POKOK KECUBUNG (Datura metel) ialah sejenis pokok renek herba semusim yang kurang dikenali di negara kita. Tumbuhan ini adalah dari keluargai Solanaceae (Sama dengan terung dan cili) yang dipercayai berasal dari China. Nama lain bagi tumbuhan ini adalah seperti Horn Of plenty, Angel"s trumpet, Downy Thorn Apple dan Devil"s Trumpet. Nama-nama ini adalah berdasarkan kepada bentuk marfologi bunganya seperti bentuk trumpet dan buahnya yang berduri. Terdapat beberapa spesis atau nama lain bagi tumbuhan ini seperti Datura fastuosa Linn, Datura alba Ness dan Datura fasttuosa Linn. var alba C.B. Clarke. Penulis sebelum ini kurang kenal akan tumbuhan ini tetapi memahaminya setelah membuat lawatan teknikal di Taman Herba Perak, Gopeng, Perak tidak lama dulu sebanyak 3 kali. Memang sukar untuk mendapatkan info mengenai tanaman ini kerana ia tumbuh liar dan jarang ditanam untuk tujuan komersil. Kajian menunjukkan pokok Kecubung banyak ditanam sebagai tumbuhan hiasan kerana bunganya yang cantik dan unik. Antara beberapa jenis yang biasa dijumpai ialah seperti Kecubung Biasa, Kecubung Kecil dan juga jenis dikenali Kecubung Putih (Datura stramonium). Pokok Kecubung ialah salah satu daripada 50 jenis herba asas yang telah pun digunakan dalam dunia herba cina (Singseh) dan dipanggil mereka sebagai yáng jīn huā. Ramai orang yang pernah mendengar bahawa kecubung adalah beracun jika dimakan pada jumlah yang besar. Ini didapati apabila terdapat tanda atau gejala-gelaja termasuk kulit yang merah, sakit kepala, halusinasi dan mungkin konvulsi (iaitu menggigil-gigil dan terkejang-kejang) serta juga keadaan koma iaitu pada tahap serius. Unsur-unsur toksiknya yang utama ialah bahan yang dikenali sebagai Alkaloid-alkaloid tropana. Artikel subuh ini saya menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai sejenis tumbuhan yang beracun dipanggil sebagai Pokok Kecubung untuk idjadikan bahan bacaan dan rujukkan.
Kecubung ialah sejenis pokok renek yang bercabang dengan banyak. Batangnya jenis keras berkayu dan cabangnya seolah-olah membentuk rumpun. Tinggi pokok kecubung selalunya kurang dari 2 meter dan rendah jika dicantas. Ia membiak melalui biji benih dan keratan batang. Benih yang matang dan bernas mudah tumbuh jika disemai. Pada masa ini pokok kecubung banyak ditanam sebagai tumbuhan hiasan kerana warna dan bentuk bunganya yng cantik dan unik. Penulis dapati bunga kecubung membentuk serombong yang besar dan boleh dijumpai dalam saiz dan warna yang berbeza (Sila lihat foto disebelah). Diantara jenis yang biasa dijumpai ialah kecubung biasa dan juga kecubung kecil. Warnanya bunganya yang biasa dijumpai ialah ungu dan putih tetapi ada juga yang berwarna kuning dan oren. Buahnya pula berwarna hijau semasa muda dan akan bertukar kepada warna coklat apabila matang yang lazimnya mempunyai duri-duri halus diluarnya. Kajian makmal menunjukkan kandungan kimia dalam pokok kecubung adalah seperti Hiosin, Oksalik, Lemak dan Hyosiamin. Kajian menunjukkan kecubung putih ialah kecubung yang paling beracun sekali kerana ia mengandungi sebatian alkaloid. Penggunaan segala ubat dari pokok kecubung terhad untuk kegunaan luar sahaja.
Semua bahagian tumbuhan ini didapati beracun walau pun begitu kesan keracunan hanya akan berlaku sekiranya sebarang bahagian tumbuhan ini dimakan dalam kuantiti yang banyak. Jika ada yang kena keracunan kecubung terutamanya kalangan kanak-kanak jangan biarkan pesakit tertidur sebaliknya biarkan mangsa berada dalam keadaan sedar dengan cara minum kopi dan menyedut udara segar hingga kesan keracunan kecubung hilang. Kita boleh manafaatkan kecubung sebagai ubat seperti yang telah dibuat di negara china. Pokok kecubung merupakan salah satu daripada 50 herba asas yang digunakan dalam herbologi Cina. Walaubagaimana pun penggunaan segala ubat dari kecubung terhad untuk kegunaan luaran sahaja. Dalam perubatan melayu pula lazimnya kecubung digunakan untuk merawat penyakit seperti asma, rheumatik, sakit pinggang, bisul dan resdung. Terdapat berbagai cara dan kaedah boleh digunakan dari buah kecubung dan salah satu cara bagi menghilangkan bentan pada buah zakar bayi Caranya apa yang penulis temui orang lama adalah dengan mengambil daun kecubung dan disapu dengan minyak kelapa dan kemudian perlu dilayur di atas api. Setelah itu dibalut buah zakar bayi tersebut dan biarkan untuk selama beberapa ketika sehingga hilang bentan tersebut. Apa-apa pun jika aplikasi ini tidak berjaya sebaiknya dibawa kepada doktor dikawasan berhampiran.
Kegunaan lain dari tumbuhan ini adalah untuk rawatan masaalah asma dan resdung. Caranya adalah dengan mengambil sebanyak 10 helai daun kecubung dan kemudian dihiris halus dan dijemur hingga kering. Apabila kering ia kemudiannya perlu dijadikan rokok dengan dibungkus dalam kulit jagung atau kertas putih. Satu lagi cara untuk merawat resdung dengan menggunakan biji buah kecubung. Jemur biji kecubung lebih kurang 3 hari hingga nampak kering. Ambil tempurung buah yang telah di belah dua maka ia dikeringkan dan dibersihkan. Tebuk lubang kecil di atasnya untuk di masukkan hujung batang anak buluh seperti straw pada permukaan lubang tersebut. Pastikan buluh betul-betul muat untuk lubang kelapa yang di tebuk. Sedia untuk di gunakan. Bagi tujuan rawatan sakit pinggang dan sengal-sengal badan dilakukan dengan mengambil sebanyak 4 helai daun kecubung dan kemudian dicampurkan dengan kapur sirih secukupnya. ia perlu ditumbuk sehingga lumat dan menjadi adunan yang sebati untuk disapukan pada bahagian yang sakit tersebut. Bagi rawatan sakit rheumatik pula boleh dilakukan dengan ambil daun kecubung diramas hingga layu dan disapukan minyak kelapa. Daun ini kemudiannya dilayurkan pada api dan ditampal pada tempat atau bahagian yang sakit ketika masih panas. Nagi rawatan selesama sebaiknya diambil bunga kecubung dan jadikan seperti tembakau dan dihisap dengan mengeluarkan asap dihidung. Kesannya hidung akan keluar lendir berketul-ketul. Daripada kenyataan diatas didapati banyak kegunaan daun dan bunga kecubung untuk kesihatan. Biji kecubung juga beracun namun tidak mendatangkan mudarat yang keterlaluan jika digunakan dengan betul. Penanaman pokok kecubung di Malaysia mempunyai potensi besar jika ada pihak yang membeli dan memprosesnya untuk dijadikan produk kesihatan. Semuga artikel ini memberi info berguna kepada pembaca blog Anim Agro Technology kali ini. Wasallam!...
POKOK KECUBUNG... APA DIANYA...
POKOK ADALAH NATIF...DARI CHINA...
IA BERACUN... PELBAGAI GUNANYA...
DITANAM KOMERSIL...BAGAIMANA?..
By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Precint 11, Putrajaya,
WP, Malaysia.
(11 Syawal 1436H)
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.