Support My Blog

Tuesday, February 23, 2021

EVOLUSI SISTEM PENGAIRAN DAN SALIRAN

TANAMAN PADI
(Oryza sativa) merupakan tanaman yang ke tiga terpenting di Malaysia selepas tanaman kelapa sawit dan getah dari segi keluasan. Dalam sektor tanaman makanan ia merupakan tanaman paling utama diberikan perhatian oleh kerajaan semenjak dahulu didalam mempastikan bekalan beras sebagai makanan asasi rakyat Malaysia terjamin. Walau pun kerajaan Malaysia hanya mensasarkan sekitar 70% kadar kecukupan sendiri (Self Sufficiency Level - SSL) akan tetapi kerajaan perlu membelanjakan berbillion ringgit untuk membantu komodi ini terutama untuk menjamin sistem pengairan dan salir sempurna dan bantuan pelbagai jenis subsidi atau insentif tanaman padi. Hampir sebahagian besar tanaman padi di Malaysia adalah merupakan jenis padi sawah (tanaman padi dalam air) dan hanya sebahagian kecil sahaja yang menanam padi bukit (terutama dikawasan pendalaman Sabah dan Sarawak). Keluasan tanaman padi di Malaysia Musim Utama 2017/2018 dilaporkan 436,054 hektar dengan seluas 268,318 hektar padi sawah di Semananjung Malaysia, seluas 20,828 hektar padi sawah di Sabah dan seluas 76,198 hektar padi sawah di Sarawak (Sumber: Booklet Statistik Tanaman, Jabatan Pertanian Malaysia 2019). Data ini juga termasuk juga seluas 32,572 hektar padi bukit di Sabah dan seluas 135,164 hektar padi bukit di Sarawak. Beberapa kawasan jelapang padi negara memerlukan kos pembinaan dan penyelenggaraan yang baik didalam mempastikan penanaman padi dapat dilakukan mengikut jadual pengairan. Antara kawasan utama kawasan jelapang padi seperti di MADA, KADA dan beberapa Projek IADA seperti IADA KETARA, IADA Barat Laut Selangor, IADA Krian, IADA Seberang Perak, IADA Kemasin Smerak, IADA Pulau Pinang, IADA Pekan, IADA Rompin, IADA Batang Lupar dan IADA Kota Belud. Kawasan penanaman padi Luar Jelapang Padi di Malaysia adalah seluas 218,174 hektar pada tahun 2018 dengan 57,673 hektar berada di Semenanjung Malaysia. Negeri Kedah juga mempunyai kawasan penanaman padi Luar Jelapang Padi teruas dengan 26,857 hektar dan Selangor serta Pulau Pinang tidak ada kawasan sawah luar jelapang. Data CCS Kebangsaan juga melaporkan dimana intensiti penanaman padi sawah di Malaysia adalah 94.5% dengan dua negeri mencapai 100% intensiti tanaman. Artikel petang Isnin ini dalam blog "Anim Agro Technology" saya menulis rencana ke 6,285 mengenai evolusi sistem pengairan dan saliran di Malaysia khususnya bagi jepalang padi di Kedah sebagai satu bahan rujukkan semua.

Dalam menjamin kemapanan industri penanaman padi di Kawasan Muda, Kedah dan Perlis maka pengurusan dan penyeliaan perkhidmatan pengairan serta pembangunan sistem pengumpulan data (pengairan dan pertanian) memang amat dititikberatkan oleh Bahagian BPSP atau Bahagian Perkhidmatan Pengairan dan Saliran di Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) bagi membolehkan pengurusan air yang lebih tepat, cekap dan berkesan. Perkara ini adalah selaras dengan fungsi utamanya untuk memberikan segala perkhidmatan pengairan dan saliran air kepada MADA dan beberapa kawasan jelapand padi lain di Malaysia di dalam menjamin kesinambungan penanaman padi dua (2) kali setahun seperti di Kawasan Muda. Bagi mencapai tujuan tersebut, salah satu tindakan yang diambil adalah dengan merancang, menetap (bersama peladang) dan perlu melaksanakan jadual penanaman padi sebelum permulaan sesuatu musim (Musim Pertama – Feb/Mac; Musim Kedua – Julai/Ogos) setiap tahun. Dengan adanya jadual penanaman padi, air dapat dibekalkan secara efisien dan teratur mengikut kepada fasa penanaman padi serta peringkat pertumbuhan padi (mengikut keperluan tumbesaran pokok padi). Dalam membuat perancangan untuk menentukan jadual penanaman padi bagi musim pertama di Kawasan Muda, beberapa faktor perlu diambil kira iaitu kedudukan takungan empangan, ramalan punca air, ramalan pencapaian aktivti musim yang lepas serta beberapa faktor lain.

Aktiviti penanaman padi telah bertapak di negeri Kedah selama 500 tahun dahulu di kawasan tanah dataran di barat Kedah dan Perlis seperti yang terdapat pada rekod bertulis.  Pada permulaan abad ke-19 didapati ia semakin giat dijalankan susulan kemerosotan perdagangan yang memaksa pemerintah ketika itu beralih kepada kegiatan ekonomi baharu iaitu mempergiatkan usaha tanaman padi.  Pembangunan tanaman padi tertumpu di kawasan utara Semenanjung Tanah Melayu iaitu di Dataran Negeri Kedah dan Perlis kerana kawasannya yang rendah serta mudah dibanjiri air. Pemilihan kawasan lokasi berkenaan telah menyebabkan sistem perparitan dibina bagi mengalirkan lebihan air. Pemulihan dan pembangunan kawasan tersebut telah menarik ramai pendatang terutama dari Pattani, Selatan Siam dan juga Jawa, Indonesia.  Bagaimanapun dalam aspek perkembangan pertanian padi ketika itu tidak begitu pesat sehinggalah terbinanya Terusan Wan Mat Saman pada tahun 1885.  Terusan sepanjang 35 kilometer itu adalah bukti dimana bermulanya pembangunan sistem pengairan dan saliran di Kedah sehingga ia terkenal sebagai negeri jelapang padi Malaysia. Terusan berkenaan adalah cetusan Menteri Besar Kedah ketika itu, Wan Muhammad Saman. Tujuan utama pelaksanaannya adalah untuk mengairi sawah ketika berlaku kekurangan air dan mengalirkan air keluar ketika jumlah air berlebihan. Pembinaan terusan tersebut telah mengakibatkan kawasan paya antara Sungai Kedah dan Sungai Yan dapat dikeringkan untuk penanaman padi. Kebanyakan penduduk turut mengambil peluang membuka perkampungan baharu di sepanjang terusan itu yang masih boleh dilihat sehingga kini.

Selain terusan tersebut memang banyak lagi terusan atau taliair kecil dibina bagi mengekalkan air terus ke kawasan- kawasan pedalaman dan antara terusan yang masih kekal serta digunakan sehingga kini ialah Sungai Simpang Empat, Sungai Kota Sarang Semut, Sungai Limau dan Sungai Guar Chempedak.  Penglibatan orang Melayu dalam penanaman padi ketika itu agak meluas namun tidak begitu teratur dan hanya dijalankan pada peringkat sara diri. Ia disebabkan oleh pengawalan sumber air yang tidak begitu memuaskan. Walaupun Terusan Wan Mat Saman telah dibina, namun sumber air untuk mengairi tanaman tetap bergantung kepada hujan. Masalah yang timbul itu kemudiannya telah membawa kepada wujudnya Rancangan Pengairan Muda dalam Rancangan Pembangunan Malaysia Pertama (1965-1970) yang telah membawa perubahan kepada pesawah apabila mereka diperkenalkan dengan kaedah menanam padi dua kali setahun. Rancangan Pengairan Muda bantu tingkatkan pengeluaran padi. Rancangan Pengairan Muda dilaksanakan pada April 1966 di bawah Rancangan Malaysia Pertama dan merupakan projek pembangunan yang terbesar di Asia pada tahun 1960-an. Projek yang merangkumi keluasan 96,558 hektar itu melibatkan kos berjumlah RM245 juta dengan 47 peratus (RM114.6 juta) daripada kos itu dibiayai oleh Bank Dunia, manakala bakinya dibiayai kerajaan Malaysia. Projek Muda I telah bermula pada 1 April 1966 melibatkan komponen utama pembinaan, dua empangan iaitu Empangan Pedu dan Empangan Muda.  Projek tersebut turut melengkapkan pembangunan rangkaian infrastruktur peringkat primer dan sekunder bagi meningkatkan pengurusan air peringkat ladang dengan kepadatan 10 meter per hektar. Selepas empat tahun, Projek Muda I siap sepenuhnya pada 1970 dan peringkat pertama pengairan telah dimulakan di kawasan seluas kirakira 33,600 hektar iaitu 35 peratus daripada 96,558 hektar kawasan Muda bagi tanaman padi luar musim. Baki seluas 62,958 hektar kawasan dilaksanakan secara berperingkat dalam tempoh tersebut sehingga 1974. 

Akhirnya bermula pada tahun 1975, keseluruhan Kawasan Muda boleh ditanam tanaman padi dua kali setahun hasil daripada pembinaan Projek Muda I. Namun dalam tempoh pelaksanaan Projek Muda I dilaporkan pihak Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) yang ditubuhkan pada 1970 di bawah Dikri Darurat sentiasa menerima aduan daripada pesawah berkaitan masalah pengagihan bekalan air, antaranya pengagihan yang tidak cekap dan mengambil masa panjang untuk mengalir dari satu petak ke petak sawah yang lain pada purata jarak 1.6 kilometer bagi setiap blok pengairan. MADA yang komited menjaga kebajikan pesawah berusaha untuk menangani masalah tersebut dan menyemak semula reka bentuk serta sistem pengurusan air yang lebih cekap dalam usaha meningkatkan pengeluaran padi. Akhirnya keputusan terbaik yang dicapai adalah kerajaan melaksanakan pembangunan infrastruktur pada peringkat tersier. Dengan itu, Projek Muda II mula dilaksanakan pada 1979 dengan mana pembinaan kemudahan infrastruktur tersier melibatkan tali air, parit dan jalan ladang dengan kos RM225 juta. Projek itu sehingga 1987 telah dapat meningkatkan 38 blok pengairan seluas 18,368 hektar (19 peratus) daripada kawasan Muda dilengkapi dengan kepadatan infrastruktur pada tahap 30 meter per hektar. Sebenarnya, kerajaan sentiasa memberi tumpuan kepada pembangunan sistem tersier di kawasan Muda dalam usaha menyediakan rangkaian kemudahan yang komprehensif untuk meningkatkan pengeluaran padi negara.  Ia dapat dibuktikan apabila di bawah Rancangan Malaysia Keenam hingga Kesembilan (1986-2010), kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM94.3 juta untuk tujuan membangunkan rangkaian infrastruktur tersier. Menerusi usaha tersebut,sehingga kini seluas 34,989 hektar iaitu 36 peratus daripada 96,558 hektar kawasan Muda dibangunkan dengan blok pengairan tersier. Ia melibatkan sejumlah 44 blok pengairan daripada jumlah 172 blok pengairan di keseluruhan kawasan Muda. Baki 128 blok pengairan lagi sedang dan akan ditingkatkan kepadatan infrastruktur ke peringkat tersier dalam Rancangan Malaysia semasa dan seterusnya. Untuk kesimpulannya, sejarah penanaman padi dan detik kelahiran MADA jelas menunjukkan perkembangan padi di kawasan Muda khususnya dan amnya di negeri Kedah dan Perlis bermula dengan pembangunan infrastruktur pengairan dan saliran. 

Terdapat dua tahap yang telah berlaku untuk mengubah landskap penanaman padi dan taraf hidup pesawah ketika itu. Pertama dimana selepas pembinaan Terusan Wan Mat Saman dan kedua selepas pembinaan iaitu Rancangan Pengairan Muda.  Proses transformasi pembangunan yang berlaku bukan sahaja mengubah pelan pembangunan negara, malah turut memberi kesan kepada sosio ekonomi negara. Dari segi pembangunan infrastruktur pengairan dan saliran tersebut telah membawa kepada sistem pengawalan dan pengurusan air yang lebih efisien dan sistematik sehinggakan tanaman padi dua kali setahun boleh dijalankan secara mampan sehingga hari ini selepas 50 tahun MADA ditubuhkan. Dari segi sejarah dengan pembinaan Terusan Wan Mat Saman yang kurang efisien kerana bergantung pada air hujan menjadi pencetus Rancangan Pengairan Muda. Kemudian Projek Muda I yang dimulakan pada tahun 1966 mengambil masa selama empat tahun untuk siap sepenuhnya dan menjadi projek terbesar di Asia ketika itu. Penulis blog hanya berumur 7 tahun ketika itu semasa empngan dan sistem pengairan tersebut disiapkan. Infrastruktur dalam kawasan Muda telah mengalami beberapa perubahan dari segi bentuk pengairan dan saliran berdasarkan topografi dan fizikal kawasan Muda yang menyebabkan wujudnya Projek Muda I dan Muda II. Negeri Kedah dan Perlis adalah terkenal dengan kawasan tanaman padi sehinggakan digelar jelapang padi negara. Kawasan yang diuruskan oleh Lembaga Kemajuan Pertanian Muda ini adalah seluas 130,282 hektar dimana 100, 685 hektar adalah kawasan pasel padi. Keluasan pasel padi ini merangkumi dua (2) buah negeri iaitu Negeri Kedah (80,612 hektar) dan Negeri Perlis (20,073 hektar). Keluasan pasel tanaman padi Kawasan Muda mewakili 35.13% daripada keluasan pasel padi negara. Keluasan tanaman padi di Kawasan Muda adalah yang terbesar di Malaysia maka, bagi memastikan perjalanan pengurusan dan pentadbiran MADA berjalan dengan lancar, MADA dibahagikan kepada empat (4) wilayah iaitu, Wilayah I (Perlis), Wilayah II (Jitra), Wilayah III (Pendang) dan Wilayah IV (Kota Sarang Semut). Rekod berjaya menunjukkan dimana prestasi purata hasil kasar pada Tahun 2016 berbanding Tahun 2015 menunjukkan peningkatan sebanyak 478 kg (7.7%). Pada tahun 2016 purata hasil yang dicatatkan ialah 6.194 tan/hektar manakala pada Tahun 2015 purata hasil yang dicatatkan 5.725 tan/hektar. Semuga artikel ini memberi info berguna kepada semua pembaca blog anim agro technology kali ini. Wasallam!!...
TANAMAN PADI... KE 3 PENTINGNYA...
BEKALAN AIR.. SALIRAN MESTI ADA...
JELAPANG PADA...DAN PROJEK IADA...
BERAS DIHASILKAN... MAKAN KITA...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Precint 11, Putrajaya,
WP Putrajaya,
Malaysia.
(10 Rejab 1442H).

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...