Support My Blog

Monday, September 27, 2010

JAGUNG


Jagung (Zea mays Linn) merupakan sejenis tanaman singkat masa dari keluarga Poaceae yang popular ditanam diseluroh dunia. Jagung adalah salah satu tanaman bijirin yang ditanam secara meluas di USA (38% pengeluaran didunia) dan beberapa negara pengeluar utama lain adalah seperti China, Brazil, Mexico, Argentina ,India, Pakistan dan Perancis dengan jumlah pengeluaran negara-negara tersebut  sebanyak 9.8 - 10.0 juta metrik tan setahun. Pokok jagung adalah tanaman yang sangat responsif dengan keadaan tanah, cuaca, pembajaan, serangan perosak dan penyakit. Artikel Anim Agro Technology kali ini penulis berbicara berkaitan teknologi tanaman jagung dalam perspektif di Malaysia berdasarkan pengalaman penulis dalam bidang pengembangan pertanian hampir 30 tahun.

Jagung adalah tanaman yang mempunyai batang menegak mempunyai ruas-ruas dan mampu mencapai ketinggian sehingga 1-3 meter. Terdapat lebih dari 50,000 kultivar jagung diseluruh dunia dan sebahagian besar daripadanya telah pun dikomersialkan untuk pengeluaran bijirin. Jagung adalah tanaman semusim yang mempunyai jangkahayat antara 80-150 hari bergantung kepada kultivar. Daun jagung berwarna hijau yang keluar dari batang yang panjang, urat daun selari , mempunyai upeh dan tumbuh menegak dengan permukaan yang yang licin dan ada yang berserabut. Jagung mempunyai bunga Jantan dan betina pada satu pokok (monoecious) dimana bunga jantan dibahagian atas dan bunga betina (Lihat foto) dibahagian bawah. Pendebungaan kebanyakkan oleh faktur angin dan sedikit serangga. Jambak bunga betina akan kering apabila telah lengkap pendebungaan. Buah jagung merupakan tongkol buah yang mempunyai empulur dan barisan biji kernel yang genap sama ada 12 atau 18 baris. Jagung sayur pula dipetik sebelum biji terbentuk yang panjangnya 1-3 cm dan juga dipanggil 'baby corn'. Baby corn mendapat pasaran yang baik untuk pasaran segar di Malaysia dan di peringkat global baby corn dalam tin keluaran Thailand, Taiwan dan China paling banyak di ekspot keseluruh dunia.

Jagung manis
Tanaman jagung di Malaysia adalah untuk tujuan makan segar dan bukan untuk bijirin. Masa saya kecil dulu cuma ada jagung 'Flint' dan 'Metro' sahaja yang rasanya tawar tetapi kini hanya jagung manis yang mendapat pasaran dengan baik. Keluasan tanaman jagung di Malaysia seluas 6,340 hektar dengan penghasilan sebanyak 35,200 metrik tan pada tahun 2009. Kawasan tanaman utama jagung di Malaysia adalah di Johor (876 ha), Selangor (542 ha), Pahang (350 ha) dan juga negeri2 seperti Kelantan, Sabah dan Perak. Daerah Pontian di Johor merupakan kawasan paling luas ditanam jagung sluas 473 ha diikuti Daerah Kudat (390 ha). Hampir 75% jagung segar untuk kegunaan domestik dan bakinya di ekspot ke Singapura dan Brunei. Terdapat beberapa petani di Pontian yang menanam secara komersial khusus untuk pasaran ke Singapura.

Benih jagung bermutu Hibrid F1.
Jagung ditanam menggunakan biji benih yang telah dirawat dengan racun kulat ( Thiram atau capstan) dan racun serangga diletakkan 2 biji satu lubang memerlukan sebanyak 20 kg benih sehektar. Bagi kawasan tanah rendah perlu disediakan batas untuk elakkan pokok terendam. Saliran dan sistem pengairan perlu di sediakan dengan sempurna dikebun jagung. Jenis Jagung Manis Hybrid menjadi pilihan petani (benih diimpot dari luar negara). Jabatan Pertanian satu-satunya pembekal benih jagung manis TSS (Thai Super Sweet) paling murah di Malaysia. Kultivar lain yang ada di malaysia adalah seperti Suwan 1, Suwan 3, Manis Madu, Mas madu dan TSS. Masa kini Syarikat Sin Sin Huat mengedarkan Benih Jagung Manis 1000 dan Benih Jagung Manis 1001 sementara Syarikat LecKat mengedarkan benih Jagung 926 dan 928. Benih Jagung manis 388 juga di gunakan ramai petani. Jarak tanaman jagung di Malaysia ialah 0.75 m x 0.25 m memberikan sebanyak 40,000 pokok sehektar. Tanaman padat jagung mampu mencapai sehingga 60,000 pokok sehektar. Penanaman diatas tanah rata dengan saliran baik tidak perlukan batas.

Pembajaan jagung dengan baja organik sebanyak 4-5 mt/ha dan juga pengapuran sebanyak 3 mt/ha bagi untuk menaikkan pH tanah. Jagung perlu di baja dengan Urea sebanyak 130 kg/ha pada 15HLT dan 130 kg/ha pada 35 HLT selepas dibaja dengan baja buah NPK 12:12:17:2 sebanyak 500kg/ha pada 1 HLT. Baja urea sebanyak 150 kg/ha membantu pembentukkan daun pada peringkat awal penanaman. Petani di Johor menggunakan baja foliar untuk meningkatkan hasil. Kawalan rumpai perlu dijalankan dari pringkat awal penanaman untuk mempastikan hasil yang baik dengan semburan racun pra-cambah dn racun rumpai. Kebanyakan penanam jagung komersil mengamalkan sistem tanaman mengikut "Kalendar Pengeluaran Matrik". Ini untuk mempastikan pengeluaran jagung sentiasa ada untuk pasaran tempatan terutama pasar malam.

Antara perosak tanaman jagung adalah seperti Ulat Pengorek Batang, Ulat Pengorek Lengai Jagung, Ulat Ratus Daun dan juga Aphids. Serangga ini perlu dikawal dengan menggunakan bahan tanaman tahan serangan, Giliran tanaman dan penggunaan racun serangga. Tanaman jagung mempunyai beberapa penyakit seperti Penyakit Reput Smut (Ustilago maydis), Penyakit Virus Jagung, Penyakit Karat (Puccinia spp), Penyakit Reput Batang dan juga Penyakit Reput Buah dan kebanyakkannya tidak serious. Kawalan menggunakan kaedah Amalan Pertanian Baik dan juga racun kimia. Hakikatnya dengan pengurusan yang baik jagung merupakan jenis tanaman yang paling selamat kerana kurang menggunakan racun.

Hasil tanaman jagung di Malaysia adalah untuk kegunaan segar dengan dimakan secara merebus, di bakar atau di kukus untuk dapatkan khasiat kesegarannya. Terdapat juga usahawan yang meleraikan tongkol jagung untuk dijadukan 'cup corn' yang dicampur dengan majerin, serbuk perasa dan susu dijual di Hypermarket dengan harga RM 2.00 - RM3.00 satu cawan. Jagung ketiak atau di panggil "Baby Corn" dikutip untuk dijadikan sayuran sebagai sayuran capcai dan sebagainya yang dijual dengan harga RM 1.00 - RM 2.00 untuk 5-10 biji. Batang jagung di proses untuk dibuat silage bagi makanan ternakan lembu atau dibuat baja kompos.

Jagung segar untuk di kukus.
Pengalaman penulis mendapati kos pengeluaran nagi sehektar tanaman jagung manis di Tangkak, Muar adalah sebanyak RM 11,778.00 termasuk kos input, kos buruh dan kos operasi. Kajian mendapati penghasilan jagung sebanyak 40,000 tongkol dijual dengan harga RM 0.50 setongkol memberikan pendapatan Kasar sebanyak RM 20,000 sehektar. Pendapatan bersih tanaman jagung sebanyak RM 7,685 sehektar bagi tempoh 3 bulan. Analisa penulis mendapati kos pengeluaran setongkol jagung di Tangkak ialah RM 0.31 setongkol dan pulangan setiap RM 1.00 dilaburkan memberikan pulangan sebanyak RM 1.62 iaitu aktiviti yang menguntungkan.


TANAM JAGUNG....DIMAKAN SEGAR....
SISTEM TANAMAN...PERLU DITUKAR....
DISERANG PENYAKIT....JUMPA PAKAR...
JENIS HYBRID....DITANAM TAK SUKAR...
LEPAS TANAM...BATANG JANGAN DIBAKAR...
DI BUAT SILAGE...MAKANAN LEMBU KA!

Related article :
1. Baby Corn (Klik disini)
2. Harga benih Jagung dan Sayuran (Klik disini)
3. Benih Kelapa Matag (Klik disini)
4. Bioteknologi (Klik disini)

By,
M Anem
Makan Jagung Manis
Ptjya 11
Malaysia

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...