TANAMAN BAWANG MERAH (Allium cepa) merupakan sejenis tanaman yang ditanam dibeberapa negara Asia Tenggara tetapi tidak popular di Malaysia. Negara China dan India adalah negara yang luas menanam bawang merah yang mana kita banyak impot daripadanya. Dalam lawatan saya ke lokasi penanaman bawang di kawasan Wonosobo, Jogjakarta dapat saya belajar sedikit teknik penanaman bawang merah. Tanaman bawang merah harus di tanam pada keadaan kawasan sesuai iaitu kawasan yang beriklim kering, suhu udara yang agak panas, tempat terbuka atau cukup mendapat sinar matahari dan tidak berkabus. Kawasan yang berkabus kurang sesuai terhadap pertumbuhan tanaman bawang merah kerana ianya dapat menimbulkan serangan penyakit. Lazimnya kawasan yang terlindung naungan akan menyebabkan proses pembentukan umbisi bawang merah tidak maksima. Tanaman bawang merah dapat di tanam di kawasan tanah rendah atau pun didataran tinggi dengan ketinggian antara 0 -1,000 meter di atas permukaan laut. Namun, tanaman bawang merah lebih sesuai dikawasan dataran tanah rendah dengan ketinggian 0 - 400 meter di atas permukaan laut. Pertumbuhan paling optima adalah pada paras ketinggian 0 - 30 meter di atas permukaan laut. Pada pada ketinggian ini lazimnya tanaman bawang merah mampu untuk menghasilkan umbisi yang paling baik. Pada ketinggian 800 - 900 meter di atas permukaan laut pula dilaporkan yang tanaman bawang merah dapat tumbuh meskipun didapati tahap pertumbuhannya kurang baik dan pembentukan untuk umbisinya juga lambat. Suhu yang paling sesuai untuk pernanaman bawang merah ialah antara 25-32 °C. Jika tanaman bawang merah di tanam pada suhu 22 °C pula lazimnya tanaman akan sukar menghasilkan umbisi atau tidak dapat membentuk umbisi pun pada keadaan suhu rendah ini. Artikel subuh hari Sabtu ini saya menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai teknik penanaman bawang merah daripada pengalaman sendiri dan lawatan ke kebun bawang merah di Indonesia untuk bacaan anda semua.
Secara umum tanah yang sesuai untuk menanam bawang merah ialah tanah yang subur, gembur, banyak mengandungi bahan organik atau humus, mempunyai sistem pengudaraan udara yang baik, ada saliran baik dengan mudah mengalirkan air, pengudaraan baik dan tidak lecak. Tanah yang subur dan gembur dapat memudahkan pertumbuhan umbisi bawang merah sehingga umbisi yang terhasil bersaiz besar-besar. Tanah yang bersifat asidik (tanah masam) tidak sesuai untuk proses pertumbuhan bawang merah dan ia perlu di lakukan dengan pengapuran. Proses pengapuran di lakukan sebelum kita menanam bawang merah. Pengapuran sebaiknya dilakukan beberapa hari sebelum penanaman dibuat untuk memberi kesan terbaik. Teknik penanaman bawang merah di Indonesia saya dapati melibatkan beberapa tahap. Pertama adalah Tahap Penanaman untuk menghasilkan umbisi bawang merah yang bermutu dimana jumlahnya banyak adalah memerlukan teknik penanaman yang betul dan tepat. Untuk itu, sebelum menanam kita harus mengetahui perkara yang berkaitan dengan penanaman, seperti faktor 'Masa' sebaiknya penanaman dilakukan, bagaimana 'Cara' menyediakan tanah dan mendapatkan 'Anakbenih'. Kita juga kena tahu bagaimana cara menanam bawang merah dan bagaimana cara untuk menjaganya. Berikut saya akan membincangkan beberapa teknik atau langkah-langkah menanam bawang merah untuk dijadikan panduan.
Masa paling sesuai (Merujuk kepada iklim atau Bulan) untuk menanam adalah pada 'musim kering' kerana bawang merah tidak menyukai tempat-tempat yang sering lembap atau mengandungi air (Sila lihat foto sebelah). Namun, bawang merah sangat memerlukan air yang banyak untuk proses pertumbuhannya terutama ketika diperingkat pembentukan umbisi. Masa menanam yang paling baik untuk menanam bawang merah ialah pada musim kemarau. Akan tetapi anda harus dilengkapi dengan sistem pengairan yang baik agar tanaman bawang merah tidak akan berlaku kekurangan air. Penanaman bawang merah di Pulau Jawa sesuai di lakukan pada bulan April-Oktober kerana pada bulan-bulan tersebut sedang mengalami musim kemarau. Penanaman bawang merah sebaiknya di lakukan pada ketika cuaca sedang cerah. Elakkan penanaman bawang merah semasa pergantian musim atau musim tengkujuh kerana masa itu sering terjadi angin kering. Angin kering dapat menyebabkan daun tanaman bawang merah menjadi patah dan ujung-ujung daun kelihatan seperti terbakar (scorching). Elakkan juga menanam bawang merah pada masa berkabus yang biasa terjadi dikawasan tanah dataran tinggi. Udara yang berkabus ini boleh juga menyebabkan timbulnya penyakit yang di sebabkan oleh sejenis Kulat.
Pemilihan BENIH BAWANG MERAH dilakukan dengan menanam umbisinya dan amat jarang petani disini menggunakan biji benih. Sama seperti untuk tanaman bawang putih, selalunya untuk mendapatkan benih bawang merah boleh di lakukan dengan cara menanam sendiri atau membelinya (Sila lihat foto sebelah pemilihan benih bawang merah dilakukan). Untuk cara mendapatkan benih yang baik, petani mesti pandai dalam memilih jenis benih. Benih bawang merah yang sesuai untuk tanam ialah benih yang telah di simpan selama 2-3 bulan ditempat yang sesuai (digantung pada kayu). Umbisi yang akan di gunakan sebagai benih mestilah umbisi yang mempunyai bahagian bawah untuk keluar akar atau kelihatan muncul tunas diatasnya. Selain itu, benih umbisi juga disediakan atau berasal dari tanaman yang sihat dan dituai pada usia tua serta matang. Umbisi yang sudah tua berasal dari tanaman yang di tuai ketika berumur 70 - 90 hari. Pada umur tersebut pertumbuhan bakal tunas bawang merah dalam umbisi sudah penuh. Umbisi yang di tuai dari tanaman bawang merah yang telah tua dilihat sebagai 'padat' dan 'berisi'. Jika umbisi terasa lembut atau kurang padat ketika di pegang, bermakna umbisi tersebut berasal dari tanaman yang belum cukup matang ketika penuaian dan jangan dipilih seperti ini. Umbisi yang berasal dari tanaman yang sihat mempunyai warna seakan cerah, berkilat, segar dan tidak kecut. Selain itu pastikan ia tidak nampak warna hitam yang menandakan adanya serangan penyakit yang di sebabkan oleh kulat.
BERSAMBUNG Part 2 (Sila klik disini). Wasallam!.
MARI MENANAM... BAWANG MERAH...
Benih bawang merah berkualiti |
NEGARA JIRAN...TEKNIK DIPERAH...
MEMILIH LOKASI...SIAP SUDAH...
MEMILIH BENIH... BUKAN MUDAH...
By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Room 304, Hotel Adya Nalendra,
Jojakarta,
Indonesia.
Indonesia.
(1 Rabiulakhir 1435H)
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.