Support My Blog

Sunday, January 15, 2023

PAYA

PAYA merupakan satu nama yang berkait dengan keadaan tanah berair sama ada dikawasan daratan atau pun ditepi sungai dan tepi laut. Banyak nama-nama tempat yang dikaitkan dengan nama 'Paya' sempena keujudan perkara tersebut seperti Paya Mengkuang (Melaka), Kg Paya Indah (Banting), Kg Paya (Pulau Tioman), Paya Jaras (Sg Buloh) dan beratus-ratus lagi nama berkaitan paya. Paya merupakan kawasan genangan air secara ilmiah yang terjadi terus-menerus atau bermusim akibat parit yang tersekat serta mempunyai ciri-ciri khusus secara fizikal, kimia dan biologi. Definisi yang lain dari paya adalah semua jenis tanah berlumpur diperbuat secara semulajadi atau buatan manusia dengan campuran air tawar dan air laut sama ada ianya secara kekal atau sementara. Ianya juga termasuk kawasan laut yang dalam airnya kurang daripada 6 meter semasa air surut iaitu paya dan tanah pasang surut. Ramai antara kita yang sering kaitkan paya dengan burung bangau, biawak, pokok keladi bunting, ikan air tawar, ular dan sebagainya. Dalam keadaan tertentu sebenarnya kawasan paya biasanya akan mempunyai keunikan tersendiri dari segi kehidupan masyarakat tempatan. Ketika musim tengkujuh dan musim banjir juga ia terlibat dengan bencana banjir saban tahun dan ramai terjejas kerana paya secara semulajadinya merupakan kawasan tadahan hujan untuk simpanan air. Artikel malam ini saya menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai apa itu kepentingan kawasan paya dan kaitannya dengan kestabilan ekosistem untuk dijadikan bahan bacaan semua. 

Paya merupakan satu lokasi yang mempunyai banyak sumber nutrien dan gudang harta ekologi untuk kehidupan pelbagai jenis makhluk kehidupan. Paya juga disebut kawasan "pembersihan semulajadi" disebabkan paya mampu berfungsi untuk mencegah pencemaran atau pencemaran alam sekitar alam. Sebenarnya paya mempunyai nilai tinggi dari segi ekonomi, budaya, persekitaran dan lain-lain sehingga persekitaran paya harus tetap dijaga kelestariannya. Kini kawasan paya mula di disedari akan kepentingannya apabila Malaysia telah berjaya menandatangani Konvensyen Ramsar bagi negara kita dapat mengukuhkan penjagaan kawasan paya untuk kepentingan dunia. Selain Tasek Bera di Pahang dilaporkan dimana  ada beberapa kawasan tanah lembap yang lain turut telah diisytiharkan sebagai tapak Ramsar seperti Hutan Bakau Sungai Pulai, Johor diikuti dengan Hutan Bakau Tanjung Piai, Johor, Pulau Kukup, Johor dan Kuching Wetland National Park, Sarawak. Beberapa kawasan sekitar Lembah Kelang dan Putrajaya juga ada kawasan paya yang dijaga dan dijadikan pusat pelancongan. Dalam pada itu dilaporkan dimana Jabatan Perhilitan Malaysia memang ada terlibat di dalam pelaksanaan Konvensyen Ramsar apabila Tasek Bera disenaraikan sebagai Tapak Ramsar pertama semasa negara menyertaikonvensyen ini. Selain daripada menguruskan tapak Ramsar ini, Jabatan ini turut menyelaras pelaksanaan konvensyen ini di peringkat kebangsaan. Portal berita sinarharian.com melaporkan dimana kerajaan Pahang meminta kerjasama Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) dan jabatan-jabatan berkaitan agar meningkatkan aspek penguatkuasaan di Tapak Lembap Berkepentingan Antarabangsa (Ramsar) Tasik Bera. Ia laporkan tindakan penguatkuasaan itu bagi menjamin kelestarian tapak Ramsar daripada pencemaran, kemusnahan alam sekitar dan aktiviti haram yang boleh menjejaskan kekayaan flora dan fauna. Tapak Ramsar yang berkeluasan 31,255 hektar sepatutnya terpelihara alam sekitarnya memandangkan kewujudan zon penampan seluas kira-kira 77,380 hektar yang mengelilinginya. Kerajaan negeri amat menekankan kepentingan aspek penguatkuasaan di tapak Ramsar dan berharap Jabatan Perhilitan sebagai jabatan di bawah Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli (KATS) yang dilantik mengetuai Unit Pengurusan Tapak Ramsar Tasek Bera (UPTRTB) dapat meningkatkan aspek penguatkuasaannya di kawasan itu. Sejak UPTRTB diwujudkan pada tahun 1999, semua perancangan pembangunan di Tasik Bera mestilah berpandukan kepada pelan Pengurusan Bersepadu Tasik Bera sepertimana disediakan oleh Wetlands International Asia Pacific. Pelan Pengurusan Bersepadu Tapak Ramsar Tasik Bera disediakan Jabatan Perhilitan dengan kerjasama KATS dan kerajaan negeri diperkenalkan tahun lalu bertujuan memastikan semua pelaksanaan pembangunan mampan di tasik itu dilaksanakan dengan sebaiknya. Selain itu juga kini Rancangan Kawasan Khas (RKK) mengenai pengurusan pembangunan bagi pemuliharaan tapak Ramsar juga disediakan Majlis Daerah Bera (MDB). Sepatutnya isu seperti pencemaran alam sekitar di tapak Ramsar ini tidak berlaku namun sebaliknya masih ada laporan mengenai aktiviti iaitu pencerobohan dan kemusnahan alam sekitar.


Kini kawasan paya telah menjadi sasaran kepada ramai usahawan, syarikat swasta dan perladangan serta perumahan untuk dibangunkan. Kawasan paya pinggir bandar merupakan lokasi tanah paya yang dibangunkan untuk taman perumahan bagi keperluan penduduk tempatan. Lazimnya kebanyakan tanah paya akan diratakan dan ditambak dengan tanah lain sebelum dibina banyak sistem perparitan dan jalan raya serta kemudahan utiliti lain (Sila lihat foto sebelah). Sebut sahaja beberapa taman perumahan disekitar Teluk Anson, Banting, Tanjung Karang, Batu Pahat, Kuantan (Tg Lumpur/ Penor), Pulau Pinang dan di Kuching memang banyak telah dibangunkan. Rekabentuk rumah yang cantik dan kedudukan yang berhampiran dengan bandar besar serta kemudahan infrastruktur menyebabkan pembeli akan tertarik dengan rumah yang didirikan di kawasan paya. Saya paling kesian dengan pembeli rumah di kawasan Taman Perumahan Penor, Kuantan yang beberapa kali tenggelam dilanda banjir kerana kawasan paya tersebut asalnya adalah kawasan tadahan hujan atau kawasan tampanan air. Hendak mencari kawasan tinggi memang sukar kerana bandar lama kebanyakannya diujudkan berhampiran sungai dan kawasan tanah rendah seperti paya.

Berbeza dengan kegunaan kawasan paya untuk projek pertanian dimana ujud risiko masih tetap ada tetapi ianya boleh juga disesuaikan dengan perancangan yang betul.  Antara projek pertanian yang selalu dilakukan diatas tanah paya adalah seperti membina kolam ternakan ikan atau udang, tanaman kelapa sawit, tanaman buah-buahan atau sayur-sayuran dan kilang memproses produk pertanian. Kawasan paya air payau sering dijadikan kolam ternakan udang harimau atau ikan siakap yang banya terdapat diseluroh negara. Teknologi menternak ikan dan udang yang telah mengabungkan air tawar, air masin dan air payau serta sistem pengurusan menyababkan kawasan paya paling ideal untuk pengeluaran makanan negara. Banyak syarikat besar dan usahawan individu yang menjadikan kawasan paya sebagai kawasan penanaman kelapa sawit yang produktif. Ladang Besar seperti Sime Darby, IOI dan sebagainya mempunyai kawasan tanaman kelapa sawit yang luas dikawasan tanah paya terutama kawasan tanah gambut. Kelestarian tanah gambut dan kawasan paya perlu dijaga agar keujudannya akan menyeimbangkan ekosistem dan persekitaran. Dalam bharian.com dolaporkan dimana hutan  paya gambut di Malaysia terbentuk antara 4,000 - 5,000 tahun lalu. Data Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM) pada 2017 telah mengesahkan ia berkeluasan 253.45 ribu hektar daripada keseluruhan 4.41 juta hektar keluasan Hutan Simpanan Kekal (HSK) Semenanjung Malaysia. Apa pun dilaporkan dimana di Semenanjung sahaja hutan jenis ini hanya ditemui di Selangor, Pahang, Johor serta Terengganu, malah dianggap mempunyai spesies tumbuhan spesifik. Malah, hanya 24 spesies pokok daripada 18 famili terhad secara eksklusif dijumpai di hutan paya gambut ini. Ekosistem ini juga menjadi tempat pembiakan beberapa jenis ikan air tawar hilir sungai bernilai komersial. Kajian menunjukkan ia menyediakan habitat perlindungan beberapa spesis reptilia terancam seperti buaya julung-julung (Tomistoma schlegelii). Sebaiknya hutan paya gambut yang mana ia  mempunyai beberapa rangkaian fungsi dan perkhidmatan ekosistem penting dalam menjamin kelangsungan hidup manusia dan kesejahteraan alam. Perkhidmatan ekosistem menjelaskan dari segi komponen kesejahteraan hidup yang dinikmati melalui sumbangan secara langsung dan tidak langsung daripada kawasan hutan paya gambut. Umumnya memang ada terdapat 22 jenis perkhidmatan ekosistem dikenal pasti iaitu ia terbahagi kepada empat kategori, iaitu perkhidmatan pembekalan, kawalan, habitat atau sokongan dan kebudayaan dan kemudahan. Semuga artikel ini memberi info berguna kepada semua pembaca blog anim agro technology kali ini.  Wasallam!...
DI MALAYSIA...ADA KAWASAN PAYA... 
KAWASAN RENDAH...BERAIR JUGA...
TANAH GAMBUT... KINI BERHARGA...
JADI RUMAH...KELAPA SAWIT JUGA...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Projek Udang Harimau Swasta,
Kg Sedili, Masai,
Kota Tinggi, Johor,
Malaysia.
(3 Rabiulawal 1435H)
Kemaskini pada 16 Jamadilakhir 1444H.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...