Support My Blog

Wednesday, April 13, 2016

BUNGA BALUNG AYAM - KELULUT SUKA

BUNGA BALUNG AYAM (Celosia argentea) merupakan sejenis tumbuhan dalam kategori pokok hiasan yang amat disukai oleh Kelulut (Trigona spp). Ini kerana bunga ini menjadi sumber makanan amat baik untuk kelulut yang diternak. Sama ada kelulut jenis Trigona itama atau Trigona thoracica kesemuanya mengunjungi bunga balung ayam sebagai satu pilihannya. Bunga ini merupakan diantara jenis tumbuhan yang digalakkan untuk ditanam bagi dijadikan sumber makanan lebah madu dan kelulut selain daripada Bunga Mata Air Pengantin (Honolulu Creepers), Bunga Jam Sembilan Pagi (Tunera), Pokok Tenggek Burung, Pokok Kelapa, Belimbing dan banyak lagi. Penulis yang banyak melawat projek ternakan kelulut di merata lokasi mendapati pokok ini adalah diantara pilihan terbaik untuk membekalkan makanan kepada kelulut. Bunga Balung Ayam dikelaskan sebagai tumbuhan ornamental yang semakin diminati ramai terutama mereka yang terlibat dalam ternakan kelulut. Bunga yang dipercayai berasal dan natif dari Brazil ini mempunyai bentuk bunga yang cantik dengan bunganya menyerupai 'Balung Ayam Jantan' dari segi struktur dan warnanya. Terdapat banyak spesis dan varieti pokok bunga balung yang boleh dibezakan melalui saiz pokok dan warna bunga serta bentuknya. Bunga ini memang tergolong di dalam keluarga Amaranthaceae dimana ianya dipercayai jenis atau spesis yang banyak ditanam dikawasan Asia. Ada dakwaan yang mengatakan bunga ini adalah berasal dari England yang dibawa masuk oleh penjajah pada zaman kolonial lagi. Penulis amat suka melihat pokok bunga balung ayam yang ditanam didalam pasu atau diatas tanah dengan bunga mekar disekeliling rumah dimana ia mencantikkan lagi permandangan ketika tinggal dikampong dahulu. Artikel malam ini saya menulis lagi dalam "Anim Agro Technology" mengenai pokok bunga balung ayam sebagai tanaman yang amat bagus ditanam dikawasan penternakan kelulut.


Daripada rekod menunjukkan spesis bunga balung ayam ada lebih kurang 60 jenis semuanya tetapi ada 3 jenis sebagai popular iaitu jenis Warna Merah (Celosia argentea), Jenis Warna Kuning (Celosia cristata) dan Jenis Warna Ungu-Putih (Celosia spicata). Kesemua jenis ini ada ditanam di Malaysia kecuali spesis bunga kuning iaitu Celosia cristata yang sebenarnya ia banyak ditanam di negara China. Penulis yang beberapa kali melawat China mendapati bunga ini dijadikan pokok hiasan yang popular terutama dalam musim bunga. Dari segi pokok, tumbuhan bunga balung ini mampu tumbuh menegak sehingga capai berketinggian sehingga 1.2 meter dari paras tanah. Lazimnya pokok bunga balung ayam berbatang licin dan membentuk beberapa cabang daripada peringkat awal pertumbuhannya. Daunnya yang berbentuk bujur dan tersusun bertentangan (opposite) yang terbit daripada batangnya mempunyai warna hijau dengan sedikit licin dan rata. Daunya yang lembut dan berkelok memudahkan ia dikenali walau pun belum lagi berbunga. Biji benih bunga ini terletak di bahagian bawah atau pangkal bunga dan ia berwarna coklat atau hitam. Biji yang matang mudah dijadikan biji benih untuk ditanam dikawasan baru. Tumbuhan ini juga mudah dijaga dan kurang diserang penyakit atau perosak.


Selain ditanam sebagai pokok hiasan apa yang penulis suka mengenai pokok ini adalah ia amat disukai oleh KELULUT. Dalam banyak projek kelulut yang saya lawati, pokok bunga balung ayam adalah diantara tumbuhan yang disyorkan ditanam dikawasan penternakkan kelulut. Kelulut merupakan projek yang baru popular di Malaysia sejak beberapa tahun lalu menggantikan aktiviti ternakan lebah madu. Kelebihan ternakan kelulut yang menjadikan ia diminati oleh golongan orang muda adalah disebabkan ia tidak menyengat dan mudah pengurusannya. Pada masa ini dianggarkan terdapat lebih daripada 300,000 sarang kelulut yang diusahakan diseluruh negara (Sumber: Laporan Direktori Penternakan Lebah dan Kelulut, Jabatan Pertanian Malaysia 2015). Bilangan penternak dan jumlah sarang kelulut semakin meningkat setiap bulan terutama dikawasan hutan gelam, dusun buah-buahan dan kawasan lain yang sesuai. Lazimnya apa penulis teliti adalah kelulut akan berkunjung pada bunga ini daripada pagi sehingga petang. Ia menghasilkan nektar yang disedut kelulut dan akhirnya dijadikan madu kelulut. Madu kelulut yang berkualiti dijual dengan harga diantara RM180.00 - RM200.00 satu kilogram. Madu Kelulut Tulin yang dihasilkan didakwa mempunyai khasiat yang amat baik untuk kesihatan. Ia dibotolkan dengan botol kecil yang dijual dengan harga RM25.00 sebotol. Khasiat madu kelulut banyak diperkatakan dalam banyak rujukkan. Pengusaha kelulut yang belum menanam pokok bunga balung ayam disyorkan berbuat demikian. Benih bunga matang yang ditabur diatas tanah subur mudah tumbuh dan berbunga sehingga 8-10 minggu jika dijaga dengan baik. Semuga anda mendapat info berguna setelah membaca artikel ini. Wasallam!....
BUNGA DITANAM... KELULUT SUKA...
BALUNG AYAM... NAMA JENISNYA...
BENIH DITABUR... DIBERIKAN BAJA..
LALU KELULUT...KUTIP NEKTARNYA..

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Projek Kelulut Kg Kuala Sentul,
Maran, Pahang,
Malaysia.
(18 JamadilAkhir 1437H)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...