Support My Blog

Friday, September 9, 2011

SIPUT SEDUT

SIPUT SEDUT (Cerithidea obtusa) merupakan sejenis hidupan dari keluarga CERITHIIDAE iaitu kategori Siput yang telah di makan oleh orang-orang Malaysia dan Asia Tenggara semenjak dulu kala. Siput sedut adalah haiwan jenis siput yang hidup dikawasan hutan bakau (Mangrove ecosystem) di kawasan Asia Pasifik secara semulajadi. Siput ini bergantung kepada air pasang surut diantara air tawar dari daratan dan air masin dari laut yang bersih dan tidak tercemar. Di Malaysia kawasan hutan bakau di Semenanjung Malaysia dan Sabah serta Sarawak mempunyai kawasan hutan bakau yang secara semulajadi boleh didapati siput sedut. Walau pun semenjak dulu siput sedut di kutip oleh penduduk dikawasan pantai sebagai aktiviti sampingan tetapi kini terdapat usaha-usaha untuk menjadikan aktiviti menternak siput sedut dengan menentukan kawasan khas kepada pengusaha. Artikel kali ini saya menulis mengenai teknologi siput sedut untuk bacaan semua.


Siput Sedut adalah sejenis siput yang bersaiz 2-5 cm panjang dengan kerang atau kulit keras berbentuk 'spiral' yang tajam dibahagian hujungnya. Lazimnya siput sedut di Malaysia adalah berwarna coklat berbelang kuning atau hitam berjalur-jalur mengikut kualiti air dan lumpur yang terdapat pada hutan bakau tersebut. Pemerhatian saya di kawasan Muar dan Batu Pahat mendapati kebanyakan siput sedut dikawasan tersebut berwarna hitam kerana air paya yang terdapat disekelilingya. Siput Sedut mengandungi 'isi' atau hidupan didalamnya yang lembut dan bergerak menggunakan 'kaki siput' pada batang pokok kayu bakau. Di bahagian bawah siput sedut terdapat satu lapisan penutup (bulat) yang mana berfungsi menutup isinya.


Siput sedut pada batang bakau, di Muar
Pergerakan siput sedut pada batang pokok bakau perlahan dan akan naik keatas apabila berlaku air pasang dan surut. Siput sedut akan terapong dan kadang2 tenggelam ketika air pasang surut dan selalu juga  berada pada permukaan tanah lumpur ketika air surut. Cara pembiakan siput sedut melalui spermatozoa dan membiak secara semulajadi. Sebarang pencemaran kualiti air dan penebangan pokok bakau dalam ekosistem mengganggu kehidupan siput sedut. Kemasinan tanah lumpur yang terdapat pada hutan bakau juga mempengaruhi kehidupan siput sedut. Mengutip siput sedut biasanya dijalankan semasa air surut dimana siput tersebut melekat pada pokok bakau dan diatas permukaan tanah lumpur. Pengutipan semasa air pasang dijalankan menggunakan perahu atau kaedah lain dengan mengutip saiz sesuai pada pokok bakau.   


Pengalaman di Muar dan di Batu Pahat semasa bertugas di Johor dulu memberi saya peluang untuk melihat bagaimana siput sedut ini di usahakan. Projek ternakan siput sedut di Kg Kesang Tua, Muar , Johor (sepanjang pentai Muar ke Melaka) menunjukkan bahawa siput sedut boleh juga di komersilkan. Kawasan hutan bakau di khaskan mengikut lokasi kepada pengusaha dan mereka menjaga kawasan tersebut dengan rapi dari aktiviti penebangan pokok bakau, pengutipan tidak berjadual (curi hasil) dan sebagainya. Konsep ini dapat meningkatkan penghasilan siput sedut dimana hanya siput sedut yang bersaiz komersil sahaja yang akan dikutip. Siput sedut yang masih kecil dibiarkan membesar.


Siput sedut yang dituai perlu dikumpulkan dan dibersihkan daripada kekotoran lumpur dan dimasukkan dalam bekas plastik untuk dimakan segera. Jika hendak dihantar kekawasan jauh atau untuk pasaran agak lama maka siput sedut tidak dibuang lumpur (biarkan tanah melekat pada kulit) dan dimasukkan kedalam tong yang ditutup dengan plastik berlubang untuk memberikan oksijan. Siput Sedut hanya sesuai dimakan semasa ianya hidup. Siput sedut yang telah mati tidak sesuai untuk dimakan atau busuk dan mungkin merbahaya untuk kesihatan. Harga jualan runcit siput sedut sekitar RM 3.00 - RM 4.00 sekilogram bergantung kepada jarak dan lokasi jualan.


Siput Sedut mempunyai cangkerang keras dan perlu di pecahkan atau di potong dibahagian hujung tajamnya. Ini bertujuan untuk memberikan ruang udara ketika kita 'menyedut' isi siput di mulut dimana jika tidak dipotong tidak boleh disedut. Kerja memotong bahagian hujung dijalankan dengan menggunakan parang atau alu lesung setiap ekor siput sedut dan perlukan kemahiran. Siput sedut lazimnya di masak lemak cili api, di goreng bercili atau masakan lain mengikut citarasa peminat. Sedap dihidang bersama nasi panas dan perlu kemahiran untuk menyedut isinya. Perlu berhati-hati ketika makan siput sedut kerana terdapat lapisan klut nipis pada pangkal isi siput sedut ketika memakannya dan boleh dikeluarkan atau ada yang terus menelannya. 


Ekosistem bagi siput sedut perlu dikekalkan untuk mempastikan kehidupan ini akan terus ujud bagi generasi akan datang. Walau pun terdapat laporan menyatakan pengeluaran siput sedut semakin berkurangan akibat pencemaran ekosistem usaha perlu dijalankan untuk mengezonkan kawasan tertentu yang masa kini menjadi habitat semulajadi dan melindunginya. Kajian saintifik juga perlu dijalankan secara berterusan untuk mencari formula mengenai kaedah pembiakan, kaedah penternakan, pengurusan hutan dan pengurusan lepas tuai. Kini mudah didapati resepi makanan siput sedut di hidangkan di restoran-restoran tertentu dengan rasa enak dan harga yang sesuai. Restoran di Muar dan Batu Pahat banyak menghidangkan menu siput sedut. Diharap artikel ini memberikan sedikit pengetahuan mengenai siput sedut kepada pembaca.


SIPUT SEDUT....MURAH HARGANYA....
KAWASAN BAKAU....EKOSISTEMNYA...
PERLU DISEDUT...CARA MAKANNYA...
MASAK CILI API...AMBOI ENAKNYA...




You may like to read also:
1. Ikan Laga (Klik disini)
2. Ikan Hiasan (Klik disini)
3. Industri Ikan akuarium di Malaysia (Klik disini)
4. Belut (Klik disini)
5. Kupang (Klik disini)




By,
M Anem
Putrajaya
Malaysia
(Friday...On Holliday)      

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...