Beliau kemudian berfikir bagaimana untuk mendapat jumlah pendapatan tinggi dengan menanam sayur daun daun sahaja iaitu dikawasan kecil yang intensif dan moden. Peringkat awal daripada pengalaman yang ada, beliau mencari luang pasaran untuk jenis sayur daun di pasaraya tempatan. Berikutnya dia berjaya membekalkan sayur daun siap dibungkus (ready packed) ke pasaraya untuk pasaran tetapnya. Antara jenis sayur daun yang ditanam adalah Salad, Sawi Jepun, Sawi Bunga, Daun Kucai, Kailan, Daun Keledek dan beberapa lagi. Kebanyakan sayuran daun ini hanya perlukan sekitar 30 hari untuk ditanam dan dituai dimana jadual penanaman matrik disusun untuk setiap jenis sayuran daun dapat dituai setiap hari. Kerja pertama yang dilakukan adalah meratakan tanah dan kemudian di buat sistem perparitan konkrit dan struktur batas konkrit. Kawasan ini dibina sebanyak 127 batas tanaman yang dindingnya dan lantainya adalah konkrit. Batas konkrit setinggi 15 cm diisikan dengan tanah didalamnya dan sistem pengairan microjet disetiap batas. Batas berukuran 7 meter panjang dan 1 meter lebar ini mampu ditanam sekitar 310 anak pokok salad, sawi jepun dan kailan tetapi mampu ditanam sebanyak 400 pokok sawi bunga (rapat). Penanaman ini dijadualkan dimana setelah hasil dituai pada pagi hari maka tanah diatas batas akan dirotor atau digemburkan dengan mesin rumput yang mana bahagian implementnya ditukar kepada rotor blade untuk memudahkan kerja agar tidak merosakkan dinding batas konkrit. Ia hanya ambil masa 30 minit sahaja untuk gemburkan tanah diatas batas. Pada waktu petangnya akan dibuat penanaman anak benih sayuran daun yang disemai berumur 2 minggu. Semua kerja mengubah dari tapak semaian ke batas dilakukan dengan cekap dengan hari-hari untuk pastikan penuaian juga dibuat setiap hari. Memang amat penting mengikuti disiplin penanaman sayur daun ini mengikut jadual pemasaran.
Semua benih akan disemai dalam tapak semaian dan ia akan diubah ketas batas mengikut kesesuaian sekitar 1 - 2 minggu dalam semaian bergantung kepada jenis sayuran. Sebelum menanam permukaan batas akan disiram dengan air. Sebaik sahaja siap menanam maka batas tersebut akan ditutup dengan jaring hitam selama 3 hari untuk membolehkan akar tumbuh dengan baik dan kejayaan 100% (Sila lihat foto disebelah). Jika tidak ditutup dengan jaring hitam ini maka kadar pertumbuhan akan jadi tidak seragam dan menyusahkan semasa membuat grading. Amat penting selepas dibuka jaring ini akan terus dibaja dengan baja NPK 15:15:15 jenama Yara Milla. Pembajaan kedua ditabur seminggu kemudian dan diberikan baja foliar. Terdapat dua kompartment dikawasan kebun iaitu yang berbumbung dengan yang tidak berbumbung. Ia bagi menstabilkan bekalan sayur daun berterusan kerana pada musim hujan penanaman ditumpukan pada kawasan berbumbung dengan jaring untuk jamin kualiti. Bagi kawasan terbuka pula ia lebih mudah untuk ditanam dengan sayuran tertentu sahaja seperti daun keledek, daun kucai dan sebagainya. Dakwa Wong jika ada tanaman diserang kurang baik pertumbuhannya dia akan memberikan baja berasaskan Rumpailaut yang diimport dimana ia mampu pulihakan tanaman dengan segara. Banyak baja TE (trace element) yang diberikan dikawasan kebun. pH tanah sentiasa dikawal dengan purata pH5.5 dimana pengapuran dilakukan setiap kali penanaman dan juga penggunaan baja organik.
Pertanyaan penulis kenapa beliau menolak tawaran untuk meluaskan kawasan di TKPM Kilan yang ada amat menarik. Dakwanya keperluan sayuran daun di Labuan adalah terhad kerana kuasa membeli sayuran di pulau ini adalah terhad. Kini terdapat sekitar 7 orang penanam sayuran di Labuan dimana mereka menanam pelbagai jenis sayuran buah, sedikit sayuran daun dan ulam-ulaman serta tanaman kontan lain. Strategi menanam sayur daun difikirkan hanya perlu kawasan kecil tetapi intensif. Seluruh kawasan dipagar dengan zink dan netting untuk elakan sebarang gangguan. Apa yang unik disini dimana sumber air adalah 85% daripada air paip dan bakinya kutipan air hujan (rain harvest). Air paip ini dirawat dengan bahan membuang klorin (rumpailaut) dan kemudian diperkayakan dengan baja ikan seperti kerang-kerangan, kulit ketam dan udang. Kualiti air dan Kuantiti air mencukupi sangat penting untuk menentukan kualiti sayuran yang seragam dan segar. Kos bayaran air merupakan antara kos yang signifikan disamping kos membeli benih dan baja. Semua racun diladang ini disimpan baik didalam setor dan hanya beliau seorang yang mengendalikan semburan racun yang dibancuhnya sendiri. Pekerja tidak dibenarkan membuat bancuhan untuk menjaga kualiti. Ladang ini telah menerima persijilam MyGAP pada tahun 2012 dan ianya berterusan sehingga lawatan penulis blog. Persijilan MyGAP sentiasa dipantau oleh Jabatan Pertanian Labuan dengan baik. Persijilan ini membantu pihak pengguna lebih percaya akan kualiti sayuran yang dihasilkan dari kebun ini.
Jadual penanaman merupakan perkara terpenting dalam penanaman sayuran daun. Penghasilan dikeluarkan setiap hari dan susunan penanaman dan penuaian diladang ditandakan dengan sistem penandaan. Jadi dia nyatakan jika batas tersebut ditandakan dengan pin merah ia sedia untuk dituai. Menuai dilakukan dari awal pagi sehingga selesai dalam jam 9.30 pagi dan dibersihkan. Oleh kerana semua kawasan disimen konkrit maka tiada masaalah kekotoran tanah yang terdapat pada laluan (Sila lihat foto disebelah). Simen konkrit juga menyebabkan tidak ada penggunaan racun rumpai kerana tidak ada rumput yang akan tumbuh dikawasan kebun. Ini menjimat kos membeli racun rumpai dan tenaga keerja untuk mengawal rumpai. Pemasangan dinding disekeliling kawasan tanaman sayuran ini dengan metaldeck dan jaring hitam berlapis-lapis membolehkan kawasan tanaman selamat dari gangguan perosak serangga, haiwan ternakan, tiupan angin dan sebagainya. Kawasan kebun sayur model ini jika dilihat dari luar seakan-akan kawasan perindustrian dimana pondok, pejabat dan ruangan untuk mencuci dan pembungkusan dibuat daripada kontena. Di Bahagian setor racun disusun segala jenis racun dan ada ruangan bancuhan racun yang sistematik. Diruang bengkel pula disusun semua pelatan (tools) campenter untuk beliau digunakan tujuan penyelenggaraan infrastruktur seperti paip pecah, pvc bocor, dinding batas rosak dan sebagainya dengan sistematik. Penulis blog daati memang cara kebun ini diuruskan penyelenggaraan sistem tanaman dengan amat baik sekali.
Melihat dari segi kerja-kerja penuaian, pembersihan, grading dan aktiviti pembungkusan dilakukan dalam ruangan khas. Sayur daun yang dipetik akan dimasukkan dalam bakul dan dibasuh menggunakan air bersih mengalir setelah dibuang akarnya. Ia kemudian ditoskan dan dibuat grading mengikut saiz dan kuaiti. Penulis blog mendapati saiz dan kualiti setiap pokok adalah 95% seragam kerana amalan agronomi yang mengikuti pakej amalan teknologi. En Wong beritahu KESERAGAMAN setiap pokok sayuran membolehkan sayur ini dibungkus dalam plastik atau kontainer yang seragam. Bagi sawi jepun akan dimasukkan 3-4 pokok dalam plastik yang ada lubang disisinya dan diseal. Sawi Jepun dalam bungkusan ini dijual runcit RM3.00 sebungkus (Bermakna sepokok sawi jepun RM1.00 satu). Bagi jenis salad romaine disusun 2 pokok dalam satu bekas plastik (satu bekas ini harga RM0.70) dan dijual runcit di pasaraya dengan harga RM4.50. Proses penghantaran dilakukan setiap hari sebelum jam 12 tengahari ke pasaraya dimana penyusunan didalam rak pameran jualan sayuran dilakukan petugas pasaraya. Lazimnya sayuran dihantar akan habis dan jika ada kerosakkan akan dibawa pulang En Wong (walau pun ia jarang berlaku). Konsep 'from farm to supermarket and table' yang dilakukan oleb En Wong ini merupakan satu model yang patut dicontohi kerana paling asas adalah lokasi jualan yang telah ditetapkan awal. Model ini ada dilakukan oleh beberapa syarikat seperti oleh Tongkah Trading yang beroperasi di Machap, Johor dengan skala yang sangat besar untuk pasaran Singapura. Penanaman sayuran seperti ini mampu memberikan pendapatan baik kepada pengusahanya asalkan ada jamiman pasaran tetap. Semuga artikel ini memberi info berguna kepada pembaca anim agro technology kali ini. Wasallam!!!...
SAYUR DAUN... KOMERSIL TANAMNYA...
BATAS KONKRIT... MUDAH MENJAGANYA...
BANYAK JENIS... MATRIK DI JADUALNYA...
SAIZ KECIL... PENDAPATAN LUMAYANNYA...
By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Room 554, Hotel Lazenda,
Jalan OKK Abdullah,
WP Labuan,
Malaysia.
(5 Rejab 1440H).
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.