Support My Blog

Sunday, January 27, 2013

BUAH BERDURI

BUAH BERDURI (Thorned fruit) adalah jenis buah-buahan yang mempunyai duri pada kulitnya. Duri yang terdapat pada 'Kulit Buah' tersebut mempunyai fungsi tersendiri apabila ujud struktur pada kulit buah mempunyai duri sama ada bentuk durinya tajam, tumpul, dempak atau pun bentuk lebih halus seperti rambut. Saya tidak membincangkan bahagian 'Batang' pokok buah mempunyai duri kali ini kerana ia akan ditulis didalam artikel lain. Beberapa jenis buah-buahan tropika yang mempunyai duri yang dapat saya bincangkan kali ini adalah seperti Buah Durian, Durian Belanda, Nangka, Cempedak, Rambutan, Pulasan dan Salak. Keujudan duri pada buah ini sedikit sebanyak memberi kesan kepada kita untuk membeli buah tersebut kerana mungkin ada beberapa kesukaran untuk kita membuka dan memakannya. Sering dilaporkan terdapat beberapa kes terpencil dimana manusia tercedera akibat duri yang ada pada buah-buahan sama ada sengaja atau tidak sengaja terkena duri. Artikel pagi Sabtu ini saya menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai beberapa jenis buah berduri untuk dijadikan bahan bacaan dan rujukkan pembaca blog ini berdasarkan pengetahuan, pemerhatian dan rujukan dari pelbagai buku.


DURIAN merupakan 'Raja Segala Buah' yang mempunyai duri. Nama buah Durian (Durio zibethinus) juga berasal dari perkataan asal iaitu 'DURI' dimana ia dimaksudkan buah yang berduri menjadi 'Buah Durian' - Lihat foto diatas. Daripada 10 orang yang saya tanya apakah dia buah yang berduri?, Jawapan mereka 100% mengatakan dan menjawab 'Buah Durian' sebagai jawapan yang pertama. Duri pada buah durian mempunyai bentuk dan ketajaman yang berbeza-beza mengikut varieti durian, kedudukan duri pada buah (Pangkal, tengah dan hujong buah) serta antara luar dan bahagian lekuk pangsa. Duri pada durian terbentuk semenjak peringkat putik lagi dengan struktur yang lembut dan akan menjadi keras dan tajam apabila durian telah matang. Buah durian yang gugur setelah masak akan jatuh ketanah dan dengan ujudnya duri, ini akan menyebabkan buah tidak mudah pecah kerana duri akan bertindak sebapai pelapik (absorber atau cushion). Walau pun durian berduri, itu tidak menjadi masaalah kepada tupai dan monyet untuk makan buah durian tanpa menggunakan alat khusus. Haiwan tersebut mampu menebuk kulit buah durian dengan mudah tanpa luka macam kita membuka durian dengan pisau dan sarung tangan. Itu pun kadang-kadang luka juga apabila tidak ada kemahiran.




DURIAN BELANDA (Anonna muricata) merupakan sejenis buah yang juga mempunyai duri. Durian Belanda (Soursop) merupakan buah yang mempunyai kulit nipis berwarna hijau (Lihat foto diatas) dengan duri yang lembut dan ia didapati  tidak merbahaya. Duri pada durian belanda adalah lembut apabila buah cukup masak walau pun ianya agak keras sedikit semasa buah masih muda. Fungsi sebenar duri pada buah tersebut tidak tidak dapat dipastikan kerana buah ini lazimnya apabila masak akan menjadi lembut dan isinya sama ada masam atau sedikit manis. Membelah durian belanda dengan pisau tajam juga mudah dimana durinya tidak menganggu semasa potongan dihidangkan.



Adakah buah nangka dikategorikan buah berduri?. Nangka (Artocarpus heterophyllus) memang mempunyai kulit berduri. Buah nangka ketika muda mempunyai kulit yang keras dengan duri yang agak dempak (tidak tajam tirus seperti buah durian). Bagaimana pun terdapat juga beberapa varieti nangka yang ketika muda mempunyai kulit berduri agak tajam. Serangan ulat pengorek buah pada kulit nangka bermula diperingkat putik lagi dengan Lalat Buah (Bactocera spp) bertelur pada kulit buah nangka (dicelah-selah duri) dan apabila menetas akan menjadi larva yang merosakkan buah.



Seperti juga buah nangka, Buah Cempedak (Artocarpus chempeden) juga dikategorikan sebagai buah yang berduri.
CEMPEDAK mempunyai kulit berduri dempak dimana ia berbentuk 5 segi. Cempedak menghasilkan aroma yang kuat apabila masak seperti juga buah nangka. Fungsi duri pada buah cempedak juga menjadi 'cushion' apabila buah tersebut bergesel dengan batang pokok atau pun ketika dibalut. Saya juga ada mencipta Alat Pembalut Putik Cempedak (APC-2) menggunakan plastik dan galah bagi membalut putik cempedak yang agak tinggi. Duri pada buah cempedak sama seperti duri pada buah nangka yang tidak berapa tajam dan mempunyai bentuk yang agak unik. 




RAMBUTAN (Nephelium lappaceum) juga mempunyai kulit yang ada 'duri' walau pun ia lebih bersigat sebagai RAMBUT. Buah ini mempunyai ciri duri yang lembut macam rabut yang menyebabkkan buah ini di panggil sebagai 'Rambut + tan'. Fungsi 'duri' atau rambut pada buah rambutan ini adalah untuk memberi perlindungan pada buah apa bila ia jatuh ketanah ketika dipetik. Selain itu, ia memanjangkan lagi jangkahayat buah rambutan selepas dipetik. Terdapat beberapa varieti seperti Rambutan Anak Sekolah yang ada duri atau rambut agak keras dan tahan selama lebih 7 hari. Buah rambutan kalau tidak ada rambut, macam mana rupanya?. Bulat dan agak pelik juga rupanya. 



PULASAN (Nephelium mutabile) merupakn buah yang mempunyai duri yang pendek seperti rambut tetapi ia lebih keras dari bulu rambutan (Lihat foto diatas). Pulasan merupakan sejenis buah eksotik yang tidak mudah untuk mendapatkan hasil konsisten kerana masaalah 'fruit set' adalah kritikal. Duri pada buah pulasan memudahkan kita untuk memulaskan buah tersebut untuk pecahkan kulit dan makan isinya. Bayangkan jika buah pulasan tersebut licin sahaja macam buah limau. Tentu ia susah untuk dipulas terutama sekali jika tangan sedikit basah. Duri pada pulasan memudahkan kita memakan buah tersebut. 



Satu lagi buah yang ada duri adalah buah SALAK (Salacca glabrescens). Salak adalah tumbuhan daripada keluarga Arecaceae yang pokoknya juga mempunyai duri pada pelepah daun (pokok kumpulan palmae - nama lama). Buah salak mempunyai kulit yang seakan bersisik dan terdapat duri pada sisik tersebut yang agak alus dan tajam pada verieti tertentu. Salak Indonesia (Salacca endulis) juga jenis buah salak yang ada duri pada kulit buahnya.

Beberapa buah lain yang mempunyai duri tidak dapat dibincangkan kali ini. Duri pada buah agak berbeza dengan duri pada pokok buah (pokok limau / citrus) dan sebagainya. Fungsi duri pada buah ini bergantung kepada jenis buah, cara ia pembiakan, cara ia dituai dan bermacam lagi kemungkinan alasan saintifik. Bagaimana pun apabila disebut sahaja 'Buah Apa Yang Berduri?', ramai akan terus menjawab 'Buah Durian'. Wasallam!

BUAH BERDURI ... DURIAN PASTINYA...
DURIAN BELANDA... IA BERDURI JUGA...
DURI RAMBUTAN... MACAM RAMBUT SAJA...
DURI PULASAN... PENTING PERANANNYA...

By,
M Anem
Presint 11, Putrajaya,
WP Persekutuan,
Malaysia.
(15 RabiulAwal 1434H)


No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...