Support My Blog

Friday, November 18, 2022

DURIAN - APA FAKTA PENTING (Part 4)

TANAMAN DURIAN
(Durio zibethinus Murr.) merupakan satu bidangusaha yang sangat popular di Malaysia terutama dengan penanaman varieti durian premium masa kini. Kalau dahulu penanaman durian dilakukan secara tradisional dan pengurusan yang konvensional akan tetapi kini industri ini telah jauh berkembang apabila ia di komersilkan dengan cara baru dan menggunakan pakej amalan teknologi moden. Apa pun saya yang telah menulis dalam blog ini lebih dari 550 buah artikel mengenai durian tetap percaya bahawa industri ini akan terus berkembang dimasa akan datang. Kini keluasan tanaman durian terkini pada tahun 2021 adalah seluas 78,772 hektar dengan jumlah pengeluaran hasil sebanyak 400,636 metrik tan (Sumber: Booklet Keluasan Tanaman Makanan, Jabatan Pertanian Malaysia, 2021). Beberapa varieti durian premium kini menggantikan varieti durian kampong atau varieti tradisional yang semakin kurang penanaman baru. Jabatan Pertanian telah mengenal pasti dan mengumpul koleksi klon durian semenjak tahun 1934 dan sehingga sekarang telah mendaftarkan lebih dari 250 varieti yang penulis blog pernag terlibat sama. Antara beberapa varieti durian premium yang kini sangat popular termasuk Durian Musang King (D197), Durian Duri Hitam atau Black Thorn (D200), Durian Udang Merah (D175), Durian Tekka (D160), Durian Bukit Merah (D24), Durian Hajah Asmah (D168)dan beberapa lagi. Walau pun terdapat lebih daripada 250 varieti durian yang telah didaftarkan dalam Jadual Senarai Varieti Tanaman di Jabatan Pertanian Malaysia akan tetapi hanya sebahagian sahaja varieti yang masih ditanam dan dikomersilkan. Pada penulis blog durian merupakan antara spesies buah-buahan yang sangat popular dan masih banyak ditanam di Malaysia. Secara tradisional pula lazimnya pokok durian ditanam daripada baka biji benih di kawasan dusun di kampung dimana lazimnya buah durian dari pokok anak baka biji menghasilkan buah yang tidak seragam, tidak pasti akan kualitinya dan sebahagian besar tidak mendapat pasaran yang baik. Durian merupakan salah satu daripada 11 jenis buah-buahan yang telah dikenalpasti di bawah Dasar Agro Makanan (2011-2020) yang mempunyai potensi untuk dibangunkan bagi menampung permintaan tempatan dan eksport. Kalau dahulu pasaran durian adalah untuk pasaran domestik sahaja tetapi ia kemudian di eksport terutama ke Singapura. Kini durian Malaysia sudah di eksport ke China, Jepun sehingga pernah sampai ke Eropah dan negara lain. Apa pun tetap berlaku persaingan yang hebat dari negara Thailand yang merupakan pengeksport durian terbesar dunia. Artikel subuh ini dalam blog "Anim Agro Technology" saya menulis lagi mengenai beberapa fakta penting penanaman durian di Malaysia untuk dijadikan bahan rujukkan semua pembaca.

Tanaman durian sama dengan tanaman lain memerlukan proses pem
bajaan yang betul seperti garispanduan didalam Pakej Amalan Teknologi tanaman durian. Pokok durian yang masih muda seelok-eloknya dibaja 4 - 6 kali setahun dengan kuantiti baja yang sedikit pada setiap kali dibuat pembajaan yang dilakukan. Bagi pokok matang pula disyorkan kadar baja ditambah dan kekerapan membaja ialah 3 - 4 kali setahun. Cara pembajaan yang paling mudah adalah dengan menabur baja di bawah kanopi pokok sehingga terkeluar sedikit dari hujung kanopi (Sila lihat foto disebelah). Teknik ini adalah sesuai untuk kawasan mendatar atau dikawasaan tanah yang dibuat teres atau di kawasan tanah yang ada tapak gajah. Bagi kawasan yang curam disyorkan agar aktiviti pembajaan secara poket adalah disyorkan dengan membubuh baja ke dalam lubang sedalam 10 cm yang digali di sekitar kawasan hujung kanopi pokok sebanyak 4 penjuru. Lubang tersebut ditimbus kembali dengan tanah untuk lebih efektif. Tempoh masa yang paling sesuai membaja pokok durian yang telah matang ada beberapa keperluaan iaitu pada masa 2 bulan sebelum berbunga, 1 bulan selepas bunga mekar, 40 - 45 hari sebelum buah matang atau menuai dan juga masa selepas menuai. Bagi penulis blog untuk meningkatkan lagi keberkesanan sebaiknya aktiviti pembajaan hendaklah dilakukan pada awal atau akhir musim hujan agar baja yang diberikan dapat diserap oleh pokok dengan berkesan. Aktiviti pembajaan pada musim kemarau sebaiknya perlu dielakkan kecuali sistem pengairan yang baik dapat diwujudkan. Ini kerana kekurangan atau ketiadaan air dalam tanah boleh menganggu proses pengambilan nutrien oleh akar. Terkini ramai pemilik kebun durian yang sudah menggabungkan penggunaan baja butir dengan baja organik dan juga baja semburan (foliar fertilizer). Baja foliar dilaporkan amat berkesan membantu menyurburkan tanaman durian.


Pemangkasan pokok durian (pruning) memerlukan teknik cantasan yang bersistematik bermula dari peringkat awal pertumbuhan. Aktiviti ini bertujuan bagi mendapatkan bentuk pokok yang mana ia mempunyai satu batang utama yang tegak ke atas serta banyak dahan primer tersusun seimbang pada batang utama pokok. Kerja-kerja membentuk pokok hendaklah dilakukan secara berterusan bermula 3 - 6 bulan selepas tanam dengan peralatn sesuai. Pada peringkat awal ini dahan-dahan primer yang berlebihan dan bersudut kecil hendaklah dibuang kerana ianya bersaing dengan batang utama dan akan memberikan masalah kelak. Apabila pokok telah membesar sebaiknya bila ada dahan yang mencecah tanah atau ada dahan yang terlalu rapat atau dahan bertindih atau yang bersudut sempit maka disyorkan untuk ianya dibuang. Dalam pada itu dahan-dahan yang berpenyakit juga perlu dibuang dengan segera bagi tujuan untuk mengelakkan dari berjangkit kepada dahan- dahan yang lain. Dahan tersebut perlu dipotong seberapa dekat yang boleh dengan dahan atau dari batang asal. Bekas potongan perlu dirawat dengan racun kulat atau cat atau bahan lain yang ada dipasaran agar bahagian yang luka tidak dijangkiti penyakit. Kini ada kalangan pemilik pokok durian kampong yang pokoknya sudah tinggi membuat cantasan dengan tujuan untuk membuat aktiviti Cantuman Dewasa. Apabila cantasan dahan ini dilakukan maka tunas-tunas baru akan keluar dipokok tersebut dan kemudian akan membuat cantuman dewasa dibahagian tunas tersebut dengan mata tunas dari varieti durian premium.

Teknologi pengurusan air bagi tanaman durian adalah satu perkara asas yang perlu diberikan tumpuan. Ini kerana penulis blog yang sering membuat tinjauan pada kawasan tanah baru penanaman durian melihat berlaku kes anak pokok mati disebabkan kekeringan.
Air merupakan salah satu daripada keperluan asas untuk tanaman durian selain daripada udara dan tanah. Keperluan air merupakan salah satu faktor utama untuk meningkatkan tumbesaran pokok dan pengeluaran buah durian. Aktiviti memasang sistem pengairan untuk pengurusan air yang berkesan dilaporkan mampu membantu dalam pengeluaran hasil dimana ia meningkatkan kepada 50%. Selain daripada itu dilaporkan ia juga dapat mengurangkan kadar kematian pokok terutamanya di peringkat awal pertumbuhan. Terdapat beberapa jenis sistem pengairan yang boleh digunakan untuk tanaman durian. Di antaranya adalah Sistem Pengairan Titis, Sistem Pengairan Mikro dan Sistem Pengairan Renjis. Apa pun lazimnya pemilihan jenis sistem pengairan bergantung kepada kedapatan sumber air, kualiti air, bentuk muka bumi, kecerunan dusun, perbezaan aras tertinggi dan terendah serta modal kos pembangunan. Penulis blog dapati agar sistem pengairan yang sesuai digunakan untuk membangunkan industri dusun durian adalah menggunakan sistem pengairan titis. Jika dibanding dengan sistem pengairan yang lain dimana bagi sistem pengairan titis adalah sangat cekap dan tidak mahal dari segi kos pembangunan, cara pengendalian dan penyelenggaraan juga agak mudah. Sistem pengairan sangat diperlukan semasa pokok durian telah matang terutamanya semasa peringkat berbunga dan berbuah. Apa pun dengan ada sistem pengairan ianya boleh diperluaskan kepada cara menjalankan kerja pembajaan, mengawal kelembapan tanah, mengawal suhu persekitaran dusun dan di dalam tanah. Dalam pada itu antara komponen utama yang terdapat di dalam sistem pengairan titis adalah sumber air, rumah pam, enjin atau motor-pam, penyuntik baja, alat penapis, sistem paip, tiub high density polythene dan bahan tiub low density polythene. Reka bentuk sistem pengairan bagi setiap dusun durian bergantung kepada faktur potential evapotranspiration rate, jenis tanah, bentuk muka bumi, kecerunan dusun, jenis tanaman, jarak tanaman, jenis paip dan tiub, jenis penyebar, perbezaan aras tertinggi dan terendah serta diperiksa sistem pengendalian. Dalam operasi sistem pengairan titis dimana antara faktor utama yang perlu diambil kira adalah kualiti air. Walaupun alat penapis air yang digunakan selalu mempunyai kemampuan menapis sehingga 250 mesh akan tetapi lazimnya ia masih lagi terdapat partikel halus di dalam air yang boleh menembusi sistem penapisan dimana ia mengakibatkan sistem pengairan titis tersumbat. Aktiviti pemeriksaan dan  rawatan di kawasan sumber air adalah sangat mustahak untuk mengurangkan kos penyelenggaraan. Masa pengairan bagi tanaman durian selalunya dibuat pada sebelah pagi dan petang dimana ini adalah untuk mengelakkan penyejatan yang akan berlaku di waktu tengahari, meningkatkan kecekapan pengairan dan menentukan supaya air yang dibekal tidak menjadi panas akibat terkena cahaya matahari. Disyorkan agar jangkamasa pengairan setiap hari untuk tanaman durian bergantung kepada keluasan zon akar, faktor tanaman, isi padu akar, keupayaan pegangan air bagi tanah, jenis tanah, jumlah penyebar setiap pokok, kadar alir air setiap penyebar dan peringkat pertumbuhan pokok. Jangkamasa pengairan setiap hari untuk dusun yang mempunyai tekstur tanah sederhana. 
Bagi kawasan durian yang ditanam di tempat yang curam, masalah saliran timbul pada permulaan kawasan tersebut dibuka. Penebangan pokok-pokok dan pembersihan kawasan akan mendedahkan tanah tersebut kepada hujan dan menyebabkan hakisan tanah berlaku. Oleh itu adalah disyorkan bahawa kerja-kerja penyediaan permukaan tanah dibuat pada musim panas. Sekiranya teres dibuat di kawasan tanah curam yang telah dibuka, penanaman penutup bumi hendaklah dibuat dengan segera bagi mengawal hakisan tanah. Banyak penulisan saya yang telah dijadikan bahan rujukkan oleh pensyarah, pelajar, pengusaha serta penyekidik mengenai durian. Sudah berjuta pembaca yang membaca berdasarkan kepada analisis data yang telah saya buat. Ada sesetengah yang menggunakan maklumat dari blog saya untuk dijadiknan buku, jurnal dan tesis sebagai satu bahan rujukan. Artikel ini ditulis dalam 5 segmen iaitu Part 1, Part 2, Part 3. Part 4 dan Part 5 untuk dibaca bersama. Semuga artikel ini juga memberi info berguna kepada semua pembaca blog anim agro technology kali ini. Wasallam!!!..
INDUSTRI DURIAN... HEBAT DI MALAYSIA...
VARIETI PREMIUM... JADI BAKA UTAMA...
KUALITI BAGUS... MAHALNYA HARGA ...
SEMAKN KOMERSIL... MARI BACA FAKTA..

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Taman Cendana, Jalan Cendana off Jalan Istana,
Persimpangan Bukit Beruang, Bandar Melaka, 
Melaka,
Malaysia.
(18 RabiulAkhir 1444H).

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...