Support My Blog

Tuesday, January 22, 2013

PELUPUSAN BEKAS RACUN

PELUPUSAN BEKAS RACUN PEROSAK merupakan satu aktiviti penting dilakukan oleh semua petani dan pengguna racun tersebut. Bekas racun kimia merupakan satu bentuk kontena yang lazimnya dibuat daripada bahan plastik atau kaca yang cantik dan ada yang agak menarik. Di kawasan luarbandar, orang biasa sering bekas ini digunakan sebagai bekas air atau pelbagai kegunaan lain. Sebenarnya bahan bekas ini merupakan bahan buangan yang terjadual dibawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 bekas racun perosak yang perlu dilupuskan dipusat pelupusan dilesenkan oleh Jabatan Alam Sekitar.  Bekas racun adalah satu punca pencemaran dan boleh memudharatkan manusia, haiwan dan organisma bukan sasaran. Saya selalu melihat dahulu bekas-bekas racun yang tidak digunakan dibuang merata-rata dikawasan estet atau kebun buah-buahan serta kebun sayur-sayuran. Kos untuk melupuskan bekas racun adalah mahal, apa lagi dengan kos logistik serta kuantiti yang sedikit menyebabkan masih ramai pengguna tidak mengikut peraturan melupuskan bekas racun tersebut. Program kitar semula bekas racun kimia anjuran Jabatan Pertanian merupakan satu alternatif untuk melupuskan bekas racun yang selamat dan berhemah. Artikel malam Ahad ini dalam 'Anim Agro Technology' saya menulis kaedah pelupusan bekas racun yang selamat dan praktikal untuk diamalkan oleh pengguna racun.

Pelupusan bekas racun perosak dijalankan dengan teliti dengan panduan khusus. Membilas bekas racun perosak yang telah habis digunakan adalah cara paling baik untuk memudahkan  bekas dibersihkan. Bergantung kepada jenis bekas racun digunakan, bekas boleh dibilas dengan air bersih mengalir secara manual atau menggunakan mesin pembilas bertekanan tinggi.  Semasa membuat bilasan, pastikan kita memakai jenis pakaian perlindungan yang sesuai supaya tidak ada percikan atau terkena sisa racun yang dibilas. Prosedur membilas mestilah sekurang-kurangnya TIGA KALI bilasan. 

Berikut adalah prosedur yang mesti diamalkan :-

1. Tuangkan semua racun dari dalam bekas racun kedalam tong penyembur (Knapsack sprayer) atau lain-lain jenis penyembur dan tunggu selama 30 saat. Ini bermakna hampir semua cecair atau serbuk akan keluar semua.

2. Isikan air bersih kedalam bekas racun tersebut sehingga suku bahagian dalam bekas racun.  

3. Tutupkan bekas racun tersebut dengan penutupnya dan kemudian goncang sehingga rata selama 30 saat.

4. Tuangkan air bilasan tersebut kedalam tong penyembur racun semuanya.

5. Masukkan lagi air bersih kedalam bekas racun suku bahagian buat kali kedua.

6. Goncang selama 30 saat apabila penutup diketatkan.

7. Tuang air tersebut kedalam tong penyembur.

8. Masukkan air bersih kedalam bekas racun untuk bilasan kali ketiga dan kemudian masukkan air bilasan ketiga kedalam tong penyembur sehingga habis. Cucu bahan luar sehingga betul-betul bersih.

9. Ambil pisau atau parang atau besi tajam dan tebuk atau potong bekas racun agar ianya tidak boleh digunakan lagi.

10. Keringkan bekas racun tadi dengan terbalikan kebawah. Apabila cukup kering boleh dimasukan kedalamm pusat pengumpulan bekas racun berbumbung yang disediakan oleh Jabatan Pertanian atau Syarikat Penjual Racun dikawasan dikhususkan.

Kaedah ini mempastikan bahawa residu racun yang ada didalam bekas racun tersebut adalah minimum setelah dibilas 3 kali. Risiko terhadap pencemaran racun adalah dapat diminimakan. Apabila dibilas maka ia menepati syarat minima untuk proses kitar semula bekas racun. Bekas Racun tidak akan diambil oleh mereka yang ingin menggunakannya untuk tujuan lain kerana telah ditebuk dan berlubang. Difahamkan tidak semua bekas racun yang boleh dikitar semula. Hanya bekas racun yang telah diboilas 3 kali, kering dan dibuat daripada bahan plastik HDPE (High density poluethylene) sahaja boleh diterima untuk kitar semula.Plastik bekas racun yang dikitar semula boleh digunakan sebagai membuat bekas racun makhluk perosak, palet, bekas semaian, paip pengairan asalkan bukan digunakan untuk bekas makanan dan minuman.  

Laporan oleh MCPA yang saya rujuk mendapati, sehingga kini lebih dari 50,000 kg bekas racun telah dikitar semula mulai tahun 2006 - 2011 melibatkan sebanyak 13 syarikat utama perladangan. Diantara yang aktif dalam program kitar semula bekas racun seperti Sime Darby Plantation, Felda Plantation, Ladang Tabung Haji dan banyak lagi. Sesungguhnya amalan pelupusan bekas racun makhluk perosak mengurangkan kesan kerosakan alam sekitar dan keselamatan pengguna. Diharap artikel ini membantu anda semua untuk mampu melupuskan bahan bekas racun sengan sempurna, tidak mencemarkan alam sekitar dan paling penting ianya mengikut peraturan yang betul.
Wasallam!...


RACUN DIGUNAKAN ....TINGGAL BEKASNYA ... 
BENTUK CANTIK... JANGANLAH TERPEDAYA...
BILAS 3 KALI... TEBUK HINGGA BOCORNYA...
SETELAH SELESAI ... HANTAR KITAR SEMULA...

By,
M Anem
Kelompok Sayuran Kg Solok,
Tangkak, Ledang,
Johor, Malaysia.
(1 Safar 1434H)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...