Support My Blog

Saturday, March 31, 2018

JUALAN SENTUHAN RAKYAT - TESTIMONI

JUALAN SENTUHAN RAKYAT merupakan satu program yang amat popular dan mendapat sambutan baik dikalangan rakyat Malaysia untuk meringankan beban sara hidup. Kita boleh bayangkan jika satu tin kecil sardin hanya dijual harga 20 sen manakala barangan keperluan lain boleh diperolehi dengan lebih murah berbanding harga biasa di kedai dan dipasaraya dalam program ini yang dilakukan dibeberapa lokasi. Semua itu hanya boleh diperolehi pada Program Jualan Sentuhan Rakyat yang sedang diadakan di seluruh negara dalam usaha membantu meringankan kos sara hidup rakyat. Oleh itu tidak hairanlah ia mendapat sambutan yang hangat dan orang ramai sanggup datang seawal dua jam sebelum jualan dibuka kepda pengguna. Kesemua barang akan habis dijual dalam tempoh dua jam sahaja. Rata-rata pengunjung ketika ditemui di beberapa kawasan program didapati melahirkan rasa puas hati dan memuji usaha oleh pihak kerajaan persekutuan itu serta berharap program baik seumpama ini diteruskan. Mereka berpendapat program seperti ini perlu diteruskan dengan menganggap program jualan itu sangat membantu meringankan beban rakyat. Ramai juga mendakwa ia sangat bagus apabila beberapa jenis barang keperluan dapur yang memang perlu dibeli setiap bulan ada dijual dengan harga murah. Kini dengan adanya program ini yang dilihat dimana ia memang amat mengurangkan bebanan dihadapi rakyat dalam mereka berbelanja. Harga yang diberikan adalah memang murah serta sangat berpatutan. Kepada mereka yang susah pun mampu datang untuk membeli kerana melihatkan harganya memang jauh lebih murah daripada di pasaraya. Ramai penduduk tempatan yang membeli dan berharap ia akan diperluaskan agar semua rakyat negara ini dapat membeli pelbagai barangan keperluan harian pada harga yang agak rendah. Tinjauan umum di beberapa lokasi program yang ada membuat Program Sentuhan Rakyat mendapati rata-rata barangan dijual adalah lebih murah iaitu kurang antara RM1 dan RM5 berbanding harga di pasar raya dan kedai runcit biasa. Tinjauan rambang juga mendapati diantara barangan itu ialah susu krim pekat manis dijual dengan harga RM1.50 setin berbanding harga biasa RM2.60 manakala lampin pakai buang RM28.90 (kedai biasa harga diantara RM33 dan RM35 seunit). Tujuan asal Pogram Jualan Sentuhan Rakyat itu bagi membantu rakyat dalam mengurangkan kos sara hidup dalam membeli barangan keperluan harian. Program ini perlu juga diperhalusi sepanjang masa bagaimana hendak membantu rakyat biasa untuk mengurangkan kos sara hidup. Program ini biasanya diadakan mengikut kawasan Parlimen dimana ada Parlimen yang dibuat sekali dalam sebulan ada yang dua kali dalam sebulan. Kerajaan telah memberikan subsidi harga untuk satu program jualan meliputi lebih 30 item barangan utama antaranya ikan, sayur, telur dan tepung. Program ini melibatkan oleh beberapa buah agensi dalam Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani Malaysia dan ia turut dibantu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi Dan Kepenggunaan serta beberapa buah pasar raya. Artikel subuh ini saya menulis lagi dalam ''Anim Agro Technology'' beberapa testimoni media oleh tempatan mengenai program jualan sentuhan rakyat sekadar untuk dikongsi bersama semua pembaca blog ini.



(1) 5,000 serbu Jualan Sentuhan Rakyat
Berita Harian
Oleh Abnor Hamizam Abd Manap

JEMPOL: Jualan Sentuhan Rakyat anjuran UMNO Bahagian Jelebu dan Pejabat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri ( DUN ) Sungai Lui di sini, hari ini diserbu kira-kira 5,000 pengunjung yang mahu mendapatkan barang iaitu makanan dan keperluan pada harga lebih murah. Daging lembu, ayam, beras, minyak masak dan ikan bilis antara yang dijual lebih murah daripada harga semasa. Sebanyak empat tan minyak masak yang dijual pada harga RM1.25 sepaket berbanding RM2.50 harga pasaran, habis dijual dalam tempoh tidak sampai sejam. Orang ramai juga turut menyerbu gerai menjual daging yang dijual dengan harga RM25 sekilogram termasuk tulang, hati dan limpa. Abdul Kadir Samah, 50 dari Ayer Hitam berkata, jualan itu memberi manfaat kepadanya untuk membeli barang keperluan dengan harga lebih murah. Katanya, beras yang biasa dijual di pasaran berharga RM26 bagi pek 10 kilogram boleh didapati dengan harga RM22 sekilogram sekali gus dapat berjimat sebanyak RM4. "Saya percaya, jika jualan sentuhan rakyat ini kerap diadakan ia akan memberi impak yang sangat baik kepada rakyat dan beri tekanan kepada pemborong dan peniaga untuk berfikir banyak kali sebelum menaikkan harga barang," katanya. Suri rumah, Napisah Mohamad, 59, berkata beliau berbelanja sebanyak RM100 bagi membeli barang keperluan dapur. Katanya, beliau cuba membeli lebih minyak masak namun tidak berjaya berikutan hanya dibenarkan membeli sebanyak dua paket sahaja seorang. "Ikan bilis saiz M dijual hanya RM14.90 sekilogram berbanding harga pasaran RM19. Jika jualan sentuhan rakyat ini diadakan seminggu sekali ia sangat membantu terutama rakyat berpendapatan rendah," katanya. Hadir sama pada program berkenaan Ketua UMNO Jelebu, Datuk Jalaluddin Alias dan Ahli Dewan Undangan Negeri ( ADUN ) Sungai Lui, Mohd Razi Mohd Ali.


(2) Jualan Sentuhan Rakyat ringankan kos sara hidup
Berita Harian
Oleh Badrul Kamal Zakaria
badrulkamal@bh.com.my


TANGKAK: Program Jualan Sentuhan Rakyat Parlimen Ledang yang pertama kali diadakan diharap dapat didalam mengurangkan kos sara hidup rakyat dan mendorong peniaga untuk turut menurunkan harga barangan keperluan pada masa depan. Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Hamim Samuri, berkata program anjuran bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) itu diharap membantu rakyat, terutama di Parlimen Ledang, untuk mendapatkan barangan dapur berkualiti pada harga murah. "Melalui program ini, orang ramai boleh mendapatkan pelbagai barangan keperluan harian pada harga antara lima sen hingga RM1 lebih murah bagi produk atau setiap kilogram berbanding yang ditawarkan dalam pasaran semasa. "Sebanyak 17 jenis barangan dijual seperti pelbagai ikan, ayam, cili, beras, susu tin dan Milo. Kita berharap inisiatif ini akan dapat secara langsung untuk mengurangkan kos sara hidup rakyat, terutama dalam menguruskan perbelanjaan dapur mereka," katanya. Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Program Jualan Sentuhan Rakyat Parlimen Ledang di pekarangan pasar raya besar Giant di sini, hari ini. Yang turut hadir, Ketua Wanita UMNO Bahagian Ledang, Khairin Nisa' Ismail. Penganjuran program itu turut mendapat kerjasama Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dan pasar raya besar Giant Muar. Hamim yang juga Ahli Parlimen Ledang berkata, program sama akan diadakan dua minggu sekali dengan dipecahkan mengikut kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Parlimen Ledang, iaitu DUN Serom, Gambir dan Tangkak. "Selain dilihat membantu mengurangkan kos sara hidup rakyat, kita juga berharap program ini secara tidak langsung memang dapat menurunkan harga barangan seumpama ini di kawasan lain. "Apabila ada tawaran harga barang lebih murah seperti melalui program ini, diharapkan pihak lain seperti pasar raya, pasar raya mini, kedai runcit dan pasar akan turut menurunkan harga barangan ini kelak," katanya.


(3) Jualan Sentuhan Rakyat perlu diperhebat
Utusan Malaysia
oleh Wan Zulkifli Yaacob
Din (bertopi) bermesra dengan seorang pengunjung dalam 
Program Sentuhan Rakyat di Dungun hari ini.-UTUSAN ONLINE

DUNGUN 20 Jan.- Stok barangan makanan dan keperluan asas lain yang dipasarkan habis dalam waktu singkat dalam Program Jualan Sentuhan Rakyat yang turut diadakan di sini hari ini. Di luar jangkaan dimana orang ramai yang datang untuk membeli-belah di pekarangan masjid Pulau Serai di sini berharap program sebegini dapat diadakan lebih kerap. Ia digerakkan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Dungun bersama penglibatan agensi dan swasta termasuk Fama, LKIM dan Tunas Manja Group dengan kerjasama UMNO bahagian.  Pegawai Pembangunan Daerah, Datuk Din Adam yang juga Ketua UMNO bahagian ketika menyempurnakan pelancaran memberitahu, program sebegini akan cuba diteruskan setiap di lokasi berbeza. "Bekalan stok untuk pasaran juga akan cuba dipertingkatkan. Ini membolehkan lebih ramai anggota maayarakat  mendapatkan barangan keperluan dengan harga yang lebih rendah di pasaran. "Selain membantu meringankan beban kos sara hidup, pendekatan sebegini diharapakan turut mendorong kalangan peniaga dan pengeluar untuk turut menurunkan harga di pasaran dengan tidak mengutamakan keuntungan semata-mata. "Dengan adanya program seumpama ini juga dapat memberi peluang kepada peniaga-peniaga kecil lain untuk turut serta," ujarnya. Menurut Din ada pelbagai pendekatan yang diusahakan dalam aspek kebajikan rakyat menunjukkan kerajaan sentiasa peka dengan setiap permasalahan, dan mencari jalan untuk mengatasi.- UTUSAN ONLINE


(4) 1,000 penduduk serbu Jualan Sentuhan Rakyat
Harian Metro
Hidayatul Akmal Ahmad
PENDUDUK setempat membeli barangan 
di Jualan Sentuhan Rakyat Parlimen Wangsa Maju.
KUALA LUMPUR, Mac. - Lebih 1,000 penduduk membanjiri Jualan Sentuhan Rakyat di Flat Sri Kedah, dekat sini dimana ia menawarkan pelbagai barangan keperluan dengan harga jauh lebih murah dari pasaran. Pengerusi Rukun Tetangga, Zainal Abidin Abd Rahman 51, berkata, terdapat sekurang-kurangnya 50 gerai jualan yang menjual keperluan asas seperti ikan segar, Q’Fish (ikan segar beku), ayam, minyak masak, tepung, gula, beras, sayur dan buah-buahan.  “Program ini julung kali diadakan dan mendapat kerjasama daripada pelbagai agensi kerajaan seperti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) dan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA). “Penganjuran ini tidak berorientasikan keuntungan sebaliknya untuk keperluan golongan pertengahan dan rendah di Parlimen Wangsa Maju. Sambutan diterima sangat luar biasa dan jika tiada halangan ia diharap dapat dijadikan program tahunan,” katanya ketika ditemui, di sini, semalam. Selain jualan barangan keperluan harian, turut diadakan pemberian beg sekolah kepada 100 murid sekolah terawal, baucer RM20 kepada 300 penduduk terawal serta pemberian cermin mata untuk rabun dekat. Penduduk, Zuriana Abu Hassan 44 berkata, Jualan Sentuhan Rakyat yang bermula sejak jam 8 pagi hingga 12 tengah hari memberi peluang kepadanya membeli barang keperluan dengan harga lebih menjimatkan.
Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 Februari 2018 @ 9:36 AM


(5) Jualan Sentuhan Rakyat diserbu
Sinar Harian
MOHD AZLIM ZAINURY
Hampir 5,000 pengunjung menyerbu jualan barangan 
keperluan menerusi Program Jualan Sentuhan Rakyat 
di perkarangan Pasar Binjai Rendah hari ini.

MARANG - Hampir 5,000 pengunjung menyerbu jualan barangan keperluan menerusi Program Jualan Sentuhan Rakyat di perkarangan Pasar Binjai Rendah yang berakhir jam 11 pagi tadi. Pelbagai barangan keperluan harian membabitkan 30 jenis barangan boleh didapati antaranya ikan, ayam, daging, beras dan susu dijual dengan harga lebih rendah berbanding pasaran. Ketua Umno Bahagian Marang, A Latiff Awang berkata, program itu diharap dapat memberi manfaat dan meringankan kos perbelanjaan penduduk bagi menikmati tawaran harga rendah. “Ini adalah antara usaha murni kerajaan untuk membantu rakyat. Apa yang lebih penting adalah harga yang ditawarkan pada hari ini jauh lebih murah berbanding di pasaran,” katanya di sini hari ini. Beliau yang juga Adun Pengkalan Berangan itu turut memaklumkan program sama akan diadakan di Dun Rhu Rendang, Dun Alur Limbat dan Dun Bukit Payong pada masa ditetapkan selepas ini. Sementara itu, seorang pengunjung, Hasnah Abdullah, 64, berkata, program anjuran pihak kerajaan tersebut terbukti dapat meringankan beban rakyat dan patut diadakan secara berterusan. "Saya amat berterima kasih kepada penganjur program kerana rasa lebih selesa untuk berbelanja sempena program jualan rendah seperti ini kerana harga barang dijual adalah murah,” katanya.

Semuga rencana ini memberikan info berguna kepada semua pembaca blog anim agro technology kali ini. Dari beberapa testimoni akhbar dan media tempatan ini ia boleh dijadikan asas untuk beberapa program seperti ini dijalankan untuk mengurangkan kos sara hidup rakyat. Wasallam!!!..
PROGRAM JUALAN... SUDAH DIATURKAN...
HARGA MURAH... BERDUYUN DIKAWASAN...
DALAM DUA JAM... SEMUA DISELESAIKAN...
MEMBANTU RAKYAT... HARUS DITERUSKAN..

By,
M Anem,
Senior Agronomist Expert,
Bandar BAru UDA,
Johor Bahru, Johor,
Malaysia.
(10 Rejab 1439H).

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...