Support My Blog

Saturday, September 17, 2011

PENGELUARAN BENIH - SOLANACEAE

PENGELUARAN BENIH TANAMAN sayur-sayuran dari keluarga SOLANACEAE merupakan satu aktiviti yang perlu dijalankan untuk mempastikan jenis sayuran tersebut sentiasa terus di tanam. Antara beberapa jenis sayuran dibawah keluarga Solanaceae yang popular di Asia Tenggara termasuk di Malaysia adalah Terung (Solanum melongena), Cili Padi (Capsicum frutecens), Cili Besar (Capsicum annum), Cili Benggala (Capsicum annum) dan Tomato (Lycopersicum esculentum).  Malaysia merupakan negara yang mengimpot bijibenih sayur-sayuran dengan banyak dimana Jabatan Pertanian melaporkan sekitar 95% benih sayur-sayuran diimpot terutama dari jenis sayuran daun. Benih sayuran yang ada dikeluarkan di Malaysia adalah seperti Cili Besar, Okra, Petola, Peria, Kangkong dan beberapa jenis lagi. Nilai perdagangan industri benih di Malaysia sekitar RM32 juta setahun pada 2010 sahaja untuk benih tanaman makanan. Artikel pagi Sabtu 17 Shawal 1432H ini saya bentangkan maklumat yang jarang-jarang dilaporkan dalam mana-mana blog mengenai potensi dan teknologi pengeluaran benih sayuran dari keluarga Solanaceae yang terpilih.


TERUNG (Solanum melongena) merupakan tanaman sayuran jenis buah yang popular di Malaysia dengan keluasan ditanam 1,240 hektar (Hasil sebanyak 22,637 mt ) pada tahun 2005 meningkat kepada seluas 1,420 pada tahun 2010 dengan hasil sebanyak 23,390 mt bernilai RM  63.3 juta (Laporan Statistik MOA 2011). Tanaman terung berhasil 65-70 hari selepas ditanam dengan anngaran hasil sebanyak 18 - 21 metrik tan sehektar. Pengeluaran bijibenih terung dijalankan melibatkan 2 kaedah iaitu Varieti OP (Open Pollination) dan Varieti Hybrid (Hybrid seeds).  Setiap 1 gram bijibenih terung mengandungi 250 butir bijibenih. Tapak semaian pasir dengan bertutup serta sistem pengairan sempurna diperlukan untuk menyemai biji terung. Sebanyak 100 gram benih terung lazim diperlukan untuk menanam bagi keluasan1 hektar terung. Oleh kerana sistem penanaman adalah terbuka maka proses pendebungaan dijalankan oleh serangga pendebunga dan cara sendiri. Kajian saintis menuntukkan potensi satu hektar penanaman terong jenis OP menghasilkan sebanyak 200 gram biji benih terung. Bagi varieti benih Terung Hybrid pula diperlukan sebanyak 60 gram sehektar dengan potensi penghasilan biji benih hybrid sebanyak 50 gram sahaja sehektar. Proses pendebungaan benih terung hibrid dijalankan secara berbantu (artificial pollination). Itu sebab harga benih hibrid sangat mahal dimana kajian saya pada Januari - Jun 2011 mendapati harga benih terung hybrid di Semenanjung Malaysia pada purata RM 2,532 satu kilogram. Daripada 14 lokasi kajian kebanyakan benih terung hibrid dijual dalam paket 10 gm/paket berharga RM 25.00/paket.   


CILI PADI (Capsicum frustecens) merupakan jenis cili yang kini mendapat permintaan tinggi di Malaysia. Cili Padi mempunyai pelbagai jenis dari jenis cili api Siam (Panjang, hijau gelap dan tridak pedas), Cili Api Burung, Cili Api Centil, Cili Padi Tempatan dan beberapa lagi. Penanaman cili padi secara komersial kini popular menggunakan sistem fertigasi (Varieti 'Centil' paling banyak ditanam) oleh beberapa usahawan dibawah struktur pelindung hujan (SPH System).  Proses pengeluaran benih cili padi ini (Bird pepper) memerlukan sebanyak 200 gram benih untuk satu hektar dengan potensi bijibenih cili bakal dihasilkan sebanyak 500 gram sehektar.  Terdapat sebanyak 300 biji benih cilipadi bagi setiap 1 gram benih cili padi. Proses penanaman memerlukan semaian pasir sebelum diubah keladang. Pendebungaan benih cili padi melalui kaedah OP (Open Pollination)  dan pendebungaan sendiri. Anggaran harga runcit benih cili padi di Semenanjung Malaysia mengikut kajian saya sekitar RM2,500 sekilogram


CILI BESAR (Capsicum annum) dan CILI BENGGALA (Sweet pepper) ditanam untuk pasaran domestik dan ekspot dengan seluas 2,850 hektar pada tahun 2010 yang menghasilkan sebanyak 20,400 metrik tan yang bernilai RM 206.514 juta. Biji benih cili besar dihasilkan untuk varieti OP dan Varieti Hybrid. Bagi pengeluaran benih cili besar secara OP diperlukan sebanyak  300 gram biji benih sehektar yang berpotensi menghasilkan sebanyak 500 gram biji benih cili besar sehektar. Kadar bilangan bijibenih cilibesar setiap 1 gram mengandungi sebanyak 180 biji. Pendebungaan kaedah OP dijalankan oleh serangga dan pendebungaan sendiri. Bagi pengeluaran benih cili varieti Hibrid sebanyak 150 gram biji benih diperlukan satu hektar yang akan menghasilkan sebanyak 200 gram beni cili besar hibrid dan 100 gram benih cili benggala. Kaedah pendebungaan bagi menghasilkan benih cili besar hibrid melalui pendebungaan berbantu (Artificial pollination by human). Kajian saya di seluruh Semenanjung Malaysia mendapati purata harga runcit benih cili hubris sekitar RM 2,140.00 satu kilogram. Benih cili dijual dalam bentik 10 gram/paket, 20 gram /paket dan 100 gram/paket. 


TOMATO (Lycopersicum esculentum) merupakan tanaman penting di Malaysia dengan keluasan penanaman seluas 1,150 hektar pada tahun 2010 menghasilkan 29,790 mt buah tomato yang bernilai RM 65.58 juta. Kebanyak tomato ditanam dikawasan tanah tinggi Cameroon Highland dan Kundasang di Sabah. Tomato tanah rendah pula ditanam didalam sistem fertigasi dibawah struktur SPH. Benih tomato yang ditanam di Malaysia kebanyakannya diimpot dari luarnegara. Kajian saintis mendapati bagi menghasilkan benih tomato varieti OP perlukan sebanyak 150 gram biji benih sehektar yang akan menghasilkan sebanyak 150 gram biji benih sehektar.  Biji benih tomato hibrid pula berpotensi menghasilkan sebanyak 100 gram biji benih sehektar. Setiap 1 gram biji tomato mengandungi 300 butir biji benih. Kajian saya menunjukkan harga runcit benih tomato di Semenanjung Malaysia sekitar RM 4,206 satu kilogram. Penjualan benih tomato didalam bungkusan 5 gram/paket, 10 gram/paket dan 20 gram/paket. 


Malaysia bukan pengeluar benih sayur-sayuran pada masa kini tetapi potensinya adalah cukup besar untuk dimajukan dengan keadaan cuaca panas sepanjang tahun, ada kepakaran dan modal serta potensi pasaran yang akan berkembang. Usaha kearah pembangunan industri benih negara perlu dipergiatkan lagi terutama untuk pengeluaran benih hibrid atau Benih OP untuk pasaran domestik dan ekspot di peringkat global. Kini industri benih dunia dibolot oleh 10 syarikat terkenal dunia dengan lebih 65% dikuasai oleh mereka. Syarikat-syarikat besar seperti Mosanto, Dowpon, Sygenta, Groupe Limmagrain, Land O Lukes, DLF Trifolium,  Bayer Crop Science, KWS AG, Takii dan Sakata mempunyai rangkaian saintis, pusat pengeluaran dan sistem pengedaran seluruh dunia berilai lebih RM 98 billion setahun. Mampukan Malaysia menghasilkan benih bermutu untuk kegunaan domestik dan ekspot masa akan datang?.....


BENIH SOLANACEAE....TERUS DIHASILKAN...
TERUNG, CILI, TOMAT0....DIUTAMAKAN....
HARGA SETIAP GRAM...HARGA MAHAL KAN?
MAMPUKAH MALAYSIA...NANTI KELUARKAN?.....


By,
M Anem
Putrajaya
Malaysia

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...