Support My Blog

Friday, September 14, 2018

RUMPUT DAN RUMPAI - APA PERLU DI KETAHUI (Part 1)

RUMPAI (Weeds) merupakan spesies tumbuhan renek sama ada ia rendah atau tinggi dan sama ada ia tumbuh menegak, melata mahupun yang menjalar bebas dan muncul di tempat-tempat yang tidak dimaksudkan untuknya. Rumpai pada penulis blog bukanlah tanaman yang sengaja ditanam tetapi muncul secara sendiri atau dibawa oleh pelbagai vektor (pembawa) tanpa disedari dimana ia menganggu petani. Semasa belajar di universiti dahulu, subjek rumpai menjadi salah satuu subjek kegemaran penulis blog kerana ia melibatkan banyak aktiviti mengutip banyak jenis rumpai untuk dijadikan koleksi. Umumnya rumpai boleh dibahagikan kepada tiga kategori iaitu RUMPAI PEROSAK, RUMPAI BERSIFAT NEUTERAL dan RUMPAI BERGUNA. Namun biasanya kualiti sifat-sifat rumpai ini akan berubah mengikut keadaan tertentu. Kesan pertumbuhan rumpai menganggu pertumbuhan tanaman kerana ia bersaing dengan tanaman dari segi sumber makanan, ruang tumbuh, persaingan cahaya matahari dan paling tidak baik kerana ia boleh menjadi perumah kepada patogen yang menyebabkan serangan perosak dan penyakit. Tanaman kelapa sawit (Elaies guineensis) yang dikatakan lasak pun akan terencat pertumbuhannya jika banyak rumpai tumbuh disekelilingnya apa lagi kalau ada selaput tunggul yang melilitnya (Sila lihat foto diatas). Paling teruk dimana jika ada jenis rumpai yang agresif dan invasif dimana ia juga mampu menghalang pertumbuhan tanaman serta ianya sukar dikawal seperti rumput israel, rumput miang mexico dan beberapa lagi. Memang semua orang sama ada orang awam, pegawai, penduduk perumahan awam, pengusaha pertanian dan juutera perlu mengenali dan mengetahui ilmu mengenai rumpai. Artikel 2 part pada subuh ini saya menulis dalam ''Anim Agro Technology'' mengenai rumput dan rumpai yang perlu dijadikan bahan bacaan semua.

Tumbuhan rumput dan rumpai ini banyak diperkatan sepanjang masa terutama dinegara-negara tropika yang menerima cahaya matahari dan hujan yng banyak sepanjang tahun. Berbeza dengan negara empat musim dimana rumpi akan musnah pada musim sejuk bersalji dan akan tumbuh semula pada musim-musim lain berikutnya. Penjualan bahan kimia kawalan rumpai hanya banyak laku di kawasan tropika dimana rumpai tumbuh sepanjang tahun. Bagaimana pun antara kebaikan dan kegunaan rumpai memang tidak boleh di elakkan. Peranan rumpai paling utama adalah untuk mengurangkan hakisan. Ini boleh dilihat apabila rumpai ini digalakkan atau dibiarkan tumbuh dengan bebas di kawasan-kawasan yang terdedah atau diancam hakisan. Ia juga kerapkali dibiar tumbuh untuk membaik pulihkan kawasan yang telah diteroka. Jenis rumput seperti Acroceras munronum (rumput rintik rapat) yang dibiarkan tumbuh dilereng-lereng bukit sepanjang lebuh raya. Rumput Kemarau (Ischaemum muticum) juga didakwa berfungsi sebagai penghalang hakisan tanah jika dibiarkan tumbuh dikawasan yang mudah berlaku hakisan (Sila anda lihat foto disebelah). Rumpai juga adalai dijadikan makanan haiwan ternakan seperti lembu, kambing, kuda dan babi. Rumpai yang digunakan ialah seperti Paspalum dilatatum, rumput yang penting untuk ternakan yang terdapat di kawasan pantai Australia. Rumpai laut seperti Luminaria dan Fucus juga dijadikan makanan haiwan ternakan. Malah di Ireland dan Scotland terdapat industri pemprosesan rumpai untuk tujuan ini. Memang tidak pelik dikatakan rumpai digunakan untuk makanan untuk manusia. Ini boleh dilihat apabila manusia menyedari bahawa beberapa rumpai laut terutama alga merah dan alga perang boleh dijadikan sebahagian daripada diet. Namun cara memakannya juga berbeza-beza bergantung kepada kebudayaan masing-masing. Rumpai laut ini boleh dimakan mentah, dimasak atau dikeringkan. Tumbuhan ini merupakan sumber yang baik bagi beberapa vitamin dan mineral selain mempunyai kandungan protein yang tinggi. Ini seperti rumpai Gracilaria coronopifolio (Jenis Alga Merah) dan Entermorha prolifera (Jenis Alga Hijau).

Sementara itu penting diketahui akan apa dia keburukan rumpai kepada manusia. Ini kerana rumpai melalui takrifnya sendiri cukup sudah ia mengambarkan sebagai suatu tumbuhan yang banyak memberi masalah, kerugian atau memberi kesan buruk kepada manusia dan juga haiwan. Kesan-kesan buruk ini mungkin dapat dilihat secara langsung atau tidak langsung. Walau bagaimanapun penulis blog akan terus menerangkan secara umum keburukan akibat rumpai ini. Perbincangan tidak akan hanya berkisar kepada kerugian yang dialami dalam sektor pertanian sahaja tetapi akan dibincangkan juga keburukannya kepada aspek-aspek lain. Kerugian yang ditimbulkan oleh rumpai sukar dinilaikan terutama kerugian yang wujud secara tidak langsung. Apa yang perlu diketahui asasnya keburukan akibat rumpai adalah seperti kesan buruk rumpai keatas bidang pertanian, kesan rumpai kepada manusia dan haiwan, kesan rumpai keatas pengaliran air sungai dan kolam, dan lain-lain kesan lagi. Rumpai menimbulkan kesan yang sangat jelas ke atas pengeluaran hasil pertanian. Ini kerana rumpai biasanya lebih agresif dan dapat menyesuaikan pertumbuhannya walaupun dalam keadaan yang kurang baik. Sifat begini biasanya dipunyai oleh kebanyakan spesies rumpai yang hidup di dalam kawasan pertanian. Selain daripada sifat yang dinyatakan itu, rumpai juga mempunyai beberapa sifat lain yang agak istimewa berbanding dengan tanaman. Kesemua sifat ini akan menolong rumpai untuk bersaing dengan tanaman. Rumpai lebih berjaya dalam persaingan terhadap nutrien, air, karbon dioksida, dan cahaya jika dibandingkan dengan tanaman. Ini juga menyebabkan kemerosotan hasil dalam kebanyakan kawasan pertanian. Kajian mendapati beberapa  tanaman tertentu ada rumpai menyebabkan peratus kemerosotan yang sangat tinggi. Ini seperti rumput sambau (Echinochloa crus-galli) yang tumbuh dalam sawah dan bersaing dengan pokok-pokok padi dan akan mengakibatkan pengeluaran padi merosot. Rumpai selain daripada mengurangkan hasil ia juga akan turut menjejaskan kualiti tanaman disamping meningkatkan kos pengeluaran. Ini kerana biji atau serpihan daripada rumpai sering bercampur dengan hasil tuaian. Ini sering berlaku semasa menuai tanaman bijirin dengan menggunakan alat jentera. Bijirin yang tercemar dengan biji-biji rumpai mempunyai harga pasaran yang rendah. Contohnya, padi yang bercampur dengan biji-biji rumpai akan dikelaskan dengan gred yang rendah. Malah bahagian-bahagian tanaman yang bercampur dengan biji-biji rumpai akan menyebabkan kerosakan semasa penyimpanan. Serpihan rumpai biasanya lembap dan semasa pereputan haba akan terbebas dan kulat pada serpihan rumpai boleh menjangkiti tanaman dan merosakkannya. Semua ini akan menjejaskan kualiti tanaman.

Dalam pada itu rumpai turut meningkatkan kos pengeluaran kerana penggunaan buruh dan racun rumpai bagi mengawal sistem pertumbuhannya. Merumput rumpai perlu dilakukan terutama dalam peringkat tertentu dalam masa pertumbuhan tanaman. Kerja meracun perlu dilakukan mengikut jadual bagi mengawal pertumbuhan rumpai (Sila lihat foto disebelah). Misalnya dalam tanaman kacang tanah, rumpai perlu sentiasa dijaga rapi dalam tempoh 4 minggu pertama penanaman kerana pertumbuhan rumpai akan menganggu pertumbuhan kacang tanah. Jika ia tidak dijaga rapi dalam tempoh ini, maka pertumbuhan pokok akan terencat. Ini akan merugikan petani. Difahamkan jika tikus merupakan pembawa penyakit sampar dan gemar hidup di kawasan belukar. Kuman penyakit ini iaitu sejenis bakteria Yarsinia pestis yang berjangkit daripada seekor tikius kepad seekor tikus yang lain oleh sejenis kutu Xenopsylla cheopsis. Apabila tikus ini mati maka kutu tikus pembawa ini boleh menjangkiti manusia dan menyebabkan penyakit tersebut. Biasanya rumpai yang hidup berhampiran air, misalnya Eichhornia crassipes menjadi tempat yang sesuai kepada tikus pembawa kuman tersebut. Terdapat banyak lagi contoh yang menunjukkan rumpai boleh menjadi habitat kepada vektor. Misalnya lalat Stomoxys dan Tabanus hidup di kawasan belukar dan membawaTrypanosoma evansi yang boleh menyebabkan penyakit surra pada lembu. Sila baca sambungan artikel ini pada Part 2 untuk keseluruhan penulisan. Semuga anda mendapat info berguna membaca blog anim agro technology kali ini. Wasallam!!!...

MENGENAL RUMPAI.... PERLU DI BACA...
ADA KEBAIKAN... ANCAMAN PASTINYA...
MENGURANGKAN HASIL... KESANNYA...
PERLU DIBASMI... ITU AMALAN BIASA...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Taman Cendana, Persimpangan Bukit Beruag,
Bandar Melaka, Melaka,
Malaysia.
(1 Muharram 1449H).

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...