Peribahasa BAGAI HARUAN DIDALAM TUAR mungkin ramai pembaca blog ini kurang mendengarnya atau jarang menjumpainya. Ini kerana ada perkataan 'Tuar' yang sama makna dengan 'Lukah Ikan' mungkin ramai tidak faham akan maknanya atau maksudnya. Peribahasa ini memberi makna iaitu 'Suatu keadaan yang tidak tetap kerana sakit atau keadaan yang susah' iaitu satu kiasan yang agak unik maksudnya. Ikan haruan merupakan sejsnis ikan air tawar pemangsa (Carnivore) yang lazimnya hidup bebas dalam air tawar dan bergerak mengikut kesukannya. Bagaimana pun apabila ikan ini masuk dalam tuar atau lukah ini ia tidak dapat bergerak atau menangkap ikan lain untuk dijadikan makanannya. Ini merupakan satu keadaan yang susah untuk ikan tersebut. Selagi ia berada didalam lukah maka ia dikategorikan dengan satu keadaan yang tidak selesa dan menyakitkan. Dalam kehidupan harian kita, kadang kala kita akan mengalami keadaan yang tidak stabil dari pelbagai segi seperti emosi, kesihatan, selera makan, mood dimana ia adalah disebabkan oleh tahap kesihatan kurang baik (sakit) atau mengalami tekanan (stress). Pada masa inilah lazimnya kita akan perlukan pertolongan orang lain seperti doktor untuk memberi ubat agar sakit cepat sembuh atau rakan taulan serta ahli keluarga untuk memberikan nasihat dan juga meningkatkan tahap kesabaran. Pada masa ini tekanan kerja (work stress) merupakan satu keadaan yang susah dikalangan semua orang. Orang yang ingin berjaya dalam hidupnya perlu pandaii untuk mengatasi masaalah stress ini kerana jika tidak kesan stress akan menyebabkan kesan kesihatan yang lain. Antaranya adalah seperti kesan sistem pencernaan kurang baik, tekanan darah tinggi, mudah kena demam, sakit jantung dan sebagainya. Mereka yang mengalami satu keadaan yang tidak tetap akibat sakit atau mengalami stress perlu banyak bersabar dan banyakkan berdoa serta mohon ketenangan daripada Allah swt. Artikel subuh ini dalam "Anim Agro Technology" saya mengupas secara ilmiah mengenai perkataan asas dalam peribahasa ini iaitu 'tuar' dan 'ikan haruan' sebagai subjek utama.
TUAR atau LUKAH merupakan satu alat menangkap ikan tradisional yang masih ada digunakan dikawasan luar bandar terutama untuk tangkap ikan air tawar. . Penulis berkongsi maklumat mengenai teknologi pembuatan lukah dan cara-cara menggunakan tuar/lukah bagi menangkap ikan air tawar. Secara amnya Lukah ialah sejenis alat menangkap ikan di kawasan air tawar yang sesuai digunakan di tempat seperti dalam tali air, anak sungai, kolam, parit dan sebagainya. Lukah Biasa boleh dibuat menggunakan bahan buloh atau rotan yang terdapat dikawasan kampong yang berbentuk seakan-akan seperti bubu. Rotan atau buluh yang disusun dan diikat hingga menjadi seperti sebuah bekas dengan jarak antara susunan bahan tersebut sekitar 1 cm (Sila lihat foto disebelah). Lukah mempunyai saiz panjang lebih kurang satu meter dengan garis pusat lebih kurang 20 hingga 30 sentimeter. Selalunya di bahagian kepala lukah terdapat lubang berbentuk 'kon' dengan lubang untuk membolehkan ikan masuk tetapi tidak boleh keluar. Ia dibuat daripada buluh atau rotan yang yang runcing dan tajam yang disusun menjadi seperti kon. Dibahagian ekor pula akan dibuat satu 'pintu' yang ditutup dengan struktur yang boleh dibuka dan ditutup untuk mengeluarkan ikan yang masuk dalam tuar tersebut. Dalam mengimbas ingatan penulis, diantara jenis ikan air tawar yang terperangkap seperti ikan keli, Ikan Putih, Ikan Patin, Ikan Haruan, Seluang, Udang dan kadang-kadang Belut atau Ular masuk didalamnya. Dalam beberapa kes kadangkala berlaku dimana ikan yang terperangkap didalam tuar musnah dmakan oleh ikan jenis lain jika lambat dikutip. Penggunaan tuar atau lukah untuk menangkap ikan masih relevan dalam masyarakat luar bandar untuk menambahkan bekalan protin daripada ikan air tawar. Kini tuar atau lukan dijual sebagai bahan kraftangan untuk digantung di dalam rumah, restoren, hotel dan muzeum. Ia dijual dengan harga agak tinggi dipasaran bergantung kepada bahan digunakan dan kemasan tuar tersebut.
IKAN HARUAN (Chana striatus) atau lebih dikenali sebagai 'Snakehead Fish' merupakan sejenis ikan karnivor yang hidup didalam air tawar. Satu lagi jenis ikan haruan Besar atau Giant Snakehead (Chana micropeltes) yang juga dipanggil sebagai Giant Mudfish adalah dari kumpulan yang sama. Ikan Toman (Chana melanostoma) juga dari jenis atau kumpulan ikan haruan yang mudah kita jumpa didalam tasek, sungai, taliair dan kawasan sawah padi. Penulis mempunyai pengalaman menangkap ikan haruan dengan memancing dan memasang tuar semasa remaja dulu di kampong. Mengail ikan haruan memang aktiviti yang sangat menyeronokkan kerana daya sentapan sentapan yang kuat pada ikan haruan sungguh hebat!. Selalunya apabila umpan sudah dimakan memang jarang-jarang ia terlepas semula. Ini kerana ikan haruan akan telan semua atau makan habis umpan yang digunakan melalui mulutnya yang besar. Dalam membuat rujukkan, saya dapati terdapat banyak spesis ikan haruan yang kita boleh jumpa di Malaysia dimana ada empat (4) jenis kumpulan utama ikan haruan yang boleh kita kenal dengan mudah. Ikan tersebut adalah Ikan Haruan Todak (Chana gachua), Ikan Haruan Palas/Toman (Chana melasoma), Ikan Haruan Bunga (Chana marulloides) dan juga Ikan Haruan Bujuk (Chana lucius). Kebanyakkan jenis ikan ini penulis pernah jumpa dan dapat semasa memancing dan membuat lawatan keakuarium. Ikan Haruan Todak juga dipanggil sebagai Ikan Kedak yang terdapat dikawasan air jernih dan kawasan sungai berjeram. Ikan jenis ini memakan anak udang, serangga-serangga kecil dan anak ikan lain. Ikan Haruan Palas pula berwarna kebiru-biruan dibahagian bawah badan semantara bahagian lainnya berwarna gelap kehitaman. Habitat ikan ini dikawasan-kawasan paya yang airnya mempunyai pH rendah (Sedikit asidik) dan memakan anak udang, cengkerik, cacing dan juga katak. Ikan Haruan Bunga atau Toman Bunga pula kadang2 dipangil Ikan Jelai, Jaloi, Kuang danKerandang yang hidup dalam air tawar. Habitatnya adalah kawasan berpaya, sungai, tasek dan kawasan paya tanah gambut. Ikan ini makan anak udang, anak ikan, cengkerik, cacing dan cengkerik. Ikan Haruan Bujuk pula mempunyai kepala seperti kepala ular dengan badannya mempunyai corak-corak yang menarik. Habitatnya sama dengan ikan haruan lain.
Ikan haruan dipercayai natif di kawasan Asia Tenggara sehingga beberapa negara lain seperti di India. Kebanyakan ikan ini secara semulajadinya adalah hidupan liar (wild fish) yang tinggal dikawasan air tawar seperti dalam sungai, tasik, paya dan juga kawasan yang ada air yang sesuai. Anak ikan haruan diperlihara oleh pasangan induknya dimana daripada beratus-ratus ekor anak yang menetas, lazimnya tinggal beberapa ekor sahaja yang 'survive' kerana ia selalunya akan dimakan oleh induknya. Dari perkara tersebut timbul pula peribahasa lain yang popular iaitu 'Haruan Makan Anak'. Anak ikan haruan yang baru menetas selalunya sangat halus berwarna merah coklat dimana ia berkumpul dengan induknya atau bersarang dengan mengeluarkan buih diatasnya. Semasa induknya ikan haruan sedang menjaga anak selalunya umpan pancing kita pun dia tak layan kerana kemungkinan ia sudah 'kenyang' makan anaknya. Lazimnya untuk menternak ikan haruan perlukan anak haruan liar yang dikutip dan dipelihara dalam kolam atau bekas ternakan yang diasing mengikut saiz ikan. Pada masa ini ikan haruan telah diternak dengan teknololgi yang dipelopori oleh orang-orang dari Thailand memandangkan populasi ikan haruan telah berkurangan. Aktiviti menangkap ikan haruan liar yang berterusan, proses pembiakan yang lambat, penggunaan racun kimia dalam sawah padi menyebabkan kualiti air yang terus menurun menyebabkan ikan haruan semaikin pupus. Dalam saya belajar mengenai ikan ini semasa lawatan di Thailand, hanya ikan haruan jenis Haruan Batik (Channa striatus) sahaja yang boleh dikomersilkan (Sila lihat foto paling bawah). Ikan ini perlukan masa selama 6-9 bulan untuk sesuai dituai berbanding dengan jangkamasa ternakan ikan keli cuma perlukan masa 5-6 bulan sahaja untuk dituai. Jika ikan haruan diternak lebih lama disimpan dalam kolam maka ianya akan memerlukan bahan makanan sehingga 70% dari kos pengeluaran. Kolam ternakan ikan haruan di Thailand lazimnya seluas 800 - 1,600 meter persegi dengan ada sumber air bersih dan tahap kedalaman kolam sekitar 1.5 - 2.0 meter. Beberapa kolam (sekurang-kurangnya 3 unit) disediakan untuk sekurang-kurangnya tiga (3) peringkat penternakan ikan haruan. Bahagian dasar kolam dikeringkan selama 3 hari dan diisikan dengan lapisan pasir pada dasar kolam. Isikan air sebelum dimasukan anak benih ikan haruan.
Ikan Haruan mampu membesar sehingga 50 sentimeter dan mencapai berat sehingga dua kilogram dalam masa dua tahun. Ikan haruan hampir sama dengan Ikan ketutu boleh mula dijual selepas ia mencapai usia setahun dan harga pasarannya kini untuk setiap kilogram adalah sekitar RM80 hingga RM95. Di restoran selalunya ikan haruan boleh dijual pada harga mencecah RM120 sekilogram dengan kualiti kulit ikan yang kehitaman serta berwarna sedikit coklat amat enak bagi masakan stim. Sebenarnya ikan ini menjadi hidangan yang dianggap sebagai makanan utama bagi mereka yang menggemari makanan untuk kesihatan. Ia diambil oleh mereka yang menjawani pembedahan dihospital kerana ia membantu mempercepatkan proses penyembuhan. Menternak ikan haruan selain memerlukan modal yang tinggi kemahiran penternak amat kritikal dalam menguruskan penternakan iikan ini kerana ia tidak terlepas daripada masalah seperti serangan penyakit. Dalam pengalaman penulis jika berlaku hujan dan ada matahari adalah satu fenomena dimana kadar kematikan anak ikan haruan dalam kolam meningkat. Serangan penyakit dan mati mengejut amat biasa berlaku didalam kolam perternakan ikan dalam kolam tanah. Perlu ada lebih banyak kajian dan inovasi bagi menternak ikan haruan secara komersil. Peribahasa bagai haruan didalam tuar sebenarnya boleh dijadikan panduan kepada semua maksut tersurat dan tersirat didalam peribahasa ini. Wasallam!.
IKAN HARUAN... ENAK RASANYA...
DALAM TUAR... CARA TANGKAPNYA...
INGIN MEMBELI... MAHAL HARGANYA...
BANYAK KHASIAT...SUKAR CARINYA...
By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Taman Perumahan Kg Padang,
Kuantan, Pahang,
Malaysia.
(23 RabiulAkhir 1437H).
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.