Support My Blog

Thursday, March 17, 2016

POTENSI KELAPA RENDAH

TANAMAN KELAPA (Cocos nucifera) adalah sejenis tanaman yang tergolong dalam keluarga Arecaceae (dulu dipanggil sebagai Keluarga Palmae). Pokok kelapa juga merupakan tanaman pelbagai guna (tree of life) dimana setiap bahagian atau komponen pokok kelapa mempunyai kegunaan tersendiri dan disebut sebagai pokok yang membekalkan semua keperluan hidup semenjak dahulu terutama dikawasan kepulauan dikawasan tropika. Penulis yang berpengalaman dalam industri kelapa mendapati terdapat dua kumpulan utama tanaman kelapa iaitu KELAPA TINGGI (Cocos nucifera var. typical) dan KELAPA RENDAH atau dwarf (Cocos nucifera var. nana). Jenis ketiga adalah dikenali sebagai KELAPA HIBRID (Hybrid coconut) iaitu merupakan kelapa yang dihasilkan melalui proses kacukan silang (crossing) di dalam dan antara dua kumpulan utama itu. Antara jenis kelapa hibrid yang terkenal di Malaysia adalah kelapa MATAG iaitu hasil kacukan diantara varieti Kelapa MYD (Malayan Yellow Dwarf) atau MRD (Malayan Red Dwarf) dengan Kelapa Tinggi varieti Tagnanan. Kelapa Tinggi Tagnanan pula memmpunyai pelbagai warna buah iaitu CN7 (Tagnanan Hijau), CN8 (Tagnanan Orange) dan CN9 (Tagnanan Gold) yang mana hasilnya ujud 3 jenis kelapa Matag selepas kacukan silang. Kelapa Matag tersebut adalah Matag Hijau (CN13), Matag Orange (CN14) dan Matag Gold (CN15). Di Malaysia, kelapa merupakan tanaman industri yang keempat terpenting selepas kelapa sawit, getah dan padi dengan keluasan 86,331 hektar yang ditanam di seluruh negara dengan pengeluaran sebanyak 619,353 tan metrik dilaporkan pada tahun 2016 (Sumber: Laporan Statistik, Jabatan Pertanian Malaysia). Negeri utama yang luas dalam menanam kelapa adalah Perak, Johor, Selangor, Sarawak dan Sabah. Dianggarkan sebanyak 70 peratus daripada kawasan itu adalah varieti Kelapa Tinggi Malaya -CN1 (Malayan Tall) yang semakin kurang produktif dimana mencecah umur melebihi antara 30-50 tahun. Sementara itu, kelapa rendah adalah jenis kelapa yang dihasilkan secara pendebungaan terbuka dimana ketinggian pokok hanya boleh mencapai enam meter (m). Artikel subuh ini saya menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai potensi kelapa jenis rendah (dwarf variety) berdasarkan laporan akhbar Kosmo yang disusun semula penulis yang juga pengarang bersama artikel asal dalam akhbar ini.

Sebenarnya terdapat banyak jenis kelapa rendah yang telah dikenalpasti dan juga didaftarkan diseluruh dunia. Bagaimana pun jenis-jenis kelapa rendah yang berpotensi diusahakan di Malaysia ialah seperti Kelapa Pandan (CN6), Kelapa Rendah Kuning Malaya (MYD) dengan nombor daftar CN5 dan Kelapa Rendah Merah Malaya (MRD) dengan nombor daftar CN4. Ketiga-tiga jenis kelapa rendah ini berpotensi mengeluarkan hasil sebanyak 10 hingga 20 biji setandan iaitu boleh memberikan hasil sebanyak 25,000 hingga 30,000 biji sehektar setahun. Sejenis kelapa rendah terbaru yang mungkin menjadi pilihan utama dimasa akan datang adalah Kelapa Rendah Tacunan dan Kelapa Rendah Coklat (MBD - Malayan Brown Dwarf) dimana ia masih belum didaftarkan dalam National Plant Listing). Kelapa Tacunan berasal daripada Filipina yang buahnya besar dan banyak adalah satu pilihan terbaik dimasa akan datang (Sila baca artikel tulisan saya sebelum ini - Sila klik disini). Tanaman kelapa rendah yang mencapai ketinggian optima sehingga enam meter itu terdiri daripada tiga jenis yang kini digalakkan iaitu kelapa Pandan, Kelapa Rendah Kuning Malaya dan Kelapa Rendah Merah Malaya. Walau pun kelapa rendah bukan menjadi pilihan ramai dikalangan petani kerana mengeluarkan buah yang bersaiz kecil, tetapi jika ditanam dengan komersil dan dijaga dengan baik ia adalah setanding dengan penanaman kelapa tinggi Malayan Tall (CN1) malahan lebih menguntungkan lagi. Penulis kini mendapati masa ini ramai dikalangan petani hanya ingin menanam kelapa Matag dan Kelapa Pandan sahaja tetapi tidak mahu menanam jika mereka diajukan untuk menanam kelapa rendah ini. 

Potensi pengeluaran kelapa rendah tidak kalah jika dibandingkan dengan jenis kelapa tinggi. Pokok kelapa rendah ini juga mula mengeluarkan hasil seawal tahun ketiga selepas penanaman. Keluasan tanaman kelapa rendah di Malaysia pada masa kini direkodkan adalah dianggarkan 10 peratus daripada keluasan keseluruhan tanaman kelapa. Pada penulis yang sering membuat analisis mengenai industri tanaman kelapa, kelapa rendah ini amat berpotensi untuk dibangunkan sebagai tanaman kelapa komersial kerana ia mempunyai produktiviti yang amat tinggi dengan pengeluaran sebanyak 25,000 - 30,000 biji satu hektar setahun. Kepadatan tanaman yang tinggi iaitu sebanyak 250 hingga 270 pokok sehektar (6.5m x 6.5m) berbanding kelapa Tinggi Malaya sebanyak 100 hingga 120 pokok satu hektar (10m x 10m) dengan pengeluaran sebanyak 6,000 hingga 8,000 biji sehektar setahun. Kajian dibeberapa lokasi penanaman kelapa rendah mendapati tawaran harga ladang bagi kelapa tua ialah RM1.00 hingga RM1.20 sebiji manakala harga ladang kelapa muda sebanyak RM1.50 hingga RM1.70 sebiji. Pada masa ini, penanaman kelapa rendah adalah salah satu alternatif kepada kelapa Matag kerana isu kekurangan dan kesukaran mendapatkan benih hubrid kelapa Matag. Di samping itu, sumber bekalan anak benih kelapa rendah sentiasa boleh diperoleh dari pusat-pusat Pertanian Jabatan Pertanian Malaysia dengan harga RM4.00 sepokok untuk Kelapa Rendah Merah atau Kuning Malaya dan RM6.00 sepokok untuk kelapa Pandan. Harga ini amat jauh lebih murah dibandingkan dengan harga benih Kelapa Matag iaitu RM40.00 sepokok (Hampir 10 kali ganda). 

Pengeluaran anak benih kelapa rendah juga adalah tidak serumit pengeluaran anak benih kelapa hibrid kerana ia tidak memerlukan proses kacukan (pendebungaan berbantu). Benih kelapa rendah boleh diperoleh dengan mengutip dan menyemai buah kelapa tua dari pokok yang terpilih dan berkualiti. Ada beberapa pusat pertanian Jabatan Pertanian dan nurseri swasta yang membekalkan benih kelapa rendah terutama benih kelapa pandan yang berkualiti (Sila lihat foto disebelah). Bagaimana pun sebaiknya petani perlu bertanya atau mendapatkan pengesahan daripada Jabatan Pertaniam dahulu tentang ketulinan benih kelapa rendah ini melalui Skim Pengesahan Benih Tanaman (SPBT). Kelapa rendah ini juga berpotensi untuk diproses bagi menghasilkan kelapa parut, kelapa parut kering, kerisik, santan kelapa serbuk santan dan minyak kelapa. Produk-produk yang mempunyai pertambahan nilai antaranya ialah minyak kelapa dara (VCO), jeli kelapa, nata de coco, serat kelapa, karbon teraktif dan produk kraf tangan. Dengan saiz buah yang sederhana besar, ia amat sesuai untuk dijadikan sebagai minuman air kelapa muda terutamanya kelapa pandan yang mempunyai aroma dan rasa manis. Kelapa rendah juga amat sesuai dijadikan sebagai tanaman landskap iaitu warna pokok dan buahnya yang menarik (hijau, merah dan kuning), bentuk pokok yang tidak begitu besar, tidak memerlukan ruang yang luas serta sesuai ditanam di kawasan perumahan dan taman-taman. Kepada petani dan usahawan yang dulu bercadang menanam kelapa Matag dan sukar mendapatkan benih kelapa Matag F1 yang tulin adalah dicadangkan untuk menanam kelapa rendah sebagai satu pilihan. Wasalam!.
KELAPA RENDAH...BERPOTENSI...
BENIH DIJUAL... MUDAH DIBELI...
CEPAT BERBUAH...TIDAK RUGI...
BACA ARTIKEL... FIKIR SENDIRI...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Pusat Pertanian Jorak
(Pusat Pengeluaran Benih Kelapa Matag),
Pagoh, Muar,
Johor, Malaysia.
(28 JamadilAwal 1437H)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...