TANAMAN HALIA (Zingiber officinale Roscoe) merupakan sejenis tumbuhan umbisi dari keluarga Zingiberaceae yang mempunyai nilai perubatan dan komersial yang tinggi. Halia lazimnya akan menghasilkan rizom yang mempunyai daun berbentuk bilah serta batang yang mencecah tiga kaki tinggi. Tumbuhan ini mengeluarkan bunga seperti orkid yang dilihat berwarna kuning kehijauan yang menjadikan halia sesuai sebagai tanaman hiasan dan biasanya ditanam di kawasan tanah tinggi 1,200 - 1,500 m dari aras laut. Di Malaysia dari apa yang penulis blog tinjau, tanaman halia ditanam secara komersial di Bentong, Pahang, Keningau dan Tambunan, Sabah serta Sarawak. Varieti utama yang menjadi pilihan pengusaha ialah Bentong, Bara, Cina, Tanjung Sepat dan Indonesia. Tanaman halia ini dikatakan dapat membantu didalam menghadam makanan, menguatkan tenaga batin, menambah air mani dan membuang angin yang terdapat di dalam usus kecil dan usus besar. Ubatan daripada halia juga dikatakan boleh mengawal beberapa penyakit seperti demam, batuk, migrain, sakit gigi, sakit tulang, senggugut dan sesak dada. Permintaan halia di Malaysia bagi pasaran domestik dan antarabangsa sangat tinggi terutama bagi halia Bentong yang mempunyai kualiti tinggi jika dibandingkan dengan halia daripada Indonesia, Thailand, China (Hong Kong), Taiwan dan Amerika Syarikat. Halia Bentong juga mendapat permintaan yang tinggi dari pasaran Hong Kong dan Britain. Tahap pengeluaran yang rendah mengehadkan jumlah kapasiti eskport halia disebabkan kekurangan tanah yang sesuai untuk penanaman halia dan penyakit bawaan tanah (soil borne disease) yang menjangkiti tanaman halia. Sistem fertigasi ialah satu teknik alternatif yang dapat mengatasi masalah tahap kesuburan yang rendah dan penyakit bawaan tanah. Kedua-dua masalah ini merupakan masalah utama pengeluaran halia secara komersial di seluruh dunia. Penanaman sayuran daun dan buah dengan menggunakan teknologi fertigasi telah terbukti berkesan dan efisien. Pengeluaran hasil buah cili, melon wangi dan tomato telah meningkat 3-5 kali ganda berbanding dengan cara konvensional. Penanaman halia secara fertigasi di tanah rendah turut meningkatkan hasil rizom halia berbanding dengan sistem konvensional. Dengan menggunakan sistem fertigasi, halia di tanah rendah dapat ditanam secara berulang di tempat yang sama secara berterusan. Artikel malam ini dalam blog "Anim Agro Technology" saya terus menulis teknologi penanaman halia secara fertigasi untuk dijadikan bahan rujukkan anda semua.
Keperluan asas penanaman halia fertigasi sebelum memulakan proses menanam halia secara fertigasi sebaiknya pengusaha perlu menyediakan dua jenis infrastruktur utama iaitu Struktur Pelindung Hujan (SPH) dan Sistem Pengairan Fertigasi. Kedua-dua infrastruktur ini perlu disediakan terlebih dahulu sebelum mula proses menanam dimulakan. Struktur pelindung hujan sesuai digunakan untuk penanaman pelbagai jenis sayur-sayuran dan bunga-bungaan sesuai di bawah struktur pelindung hujan. Struktur pelindung hujan dapat mengurangkan akan potensi kerosakan tanaman daripada serangan penyakit akibat hujan seperti antraknos, hawar pucuk dan kerosakan akibat timpaan hujan yang lebat dan secara langsung dapat mengurangkan penggunaan racun kulat. Lazimnya struktur pelindung hujan tanpa jaring kalis serangga digunakan untuk tanaman halia di tanah rendah. Struktur jenis ini biasanya dapat memberi kesan lindungan kepada tanaman dan ia sekali gus mengurangkan cahaya yang sampai kepada tanaman serta mengurangkan lembapan udara kerana peredaran udara di bawah struktur tidak terganggu. Struktur pelindung hujan yang sesuai bagi pengeluaran halia di tanah rendah terdiri daripada bumbung yang diperbuat daripada plastik telus cahaya (lut sinar) atau diperbuat daripada jaring hitam 50 - 70%. Anggaran kos bagi pembinaan seunit rumah pelindung hujan berdimensi 100’ x 20’ x 8’ dimana ia berkerangka besi galvani ialah RM15,500. Manakala kos pembinaan rumah pelindung hujan berkerangka kayu dianggarkan kurang 40% daripada kos pelindung hujan berkerangka besi galvani. Pilih kawasan rata yag sesuai dan selamat dari sebarang gangguan.
Apakah dia sistem fertigasi yang sesuai untuk tanaman halia?. Ada pun komponen utama sistem pengairan fertigasi halia ialah tangki air baja 900 atau 600 gelen, tong stok baja, pam air berkuasa 2 hp, pengatur masa digital, penapis, injap dan sistem paip yang membawa larutan nutrien ke setiap beg tanaman. Sistem paip terbahagi kepada paip utama (polipipe HDPE) 32 mm, paip sekunder (polipipe HDPE) 32 mm, paip pembahagi (polipipe LDPE) 16 mm atau 20 mm dan tiub mikro 1.0 mm berserta penitis panah. Pengusaha juga perlu mendapatkan alat pengukur konduktiviti elektrik (EC) untuk menentukan kepekatan baja dan pH meter untuk mengukur nilai pH air. • Bagi penanaman halia secara fertigasi, polibeg tegak boleh digunakan. Polibeg berwarna hitam bersaiz 24’’ x 16’’ adalah disyorkan. Medium tanaman yang disyorkan bagi halia ialah 100% coco peat. Kajian MARDI telah menunjukkan penggunaan polibeg hitam sesuai bagi tanaman halia dan dapat meningkatkan hasil rizom bagi setiap meter persegi. • Pemberian air baja boleh dikawal secara manual atau menggunakan pengatur masa automatik. Sistem fertigasi perlu dipasang sebelum halia ditanam ke dalam polibeg. Sebaiknya jarak di antara polibeg yang disyorkan ialah 1’, manakala jarak di antara barisan tanaman ialah 5’. Susunan polibeg ini sebaiknya diatas plastik putih yang sesuai.
Terdapat lapan langkah dalam penanaman halia secara fertigasi yang melibatkan persediaan sebelum tanam dan pengurusan selepas tanam. Lapan langkah tersebut adalah pertama dengan memilih varieti halia sesuai seperti Halia Bentong, Halia Sabah dan sebagainya. Kemudian aktiviti uuntuk menyediakan benih halia yang mencukupi dan berkualiti dengan saiz medium dan menyediakan polibeg. Kemudian masukkan benih halia kedalam polibeg yang berisi media tanaman dan siap pengairan fertigasi. Penting dalam membuat larutan stok baja set A dan Set Bdalam bekas yang disediakan pam mengalirkan air baja. Pastikan pengurusan pengairan dan amalan agronomi dilakukan mengikut jadual. Jika ada serangan perosak dan penyakit perlu dikawal dengan kaedah yang sesuai. Serangan ini hanya dapat dikenalpasti dengan membuat pemantauan disgnostik. Jika ada rumpai maka ia perlu di buang dengan cara manual. Penjagaan yang sempurna akan menentukan pembentukknan rizom halia mengikut penggurusan. Halia fertigasi ini boleh dituai sebagai Halia Muda atau Haia Tua. Dalam memilih varieti halia sebaiknya dipastikan varieti halia yang sesuai adalah penting untuk memastikan hasil yang tinggi. Penting juga anda kenalpasti jenis atau varieti halia yang digunakan oleh ramai masyarakat sekitar bagi memudahkan proses pemasaran hasil. Apa pun penulis blog dapati pada masa ini terdapat enam (6) varieti utama yang menjadi pilihan pengusaha untuk dikomersialkan di Malaysia. Varieti tersebut adalah Halia Tanjung Sepat, Halia Cina, Halia Indonesia, Halia Bara, Halia Sabah dan Halia Bentong. Ciri-ciri benih halia yang baik adalah seperti ia mempunyai saiz rizom besar, rizom berwarna pucat kekuningan, mempunyai isi rizom berwarna kuning cair, mempunyai serat yang rendah dan juga mempunyai tahap kepedasan yang tinggi. Harga benih bergantung kepada kualiti, jarak bekalan dan kuantiti sekitar RM12.00 - RM20.00 sekilogram. Artikel ini ada 3 bahagian iaitu Part 1, Part 2 dan Part 3 dimana ia perlu dibaca bersama. Semuga anda memdapat info berguna dari artikel blog anim agro technology kali ini. Wasallam!!!..
ADA PELINDUNG HUJAN...ASASNYA...
POLIBEG ADA MEDIA... PAIP AIR JUGA...
MUDAH DIJAGA... ANDA BOLEH CUBA...
By,
M Anem,
Senior AGronomist,
Taman Cendana, Bandaraya Melaka Bersejarah,
Bandar Melaka, Melaka,
Malaysia.
(30 Safar 1442H).
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.