Tanaman PISANG TANDUK (Musa spp) merupakan satu jenis pisang yang semakin popular dikalangan petani di Malaysia. Pisang Tanduk agak berbeza dengan Pisang Lang daripada segi saiz dan bilangan biji buah. Umumnya pisang tanduk merupakan sejenis pisang yang bersaiz besar dan dengan bentuknya seperti tanduk kerbau atau tanduk lembu menyebabkan ia diberi nama 'Pisang Tanduk'. Pisang Tanduk merupakan sejenis pisang yang amat sedap digoreng atau dibuat makanan ringan iaitu kerepek pisang. Kawasan utama penanaman pisang tanduk di Malaysia adalah di Johor, Melaka, Pahang dan Selangor dimana ada ramai populasi orang Jawa kerana difahamkan masyarakat keturunan Jawa memang suka menanam jenis pisang ini. Pisang ini dijual dengan harga paling makal dan ekslusif diantara jenis pisang lain kerana ia sukar diperolehi dan saiz buanya yang besar. Penelitian penulis mendapati sebiji pisang tanduk yang besar saiznya mencecah RM7.00 - RM10.00 satu bergantung kepada lokasi jualan. Terdapat banyak jenis pisang lain yang ditanam oleh petani sebagai Pisang Makan Segar dan juga pisang untuk diproses. Di antara pisang yang boleh di makan segar ialah seperti Pisang Berangan, Pisang Cavendish dan Pisang Rastali. Pisang yang biasa di masak atau diproses pula adalah seperti pisang Nangka, Pisang Raja, Pisang Lang, Pisang Relong, Pisang Tanduk, Pisang Nipah dan Pisang Awak . Anda bolej baca artikel tulisan saya mengenai jenis-jenis pisang (Sila klik disini), (Sila klik disini) dan (Sila klik disini). Artikel tengahari Sabtu ini sambil menontoh Berita TV3 saya menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai penanaman pisang tanduk untuk rujukkan anda.
Pokok pisang tanduk seperti jenis pisang lain lazimnya tumbuh menegak dengan mempunyai daun yang berpelepah (Sila lihat foto disebelah). Batangnya agak kecil yang lurus dan serta akan menghasilkan satu tandan sahaja sepokok. Keperluan iklim dan tanah untuk pisang tanduk sama dengan jenis pisang lain iaitu mempunyai keadaan panas dan lembap adalah paling sesuai untuk tanaman pisang. Ia boleh ditanam di atas jenis tanah yang dalam sama ada ia jenis ringan serta sebaiknya adalah jenis tanah permukaan rata. Tanah yang rata ini akan memudahkan pengurusan tanaman terutama untuk menuai hasil. Secara umumnya keperluan suhu yang optimum antara 25C-30C untuk tanaman pisang. Suhu yang rendah akan memberi kesan yang negatif kepada proses pertumbuhan batang, daun dan melewatkan kematangan pokok seperti dikawasan tanah tinggi. Tanaman pisang tidak tahan air bertakung dan oleh itu sebaiknya jangan tanam di atas tanah yang tidak ada saliran yang baik. Jenis Tanah bertekstur lempung berpasir dan keadaan tanah adalah peroi sesuai untuk pisang. Keadaan permukaan tanah yang sesuai hingga beralun iaitu kecerunan kurang 12%. Pisang Tanduk juga tidak sesuai ditanam pada kawasan dimana tanah yang mempunyai sebarang halangan terhadap pertumbuhan akar seperti tanah padat, ada lapisan batu, paras air tinggi, gambut dan lapisan asid. Untuk pertumbuhan yang baik biasanya pokok pisang sangat memerlukan cahaya yang terbuka. Jika terdapat naungan maka kadar pertumbuhan batang palsu akan berlarutan dan pokok bertambah tinggi. Ini akan menyebabkan tempoh kematangan juga akan berlarutan dari keadaan biasa. Suhu yang terlalu tinggi serta pendedahan cahaya yang berpanjangan akan mengakibatkan boleh berlaku kelecuran pada buah. Tiupan angin kuat juga turut mempengaruhi pertumbuhan pokok kerana daun pisang yang pecah mengganggu proses fotosintesis. Angin yang kuat boleh merosakkan daun dan mematahkan pucuk serta merendahkan mutu hasil buah. Penanaman pisang tidak digalakkan di kawasan yang terdedah kepada tiupan angin melebihi 15 km/jam. Kawasan risiko tiupan angin boleh diatasi dengan menanam pokok penghalang angin (wind breaker) seperti pokok agoda, gliricidia dan sebagainya.
Dalam cara menanam pisang tanduk dan juga pisang lain, antara faktur utama adalah mengenai sumber bekalan benih pisang. Pada masa ini benih pisang tanduk dijual dalam bentuk Benih Sulur dan juga Benih Kultur Tisu. Sumber benih sulur kini semakin kurang digalakkan kerana kemungkinan kualiti yang mungkin membawa penyakit seperti Moko. Penggunaan benih pisang tanduk kultur tisu amat sesuai digunakan dan boleh dibeli daripada pembekal yang dijamin dengan SPBT (Skim Pengesahan Bahan Tanaman). WALAU bagaimana pun secara asasnya terdapat tiga jenis sulur untuk digunakan sebagai bahan tanaman pisang tanduk iaitu Sulur Dara, Sulur Pedang dan Sulur Payung. Sebaiknya jika gunakan benih sulur ia mempunyai akar sudah terbentuk. Pilih benih yang tegap, subur dan baik untuk dijadikan benih. Elakkan menanam benih yang mana mempunyai ciri umbi kecil dan lebar atau akar dan batang lemah. Penanaman pisang tanduk ini boleh dilakukan sama ada dengan sistem Penanaman Tunggal atau Sistem Tanaman Selingan. Bagi tujuan penanaman secara tunggal ini jarak tanaman yang disyorkan adalah 2.5m x 2.5m dengan kadar kepadatan 1,600 pokok sehektar. Petani juga boleh menanam pada jarak 3m x 3m bagi mencapai kadar kepadatan mencapai 1,100 pokok sehektar. Bagi tanaman selingan maka pisang ditanam bersama tanaman kekal seperti getah, kelapa sawit, koko dan durian sebagai tanaman selingan sebelum berlaku pengeluaran hasil daripada tanaman utama. Sebaris pisang dengan jarak 3m x 3m dengan kepadatan 700-900 pokok sehektar dapat ditanam antara barisan kelapa sawit atau pokok getah dan juga pokok buah-buahan yang bersesuaian. Cara menanam dengan menggali lubang sebesar 45cm x 45 cm x 60 cm (1.5 x 1.5 x 2 kaki). Gaul tanah lapis atas dengan 11-14 kg. baja organan dan 125 gm baja fostat. Jarak tanaman ialah antara 3m x 3m hingga 3.6m x 3.6m. Pokok pisang tanduk tidak mempunyai kanopi besar seperti pisang nipah dan batangnya juga agak kecil.
Pembajaan tanaman pisang tanduk perlu dilakukan secara berjadual seperti disyorkan. Baja ini perlu ditabur sekeliling pokok atau dimasukkan ke dalam parit yang digali sedalam 5 cm. Pembajaan menggunakan sistem poket juga sesuai digunakan. Poket atau lubang sedalam 15 cm digali sejauh dalam lingkungan semeter daripada pangkal rumpun atau pokok pisang. Semasa peringkat tumbesaran baja sebatian NPK 15:15:15 diberikan bersama baja organik. Apabila pokok sudah matang diberikan baja NPK 12:12:17:2 dengan kadar disyorkan. Selalunya dalam sistem tanaman pisang secara tunggal, adalah disyorkan pisang ditanam dengan kaedah sistem tanaman berbatang tunggal atau single stem kerana sistem ini sesuai bagi pekebun pisang yang mementingkan berat tandan dan kualiti buah khususnya untuk eksport. Dalam sistem berbatang tunggal ini, hanya pokok induk dibiar tumbuh dari mula hingga peringkat berbuah (satu generasi sahaja). Anak-anak sulur yang tumbuh dibuang semuanya bermula pada 3-4 bulan selepas menanam dan diulangi membuangnya setiap 6-8 minggu sekali sehingga permulaan musim menuai. Apabila 60% keluasan kawasan telah dituai, pemangkasan menyeluruh dilakukan untuk memilih satu anak sulur sahaja pada setiap rumpun untuk dijadikan ratun dan yang selebihnya dibuang. Pemilihan pokok ratun ini adalah berdasarkan kepada ketinggian sulur (70-100 cm) dan yang didapati tumbuh di umbisi utama. Sementara itu sistem yang sesuai bagi tanaman selinganpisang tanduk adalah seperti dihuraikan dalam pemangkasan sulur atau dengan mengguna kaedah sistem berbatang dua. Sistem ini bermaksud pada setiap masa serumpun pisang mempunyai dua batang pokok iaitu pokok yang akan berbuah dan anak sulur. Dalam sistem ini sulur yang dipilih adalah ketika pokok induk mula untuk mengeluarkan bunga iaitu 8 bulan selepas ditanam bagi pisang berangan dan 6 -7 bulan bagi pisang mas. Bagi pisang tanduk pula sekitar 7-8 bulan juga.
Pengurusan Air bagi tanaman pisang tanduk penting untuk diberikan dengan sistem pengairan. Pokok pisang umumnya mempunyai keperluan air di antara 1,500 - 2,500 mm/tahun atau sebanyak 8-12 liter sehari. Biasanya ada petani yang menanam pisang tidak dibekalkan dengan pengairan jika tanah sesuai tetapi ia mendapat bekalan air dari simpanan dalam tanah atau dari air hujan. Ini kerana pemasangan sistem pengairan untuk tanaman pisang melibatkan kos yang tinggi. Pengairan titis atau renjis sesuai untuk tanaman pisang (Sila lihat foto disebelah). Sistem pengairan boleh dilaksanakan sekiranya permintaan pasaran pisang yang banyak dan pulangan hasil tanaman yang boleh menguntungkan. Namun begitu tanaman pisang dikatakan tidak dapat bertahan dalam keadaan terendam yang melebihi 24 jam. Pemangkasan Sulur pisang tanduk adalah sangat kritikal kerana pisang tanduk selalunya akan mengeluarkan banyak anak sulur. Aktiviti membuang sulur pisang tanduk yang tidak dikehendaki dengan tujuan menjarakkan penuaian hasil dalam satu-satu rumpun. Ianya juga akan memastikan hasil dan mutu buah tidak terjejas akibat persaingan dalam permakanan yang menyebabkan buah menjadi kecil. Pemangkasan peringkat awal dilakukan dengan memilih dan membiarkan satu pokok induk dan satu sulur dan di peringkat pokok berumur 3 bulan bagi pisang emas dan 4 bulan bagi pisang berangan. Seterusnya sulur-sulur lain dipangkas secara berjadual iaitu 3-4 minggu sekali. Cara pemangkasan yang mudah ialah menggunakan pisau tajam untuk memotong sulur pada aras tanah. Cantasan Pelepah juga perlu dilakukan mengikut kesesuaian. Bagi pisang tanduk pelepah tua dan berpenyakit perlu dicantas dengan menggunakan pisau tajam dari peringkat awal penanaman. Pelepah tersebut perlu dikumpulkan di suatu lokasi yang ditentukan diantara barisan tanaman pisang.
Tanaman pisang tanduk memerlukan kayu penyokong pokok terutama jika dikawasan yang mudah ditiup angin dan pokok yang mudah diserang masaalah Patah Tengkok (Neck Rot). Apa pun sebaiknya jika ada pokok yang condong perlu ditongkat dengan kayu atau buluh untuk menahan pokok pisang daripada tumbang atau patah tengkok kerana batang tidak dapat menampung buah pidang tanduk yang berat (Sila lihat foto disebelah). Batang pisang tanduk adalah kecilrbanding dengan pisang lain seperti Pisang Nipah dan Pisang Abu. Pembungkusan Tandan Pisang merupakan satu langkah awal untuk mengawal mutu buah pisang. Caranya ialah dengan membungkus tandan pisang dengan pembungkus plastik nipis atau bahan pembungkus lain yang sesuai. Tujuan membungkus adalah untuk mengelak gigitan serangga pada buah, geseran dengan daun atau kayu penyokong. Ini juga dapat mengelak buah dari calar atau lebam semasa kerja penuaian, pengumpulan dan seterusnya pengangkutan ke rumah pembungkusan. Sebelum pembungkusan pisang tanduk dan jenis pisang lain sebaiknya jantung pisang perlu dipotong terlebih dahulu. Tandan buah dibungkus dengan menyarung sehingga melepasi sisir utama dan diikat kemas. Pada penghujung tandan dibiarkan sarung plastik berlebihan menutupi kesemua sisir pisang. Kerja menanda perlu dibuat selepas pembungkusan supaya tarikh penuaian tandan pisang akan dapat ditentukan serta masa menebang pokok.
Kerja mengutip hasil pisang tanduk sama dengan pisang lain dimana pisang akan berjantung dalam masa 7-10 bulan selepas ditanam. Pisang Tanduk akan berbunga sekitar 6-8 bulan dan pisang Mas pula biasanya mengambil masa enam hingga tujuh bulan untuk berjantung dan buah boleh dikutip lapan minggu kemudian. Pisang Berangan pula berjantung anggaran sembilan bulan selepas menanam dan buah boleh dikutip dalam masa 11-12 minggu kemudian. Bagi tujuan untuk mengelakkan buah tercedera sebaiknya semasa menebang batang pokok pisang kira-kira 0.5 meter dari tandan buah. Potong sedikit-sedikit, sementara sebelah tangan lagi memegang tandan pisang agar buah tidak terhempas di tanah. Pisang tanduk yang matang dipotong tandan dan sebaiknya jangan dipotong setiap sisir atau setiap biji untuk memanjangkan masa penyimpanan. Pisang yang dipotong ini diperam beberapa hari sebelum ianya bertukar kulit dan isinya menjadi warna kekuningan. Wasallam!.
PISANG TANDUK... BESAR SAIZNYA...
PISANG TANDUK... BESAR SAIZNYA...
BENIH DIBEKAL... JAGA KUALITINYA....
DITANAM DIAIRKAN... JUGA DIBAJA...
BUAH DITUAI... TINGGI HARGANYA...
By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Aras 13, Desaminium Flora,
seri Kembangan, Selangor,
Malaysia.
(4 JamadilAkhir 1437H)
DITANAM DIAIRKAN... JUGA DIBAJA...
BUAH DITUAI... TINGGI HARGANYA...
By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Aras 13, Desaminium Flora,
seri Kembangan, Selangor,
Malaysia.
(4 JamadilAkhir 1437H)
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.