Support My Blog

Saturday, March 16, 2019

JAMBU AIR DAN AGROTOURISM DI LABIS

JAMBU AIR (Eugenia aquea synonym Syzygium aquaeum) adalah salah satu tarikan kepada pelancong Agrotourism di Labis Sunrise Farm iaitu salah satu dari lokasi Agrotourim menarik di Daerah Segamat. Dusun seluas 150 ekar ini terletak 9.3 km daripada pekan Labis dengan mudah ia dikunjungi kerana berada ditepi jalan dan dapat dilihat diatas puncak bukit. Nama Sunrise ini diambil sempena kedudukan puncak bukit setinggi 97 meter dari paras laut membolehkan pengunjung melihat matahari terbit (sunrise) sewaktu pagi di Timur dan matahari tenggelam (sunset) di barat pada waktu petang. Terdapat banyak tarikan didusun ini yang dahulkunya adalah sebuah projek pertanian di bawah Zon Tanaman Makanan (ZPM) Kerajaan Negeri Johor yang diuruskan oleh PPK. Antara jenis buah-buahan yang ada diladang ini paling luas adalah Jambu Air. Buah-buahan laim seperti nangka, cempedak, durian (Musang King dan pelbagai varieti lain), Limau Lemon, Kelapa Pandan, Cempedak, Pinang, Pisang, Jambu Batu dan banyak lagi. Jambu Air pula adalah sejenis buah-buahan tropika yang sesuai ditanam dinegara kita sama ada berskala kecil atau komersil. Pada masa ini terdapat beberapa varieti atau klon jambu air yang popular iaitu Klon E3 (Jambu Air Madu Merah) dan Klon E2 (Jambu Air Madu Hijau) tetapii yang ditanam di dusunini adalah varieti E6 (Bukit Asahan). Penulis blog dapati tanaman ini kurang diminati kerana keluasan tanaman jambu air di Malaysia belum tidak ada catitan rasmi tetapi anggaran penulis lingkungan 150hektar pada tahun 2019 berdasarkan kepada keluasan CHE (Crop equivalent hectarage) yang ada. Penanaman jambu air banyak dijalankan untuk tanaman suka-suka keliling rumah pada masa dahulu dengan tidak mementingkan varieti dan pengurusan yang sempurna. Kini telah ramai petani yang mula menanam jambu air secara komersil walau pun ia bukan merupakan tanaman yang diminati. Kawasan utama penanaman jambu air mengikut kajian penulis adalah seperti di Johor, Perak, Selangor, Melaka dan Pahang. Jambu Air E6 didusun ini berjaya menghasilkan buah sepanjang tahun dan anda bolh melihat bagaimana semua peringkat daripada berbunga, membalut buah dan memetik hasil dilakukan didusun ini. Artikel malam ini saya menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai tanaman jambu air yang dijadikan salah satu daya tarikan pelancong untuk ke Sunrise Farm Agrotourism berdasarkan lawatan ladang dan juga perbincangan dengan pemilik Ah Shun yang hadir sama.


Penulis blog dapati ini kali kedua melawat dusun ini dimana kali pertama sekitar tahun 2016 (Sila klik disini). Jambu varieti ini yang asalnya ditanam secara komersial di Kg Relau, Asahan, Jasin, Melaka didakwa berasal daaripada Taiwan yang di bawa ke Malaysia oleh mereka yang ada minat menanamnya di Batu Pahat, Johor. Usahawan Encik Liow Joon Seng adalah orang yang bertanggungjawab mendaftar varieti jambu air ini dengan Jabatan Pertanian. Jambu Air beliau telah didaftarkan dengan nama JAMBU AIR ASAHAN (E6). Kebun beliau asalnya adalah seluas 8.5 ekar ditanam dengan beberapa jenis tanaman iaitu Jambu Air Merah sebagai tanaman utama dan juga Kedondong, Cili Padi Fertigasi, Nangka sebagai tanaman sampingan. Tanaman utama iaitu Jambu Air Merah adalah satu varieti baru yang didakwa Jenis Taiwan dan ia merupakan varieti Baru E6 (Didaftarkan pada Mac 2013). Cili-ciri utama jambu beliau ialah dimana kadar keguguran bunga dan putik yang sangat rendah, penghasilan yang tinggi, Bentuk buah yang seragam, Tiada atau kurang Biji, Kepadatan isi (Hampir tiada rongga ditengah buah), Rangup, Kemanisan 10-14 Darjah Brix, Buah yang menarik warnanya, pokok buah boleh direndahkan dan tangkai jambu air yang kuat. Ciri-ciri ini menyebabkan beliau akan mampu memperbesarkan projek tanaman jambu air. Beliau nyatakan perlukan tenaga keja tambahan untuk kerja-kerja membalut buah kerana bilangan 4 orang masakini tidak mencukupi. Laporan terkini (Febuari 2015) penulis berhubung dengan En Liow yang kini telah menanam Jambu Air Merah E6 dan Nangka Tekam Yellow (J33) di kawasan ZPM Bukit Mambai yang kini dijadikan pusat AgroTourism Sunrise Labis yang saya fikir memang menarik. 


Sunrise Farm ini mempunyai bangunan utama dengan ada banyak juga bilik penginapan di puncak bukit (Sila lihat foto disebelah). Jalan masuk adalah baik dimana terdapat sebuah bangunan pusat pengumpulan hasil buah-buahan seperti tembikai, betik, melon, rock melon, belimbing, jambu air, nangka dan segala jenis buah-buahan untuk pasaran domestik dan eksport. Selain dieksport ke Singapura, syarikat ini menghantar buah ke Hong Kong, China, Negara-negara Arab dan sebagainya. Didalam kompleks tersebut disediakan juga pelbagai kemudahan untuk beriadah seperti aktiviti permainan tradisional, menara timjau melihat matahari terbit, tandas, pusat karaoke, taman bunga, dewan makan dan kemudahan pengangkutan. Pada masa ini kebanyakan pelancong adalah daripada Singapura dan juga beberapa negara lain melalui Singapura. Setiap orang dikenakan bayaran RM178 termasuk penginapan, makanan, lawatan kedudun buah-buahan dan beberapa tempat pelancongan di sekitar Labis dan Segamat. Antaranya adalah lawatan ke Pekan labis untuk melihat pembuatan makanan tadisional cina (kue Pau), Pusat kraftangan membuat kasilan kayu, membuat mee wantan, tokong cina, dusun durian, air terjun dan beberapa lagi. 


Pengangkutan disediakan dua buah tram yang ditarik trektor dan Hilux untuk membawa pelancong kedusun (Sila lihat foto disebelah). Dua orang pemandu pelancong akan berikan penerangan mengenai apa yang terdapat disepanjang perjalanan tersebut. Bermula dengan menuruni bukit yang curam adalah ladang kelapa sawit dimana akan diceritakan mengenai tanaman tersebut yang kini melebihi 6.2 juta hektar di tanam di Malaysia iaitu tanaman terpenting. Ia diikuti dengan melalui dusun durian (masih berbunga ketika penulis blog melaluinya). Durian yang ditanam seperti D197, D24 dan juga D168 yang mana ketika musim buah durian mereka akan dapat menikmatinya. Kawasan berikut adalah tanaman nangka dan diikuti dengan tanaman jambu air. Buah cempedaj dan tanaman pokok pinang dilalui dengan mana ia amat menarik sekali. Tanaman pokok pinang disini adalah antara yang terluas di Johor dan berkemungkinan di Malaysia dalam satu lokasi. Buah pinang ini dituai sebulan sekali dengan bijinya dihantar ke Pulau Pinang dan dieksport keluar negara. Penanaman pokok pinang akan memerlukan penyediaan kawasan dengan menyediakan lubang bagi tujuan penanaman berukuran 50 cm x 50 cm dan kemudian di masukkan dengan baja organan sebanyak 3-4 kg satu lubang. Jarak penanaman yang di syorkan adalah 2.7 m x 2.7 m ( 9 kaki x 9 kaki) secara empat segi sama memberikan sebanyak 1,350 pokok sehektar


Di penghujung laluan tram adalah satu lokasi menarik dimana ada terowong yang mana dilitupi dengan pokok buah Gac. POKOK BUAH GAC (Momordica cochinchinensis) atau Buah Tempurang atau Buah Pupia atau nama Fak Khao (Thailand) atau Qua' Gac (Vietnam) atau Gac Fruit (Inggeris) merupakan sejenis buah yang jarang kita jumpa. Buah ini juga dipanggil sebagai Red Melon, Baby Jackfruit, Spinny bitter gourd dan juga buah Cochinchin dalam bahasa Inggeris (Sila lihat foto dibawah). Ia juga adalah sejenis tumbuhan buah dari kumpulan Labu iaitu dari keluarga Cucurbitaceae yang memang amat kurang dikenali di negara kita. Buah yang unik ini saya ada terbaca dalam Majalah 'Travel 3Sixty' dalam cabin Flight Air Asia Bulan Febuari 2018 semalam semasa menaiki pesawat tersebut. Buah yang berasal dari Asia Tenggara ini agak unik bentuknya pada saya dan kurang dikenali dikalangan penumpang pesawat mahu pun kalangan masyarakat negara kita juga. Buah Gac ini didapati sejenis buah memang kaya sebagai sumber vitamin A yang sangat baik dan khususnya adalah khasiat pada bahagian bijinya. Warna cerah merah kuat ini atau orange ini dipercayai kerana kehebatan dan kekayaannya dengan bahan iaitu Lycopene dan Beta-Carotene. Saiz buah sekitar 10 cm panjang dan 13 cm garispusat berbentuk lonjong dengan warna oren terang pada kebanyakan varieti. Dibawah pondok tepi kolam pihak dusun menyusun jambua air merah dengan ada nangka ditengahnya sebagai satu ikon dan simbol unik diiusun ini (Sila lihat foto disebelah). nangka dan jambu air E6 disini memang anatara produk penting disini. Kepada mereka yang ingin berkunjung ke Dusun Sunrise Labis, Segamat ini boleh google untuk mendapatkan tempahan dan maklumat lanjut. Semuga tulisan ini memberi info berguna kepada semua pembaca. Wasallam!!!..
DUSUN SUNRISE ... DI LABIS LETAKNYA...
PELBAGAI BUAH... TARIKAN UTAMANYA..
LIHAT MATAHARI...PAGI MUNCULLAH DIA...
BOLEH DILAWATI... BILA-BILA MASA ADA...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Room 718, Hotel View,
Jalan Sia Her Yam, 
Segaamat, Johor,
Malaysia.
(8 Rejab 1440H).

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...