TERNAK KELULUT dengan POKOK BUNGA MATAHARI? ..... Ini merupakan satu inovasi baru yang dilakukan oleh usahawan muda di Felda Bukit Mendi, Bera, Pahang. Encik Osman merupakan seorang usahawan muda dimana bapanya Pak Cik Zakaria adalah peneroka FELDA yang memulakan aktiviti ternakan kelulut diperkarangan rumahnya semenjak setahun setengah lalu. Kini terdapat sebanyak 24 koloni kelulut disekeliling rumahnya dengan jenis Trigona itama. Semua bekalan kelulut ini pada asalnya hanya 10 koloni sahaja dimana ia dibekalkan oleh usahawan lain dari kawasan sekitar Kuantan. Kini dia berjaya menambah 14 lagi koloni dengan membeli 10 koloni tambahan dan memasang perangkap sendiri sehingga berjaya membiakkan koloni baru kelulut iaitu sebanyak 4 koloni diletakka disekeliling rumahnya (Sila lihat foto diatas). Beliau menanam pelbagai tumbuhan untuk makanan kelulutnya seperti Pokok Salak (Salacca endulis), Pokok Bunga Honolulu Creepers (Artigonon leptopus), Bunga Balung Ayam (Celosia argentea), Bunga Tunera (Tunera diffusa) dan yang saya paling suka lihat adalah Bunga Matahari atau Sunflower (Hellianthus anuus). Keseluruhan disekeliling rumah bapa beliau penuh dengan pelbagai tanaman makanan untuk kelulut dan ini menjadikan ia memberikan suasana redup dan sejuk yang sesuai untuk habitat kelulut. Kanopi oleh pokok rambai, pokok duku dan beberapa pokok salak (17 pokok) dibelakang rumahnya memberikan lindungan kepada kelulut yang diternak. Dibahagian hadapan rumahnya pula penuh dengan bunga seperti bunga matahari ditanam diatas tanah beberapa baris sehingga kelihatan seakan-akan taman bunga. Hiasan struktur kerangka tambahan seperti pondok menggantung pasu bunga menambahkan kecantikkan taman tersebut. Beberapa jenis bunga yang memberikan aroma wangi seperti bunga cempaka juga ditanam dalam pasu. Susun atur tanaman pokok hiasan dan ornamental ini amat teliti dengan sentuhan ibunya sendiri. Artikel malam ini sambil menonton TV perlawanan bolasepak diantara JDT dengan FELDA United, saya menulis dalam "Anim Agro Technology" satu teknologi menternak kelulut dengan pelbagai jenis tanaman makanan termasuk bunga matahari sebagai hasil lawatan penulis kepada usahawan Encik Osman di Felda Mendi untuk dijadikan satu bahan rujukkan.
Beberapa koloni kelulut betul-betul diletakkan didalam barisan tanaman pokok bunga matahari (Sila lihat foto disebelah). Ini menjadikan inovasi beliau saya fikir kreatif kerana memudahkan kelulut mendapatkan makanannya terutama sumber debunga dan nektar hanya bersebelahan sarangnya sahaja. Batang kayu dan Kotak Super diletak setinggi 2 kaki dari paras tanah dengan tiang yang dibubuh minyak agar tidak diganggu oleh serangga seperti semut dan kerengga. Ia ditutup diatasnya dengan tikar getah terpakai untuk tujuan melindungi kayu daripada hujan lebat dan mengurangkan kepanasan dari sinaran matahari. Penanaman bunga matahari menurut En Osman menggunakan biji benih yang dibeli daripada Kuching, Sarawak oleh rakannya yang juga tinggal dalam kawasan Felda tersebut. Benih bunga tersebut disemai dahulu dalam polibeg kecil yang diisi dengan media cocopeat dan berperingkat-peringkat semasa menyemai. Benih tersebut kemudian dialihkan diatas batas tanaman didepan rumah dengan susunan disebelah kiri dan kanan halaman rumah. Saya mengira sendiri dimana terdapat sebanyak 62 pokok bunga matahari yang ada dengan mempunyai 3 peringkat penanaman. Ada pokok yang sedang berbunga dengan banyak dan ada yang baru mula belajar berbunga serta ada yang baru sahaja ditanam. Walau pun dahulu beliau memberikan baja kimia jenis NPK 15:15:15 yang digunakan pada peringkat awal penanaman dan baja NPK 12:12:17:2 apabila ia mula berbunga, kini beliau menggunakan baja organik formulasi sendiri. Beliau yang juga usahawan mengeluarkan baja organik untuk tanaman kelapa sawit merupakan graduan universiti tempatan yang berhenti kerja dengan pihak swasta untuk menjalankan perusahaan mengeluarkan baja organik. Kini beliau sering ke Kuantan untuk menguruskan pengedaran baja organik keluarannya di seluruh Pahang.
Penelitian penulis mendapati iaitu aktiviti kelulut selama 10 minit mengira jumlah kelulut berulang alik daripada sarangnya kepada bunga matahari. Didapati kelulut akan berulang alik setiap 2-3 saat sahaja dikunjungi (Sila lihat foto disebelah). Foto yang diambil menggunakan kamera Nikon ini amat jelas menunjukkan 2 ekor kelulut sedang menyedut nektar dan dibahagian hujung kakinya ada melekat debunga berwarna kekuningan. Kunjungan kelulut kepada bunga matahari paling aktif diantara jam 9.30 pagi sehingga jam 11.30 pagi setiap hari. Paling saya suka adalah dimana bunga matahari akan berubah kedudukannya daripada waktu pagi sehingga kepetang mengikut kedudukan matahari. Kunjungan kelulut pada waktu petang kepada bunga matahari yang berwarna kuning ini juga berlaku tetapi tidak begitu aktif seperti pada waktu pagi. Dalam membuat pemeriksaan dalam kotak koloni didapati debunga bunga matahari ada disimpan sedikit dibahagian tengah kotak super dalam beberapa kotak tertentu. Ini kerana lazimnya debunga akan disimpan dalam bahagian batang kayu berhampiran dengan anak dan telur. Hanya madu dan nektar saha yang sering disimpan dalam kotak super.
Inovasi En Osman menanam bunga matahari disekeliling rumahnya menjadi satu kaedah baru dalam aktiviti atau pengurusan penternakan kelulut. Bunga matahari mampu bertahan hidup dalam masa 3-4 bulan malah mungkin lebih lama lagi jika dijaga dengan baik terutama jika banyak menggunakan baja organik. Penulis mendapati pokoknya telah tinggi (lebih tinggi daripada penulis) bermaka ia hidup subur dan dijaga dengan baik (Sila lihat foto diatas). Kalau anda teliti dalam foto diatas juga ada sepokok Durian Belanda yang baru ditanam dicelahnya. Menurut En Osman dia menanam durian belanda untuk dijadikan sumber makanan kelulutnya apabila buahnya masak kelak. Penulis menyarankan agar beberapa jenis buah-buahan diberikan kepada kelulut ketika musim hujan berpanjangan dimana kelulut boleh mendapatkan makanan dari buah yang diberi. Setakat ini tuaian madu telah dijalankan dua minggu sekali atau sebulan sekali bergantung kepada keadaan musim dan kandungan kuantiti madu kelulut didalam super. Madu kelulut yang dijual dengan harga sekitar RM150 - RM180 sekilogram lazimnya dibotolkan dalam botol kecil yang jualan runcitnya sekitar RM25 sebotol. Ramai pelanggan yang membeli adalah mereka yang ada masaalah kesihatan seperti kencing manis, darah tinggi, lemah ingatan dan ulser dalam perut. Tanaman bunga matahari dikawasan penternakan kelulut selain dapat membekalkan makanan kepada kelulut ia juga amat memberi kesan indahkan taman disekeliling rumah. Wasallam!.
MUDAH DITANAM...AMAT CANTIKNYA...
ADA KELULUT...DICELAH-CELAHNYA....
INOVASI BARU... BOLEH LAKSANA...
By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Room A4, Hotel Sireh,
Wakaf Che Yeh,
Kota Bharu, Kelantan,
Malaysia.
(4 March 1437H)
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.