Support My Blog

Monday, November 1, 2021

PERTANIAN TEPAT - FAKTA DI MEDIA

TEKNOLOGI PERTANIAN TEPAT
  (Precision Farming technology) merupakan satu teknologi yang dilaporkan s
emakin diberi perhatian dalam bidang pertanian terutamanya untuk tujuan pengeluaran bahan makanan. 'Pertanian tepat' atau dalam perkataan lain dinamakan sebagai 'Pertanian persis' (bahasa Inggeris - 'precision agriculture') merupakan satu konsep pertanian moden yang membolehkan petani mampu dalam mengawal aktiviti-aktiviti berkaitan seperti teknik pembajaan, sistem pengairan, kawalan makhluk perosak dan sebagainya melalui penggunaan teknologi. Penulis fikir dengan kata lain istilah 'pertanian tepat' adalah melakukan dengan betul, pada tempat yang betul, dengan kaedah yang betul dan pada masa yang betul. Pertanian tepat termasuk kaedah pengurusan pertanian atau kaedah penternakan baru yang disepadukan dengan teknologi maklumat merangkumi beberapa faktor asas termasuk sistem maklumat geografi dan tanah, pembajaan dan juga makanan haiwan, imunisasi dan racun perosak, sistem hasil dan sebagainya demi untuk meningkatkan produktiviti dan kecekapan, sekali gus ianya memberikan pulangan yang lumayan. Dalam usaha untuk beberapa penerangan pertanian tepat memerlukan teknologi baru seperti GPS, alat pengesan, satelit dan sistem teknologi maklumat yang dapat membantu petani memahami dan menilai keadaan seperti isu masa yang baik untuk menanam benih, berapa jumlah baja yang betul, kemampuan untuk meramal jumlah tuaian hasil tanaman secara tepat. Kesan daripada amalan ini akan membolehkan petani dapat menghasilkan pengeluaran hasil aktiviti peranian dengan lebih produktif dan berkualiti seterusnya dapat memberikan pulangan yang maksimum. Pertanian Tepat lazimnya akan juga dikaitkan dengan terminologi sebagai pertanian moden dimana penggunaan segala sumber dilaksanakan bersama. Antaranya seperti teknologi penggunaan jentera dan juga teknologi dalam industri tanaman padi dimana ia didapati banyak membantu meningkatkan kualiti dan hasil padi. Artikel pada subuh ini dari Melaka sata menulis dalam "Anim Agro Technology" iaitu artikel ke 6,716 mengenai teknologi pertanian tepat seperti yang dilaporkan oleh media untuk dijadikan bahan rujukkan dan bacaan.

Dijangka p
ada tahun 2050 populasi dunia akan meningkat sebanyak 9.8 bilion dan keperluan makanan dunia pada waktu itu dijangka akan meningkat sehingga 70 peratus. Dikhabarkan kaedah pertanian sedia ada sekarang tidak mampu untuk memenuhi peningkatan keperluan makanan ini. Di Malaysia juga dimana negara masih perlu mengimport sebanyak 30 peratus bekalan beras untuk mencukupkan akan keperluan tempatan. Sekiranya berlaku bencana alam yang tidak diingini seperti serangan belalang juta di India dan banjir di Vietnam maka ianya boleh menjejaskan bekalan import beras negara. Teknologi yang hangat diperkatakan untuk mengatasi masalah ini ialah kaedah Pertanian Tepat yang tercetus daripada fenomena Internet Kebendaan (IoT). Teknologi ini juga telah digolongkan dalam “teknologi yang menimbulkan gangguan” kerana ia akan merubah norma proses biasa kepada norma yang baharu. Kaedah Pertanian Tepat ini menggunakan semua gabungan teknologi untuk mengukur dengan tepat bagi setiap proses pertanian bagi memastikan setiap sumber digunakan dengan optimum. Ini bermakna sumber-sumber yang digunakan adalah dalam keadaan berkadar boleh ubah dan bukannya berkadaran tetap. Teknologi yang digunakan termasuklah GPS, sensor, dron, kecerdasan buatan (AI) dan robotik. Sebagai contoh dron digunakan untuk mengambil gambar imej tanaman dan imej ini boleh dianalisis untuk mengesan penyakit pada pokok, kadar klorofil, kadar kelembapan tanah dan kewujudan serangga perosak. Dengan mengetahui kadar kelembapan tanah, petani dapat mengetahui kadar air yang diperlukan oleh tanaman mereka. Begitu juga dengan kadar klorofil dan penyakit pokok. Baja dan racun dapat digunakan dengan sewajarnya di kawasan yang memerlukan. Contoh penggunaan sensor pula boleh mengukur tahap keasidan dan kealkalian tanah. Teknologi-teknologi ini dapat melakukan kerja manual dengan lebih cepat dan tepat. Projek perintis teknologi Pertanian Tepat oleh MARDI di kawasan sawah padi di Kedah dan Perak menunjukkan penjimatan penggunaan baja sehingga 25 peratus sehektar dan kos operasi buruh dapat dikurangkan sehingga 50%. Ia juga telah dapat mengoptimumkan pengeluaran hasil padi. Pertanian Tepat ini dapat membantu masalah global yang dihadapi oleh para petani. Ianya juga termasuklah kekurangan sumber air, variasi cuaca yang tidak menentu, kos tenaga yang semakin meningkat dan kekurangan sumber tanah. Terdapat juga desakan dari masyarakat yang inginkan proses penghasilan produk pertanian menjadi lebih telus. Dengan kaedah Pertanian Tepat, semua data-data yang diperlukan untuk menyelesaikan permasalahan ini dapat dijana secara automatik. Penggunaan air yang berlebihan dapat dikurangkan dan hasil dapat ditingkatkan walaupun menggunakan luas kawasan yang sama. Kecanggihan teknologi membolehkan serangga yang menyerang tanaman dapat dikesan dari jarak ketinggian 200 kaki dan hanya kawasan yang terjejas sahaja yang perlu disembur dengan racun serangga perosak. Data-data tersedia ini dapat dihidangkan kepada pengguna pada masa nyata untuk menunjukkan hasil pertanian adalah mengikuti piawaian keselamatan yang ditetapkan.

Teknologi Pertanian Tepat ini hadir kerana wujudnya gabungan teknologi yang menyokong antara satu sama lain. Kecerdasan buatan dapat menganalisa imej-imej yang diambil oleh dron bagi membantu sistem membuat keputusan. Imej-imej ini pula disokong dengan data-data dari sensor yang dipasang di ladang pertanian atau ternakan. Dron dan jentera pembajak pula dapat bergerak dengan cekap menggunakan teknologi GPS. Kesemuanya ini pula dihubungkan melalui Internet dan membolehkan pemilik ladang membuat kawalan di telefon bimbit. Gabungan teknologi ini membolehkan satu sistem automasi dilakukan daripada fasa pertama pengemburan tanah sehingga ke fasa akhir di mana tuaian dilakukan. Apa pun di Malaysia, pertanian tepat masih belum diterokai sepenuhnya oleh kebanyakan petani. Kebanyakan usaha adalah di peringkat penyelidikan ataupun projek perintis yang dijalankan agensi kerajaan seperti MARDI, MIMOS dan universiti tempatan. Terdapat juga agensi swasta yang menawarkan kepakaran mereka untuk tujuan implementasi teknologi pertanian tepat. Buat masa ini untuk melihat dron-dron berterbangan memantau tanaman ataupun menabur baja di ladang-ladang di dalam negara kita belum lagi menjadi norma yang biasa (Sila lihat foto disebelah). Antara faktor penghalang ialah kos permulaan yang besar dan kita juga masih kekurangan pakar di dalam bidang ini. Teknologi yang ada di luar negara pula selain mahal ia juga perlu disesuaikan terlebih dahulu dengan tanaman di Malaysia seperti kelapa sawit, getah, padi dan nanas. Kita perlu mengutamakan pembangunan kepakaran di dalam negara daripada mengadaptasi teknologi luar kerana terdapat pelbagai pemboleh ubah yang berbeza dalam praktis pertanian kita yang mungkin hanya boleh difahami dengan lebih baik oleh warga tempatan.

Teknologi pertanian tepat dengan gunakan jentera pertanian seperti trektor bagi
 meratakan plot tanah sawah yang dilengkapi peralatan serta komponen penentuan indeks perataan tanah adalah penting (Sila lihat foto disebelah). Ini kerana produktiviti padi di Malaysia dikatakan masih jauh daripada sasaran menjadikan pengeluaran padi dalam negara sehingga 90 peratus (SSL sekarang hanya 70% sahaja). Penting untuk meningkatkan hasil padi negara bagi menjamin bekalan makanan mencukupi setiap masa terutama pada waktu kecemasan seperti bencana alam. Kini ada teknologi yang dihasilkan berupaya mengurangkan kos input dan kos operasi di samping mengekalkan hasil tinggi. Penggunaan teknologi di kawasan estet padi berskala besar dijangka mampu menarik golongan petani muda. Ianya berikutan kekurangan tenaga kerja mahir dalam kalangan golongan muda tidak berminat turut menjadi masalah dalam sektor penanaman padi. Apa pun Pertanian tepat adalah teknologi berasaskan maklumat dalam sistem pengurusan pertanian yang menggabungkan amalan pertanian yang sesuai bagi mengurus kebolehubahan di ladang untuk memastikan keuntungan yang maksimum dan meningkatkan produktiviti serta pengeluaran pertanian mampan. Penggunaan teknologi dalam pengeluaran padi dapat meningkat dan menggalakkan operasi komersil berskala besar sama ada dalam bentuk sistem perladangan berkelompok atau estet. Mekanisasi dan automasi pelbagai peringkat dalam teknologi ini juga dapat mengurangkan penggunaan tenaga buruh serta mesra alam dengan jangkaan faedah melalui keuntungan yang optimum oleh sebab pengurangan input ladang dan penjimatan kos operasi. Dalam pakej pertanian tepat ini, tiga teknologi yang dibangunkan adalah sistem penentuan indeks perataan tanah secara automatik, sistem penaburan benih secara kadar boleh ubah dan sistem pembajaan kadar boleh ubah. Pegawai Penyelidik MARDI, Dr Badril Abu Bakar mendakwa pengurusan variabiliti kerataan tanah amat penting dalam bidang pertanian tepat berikutan penyediaan tanah sawah sebelum proses menabur benih adalah perkara yang amat kritikal dan langkah pertama dalam proses penanaman padi. Perataan tanah memastikan plot sawah yang rata dan maklumat indeks perataan tanah yang diperoleh akan diguna oleh sistem penaburan benih padi secara kadar boleh ubah dan kaedah ini dapat memastikan penapakan tanaman yang sekata. Kawasan tanah sawah yang tidak rata menyebabkan masalah kepada pengairan dan boleh menjejaskan pertumbuhan tanaman dan hasilnya. Aktiviti penggunaan sistem penentuan indeks perataan tanah secara automatik dapat menyelesaikan masalah ini dan mengurangkan masa untuk menabur benih padi. Teknik penentuan indeks perataan tanah terdiri dua komponen utama iaitu penderia ketinggian tanah dan modul perisian pemetaan tanah. Teknik ini menghasilkan peta ketinggian tanah digital yang boleh digunakan bagi penaburan benih padi secara kadar boleh ubah. Komponen penderia ketinggian tanah yang terdiri daripada dua bahagian. Bahagian pertama dipasang di atas traktor yang mempunyai sebuah antena pengesan kedudukan global (GPS) yang dipasang di atas implemen sikat pacu, satu modul pemprosesan yang terletak di kokpit traktor dan satu antena radio rujukan masa hakiki (RTK) yang dipasang di bumbung traktor. Bahagian kedua terdiri satu stesen rujukan yang mempunyai GPS dan radio RTK yang terletak di luar petak sawah. Pengambilan data dilakukan pada pembajakan terakhir dalam keadaan tanah sawah basah melebihi tanah tepu. Apabila traktor dengan sikat pacu sedang digunakan untuk pembajakan, antena GPS di atas implemen sikat pacu mengambil maklumat ketinggian tanah setiap 2.5 meter. Maklumat ini dihantar ke modul pemprosesan di mana pembetulan lokasi dilakukan untuk mendapatkan bacaan yang lebih tepat. Data yang diambil diproses menggunakan perisian sistem maklumat geografi sumber terbuka QGIS untuk menapis dan menyesuaikan data ketinggian. Data itu kemudian digunakan untuk menentukan indeks kerataan tanah. Akhirnya, peta penaburan benih dihasilkan berdasarkan indeks tadi. Sistem ini mampu menghasilkan kejituan bacaan sehingga lebih kurang satu sentimeter (cm) pada paksi menegak dan lebih kurang 0.5 cm pada paksi mendatar.  Indeks perataan lebih kurang lima cm (LI5) digunakan sebagai rujukan untuk menghasilkan peta rawatan bagi penaburan biji benih secara kadar boleh ubah. Data ketinggian yang dikumpul semasa pembajakan digunakan dalam komponen kedua sistem ini iaitu modul perisian pemetaan tanah. Modul perisian pemetaan tanah membahagikan data ketinggian yang diambil kepada tiga kumpulan iaitu data ketinggian yang berada dalam lingkungan +5 cm daripada purata keseluruhan data diletakkan dalam kumpulan rata. Data ketinggian yang melebihi lima cm daripada purata dikategorikan sebagai tinggi, manakala data ketinggian yang kurang lima cm daripada purata keseluruhan data dikategorikan sebagai rendah. Dalam peta ketinggian tanah, warna hijau menandakan kawasan tanah rata, warna biru menunjukkan kawasan tanah yang rendah, manakala merah menandakan kawasan tanah tinggi.  Peta rawatan yang dijana akan digunakan oleh sistem penaburan biji benih secara kadar boleh ubah untuk menabur benih padi. Dilaporkan sistem penaburan benih secara kadar boleh ubah menggunakan teknologi terdiri daripada traktor berkelegaan tinggi, aplikasi boleh ubah, sistem kawalan GPS dan komputer ladang.

Peta rawatan penaburan benih yang dihasilkan digunakan oleh penabur kadar boleh ubah yang dipasang pada traktor berkelegaan tinggi untuk menabur biji benih di lapangan mengikut kadar yang ditentukan dalam peta rawatan. 
Peta rawatan yang terhasil dibahagikan kepada tiga kategori iaitu tinggi, rendah dan rata serta akan dimuat naik ke sistem penabur kadar boleh ubah di mana ia dilengkapi dengan penabur cakera berputar yang mampu menabur kadar benih dengan tepat mengikut peta rawatan yang dihasilkan. Penaburan benih secara kadar boleh ubah ini akan memastikan pertumbuhan pokok padi lebih sekata di seluruh petak sawah. Sistem ini akan membantu untuk mendapatkan penapakan pokok yang baik dan seragam dan juga dapat menjamin peningkatan hasil padi. Sementara itu, pesawah juga masih mengamalkan pembajaan secara tabur sekata (blanket spreading) dengan menggunakan penabur bermotor jenis galas. Lazimnya aktiviti pembajaan dilakukan oleh mereka sendiri atau buruh yang diupah. Kebanyakan mereka melakukan pembajaan tanpa mengetahui tahap kesuburan tanah dan keadaan pokok. Parameter pokok seperti kehijauan daun, kepadatan pokok dan saiz kanopi tidak diambil kira dalam penaburan secara konvensional mengakibatkan penerimaan baja yang tidak seimbang mengikut kepadatan pokok, kandungan nitrogen dan saiz kanopi. Amalan ini menyebabkan kawasan yang mempunyai kepadatan pokok yang tinggi menerima kadar baja sama dengan kawasan yang tidak padat menyebabkan kadar pembajaan yang tidak seimbang, selain mengakibatkan pembaziran input baja, pencemaran alam sekitar dan turut membabitkan kos tinggi. Asas kepada pembangunan teknologi pembajaan kadar boleh ubah adalah berpandukan model Indeks Kawasan Hijau (GAI). Ini adalah kaedah yang mudah untuk mengira baja bagi keperluan teknologi ini. Ia berasaskan kepada beberapa parameter yang diambil dari sawah padi iaitu kandungan nitrogen (N) dalam pokok, saiz kanopi dan populasi pokok. Model ini mempunyai tiga komponen utama iaitu komponen tumbesaran kanopi pokok, komponen membuat keputusan dan komponen pengiraan baja.  Komponen tumbesaran pokok dibangunkan khusus bagi menentukan saiz kanopi pokok yang perlu ditanam (crop set), yang mana bergantung pada tanah dan keadaan cuaca. Komponen membuat keputusan pula bertujuan untuk menghasilkan suatu koefisi keputusan bagi menentukan pembajaan mengikut kesuburan kawasan dan kepadatan pokok. Komponen pengiraan baja pula bertujuan untuk mengira baja pada kadar boleh ubah dengan bantuan koefisi keputusan. Teknologi pembajaan secara kadar boleh ubah mengambil kira tahap kesuburan tanah dan keadaan pokok. Jika aktiviti pembajaan dijalankan pada masa yang betul, kadar yang betul dan pada lokasi yang tepat atau zon spesifik.
Penemuan utama adalah penghasilan model GAI yang mana algoritma model itu diaplikasikan dalam perisian pengiraan baja yang berpandukan data imej yang diambil dari pesawat tanpa pemandu (UAV). Semua data, imej dan peta akan disimpan ke dalam laman sesawang yang dibangunkan. Data itu sangat penting untuk kajian bagi musim akan datang dan boleh dijadikan rujukan. Ia juga adalah sumber bagi Big Data dalam pertanian tepat padi. Kelebihan pakej teknologi pertanian tepat ini membolehkan perataan tanah yang cekap dan penaburan benih menggunakan mesin secara kadar boleh ubah bagi memastikan penapakan pokok padi yang baik dan seragam. Selain itu sistem pembajaan secara kadar boleh ubah dapat menjimatkan penggunaan baja antara 15 hingga 25 peratus sehektar, manakala aktiviti penaburan benih dan pembajaan melalui teknologi sama mampu mengurangkan tenaga buruh sehingga 50 peratus. Semuga artikel ini membero info berguna kepada semua pembaca blog anim agro technology kali ini. Wasllam !!!.

PERTANIAN TEPAT... APA BENDANYA...
GUNAKAN IOT .... DIGAMBUNG SAMA...
RATAKAN TANAH... DENGEN JENTERA...
PRODUKTIVITI PADI... TINGGI DIJANGKA...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Taman Cendana, Persimpangan Bikut Beruang,
Bandaraya Melaka Bersejarah,
Bandar Melaka, Melaka,
Malaysia.
(22 Rabiulakhir 1443H).

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...