Support My Blog

Monday, September 10, 2018

SELSEMA BURUNG - APA DIA?

Apa itu SELSEMA BURUNG (Bird Flu)?. Sebenarnya  Selesema burung ialah penyakit berjangkit yang boleh menjejaskan kesihatan dan menyebabkan kematian terutama kepada burung-burung domestik seperti ayam, angsa, itik dan ayam belanda. Selesema burung disebabkan oleh virus avian influenza (AI) yang biasanya boleh berjangkit kepada burung, kadang kala kepada babi dan jarang-jarang kepada kuda, anjing laut, ikan paus, manusia dan juga lain-lain binatang. Terdapat banyak jenis subtypes virus AI, misalnya H5N1. Dari mana datangnya virus ini sebenarnya didapati dimana virus ini telah wujud lebih dari satu abad yang lalu dan wujud secara semulajadi dikalangan burung-burung liar yang selalunya tidak mengalami penyakit kesan dari virus tersebut. Pada ketika ini selesema burung membimbangkan kerana virus subtype H5N1 yang mula-mula dikesan pada tahun 1997 tersebar dikalangan burung-burung di seluruh dunia pada masa kini. Semenjak 2003 ianya telah merebak di Negara-negara Asia dan Eropah yang menyebabkan kadar kematian yang tinggi pada ayam itik dan burung liar. Lebih 200 juta ekor ayam itik dan burung liar telah mati atau dibunuh disebabkan oleh virus ini semenjak tahun 1997. Virus H5N1 juga boleh berjangkit kepada manusia dalam keadaan tertentu. Virus H5N1 kini telah dilaporkan ada di beberapa Negara tetapi pada masa ini aktif di China, Cambodia, Laos, Vietnam, Thailand, Indonesia, Kazakhstan, Mongolia, Russia, Turkey, Romania dan lain-lain negara. Malaysia dilaporkan bebas dari penyakit selesema burung sehingga Ogos 2004 apabila kes pertama dikesan di Kelantan. Penyakit ini telah berjaya di benteras dengan segera dan Malaysia diiktiraf bebas dari penyakit ini pada 5 Januari 2005. Kes terpencil sekali lagi dilaporkan kira-kira satu tahun kemudian di Kuala Lumpur yang sedang dibasmikan. Tanda-tanda penyakit selesema burung pada unggas adalah seperti berlaku murung dan kurang selera, batuk, bersin dan lelehan dari hidung serta bengkak di kepala, balung, pial dan kaki haiwaan tersebut. Selain itu antara tanda lain diman pad balung, pial dan kaki berubah warna kepada ungu, berlaku cirit berwarna kehijauan, trend pengeluaran telur jatuh berkurangan dan dalam kes yang teruk kematian mengejut berlaku dan kadar kematian tinggi (Sila lihat foto diatas). Artikel subuh ini dalam ''Anim Agro Technology'' saya paparkan mengenai kes Selsema Burung untuk dijadikan bahan rujukkan.

Daripada banayak penerangan diberikan oleh pakar mengenai Selsema Burung sebenarnya kita perlu tahu bagaimana penyakit ini merebak. Ia merebak melalui beberapa cara termasuk daripada burung tmembawa virus yang berhijrah dan juga pergerakan unggas yang terjangkit. Unggas mendapat jangkitan melalui virus yang terdapat dalam najis, air liur dan lelehan dari hidung unggas yang terjangkit. Unggas boleh dijangkiti apabila tersentuh dengan benda-benda ini, dengan unggas yang mati, makanan, air, peralatan, kenderaan dan lain-lain benda yang tercemar. Dalam pada itu ada dilaporkan risiko jangkitan berlaku kepada manusia. Ini kerana virus avian influenza biasanya tidak akan menjangkiti manusia tetapi orang boleh terjangkit apabila sentiasa bersentuhan rapat dengan unggas terjangkit dan najisnya. Hanya 140 kes yang dilaporkan pada manusia, kebanyakkannya di Asia Tenggara (Vietnam, Thailand, Indonesia, Cambodia dan China) dengan 70 kematian, walaupun jangkitan ini tersebar luas pada unggas dan burung liar. Mereka yang dikategorikan sebagai berisiko adalah orang-orang yang bekerja dikalangan burung dan ayam itik, di rumah sembelih dan yang mengendali daging mentah dan baja (najis ayam) menghadapi risiko jangkitan. Langkah-langkah pencegahan ialah dengan mengguna pakaian perlindungan yang lengkap (sarung tangan, gogal, kasut but, topeng, cover-all) atau sentiasa membasuh tangan semasa mengendalikannya dan mengendalikan daging mentah dan produk dengan bersih. Persoalan sama ada adalah daging ayam yang ada sekarang selamat untuk dimakan dilaporkan dimana daging ayam itik dan telur yang dikeluarkan secara komersial di negara ini adalah selamat untuk dimakan. Kes yang terjadi di Negara kita adalah terhad kepada ayam yang lepas bebas. Malah tidak ada bukti bahawa dengan memakan daging ayam itik dan telur boleh menyebabkan penyakit selesema burung, namun adalah wajar daging dan telur dimasak secukupnya. Produk mentah perlu dikendalikan secara bersih terutama di tempat berlakunya wabak.

Banyak langkah kawalan yang dilakukan oleh kerajaan kita dimana semenjak akhir tahun 2003, disebabkan ancaman dari burung hijrah dan penyeludupan di sempadan maka bancian atau survelan di negara kita diperhebatkan untuk mengesan dan membasmi virus secepat mungkin. Kawalan sempadan dan pemeriksaan veterinar di pintu masuk diperkukuhkan. Dalam pada itu Jabatan Perkhidmatan Verterinar (JPV) selain dari memperketatkan pintu-pintu masuk negara strategi kawalan penyakit ialah untuk mengesan virus AI dengan cepat dan mengambil tindakan segera untuk membasmi jangkitan dan mencegah wabak. Langkah-langkah yang diambil untuk mengesan virus termasuk melakukan proses survelan klinikal dan virologikal di ladang-ladang ayam, itik, puyuh dan lain-lain ladang, burung yang diimport, kedai haiwan kesayangan, burung hijrah, zoo, aviary, ayam kampong, ayam sabung, kawasan sempadan, pasar, rumah sembelih dan lain-lain dengan mengambil sampel-sampel secara berkala di semua premis ini untuk ujian di makmal. Jika berlaku kes kadar kematian lebih dari 3% wajib dilaporkan ke JPV untuk tindakan lanjut. Perlu juga diadakan larangan import daripada negara-negara yang dijangkiti dengan kes selsema burung. Aktiviti siasatan serta merta jika ada laporan kematian pada unggas. Kempen bagaimana dan apakah yang harus dilakukan oleh penternak ayam itik dan lain-lain premis unggas di dalam mencegah jangkitan perlu diperjelaskan. Antaranya kebersihan dan biosekuriti ladang sangat penting serta penggunaan jaring kalis burung di bangsal ayam itik supaya burung liar tidak dapat masuk ke bangsal dan juga membeli stok ayam itik dari sumber yang boleh dipercayai.

Peranan orang awam untuk membantu dalam kes selsema burung amat diperlukan. Orang awam sebaiknya mesti melaporkan serta merta kepada JPV jika terdapat unggas ternakan mereka yang sakit atau mati. Sebaiknya jika ada kes seperti ini jangan melupus sendiri unggas atau ayamitik yang mati dan sebaiknya jangan memberi makanan kepada burung-burung liar. Langkah lain seperti jangan mengimport atau membawa burung, daging ayam itik atau baja tanpa kebenaran dari pihak JPV dan pihak berkuasa. Elakkan daripada membeli atau membawa balik burung haiwan kesayangan ke rumah tanpa pemeriksaan dari doktor veterinar yang berdekata.  Jika burung haiwan kesayangan anda sakit sila bawa ke doktor veterinar serta merta untuk tujuan pemeriksaan dengan doktor verterinar. Sebaiknya jika ada tanda yang menunjukkan tanda-tanda penyakit seperti yang disebutkan diatas sila lapor ke JPV dengan segera. Kes-kes seperti berlaku penyeludupan burung atau daging secara haram dari negara jiran perlu dilaporkan kepada JPV kerana ianya mungkin mengancam keselamatan dalam negara. Elakkan daripada menyertai pertandingan ayam laga atau apa-apa pertandingan burung yang haram dimana-mana lokasi yang disyakki ada kemungkinan virus avian flu ujud. Sebaiknya perlu dilaporkan segera  ke JPV jika anda mengetahui berkenaan pertandingan ayam laga dikawasan anda. Kerjasama daripada semua pihak amat perlu didalam usaha mengawal merebaknya penyakit selsema burung yang boleh mengancam industri ternakan negara. Semuga artikel ini memberi info berguna kepada pembaca anim agro technology semua. Wasallam!!..
AVIAN FLU... SELSEMA BURUNG SAMA...
VIRUS H5N1... ITULAH PEMBAWANYA... 
PENYAKIT AYAM.... MEMANG MERBAHAYA...
PERLU DIBENTERAS... SETIAP MASA...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Taman Cendana, Bandar Melaka,
Melaka, Malaysia.
(30 Zulhijjah 1439H).

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...