakan cendawan ini. Rasanya yang seakan-akan bebola ikan tetapi mempunyai tekstur yang lebih pejal dan padat serta lebih manis sesuai untuk dimasak menjadi masakan barat mahupun tradisional,” katanya. Semuga testimoni ini dapat memberi info berguna kepada anda semua. Wasallam!!!.
PEKEBUN GETAH... KURANG DUITNYA...
GETAH MURAH... SELURUH DUNIA...
TANAM CENDAWAN.... VOLVARIELLA...
TESTIMONI AKHBAR...SUDAH NYATA...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
TH Hotel and Convention Center,
Alor Setar, Kedah,
Malaysia.
(8 Syawal 1437H)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...