Support My Blog

Thursday, December 5, 2019

TEKNOLOGI 'ROOFTOP FARMING' - PRAKTIKAL?

TEKNOLOGI 'ROOFTOP FARMING' adakah dianya dikira praktikal dan boleh memberikan keuntungan?. Itu adalah diantara persoalan yang mungkin ditanya pengunjung di Citiponic Pte Limited apabila mereka melawat projek pertanian atas bumbung bangunan ini di Ang Mo Kio Residential Area di Singapura. Teknologi Pertanian ini yang dilaksanakan oleh syarikat tersebut adalah 'Aqua Organic System' yang menggabungkan teknologi Jerman yang disesuaikan dengan iklim tropika. Inovasi dan Teknologi Aqua Organic System (AOS) ini merupakan satu lagi pendekatan kaedah pertanian yang mampan atau mesra alam (environment frendly), pengurusan tanaman secara organik dan juga sistem penanaman tumbuhan terpilih menggunakan pusingan air yang ekologinya stabil. Apa yang penulis blog lihat semasa membuat tinjauan teknologi disini mendapati sistem AOS ini menggabungkan beberapa kompponen penting terdiri daripada (1) Bekas Simpanan Air Baja (2) Sistem Paip Penyambungan (3) Tong Penyimpanan Air Baja Utama Sementara (4) Tong Penapisan Air Baja Pertama (5) Tong Nitrifikasi (6) Tong Penapisan Air Baja Kedua (7) Tong Penapisan Air Baja Kedua Sementara (8) Sistem Injap Kawalan (Control Valve) (9) Sistem Pam Eletrik (10) Bekas Tanaman - Paip PVC Putih (11) Media tanaman dan (12) Sistem Kawalan Saliran Cecair Automatik. Kos diperlukan untuk yang sistem lengkap dan komersil dengan panjang paip PVC untuk penanaman sepanjang 5 kilometer ini sekitar SGD1.8 juta (RM5.5 juta) dengan tempoh atau jangkamasa memasangnya sekitar 100 hari (3 bulan lebih sahaja). Kapasiti pengeluaran sistem ini sekitar 4,000 kg (4 tan) sebulan dengan pelbagai sayur daun organik. Antara jenis sayur yang paling mendapat pasaran terbaik dan pulangan tinggi adalah Salad dan Kailan. Teknologi ini walau pun didakwa antara teknologi yang mahal akan tetapi ia sangat diperlukan dinegara yang kekurangan tanah untuk pertanian bagi menjamin keselamatan makanan dan isu kecukupan makanan dinegara-negara maju. Ini merupakan satu teknologi pertanian masa depan yang pentingkan produk makanan organik yang selamat dimakan, ada jaminan kualiti serta mendapat permintaan yang baik dikalangan penguna. Artikel subuh ini dari Hotel Amara Singapura, saya meulis dalam blog "Anim Agro Technology" mengenai teknologi "Aqua Organic System" digunakan dalam ''rooftop farming' iaitu satu tinjauan teknologi penulis blog di negara Singapura baru-baru ini untuk rujukkan anda.


Negara yang ada padat penduduk seperti Singapura dan beberapa negara maju seperti di Jepun, Korea, USA, Jerman, Hong Kong dan sebagainya memang telah melangkah kepada teknologi penanaman bahan makanan secara pertanian menegak atau  'vertical farming'. Teknologi pertanian tegak ini melibatkan kos agak tinggi akan tetapi jika dilakukan dengan baik mampu membekalkan makanan yang berkualiti untuk penduduk tempatan terutamanya produk makanan organik. Penanaman sayuran diatas bumbung bangunan merupakan satu pilihan terbaik bagi setengah negara yang kekurangan tanah pertanian dan banyak bergantung kepada import. Jika berlaku sebarang krisis makanan dunia maka bekalan makanan ini boleh terjejas dan jika ada penghasilan sendiri dalam negara setidak-tidaknya mampu mengurangkan lagi risiko kekurangan makanan bagi komodiiti terpilih. Bangunan seperti tempat letak kereta dibahagian atas sekali atau bangunan kediaman atau pun kawasan lapang dibumbung bangunan pejabat tinggi yang sesuai boleh dimajukan dengan pertanian bumbung ini. Di kawasan perumahan residen Ang Mo Kio di Singapura ini terdapat beberapa buah bangunan tempat letak kereta dimana sesuai untuk tanaman atas bumbung (Sila lihat foto disebelah). Bangunan milik HDB ini dibenarkan pihak syarat untuk beroperasi menanam AOS ini dengan kerjasama dan sokongan kukuh pihak berkuasa dan penduduk disekitarnya. Kawasan ini mendapat sinaran matahari 100% untuk menjamin pertumbuhan terbaik. Pengusaha dan pelawat yang hendak melihat atau melawat perlu menaiki lif ke aras 6 sebelum menaik tangga ke tingkat 7 (bumbung bangunan). Walau pun asalnya ia juga merupakan tempat  letak kereta seluas 1,800 meter persegi akan tetapi kini digunakan untuk tanaman sayuran organik. Permandangan daripada tingkat atas rumah pangsa disekelilingnya juga amat menarik apabila mereka dapat melihat ada kebun moden dilihat dari jendela rumah didalam menghasilkan makanan disekitar tempat tinggal mereka.


Struktur pemasangan paip PVC berwarna putih berlingkar-lingkar disambung dengan tong simpanan air baja. Pemilihan paip PVC berwarna putih bertujuan untuk kurangkan penyerapan haba berbanding dengan paip PVC berwarna hitam. Ia juga memudahkan kerje penyelenggaraan jika berlaku sebarang kes kerosakan diana ia  mudah dilihat (retak, bocor atau pecah). Paip PVC ini akan ditebuk dibahagian atas untk diisikan dengan batu (pebles) sebagai media tanaman terawat yang sesuai (Sila lihat foto disebelah). Rekebantuk bahagian atas paip PVC yang dipotong dan terbuka ini telah dikira cukup kukuh walau pun diisikan dengan batu media dan menampung berat tanaman yang kemudian akan membesar. Paip PVC ini disengetkan beberapa darjah (condong) sesuai untuk air baja nutrien mengalir daripada polipaip yang ada dibahagian atasnya bagi ia mengalir kebawah dengan tekanan graviti. Jumlah air baja ini sekitar 50% melalui celah batuan ini dimana akar tanaman akan mendapatkan makanan daripadanya dan boleh dikawal parasnya mengikut tahap umur tanaman. Lebihan air yang tidak diambil tumbuhan akan terus mengalir kebahagian bawah dan seterusnya di salirkan kepada tong kutipan sebelum ia ditapis semula. Air baja yang siap ditapis ini akan masuk semula kedalam tong simpanan air baja dan berpusing semula kedalam PVC tersebut secara pusingan sama. Dilihat dimana memang teknologi ini mengamalkan konsep ''Zero Waste System'' dimana tidak ada bahan terbuang kecuali akar tanaman yang dibersihkan sebelum dibuat pembungkusan hasil. Dengan cara penyelenggaraan minima dijalankan secara berterusan maka keseluruhan sistem ini didakwa mereka mampu untuk bertahan sehingga 8 - 10 tahun terutama komponen Paip PVC dan struktur lain. Perkara paling kritikal kepada trknologi AOS ini adalah punca BEKALAN ELETRIK untuk menjalankan pam air. Jika ada 'blackout' selama beberapa minit atau jam maka ia akan terus menjejaskan seluruh operasi AOS yang mana ini boleh menyebabkan kerosakan kepada tanaman dan berlaku menyebabkan kerugian. Dari itu perlu ada generator kecil khusus untuk mengatasi masaalah ketiadaan bekalan letrik. Bagaimana pun penulis blog dimaklumkan di Singapura kegagalan bekalan eletrik terputus ini hampir tidak berlaku sepanjang tahun.


Teknologi tanaman AOS oleh syarikat ini mengamalkan konsep Tanam (Planting), Penjarangan (Thinning) dan juga kerja Penuaian (Harvesting). Tanaman yang ditanam ditempat tinggi tanpa tanah dilaporkan amat minima ancaman daripada perosak dan penyakit. Berbeza dengan bagi jenis sayuran berdaun yang ditanam atas tanah dimana ia akan diancam oleh banyak jenis patogen daripada tanah itu sendiri dan tumbuhan lain dipersekitarannya. Dalam tanah sendiri terdapat berpuluh jenis patogen perosak tanaman termasuk 'soil borne disease' dan sebagainya. Tapi penanaman sistem AOS ini tanpa tanah sebaliknya menggunakan media tanaman batu pebles berwarna merah yang terawat dan Paip PVC yang bebas daripada patogen. Dengan bekalan air baja yang mencukupi diformulasi dengan baik maka tanaman sayur daun didapati sihat dan tidak mudah sebarang perosak atau patogen untuk menyerangnya. Ketinggian kawasan penanaman iaitu lebih daripada 80 kaki dari paras tanah juga didakwa mampu untuk menghalang sebarang serangga perosak untuk terbang setinggi ini. Jika ada pun serangga perosak yang hendak datang mungkin melalui pergerakan manusia yang datang hadir berada dikawasan penanaman disini. Biasanya pihak pengurusan bagaimana pun amat ketat tidak akan membenarkan sesiapa memasukki kawasan penanaman kecuali dengan kebenaran mereka. Hanya pekerja dan mereka yang ada akses sahaja dibenarkan memasuki premis ini. Penuaian dibuat mengikut jenis tanaman diantara 40 hari atau lebih dimana mengikut jenisnya dimana ia dilakukan dengan menggunakan jadual metrik tanaman agar status pengeluaran dapat dilakukan setiap hari atau beberapa hari untuk pastikan bekalan yang berterusan (consistency of  supply) kepada pusat jualan. Setelah beberapa kali musim bertanam dilaporkan memang tidak berlaku sebarang masaalah kualiti hasil sayuran organik menggunakan sistem AOS disini. Kawalan ketat dilakukan sepanjang masa untuk pastikan QC ini menepati piawaian produk organik.

Tuaian akan dilakukan dengan mancabut pokok tersebut dengan cara manual bagi mengelakan kerosakan kepada susunan batu pebles dan paip PVC dengan berhati-hati. Jika ada batu pebles yang jatuh ia akan dimasukkan semula dimana ini akan mempastikan ia boleh ditanam sebaik sahaja kerja menanam selesai mengikut jadual metrik tanaman. Rumpun salad atau kailan ini akan dibawa ke pusat pengumpulan dan grading dengan ia akan dibersihkan dan dibuang bahagian akarnya. Bagi jenis salad Georgina Salad ia akan dileraikan daun daripada batangnya kemudian dipotong kecil (ready to eat) dan dimasukkan dalam pek plastik seberat 80 gram (Sila lihat foto disebelah). Ia sedia untuk dimakan terus dari kotak dengan diberikan label seperti jaminan tiada racun (pesticide free), perishable product, keep refrigerated dan do not consume if the seal is broken. Prooduk inii dijual runcit dengan garga SGD4.99 (RM15.00) sepaket dipasaran tempatan. Dikalangan pengguna mereka sanggup membeli produk hasil tanaman AOS ini kerana ada dinyatakan persijilan HACCP (tiada persijilan organik untuk produk ini setakat ini) dan ianya adalah segar dan selamat dimakan. Pada penulis blog penanaman sayuran daun dengan teknologi Aqua Organic System dikawasan bumbung bangunan seperti ini walau pun baru dipercayai akan menjadi satu trend baru pertanian dimasa akan datang dikebanyakan negara maju. Teknologi AOS ini boleh dikembangkan lagi dengan pelbagai cara pengubahsuaian mengikut lokasi, jenis tanaman, tahap kepakaran pengusaha dan situasi pasaran. Semuga anda semua mendapat info berguna dalam anim agro technology mengenai teknologi 'rooftop farming' yang dipaparkan kali ini. Wasallam!!!...
TEKNOLOGI HIDROPONIK... APA DIA...
TIADA TANAH... DIGUNA LAIN MEDIA...
BATU PEBLES... DILALUKAN AIR BAJA...
SAYUR DAUN... SESUAI DENGANNYA...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Rooftop 7, Parking Building 2,
Ang Mo Kio Ave 6,
Singapore.
(5 Julai 2019).
Kemaskini pada 5 Dec 2019.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...