Support My Blog

Tuesday, October 7, 2014

KUNYIT HITAM - APAKAH ITU

KUNYIT HITAM (Curcuma caesia) merupakan sejenis pokok herba kunyit daripada keluarga Zingiberaceae yang jarang kita jumpa. Saya pun kali pertama dapat melihat kunyit hitam semasa pameran MAHA International yang pertama tahun 2008 di Gerai Pameran Hasil Jabatan Pertanian Malaysia. Tumbuhan ini popular di India sebagai satu daripada bahan rempah untuk dijadikan bahan perubatan tradisional. Saya belum mendapat maklumat mengenai dimana dan keluasan tanaman ini ditanam secara komersil di Malaysia. Setakat ini hanya ada beberapa Stesyen Pertanian dan beberapa individu yang mengusahakan tanaman ubatan sahaja yang menanam dan kenal akan kunyit hitam ini. Kehebatan kunyit hitam ini kerana ia banyak digunakan dalam perubatan dimana didakwa terdapat 30 komponen atau kandungan penting didalamnya iaitu pati minyak (97.5%) dan komponen lain seperti Camphor (28.3%), Ocemene (8.2%), ar-tumerone (12.5%), ar-cucurmene (6.8%) dan banyak lagi. Bagaimana pun kegunaan utama komponen dari kunyit hitam adalah untuk bahan mandian membersihkan badan dimana sejak dulu lagi telah popular dalam 'Turkish Bath'. Walau pun kita di Malaysia agak kurang menanam dan mengenali kunyit jenis ini tetapi ramai orang yang memang mencari benihnya untuk ditanam bagi tujuan perubatan. Artikel subuh ini saya menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai tanaman kunyit hitam untuk rujukkan anda.


Kunyit hitam merupakan tumbuhan bermusim yang jarang ditemui dinegara kita. Walau pun begitu di Malaysia terdapat dua jenis kunyit hitam yang mempunyai nilai dalam perubatan tradisional iaitu kunyit hitam seperti dalam foto di atas dan kunyit hitam yang mempunyai warna kehitaman pada keseluruhan bahagian pokok. Kunyit hitam yang berwarna hitam pada seluruh bahagian pokok ini varieti yang paling sukar dijumpai. Kunyit hitam ini berdaun agak runcing dengan tangkai daun yang panjang (Sila lihat foto disebelah).  Daun yang berwarna hijau dengan jalur dibahagian tengah berwarna coklat hitam ini keluar daripada pangkal rumpun membentuk seperti rosette. Pokok renek ini hanya mempunyai ketinggiannya sekitar 30cm sahaja (1 kaki). Pokok kunyit hitam yang asli ini mempunyai daun yang agak lebar berwarna hijau dengan sedikit palitan kehitaman pada bahagian atas daun. Rizomnya berwarna hitam keseluruhan bahagian dengan ada jenis akar serabut disekelilingnya. Kunyit hitam tersebut sebenarnya sering digunakan oleh pengamal perubatan tradisional Melayu sebagai bahan perubatan berkhasiat. 



Penanaman kunyit hitam ini boleh dilakukan diatas tanah yang dibuat batas atau pun didalam pasu sahaja. Ia memerlukan tanah subur yang kaya dengan bahan organik dan mempunyai sistem saliran yang baik. Rizom kunyit akan busuk jika terendam dalam air untuk masa yang lama. Bagi kita untuk mendapatkan benih kunyit hitam ini agak sukar kecuali mencari daripada taman herba atau petani yang menanam tanaman herba atau ubatan.Terkini saya keladang Nasuha di Pagoh dan beliau mengatakan dia memang mempunyai simpanan benih kunyit hitam sebagai koleksinya. Lazimnya pokok ini membiak melalui rizom dan pecahan rumpun. Teknik memilih benih adalah daripada rizom dengan mempastikan tumbuhan yang cukup matang dan belum kering. Pecahkan rumpun dengan mengambil pokok sedia ada dan dipecahkan lagi untuk ditanam. Jarak penanaman sesuai untuk kunyit hitam sekitar 30 - 40 cm dan sepokok bagi setiap pasu penanaman.


Kegunaan kunyit hitam kini telah banyak diperkatakan oleh pengamal perubatan tradisional. Bahagian yang sering digunakan untuk perubatan adalah pada rizomnya tetapi daunnya juga didakwa mempunyai nilai dalam perubatan tradisional (Sila lihat foto sebelah). Rizom kunyit hitam ini dipercayai dapat digunakan dalam rawatan kanser payudara, ketumbuhan pada sendi dan juga penyakit kusta. Rizomnya juga boleh digunakan untuk kuruskan badan. Ia juga dipercayai boleh merawat denggi berdarah. Cara amalannya dimana rizom kunyit hitam akan ditumbuk bersama-sama beberapa jenis herba lain dan dicampur dengan sedikit air dan garam. Campuran tersebut kemudian ditapis dan air diminum oleh pesakit demam denggi berdarah. Walau pun belum ada kajian klinikal mengenai perkara ini tetapi ianya didapati praktial melalui testimoni. Diharap artikel ini sedikit sebanyak memberi pengetahuan tambahan kepada anda pembaca semua. Wasallam!



KUNYIT HITAM... ADA DIMANA...
DIBIAK MUDAH...RIZOM DIGUNA...
DALAM PASU... MUDAH TANAMNYA...
DICABUT...BILA CUKUP UMURNYA...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Room 206, Hotel Blue Bell,
Taman Impian Emas, Skudai,
Johor Bahru, Johor,
Malaysia.
(18 Jamadilakhir 1435H)

Monday, October 6, 2014

MESIN CABUT BULU AYAM

MESIN CABUT BULU AYAM merupakan sejenis mesin yang sangat penting dalam proses penyediaan daging ayam siap proses. Terdapat banyak jenis model mesin ini yang dijual dipasaran daripada jenis yang paling ringkas untuk bilangan ekor yang sedikit sehingga untuk bilangan jumlah ayam yang banyak sekali proses. Mesin ini amat signifikan dalam industri memproses ayam siap proses dipasar basah atau pun mini kilang memproses daging ayam. Mesin ini kebanyakannya akan menggunakan kuasa eletrik untuk menggerakkan motornya dan juga banyak air bersih untuk menanggalkan bulu ayam. Mesin buang bulu ini jarang dibeli oleh orang kebanyakan dan hanya diperlukan oleh peniaga ayam daging sahaja. Terdapat banyak model yang ada dijual dipasaran tetapi kebanyakannya menggunakan konsep yang serupa. Mesin ini memang tahan lama jika digunakan dan dijaga dengan baik. Penyelenggaraan yang sering dibuat hanya pada bahagian motor dan menggantikan jejari getah yang terdapat didalam tong tersebut. Umum kita di Malaysia memang tahu bahawa salah atu sumber makanan yang penting di negara ini ialah daging ayam dimana ia dimakan oleh semua golongan masyarakat daripada kanak-kanak, remaja, dewasa dan juga orang tua. Ayam yang siap diproses menjadi pilihan surirumah kerana mudah dibawa pulang dan dipotong-potong untuk dimasak mengikut resepi kegemaran. Artikel petang Sabtu ini say amenulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai mesin mencabut bulu ayam sebagai menambahkan info kepada minda kita.


Lazimnya ayam yang telah bersih adalah situasi biasa pada hari ini sama ada ayam yang telah siap dipotong mengikut saiz ataupun ayam yang hanya dibersihkan bulunya sahaja. Sebenarnya ayam bersih ini memberi banyak kemudahan kepada wanita hari ini dan kita memang perlu tahu bagaimana ayam ini dibuang bulunya. Kalau dahulu dikampong semasa menyembelih ayam kampong, kita perlu masak air panas dulu dan celup seekor ayam didalamnya sebelum dicabut bulunya secara manual dengan tangan. Lazimnya bahagian kepak dan ekor adalah agak susah sedikit dicabut berbanding dengan bulu ayam yang ada dibahagian badan. Kaedah ini memang tidak dapat membuang bulu halus seperti jarum yang agak sikar dilihat atau liat sedikit (Sila lihat foto sebelah). Kerja membuang bulu seekor ayam ini mengambil masa 15 - 30 minit seekor bergantung kepada kemahiran seseorang. Cuba bayangkan kalau memotong 15 - 50 ekor ayam untuk kenduri dan kita seorang sahaja yang kena mencabut bulunya. Alamat sakit belakanglah kerana jumlah masa yang diambil adalah lama. Bagaimana pun jika kita mempunyai mesin mencabut bulu ayam, maka masaalah ini dapat diatasi dengan senang.


Mungkin ramai diantara kita pernah melihat mesin membuang bulu ayam yang ada di negara kita ketika persi pasar atau pun kedai memproses ayam daging. Mesin ini mempunyai beberapa komponen iaitu bahagian bawah yang mengandungi motor dan penyambung getah kepada drum berpusing. Drum bulat dibahagian atas yang mempunyai ruang dimana terdapat jejari getah lembut disekelilingnya (Sila lihat foto disebelah). Drum bulat ini akan berpusing ligat dan jejari getah ini akan menanggalkan bulu-bulu yang terdapat pada ayam yang telah dimasukkan dalam air panas sebelumnya. Bergantung kepada model mein, antara 1 - 4 ekor ayam boleh dimasukan sekali gus juga bergantung kepada saiz ayam yang disembelih. Kalau ayam pencen (ayam telur tua) boleh diisikan dengan bilangan lebih lagi. Jangkamasa untuk membuang bulu ini sekitar 5-10 minit sahaja dan pada masa itu air perlu disiram kedalam drum untuk menanggalkannya.


Bulu ayam yang tercabut akan keluar bersama siraman air yang dimansukan kedalam drum (Sila lihat foto disebelah). Bulu ayam ini akan keluar daripada saluran yang ada dibawahnya dan dikumpulkan dalam bekas buangan. Ayam yang telah tidak ada bulu ini (ayam togel) akan dikeluarkan setelah mesin dimatikan. Lazimnya terdapat beberapa bulu lagi yang masih melekat yang perlu dibuang secara manual. Kelajuan drum dan jejari getah yang lama kadang-kadang boleh menyebabkan kecederaan kepada ayam yang dibuang bulu seperti patah kepak, patah kaki dan lebam-lebam. Perkara ini akan menyebabkan kualiti ayam togel menjadi kurang. Proses seterusnya adalah untuk membelah ayam bagi aktiviti memgeluarkan bahagian dalam dan memotong ayam mengikut kesesuaian (jika ingin dimasak terus). Saya dapati mesin ini bukan hanya untuk buang bulu ayam sahaja tetapi ia juga dapat digunakan untuk mencabut bulu itik dan burung puyuh. Lazimnya hanya masukkan ayam yang telah pun direndam dengan air panas ke dalam mesin kemudian menghidupkan mesin dan tunggu selama lima hingga 10 minit bulu ayam akan tercabut dan dibersihkan.


Model mesin cabut bulu ayam ini berharga RM 1,200 - RM 1,500 bergantung kepada model dan kecekapan mesin. Lazimnya memang mesin ini membolehkan kerja lebih mudah, hasil ayam yang bersih, tenaga kerja yang minimum, menjimatkan tenaga elektrik dan harga yang berpatutan. Mesin pembersih bulu ayam beroperasi secara automatik dan pengguna hanya perlu memasukkan ayam, itik atau burung puyuh yang ingin dibersihkan ke dalam mesin. Tekan butang suis dan mesin akan bergerak sendiri dengan kelajuan normal. Air akan mengalir sendiri untuk mencuci ayam. Bila bulu ayam telah bersih, seterusnya operasi mesin dihentikan dan pengguna bolehlah mengangkat ayam untuk dipotong. Sebagai langkah keselamatan, pengguna dilarang mengambil ayam atau memasukkan tangan ke dalam mesin ketika mesin sedang bergerak. Jari anda mungkin tersepit atau tercedera. Pastikan suhu air panas untuk merendam ayam yang telah disembelih tidak terlalu panas. Air yang sangat panas akan menyebabkan kulit ayam akan pecah dan terluka kerana putaran mesin yang kuat. Selepas ayam bersih, tutup bekalan elektrik, keluarkan ayam dan bersihkan bahagian dalam mesin. Penggunaan air diperlukan untuk pembersihan mesin dan ayam maka pastikan suis elektrik pada mesin berada dalam keadaan kering dan tidak terdedah. Berikut adalah iklan menual 1 Unit Mesin Buang Bulu Ayam (Chicken Plucker) Baru. Harga Jualan seunit - RM 1,200 dengan jenama Golden Bull (Model: SY-55). Mesin ini menggunakan bekalan letrik Voltage : 220V Power : 1500 W
Moter speed: 1450r/min rekabentuk Inside Barrel : Drum diameter 500mm dan boleh muat sehingga 15 ekor ayam. Wasallam!...
BUANG BULU..MESIN DIGUNA...
SERIBU LEBIH... TAHAN LAMA...
JEJARI GETAH..BUANG BULUNYA...
MUDAH DAN MURAH... BAGUSNYA..

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Pasar Borong Selangor,
Puchong, Serdang,
Selangor, Malaysia.
(9 zulhijjah 1435H)

Sunday, October 5, 2014

REKOD LADANG SOM (PART 3)

REKOD LADANG (Farm record) merupakan satu sistem pengumpulan dan penyimpanan maklumat mengenaai aktiviti ladang yang penting didalam aktiviti ladang. Semua permohonan untuk persijilan SALM (Skim Ladang Baik Malaysia) dan SOM (Sijil Organik Malaysia) perlukan maklumat dalam rekod ladang sebelum permohonan akan diproses untuk diluluskan. Maklumat dalam rekod ladang sangat penting dibuat oleh petani, usahawan atau syarikat seperti buku simpanan kira-kira untuk menganalisa kewangan dan menganalisa untung- rugi sesuatu aktiviti perladangaan. Saya terlibat didalam mengajar mengenai Rekod Ladang semenjak mula bekerja dulu sekitar awal tahun 1980'an sehingga 10 tahun lamanya. Sasaran mengajar kepada semua pegawai pengembangan serta peserta projek kelompok. Sifu yang saya tidak akan lupa dalam ilmu 'Farm Management and Farm Record Keeping' ini adalah Encik Zainal (Kita lebih suka panggil sebagai 'Zainal Kojek'). Penggunaan rekod ladang dinegara kita oleh petani kecil dan pekebun kecil masih amat kurang diamalkan secara sistematik. Kebanyakkan mereka menggunakan kira-kira didalam ingatan sahaja (main congak-congak) dan yang lebih bijak menggunakan buku kecil (seperti buku 555). Antara faktur kenapa mereka tidak mahu menggunakan buku rekod ladang yang diberikan oleh Jabatan Pertanian dulu adalah mungkin lecehnya hendak menulis, ada yang kurang pandai menulis, saiz kebun atau perniagaan yang kurang komersil, tidak faham hendak mengisi buku rekod ladang dan tidak nampak kebaikan meengisi rekod ladang. Bagaimana pun pada hujung Rancangan Malaysia ke 10, apabila kerajaan Malaysia memperkenalkan Bantuan Insentif Harga Tanaman Makanan dibawah Program DJBM (Dasar Jaminan Bekalan Makanan Negara), disyaratkan pemohon insentif mesti mengisi rekod ladang. Mereka yang memohon insentif telah mengisi buku rekod ladang dengan baik yang perlu dihantar bersama permohonan insentif tersebut sebelum di periksa untuk kelulusan. Artikel malam Isnin ini saya menulis mengenai sistem simpanan rekod ladang untuk sistem permohonan persijilan SOM dalam "Anim Agro Technology" berdasarkan pengalaman penulis sendiri dan membuat rujukkan daripada website berkaitan.



Rekod Rawatan Lepastuai (SOM 4-9) merupakan satu rekod disediakan untuk mencatitkan semua aktiviti rawatan hasil ladang. Hasil ladang organik yang dikeluarkan jika ada dibuat rawatan perlu direkodkan meliputi tarikh rawatan, jenis rawatan dengan mencatitkan bahan rawatan dan kuantiti digunakan. Jenis hasil tanaman dan lokasi membuat rawatan juga perlu dicatit bagi tujuan melihat kesan rawatan terhadap produk organik yang dikeluarkan. Perlu dijelas dan direkodkan sebab-sebab rawatan tersebut dijalankan dan siapa yang menjalankan rawatan tersebut. Isu 'tracebility' produk organik akan dapat dikesan jika rekod ini dilengkapkan. 

Rekod Pelupusan Sisa Ladang (SOM 4 - 10) diperlukan untuk menyatakan bagaimana kita melupuskan sisa ladang dan bekas-bekas bahan input pertanian yang digunakan. Catitkan tarikh perlupusan dan namakan bahan-bahan yang dilupuskan dengan jelas pada ruangan. Sisa ladang mungkin boleh diproses untuk dijadikan kompos, FFJ, FPJ dan sebagainya. Catitkan kuantiti bahan yang hendak dilupus, bagaimana cara ianya dilupus sama ada di kitar semula atau dimusnahkan mengikut kaedah yang betul. Nyatakan lolasi dimana aktiviti pelupusan tersebut dijalankan. Perkara ini penting dicatit untuk mempastikan bahawa tidak berlaku pencemaran alam sekitar akibat aktiviti pelupusan sisa ladang. 



Rekod senarai pekerja (SOM 4 - 11) mencatitkan maklumat mengenai semua pekerja-pekerja ladang. Masukan data mengenai bilangan dan nama pekerja yang sah. Tuliskan nombor KPT (Warga tempatan) atau Nombor Passport (buruh asing) dan tuliskan tarikh lahir, jantina serta negara asal pekerja asing tersebut. Rekod ini perlu dikemaskini setiap kali berlaku perubahan kepada pekerja ladang atau semakan mengikut jadual.

Rekod Jadual Latihan Pekerja Ladang (SOM 4 -12) diperlukan untuk merekodkan latihan-latihan bagi pekerja-pekerja ladang. Catitkan bilangan dan nama-nama pekerja ladang dan jelaskan jenis latihan yang diberikan. Jenis latihan ini mengikut kesesuaian kemahiran pekerja tersebut dan perlu dicatitkan juga siapa yang memberikan latihan tersebut. Diantara latihan sangat perlu seperti mengenai keselamatan penggunaan racun, kaedah pembajaan yang tepat, keselamatan pekerja dan sebagainya.


Rekod Pemeriksaan Kesihatan Pekerja (SOM 4 -13) adalah rekod yang mencatitkan maklumat mengenai tahap kesihatan pekerja ladang. Ini merupakan keperluan dalam rekod dimana ia menyatakan tarikh pemeriksaan dijalankan dan sebab-sebab rawatan diperlukan. Nyatakan juga dimana lokasi rawatan tersebut dijalkankan sama ada di hospital kerajaan atau swasta, klinik-klinik persendirian dan sebagainya. Pastikan dicatitkan bahawa pekerja ladang mendapat rawatan seperti yang diperlukan mengikut peraturan kesihatan sedia ada. Kebajikan pekerja ladang ini merupakan satu komitment kepada pekerja ladang sebagai amalan kebajikan.

Kesemua rekod ladang untuk persijilan Sijil Organik Malaysia (SOM) perlu disediakan dengan lengkap sebelum diperisa oleh auditor SOM. Kegagalan mengisi dengan lengkap rekod ladang boleh mengagalkan peluang kita mendapat akreditasi sijil SOM. Apa lagi kalau tidak ada rekod ladang langsung, memang tidak ada peluang untuk kita mendapatkan sijil. Faktur lain didalam syarat persijilan SOM juga perlu dipatuhi seperti ststus tanah, analisa sampel hasil di makmal, setor ladang, jangkamasa ladang diusahakan dan sebagainya. Semuga artikel ini membantu kita memahami apakah dia jenis rekod ladang untuk persijilan SOM yang perlu diisikan bagi memudahkan proses akreditasi ladang. Wasallam!.

REKOD LADANG...AMALAN KITA...
CATITKAN...MAKLUMAT ADA...
PEMERIKSA...SEMAK SAHAJA...
AKREDITASI... ADA NUKTINYA...

"SELAMAT HARI RAYA KORBAN 1435H"

By,
M Anem
Senior Agronomist,
Kawasan Perumahan Precint 11,
Putrajaya, Wilayah Persekutuan,
Malaysia
(7 Rabiul'Awal 1434H)

Saturday, October 4, 2014

REKOD LADANG SOM (PART 2)

REKOD LADANG (Farm record) merupakan satu sistem pengumpulan dan penyimpanan maklumat mengenaai aktiviti ladang yang penting didalam aktiviti ladang. Semua permohonan untuk persijilan SALM (Skim Ladang Baik Malaysia) dan SOM (Sijil Organik Malaysia) perlukan maklumat dalam rekod ladang sebelum permohonan akan diproses untuk diluluskan. Maklumat dalam rekod ladang sangat penting dibuat oleh petani, usahawan atau syarikat seperti buku simpanan kira-kira untuk menganalisa kewangan dan menganalisa untung- rugi sesuatu aktiviti perladangaan. Saya terlibat didalam mengajar mengenaai Rekod Ladang semenjak mula bekerja dulu sekitar awal tahun 1980'an sehingga 10 tahun lamanya kepada pegawai pengembangan serta peserta projek kelompok. Sifu yang saya tidak akan lupa dalam ilmu 'Farm Management and Farm Record Keeping' ini adalah Encik Zainal (Kita lebih suka panggil sebagai 'Zainal Kojek'). Penggunaan rekod ladang oleh petani kecil dan pekebun kecil masih amat kurang diamalkan secara sistematik. Kebanyakkan mereka menggunakan kira-kira didalam ingatan sahaja (main congak-congak) dan yang lebih bijak menggunakan buku kecil (seperti buku 555). Antara faktur kenapa mereka tidak mahu menggunakan buku rekod ladang yang diberikan oleh Jabatan Pertanian dulu adalah mungkin lecehnya hendak menulis, ada yang kurang pandai menulis, saiz kebun atau perniagaan yang kurang komersil, tidak faham hendak mengisi buku rekod ladang dan tidak nampak kebaikan meengisi rekod ladang. Bagaimana pun pada hujung Rancangan Malaysia ke 10, apabila kerajaan Malaysia memperkenalkan Bantuan Insentif Harga Tanaman Makanan dibawah Program DJBM (Dasar Jaminan Bekalan Makanan Negara), disyaratkan pemohon insentif mesti mengisi rekod ladang. Mereka yang memohon mengisi rekod ladang dengan baik yang perlu dihantar bersama permohonan insentif tersebut sebelum di periksa untuk kelulusan. Artikel malam ahad ini saya menulis mengenai sistem simpanan rekod ladang untuk permohonan persijilan SOM dalam "Anim Agro Technology" berdasarkan pengalaman penulis sendiri dan membuat rujukkan daripada buku berkaitan.




Rekod Penggunaan input kawalan perosak (SOM 4-5) perlu diisi untuk mencatitkan bahan-bahan input digunakan untuk perladangan organik. Catitkan tarikh jenis input yang telah digunakan kepada tanaman jenis apa dan tujuan aplikasi digunakan. Nyatakan juga jenis perosak yang hendak dikawal dan tuliskan petak dimana kawalan dilaksanakan. Perlu juga dicatitkan mengenai keluasan kawasan kawalan dan juga kuantiti yang digunakan. Antara bahan organik yang sering digunakan untuk kawalan dalam ladang organik seperti IMO, BMO, Ekstrak Neem, Air Sabun dan sebagainya. 


Rekod Penggunaan Jentera dan peralatan Ladang (SOM 4-6) yang digunakan diladang perlu dicatitkan dalam rekod ladang. Apa yang perlu dicatitkan adalah seperti tarikh penggunaan jentera dan peralatan ladang dan nyatakan status hakmilik jentera yang digunakan sama ada ianya disewa atau pun milik sendiri. Jika disewa, perlu dicatitkan iaitu tarikh penyewaan dibuat, kadar sewaan dan tempoh sewaan. Jentera ladang membantu didalam mempercepatkan proses kerja-kerja ladang. Oleh itu, perlu juga ada catitan mengenai aktiviti pembersihan jentera dan peralatan sebelum diguna kerana ianya mungkin membawa patogen merbahaya kekebun kita dari lokasi lain. Sebaiknya pastikan alatan dicuci dahulu dan sebaiknya dicatitkan tarikh bila mesin tersebut dicuci untuk peringatan dalam rekod ladang.


Rekod Pengeluaran Ladang (SOM 4 - 7) mencatitkan semua hasil pengeluaran dari ladang yang menyertakan tarikh sebenar aktiviti penuaian, jenis hasil mengikut komoditi tanaman, nombor rujukkan petak yang dituai dan kuantiti (Kuantiti dalam unit disesuaikan seperti kilogram, tan, tongkol, tan dan sebagainya). Rekod ini akan dipadankan dengan rekod jualan hasil kelak untuk kita dapat mengira kadar produktiviti sesuatu tanaman tersebut. Analisa tahap pengeluaraj ladang mengikut varieti tanaman, petak tanaman dan keseluruhan produktiviti ladang akan diambil daripada rekod ini.


Rekod Penjualan Hasil (SOM 4 - 8) mencatitkn mengenai aktiviti penjualan hasil ladang dengan menuliskan tarikh jualan, jenis hasil daripada komoditi tanaman (mengikut jenis yang sesuai dijual), Kuantiti yang dijual dan jangan lupa kepada siapa kita menjual hasil tersebut. Lazimnya pembeli akan mengeluarkan resit atau 'toa' yang menunjukkan jumlah produk hasil ladang telah diambil. Walau pun rekod ini tidak menunjukkan harga setiap produk tanaman seperti rekod ladang biasa, sebaiknya dicatitkan juga untuk analisa pendapatan kasar ladang. Rekod ini akan disemak setiap akhir satu pusingan tanaman dan juga setiap bulan dimana penyemakan akaun akan dijalankan.



REKOD LADANG... SISTEM BERGUNA...
ADA CATITAN...SIMPAN SEMPURNA...
BILA PERLU ... AKAN DIBIAT ANALISA...
SANGAT PENTING ... UNTUK SEMUA...

By,
M Anem
Precint 11,
Putrajaya,
Malaysia.
(7 Rabiul'Awal 1434H)

Friday, October 3, 2014

MATA KAIL (Part 2)

MATA KAIL (HOOK) merupakan satu daripada komponen penting didalam aktiviti memancing ikan atau udang. Komponen peralatan memancing termasuk Joran, Tali, Pemberat (Batu Ladong), Kekili dan juga mata kail. Teknik memacing adalah merupakan kaedah untuk menangkap ikan yang paling popular dan diamalkan oleh pemancing sama ada untuk memancing di Sungai, Tasek, Kolam atau pun di laut. Pada saya peranan jenis mata kail pancing amat penting bagi menentukan ianya sesuai digunakan untuk memancing ikan mengikut keperluan. Lazimnya mata kail yang kecil untuk jenis ikan atau udang yang kecil sementara mata kail yang bersaiz besar untuk menangkap ikan besar terutama jika memancing dilaut. Mata kail kecil digunakan seperti memancing ikan seluang, ikan wader, udang galah, ikan kecil lain dilaut seperti cencaru, sotong sementara mata kail besar digunakan dilaut memancing ikan jenahak, kerapu, marlin, haruan tasek dan sebagainya. Ada nelayan pantai dan penduduk kampong yang membuat mata kail sendiri untuk digunakan menangkap ikan sungai dan udang. Di Kg Padang, Endau, Mersing, Johor contohnya, pemancing udang galah sering membuat mata kail sendiri untuk memancing udang galah yang diperbuat daripada dawai khas. Mata kail digunakan sebagai tempat untuk menaruh umpan pancing. Sejarah menunjukkan pada awalnya mata pancing dibuat dari tulang atau kayu keras pada zaman dahulu. Pada masa kini bermacam mata kail sudah dapat dibuat dari berbagai macam logam keras seperti dari besi (yang diberi lapisan chrome), besi waja, dawai, carbonise iron atau boleh juga dengan campuran bahan logam lainnya misalnya dari bahan karbon. Artikel subuh ini saya menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai kepentingan mata kail dalam aktiviti memancing berdasarkan pengalaman penulis dan juga membuat rujukkan dari beberapa sumber.


Bentuk dan Jenis Mata Kail bebagai jenis. Jenis 'Bait hooks' adalah mata kail yang bercirikan semacam barb yang berada di bahagian badannya (Sila lihat foto disebelah). Ianya berfungsi agar umpan tidak mudah terlepas dari mata kail tersebut. Jenis kedua dikenali sebagai 'Treble Hooks' atau mata kail 3 mata dimana mata kail treble amat mudah dikenali dari bentuknya yang khas itu. Lazimnya saya lihat matanya jelas memberikan keuntungan dan kerugian pemancing kerana apabila ada 3 mata yang agak bersaiz besar, kemungkinan kail melekat pada ikan dengan sempurna. Bagaimana pun ia mudah tersangkut jika ada halangan dilokasi memancing seperti tumbuhan, batu , tali dan sebagainya (Sila lihat foto dibawah). Kail jenis ini luas di pergunakan oleh pemancing ikan yang bermulut kecil. Ia juga sering digunakan oleh pemancing yang menggunakan umpan tiruan seperti jig. Kerugiannya mata kail jenis ini adalah kerana ia mudah terlihat dan membuat ikan malah curiga kerana bentuknya yang tidak semulajadi. Masa dan teknik tepat memancing adalah penting dalam memancing ikan terutama dilaut.


Jenis mata kail seterusnya adalah 'Siwash Hooks' iaitu ia berbentuk shanknya panjang, begitu juga dengan matanya. Tidak ada ciri istimewa pada kail ini kerana bentuknya memang standard saja. Seterusnya adalah mata kail jenis 'Aberdeen Hooks' dimana saya dapati shanknya yang amat panjang yang merupakan cirinya. Biasanya mata kail ini di gunakan pada teknik mancing dengan umpan semulajadi. Seterusnya adalam mata kail jenis 'Circle Hooks' iaitu mata kail yang mempunyai bentuk yang paling aneh dari semua mata pancing. Keistimewaan mata kail ini adalah jika ikan dikesan memakan umpan, kita tidak perlu menarik atau menggentak joran seperti biasanya tetapi cukup dengan mebiarkannya. Mata Kail akan melekat sempurna dengan sendirinya di bibir ikan. Penggunaan mata kail jenis 'circle hook' ini masih sering di perdebatkan walaupun banyak pemancing yang mulai beralih menggunakannya karena keistimewaanya tadi. Jenis mata kail 'Octopus Hooks' adalah kita kenali dengan mata chandat sotong dimana bentuk shanknya yang pendek di kombinasikan dengan gap yang lebar dan senget sedikit iaitu tempat ikatan kail menandakan cirinya. Ini juga adalah salah satu mata kail yang dipakai secara luas di berbagai teknik mancing. Kalau anda mempunyai hobi memancing pastinya sering berkunjung kekedai menjual peralatan memancing dan pilihan jenis mata kail amat diperincikan.


Mata Kail jenis 'Worm hook' adalah lazim digunakan dalam banyak keadaan. Perhatikan antara mata kail dan tempat mengikat kailnya seakan bengkok dalam satu garis lurus. Berbeza dengan mata kail lain, jenis mata kail ‘worm hook’ ini direkabentuk untuk tidak mudah ia   tersangkut jika memancing di tempat yang banyak pokok dalam air atau disekilingnya. Mata Kail ini lazim juga untuk     di gunakan dengan menggunakan umpan tiruan dari plastik. Seterusnya adala mata kail jenis 'Jig hooks' yang telah pun direkabentuk khusus untuk digunakan dengan jig moulds. Penggunaannya cukup spesifik sehingga tidak begitu popular di kalangan ramai pemancing tempatan. Seterusnya adalah jenis mata kail dinamakan sebagai 'Drop-shot Hooks' yang telah pun direkabentuk untuk menggunakan ikatan Palomar dimana lazimnya mempunyai gap yang melebar untuk kita memberikan kemudahan semasa memasang umpan memancing yang bersaiz besar.


Mata Kail berkualiti kini diperbuat daripada bahan karbon dimana ia tahan patah dan sangat tajam. Biasanya mata kail yang dijual secara komersil akan diber nombor mata kail bagi menunjukkan saiznya. Bagi mata kail berukuran besar mempunyai nombor yang besar dan sebaliknya (Lihat foto paling atas sekali). Dalam sukan memancing dan aktiviti memancing, alat pancing terdiri dari bermacam komponen seperti JORAN, PELAMPONG, PEMBERAT, KEKILI, TALI PANCING, TONGKAT PANCING, MATA KAIL dna UMPAN. Bagi jenis Pelampong, bermacam jenis ada dijual dipasaran atau dibuat sendiri terdiri daripada pelampong jenis plastik, Gabus, Polistrin, Kayu dan sebagainya mengikut kemampuan dan keperluan. Fungsinya adalah untuk mengapongkan mata kail dibawah permukaan air dengan kedalaman tertentu untuk umpat disambar oleh ikan. Pelampong yang elok akan membantu pemancing dapat 'feel' ketika ikan menyampar umpan. Pemberat Umpan pancing selalunya dibuat menggunakan bahan dari timah agar umpan dapat tenggelam di bawah air. Kekili atau Rol Pancing adalah mesin yang diletakkan pada pangkal dari tongkat pancing (joran pancing) yang berguna sebagai tempat menggulung tali tangsi pancing. Biasanya ada sistem pemutar pada bahagian tepi untuk mrnggulung dan tarik tali pancing.


Tali Pancing atau lebih mudah dipanggil sebagai 'Tali tangsi' adalah komponen penting dalam memancing (Lihat foto sebelah). Tali ini lazimnya dibuat daripada benang nylon atau bahan sintetik lain yang tahan lasak dan kuat. Adalah sangat penting seorang pemancing itu faham akan kekuatan tali yang hendak digunakan dan saiz tali tersebut. Jika boleh kena tanya kepakaran penjual alatan memancing jenis tali yang mereka syorkan. Pemilihan tali berkait dengan jenis mata kail yang hendak digunakan selain daripada mesin kekili, joran dan juga lokasi pemancingan. Tali pancing penting sebagai media penghubung antara pemancing dengan ikan yang terpancing. Seterusnya yang jarang diperkatakan adalah alatan Tongkat Pancing. Alat ini akaan digunakan untuk tempat meletakkan joran pancing pada pangkalnya dan biasanya tongkat pancing tidak digunakan pada kawasan berair dalam atau pada masa kita memancing dasar air dalam sungai atau dikawasan pantai. Umpan Pancing yang terdiri dari banyak kategori dan jenis serta banyak variasi. Paling simpel adalah umpan semulajadi dan kini telah banyak jenis umpan tiruan.  Pada saya pada masa sekarang, pemilihan jenis mata kail memang satu perkara penting dalam aktiviti memancing. Kebijaksanaan seorang pemancing memilih mata kail tepat, memancing dengan teknik betl pada masa sesuai akan menghasilkan tangkapan yang tidak mengecewakan. Walahhualam!..
CARI MATA KAIL...APA JENISNYA...
ADA YANG KECIL..BESAR PUN ADA...
PANCING UDANG...IKAN.BERBEZA..
SUNGAI ENDAU...UDANG MENGENA...

By,
M Anem,
Senior Agrologist,
Kedai Alatan Pancing Tan,
Jalan Utama, Kahang, Kluang,
Johor, Malaysia.
(26 Safar 1435H)

Thursday, October 2, 2014

MATA KAIL (Part 1)

MATA KAIL (HOOK) merupakan satu daripada komponen penting didalam aktiviti memancing ikan atau udang. Komponen peralatan memancing termasuk Joran, Tali, Pemberat (Batu Ladong), Kekili dan juga mata kail. Teknik memacing adalah merupakan kaedah untuk menangkap ikan yang paling popular dan diamalkan pleh pemancing sama ada untuk memancing di Sungai, Tasek, Kolam atau pun di lautan. Pada saya peranan jenis mata kail pancing amat penting bagi menentukan ianya sesuai digunakan untuk memancing ikan mengikut keperluan. Lazimnya mata kail yang kecil untuk jenis ikan atau udang yang kecil sementara mata kail yang bersaiz besar untuk menangkap ikan besar terutama jika memancing dilaut. Mata kail kecil digunakan seperti memancing ikan seluang, ikan wader, udang galah, ikan kecil lain dilaut seperti cencaru, sotong sementara mata kail besar digunakan dilaut memancing ikan jenahak, kerapu, marlin, haruan tasek dan sebagainya. Ada nelayan pantai dan penduduk kampong yang membuat mata kail sendiri untuk digunakan menangkap ikan sungai dan udang. Di Kg Padang, Endau, Mersing, Johor contohnya, pemancing udang galah sering membuat mata kail sendiri untuk memancing udang galah yang diperbuat daripada dawai khas. Mata kail digunakan sebagai tempat untuk menaruh umpan pancing. Sejarah menunjukkan pada awalnya mata pancing dibuat dari tulang atau kayu keras pada zaman dahulu. Pada masa kini bermacam mata kail sudah dapat dibuat dari berbagai macam logam keras seperti dari besi (yang diberi lapisan chrome), besi waja, dawai, carbonise iron atau boleh juga dengan campuran bahan logam lainnya misalnya dari bahan karbon. Artikel subuh ini saya menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai kepentingan mata kail dalam aktiviti memancing berdasarkan pengalaman penulis dan juga membuat rujukkan.


Mata kail mempunyai rekabentuk dan ukuran yang beragam (gambar sebelah) daripada yang paling asas kepada yang komplikated bercabang-cabang mengikut keperluan (Mata candat sotong bercabang tiga). Rekabentuk mata kail yang asas adalah seperti bentuk 'U" yang panjang disebelahnya dengan mempunyai beberapa bahagian. Paling atas adalah dipanggil sebagai mata (eye) iaitu berlubang untuk kita mengikat mata kail dengan tali pancing dengan kuat. Mata kail akan membengkok dengan dibahagian hujongnya terdapat mata tajam yang mempunyai cangkuk seperti mata lembing (Barb dan point). Tujuan cangkuk ini adalah agar ikan tidak dapat melepaskan mata kail yang telah dimakannya. Bergantung kepada kegunaan mata kail, bentuk cangkuk ini berbagai rupabentuk dan sangat tajam. Mata Tajam dihujung akan menyebabkan ia mudah untuk memasukkan umpan dan juga mudah terlekat pada mulut ikan. 


Dalam saya mempelajari mengenai mata kail ini, beberapa istilah perlu kita fahami dalam rekabentuk mata kail. Pertama sekali adalah 'The Eye' iaitu tempat dimana tempat kita mengikat kail atau tempat mencankukannya ke umpan tiruan (Lihat foto sebelah). Bentuk yang paling umum di jumpai adalah yang berbentuk berlubang yang terbentuk dari bahan kail itu sendiri yang di bengkokkan sehingga membentuk lingkaran. Ada juga kail yang tidak berlubang (tidak ada lubangnya) akan tetapi biasanya bentuk khusus ini di buat untuk aplikasi yang tertentu saja. The Shank pula adalah badan kail adalah panjang kail dimana ia dikira dari tempat mengikat kail sampai ke titik dimana kail di bengkokkan. Panjang dari badan ini boleh jadi sama ada ianya adalah ukuran pendek, sedang atau panjang. Badan yang pendek biasanya di pakai bentuk umpan tiruan tertentu seperti umpan2 yang dipakai pada 'Teknik Fly'. Badan dengan panjang sedang adalah yang terbanyak dipakai di berbagai aplikasi untuk memancing. Lazimnya saya dapati badan yang panjang adalah di pakai untuk teknik mancing yang memakai umpan besar atau  jenis umpan hidup didalam laut.


Bahagian 'The Gap' merupakan bahagian yang diukur dari jarak antara mata kail dengan bodi. Biasanya jarak lebar kail ini 'propotionate' dimana semakin panjang bodi mata kail maka lebarnya juga makin besar atau jauh. Biasanya bagi teknik memancing yang menggunakan umpan yang tebal maka kaedah umpan 'trolling konahead' ataupun umpan semulajadi yang lain yang badannya aak tebal. Keempat adalah bahagian dikatakan sebagai 'The Point' dimana bahagian inilah yang mencangkuk atau menusuk bibir ikan yang dipancing. Ada yang berbentuk bundar biasa seperti mata jarum dan ada yang leper seperti pisau dan bentuk lainnya. Apa yang saya perhatikan paling penting adalah mata kail itu mestilah tajam. Biasanya mata kail yang murah memang diperbuat berkualiti rendah dan kurang tajam berbanding mata kail berjenama dari kilang yang sudah punya nama. Kelima dinamakan sebagai "The Barb" iaitu pada rekabentuk matakail iaitu berfungsi penyangkok ini jelas dimana ia  menjaga supaya ikan tidak terlepas. Fungsinya bagi mata kail sudah melekat di bibir ikan tidak akan terlepas apabila ikan ditarik keatas. Selalunya semakin besar saiz barb maka semakin susah buat ikan (dan juga kita) untuk melepaskannya. Selalunya para pemancing yang memancing dengan teknik ‘catch and release’ akan membuang barb ini dengan cara mengikisnya sahaja atau di patahkan sahaja dengan alat penyepit  besi. Artikel ini bersambung pada Mata Kail - Part 2. Baca seterusnya. Wasallam!..
Udang Galah Sepit Biru di Sg Endau, Mersing, Johor.
CARI MATA KAIL... CIRI MACAMANA...
ADA YANG KECIL...SAIZ BESAR JUGA...
BELI YANG BETUL....PILIH IKUT GUNA...
PASANG UMPAN... IKAN MENGENA...

By,
M Anem,
Senior Agrologist,
Kedai Alatan Pancing Tan,
Jalan Utama, Kahang, Kluang,
Johor, Malaysia.
(26 Safar 1435H)

Wednesday, October 1, 2014

LONGAN - CARA ARUHAN

Pokok LONGAN (Dimocarpus longan) adalah sejenis buah daripada keluarga Sapindaceae iaitu sama dengan buah rambutan. Buah Longan yang masak adalah seperti 'Mata Naga' yang mempunyai isi manis dan rasa sedap. Negara China dan Thailand merupakan pengeluar utama buah longan didunia walau pun nilai ekspot longan Thailand mencecah jutaan ringgit setahun. Malaysia antara negara yang banyak mengimpot buah longan sama ada dalam bentuk buah segar atau pun buah longan kering. Penanaman longan di Thailand yang saya sempat buat tinjauan teknologi merupakan satu industri yang berkembang dan memang menghasilkan buah berkualiti untuk pasaran domestik dan ekspot. Pokok Longan boleh tumbuh tegak dengan kanopi daun yang merimbun dan boleh mencapai ketinggian antara 10-20m. Daun longan adalah jenis kompaun (compound leaf). Lai daunnya tersusun berpasangan secara berselang di antara 6-9 pasang dan berbentuk bujur. Bunga longan bersaiz kecil dan terdapat pada hujng pucuk. Jambak bunganya besar (3-50cm panjang), bercabang dan tiada daun. Terdapat 3 jenis bunga longan iaitu bunga jantan, bunga betina dan bunga hermafrodit. Hanya bunga hermafrodit yang akan menjadi buah. Dalam satu jambak boleh terdapat sehingga 80 biji buah yang berbentuk bulat dengan beratnya di antara 5-20g sebiji. Pada peringkat awal, warna buahnya kehijauan dan kulitnya agak kasar. Kulit buah longan akan bertukar menjadi agak licin dan berwarna perang bila telah matang. Kini terdapat 3 varieti longan yang telah dikomersilkan iaitu longan varieti Edaw, Chompoo dan Biew Khiew. Rakyat Malaysia yang mana ramai meminati buah longan sama ada longan segar, longan dalam tin atau longan kering merupakan negara pengimport tegar bahan ini terutama dari Thailand dan China.  Artikel malam ini saya menulis lagi dalam "Anim Agro Technology" mengenai teknologi aruhan pokok longan untuk menghasilkan bunga dan seterusnya berbuah.


Varieti longan yang ada ditanam di Malaysia terdiri daripada varieti Edaw, Chompoo dan Biew Khiew dimana jenis ini adalah kultivar yang memerlukan suhu yang rendah dan kering selama lebih kurang 2 bulan untuk berbunga. Beberapa kawasan di bahagian Utara Semenanjung Malaysia dan Utara Borneo mungkin sesuai ditanam dengan pokok longan kerana mempunyai cuaca panas dan kemarau yang agak lama untuk membolehkan ia mengaruhkan pembungaan. Bagaimana pun pada keadaan biasa, tanaman longan yang ditanam di Malaysia tidak berbunga. Namun begitu menurut penelitian penulis blog, longan Edaw didapati boleh berbunga apabila dibuat aruhan dengan menggunakan rawatan kalium klorat. Teknik membuat aruhan terhadap pokok longan dimana aruhan boleh dilakukan dengan cara dua kaedah iaitu secara siraman dan taburan. Kaedah yang Pertama iaitu Kaedah Siraman dimana sebelum membuat rawatan, pastikan keseluruhan daun telah matang dan tiada pucuk baru. Kemudian larutkan kalium klorat dalam air dengan kadar 8 gm/m persegi (keluasan kanopi pokok). Seterusnya bersihkan kawasan kanopi, kemudian larutan tersebut dicurahkan ke atas tanah di bawah kanopi di sekeliling pokok. Kadar kalium klorat yang diperlukan untuk mengaruh pembungaan dan jumlah air yang diperlukan untuk melarutkan kalium klorat mengikut kadar keluasan kanopi adalah seperti jadual berikut :



Teknik kedua adalah dengan Kaedah Taburan dimana sebelum rawatan, pastikan keseluruhan daun telah matang dan tiada pucuk baru. Timbang kalium klorat dengan kadar 8 gm/m persegi (keluasan kanopi pokok).  Peringkat yang seterusnya adalah membersihkan kawasan kanopi pokok dari rumpai dan kemudian tabur kalium klorat ke atas tanah di bawah kanopi di sekeliling pokok. Antara perkara-perkara penting yang perlu dilakukan sebelum membuat aruhan adalah seperti melihat bahawa daun longan telah menjadi matang (hijau tua) keseluruhannya dan kawasan bawah kanopi pokok perlu dibersihkan dari rumpai. Sebaiknya kira purata jejari pokok dalam kaki (kolum 1). Timbang kalium klorat mengikut kadar yang diberikan seperti jadual 1 (kolum 4). Sediakan air bersih mengikut jadual 1(kolum 5) dan larutkan kalium klorat ke dalam air dan kacau dengan kayu sehingga larut kesemuanya. Curahkan larutan kalium klorat itu merata tempat di bawah kanopi pokok. Keputusan akan dapat dilihat antara 2-5 minggu. Penentuan masa aruhan ini dibuat kerana terdapat hujan yang mencukupi bagi pengeluaran putik dan pembentukan buah. Suhu sebelah malam yang sejuk adalah baik untuk pembentukan buah. Semuga tulisan ini memberikan info berguna kepada semua pembaca blog anim agro technology kali ini yang berminat menanam pokok longan. Wasallam!!!..
KALIUM KLORAT....UNTUK ARUHAN...
POKOK LONGAN...SESUAI GUNAKAN...
PERLU DIBANCUH....TEKNIK CAMPURAN...
DISIRAM DIPOKOK...MENGIKUT ATURAN...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Projek Tanaman Longan,
Pekan Gerisek, Ledang,
Muar, Johor,
Malaysia.
(19 Zulkaedah 1435)
Kemaskini pada 21 Jun 2017

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...