Support My Blog

Monday, June 21, 2021

GUNAKAN BENIH KELAPA SAWIT BERKUALITI

TANAMAN KELAPA SAWIT
(Elaeis guineensis) di Malaysia merupakan salah satu industri sektor pertanian yang nemberikan sumbangan besar kepada KDNK negara dan melibatkan jutaan pekerja dipelbagai peringkat. Penulis blog merujuak kepada MPOB yang menyatakan dimana tahap pengeluaran produk sawit di Malaysia sememangnya telah mencapai tahap yang memberangsangkan dan telah dieksport ke merata tempat di seluruh dunia. Hasil sawit negara diakui amat berkualiti sehingga mendapat kepercayaan pengguna baik di peringkat nasional mahu pun antarabangsa. Hasil keluaran sawit yang berkualiti sudah pastinya datang daripada baka yang baik, bak kata pepatah Melayu 'Benih yang baik jatuh ke laut menjadi pulau'. Malaysia telah menghasilkan baka sawit yang berkualiti tinggi hasil usaha kerajaan didalam membangunkan penyelidikan dan pembangunan (R&D) dalam industri ini. Bahan tanaman iaitu anak benih yang digunakan merupakan salah satu faktor penting dalam menentukan hasil sawit. Menanam anak benih berkualiti serta mempraktikkan pengurusan dan amalan agronomi yang baik akhirnya dapat mengeluarkan hasil Buah Tandan Segar (BTS) yang tinggi. Oleh itu, pemilihan anak benih yang berkualiti amat penting bagi menjamin hasil yang maksimum. Dalam pada itu terdapat beberapa faktur didaam proses pengeluaran anakbenih sawit  berkualiti. Sebenanrya pengeluaran anak benih sawit yang berkualiti ditentukan oleh dua faktor utama iaitu pertama adalah faktor penggunaan biji benih DxP terpilih yang diperoleh daripada pengeluar yang mematuhi pensijilan Institut Piawaian dan Penyelidikan Perindustrian Malaysia (SIRIM) dan dilesenkan oleh MPOB. Pengeluar biji benih berkualiti adalah seperti Applied Agricultural Resources Sdn Bhd (AAR), IOI Corporation Berhad, Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA), Sime Darby, EPA Management Sdn Bhd (EPA), Risda Semaian dan Lanskap Sdn Bhd (RSSB), United Plantations Berhad (UP) dan lain-lain lagi. Faktor kedua adalah pengurusan tapak semaian yang baik bagi memastikan pertumbuhan anak benih yang subur dan sihat. Semua anak benih yang tidak normal atau tidak tumbuh dengan sempurna mesti ditakai, manakala anak benih berkualiti dan berpotensi mengeluarkan hasil yang tinggi dipilih untuk ditanam di ladang. Artikel petang Sabtu ini sambil meninton filem Hindustean di TV Awsome (Channel123) saya menulis dalam blog "Anim Agro Technology" mengenai penggunaan anakbenih kelapa sawit yang berkualti untuk dijadikan bahan rujukan pembaca semua.

Perkara paling penting mengenai perkara ini ada memahami akan Genetik Kelapa Sawit. Di Malaysia sejak dulu baka sawit yang banyak ditanam adalah daripada jenis tenera (Sila lihat rajah disebelah). Tenera adalah hasil dari kacukan bunga betina daripada induk betina (Dura) dengan debunga daripada induk jantan (Pisifera). Berasaskan kepada ketebalan tempurung, jenis dura mempunyai tempurung tebal, tenera tempurung nipis manakala pisifera tiada tempurung. Kacukan ini akan menghasilkan 100% tenera. Buah tenera mempunyai tempurung yang nipis iaitu kurang daripada 3 mm, terdapat gelang serabut di sekeliling tempurung, nisbah mesokarp dengan buah yang tinggi iaitu di antara 60% hingga 90% dan nisbah minyak dengan berat tandan sebanyak 22% hingga 24%. Paling penting didalam menghasilkan benih tenera adalah adanya pokok induk (mother plants). Di Malaysia kajian biak baka kelapa sawit untuk menghasilkan pokok induk dura dan pisifera lazimnya mengambil masa yang panjang iaitu sekitar 15-20 tahun. Tumpuan penyelidikan dalam biak baka bagi mendapatkan ciri-ciri sesuatu pokok induk bagi pokok sawit merangkumi beberapa faktor penting jenis tersebut menghasilkan minyak yang tinggi, pokoknya tumbuh dengan kadar ketinggian yang rendah dan sebaiknya matang awal. Ciri lain yang dicari adalah varieti ini mempunyai kesesuaian pada persekitaran dan tanah yang berbeza, mempunyai ciri ketahanan penyakit serta perosak dan juga ciri lain termasuk dalam minyak sawit seperti nilai iodin dan sebagainya. Induk sawit dura dan sawit pisifera untuk pengeluaran biji benih DxP telah dipilih daripada petak penyelidikan. Pemilihan pokok induk serta ujian yang dijalankan perlulah mematuhi piawaian yang telah ditetapkan oleh pihak SIRIM. Untuk memilih induk sebaiknya bilangan data dan berat tandan setiap pokok hendaklah direkodkan. Selain itu mesti dilakukan analisis komponen tandan seperti kadar perahan minyak, kandungan isirung dan lain-lain komponen buah juga perlu dilakukan untuk setiap pokok.

Proses membiakbaka kelapa sawit dilakukan dengan konsep penting iaitu  Pendebungaan Terkawal (Controlled Pollination Process). Pendebungaan adalah proses pemindahan debunga (benih jantan) kepada telur (benih betina) untuk persenyawaan (Sila lihat foto disebelah). Biasanya proses 'pendebungaan berbantu' adalah proses dimana pendebungaan yang dibantu oleh manusia tanpa melakukan pengasingan bunga betina dan bunga jantan. Selain itu juga bunga betina juga tidak terhindar daripada menerima debunga daripada kawasan sekitar. Pendebungaan terkawal pula adalah proses pendebungaan yang dibantu oleh manusia dengan memastikan bahawa hanya debunga jantan yang dikehendaki sahaja yang diterima oleh bunga betina. Pendebungaan terkawal ini dilakukan dalam program biak baka untuk mendapatkan progeni (anak) daripada sumber yang sahih di mana gabungan di antara induk jantan dan induk betina adalah diketahui. Tujuan utama pendebungaan terkawal dilakukan di dalam proses pengeluaran biji benih adalah untuk mendapatkan biji benih DxP yang tulen serta bermutu tinggi. Ini kerana induk jantan (pisifera) dan induk betina (dura) dalam kacukan DxP telah melalui peringkat pemilihan dan ujian kesesuaian di peringkat ladang. Bagi pengeluaran biji benih DxP, bilangan induk dura diperlukan lebih banyak berbanding dengan induk pisifera.

Menyediakan biji benih cambah merupakan satu proses yang juga penting. Biasanya tandan yang telah disenyawakan akan masak selepas lima hingga enam bulan. Biji benih DxP yang terhasil daripada kacukan ini masih lagi berbentuk dura. Embrionya sahaja iaitu bahagian yang akan bercambah dan menjadi pokok membawa pewarisan tenera. Tandan yang masak akan dituai dan dibawa ke makmal untuk proses penghasilan biji cambah. Pelbagai proses dilakukan sebelum biji cambah dihasilkan di makmal. Proses yang terlibat adalah peleraian anak spika, pembersihan (deperikarpa), rendaman, pengeringan dan rawatan haba. Pemeriksaan kandungan kelembapan dan jangkitan kulat perlu dilakukan setiap hari dengan teliti. Kawalan mutu yang ketat dan konsisten ke atas aktiviti pemprosesan pengeluaran biji benih amat penting untuk memastikan biji benih yang dihasilkan itu bermutu tinggi. Biji benih akan mula bercambah seawal 10-14 hari dan akan berterusan sehingga lapan minggu. Kadar percambahan pula boleh mencapai sehingga 90%. Biji benih yang sihat, tidak pecah atau retak dipilih untuk dipasarkan.

Anakbenih sawit perlu melalui proses penyemaian di tapak semaian sebelum sesuai ditanam. Pengurusan dan amalan di tapak semaian sawit yang baik juga merupakan faktor kedua yang penting menyumbang ke arah penghasilan anak benih sawit yang berkualiti. Amalan pengurusan tapak semaian sawit yang dititikberatkan adalah termasuk pemilihan tapak, teknik penanaman, sumber tanah, penyiraman, pembajaan, pengawalan perosak serta penyakit dan juga penakaian yang sempurna. Objektif utama sesuatu pembinaan tapak semaian sawit adalah bertujuan untuk menyediakan anak benih sawit yang sihat dan berkualiti daripada baka yang terpilih serta akan memberikan mutu penjagaan dan pengurusan agronomi yang terbaik dengan kos yang efektif. Semaian sawit yang baik juga akan memudahkan proses pemilihan anak benih sawit yang berkualiti di tapak semaian sebelum dipindahkan ke ladang dan semaian ini akan mengurangkan risiko dari kematian anak benih sawit di peringkat ladang. Terdapat beberapa kriteria penting yang perlu diberi perhatian semasa membuat pemilihan kawasan untuk membina tapak semaian sawit. Tapak semaian baik perlu mempunyai kriteria seperti kawasan tersebut mestilah rata dan tidak mudah banjir dan semestinya mempunyai sumber air yang bersih dan selalu berterusan. Pilih kawasan yang mempunyai sumber tanah yang sesuai, lokasi terbuka dan tidak ada kawasan ternaung seperti di bawah pokok-pokok besar. Disyorkan juga agar kawasan tapak semaian tersebut mudah perhubungan dan pengangkutan. Penyelenggaraan tapak semaian sawit juga amat dititikberatkan bagi menjamin kualiti anak benih sawit. Aktiviti seperti penyiraman, pembajaan, kawalan rumpai, kawalan penyakit dan perosak serta penakaian perlulah ia dirancang, direkod dan dijalankan dengan teliti dan sempurna. Ini bagi mengelakkan daripada berlakunya kecacatan pada pertumbuhan anak benih sawit tersebut.

Anakbenih kelapa sawit yang berkualiti mesti melalui Proses Penakaian (Culling). Penakaian merupakan aktiviti yang paling mustahak dan kritikal. Ianya adalah proses mengenal pasti dan memusnahkan anak benih sawit yang tidak normal. Ia memerlukan kepakaran dan pengalaman yang tinggi serta perlu dilakukan dengan sempurna tanpa sebarang toleransi terhadap benih yang perlu dibuang atau dimusnahkan. Antara kepentingan dan keutamaan aktiviti penakaian adalah seperti bertujuan untuk memastikan anak benih sawit yang subur sahaja ditanam di ladang dan juga anakbenih tidak normal cuma menghasilkan 0%-59% BTS sahaja jika dibandingkan dengan pokok normal serta bagi memaksimumkan potensi hasil BTS di ladang. Pemilihan dan penakaian mesti dibuat mengikut beberapa peringkat seperti pada Peringkat Pertama dimana anakbenih sawit berumur 3-4 bulan selepas ditanam dan Peringkat Kedua dimana anakbenih kelapa sawit berumur 9-14 bulan selepas ditanam Anak benih yang tidak normal ini hendaklah dimusnahkan menggunakan parang dan kemudian dibuang di tempat yang telah pun dikhaskan. Ini bertujuan untuk mengelakkan berlakunya anak benih tidak normal dijual kepada pekebun kecil. Selain itu benih yang diserang penyakit atau perosak serta tercedera teruk akibat semburan racun juga perlu ditakai atau mesti dimusnahkan. Amalan baik dalam pengurusan tapak semaian sawit perlu dipastikan pelaksanaannya. Syarat yang dikenakan ke atas lesen kategori tapak semaian sawit turut memastikan bahawa pemohon mempunyai kelayakan dan kemudahan asas yang cukup untuk mengendalikan sebuah tapak semaian yang berkualiti. MPOB juga telah mewajibkan bahawa semua pengusaha tapak semaian untuk mempunyai sijil Code of Good Nursery Practice for Oil Palm Nurseries (CoPN). Sijil ini memberi jaminan bahawa tapak semaian tersebut membekalkan anak benih sawit yang bermutu serta berkualiti tinggi daripada baka yang tulen dan terpilih. Pemilihan anak benih adalah kritikal. Anak benih bermutu berumur 10-12 bulan yang melalui proses penakaian yang sempurna saja layak ditanam di ladang. Maka tidak hairanlah, penggunaan anak benih berkualiti menjadi pemangkin kepada peningkatan produktiviti. Secara purata dimana umur jangka hayat pokok sawit yang ekonomik untuk pengeluaran BTS di ladang adalah sehingga 25 tahun. Justeru itu bagi menjamin penghasilan yang maksimum, penggunaan anak benih sawit yang berkualiti sangat penting selain amalan pertanian yang baik di peringkat ladang. Peningkatan produktiviti akan memberi pulangan modal kepada pengusaha sawit. Kualiti yang terjamin dapat meningkatkan pendapatan pengusaha sawit sekali gus meningkatkan pendapatan ekonomi negara kerana Malaysia mempunyai pasaran yang luas bagi produk berasaskan sawit. Sehubungan itu, peningkatan produktiviti sawit adalah penting bagi menjamin industri sawit di Malaysia terus berkembang maju pada masa hadapan. Semuga artikel ini memberi info berguna kepada semua pembaca blog anim agro technology kali ini. Wasallam!!...
BENIH BERKUALITI... PERLU DISEDIA...
TENERA... KACUKAN DURA-PISIFERA...
DIDALAM SEMAIAN... MESTI DIJAGA...
U,UR 12 BULAN ... SESUAI TANAMNYA...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Precint 11, Putrajaya,
WP Putrajaya,
Malaysia.
(10 Zulkaedah 1442H).

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...