Ramai mungkin tidak mengetahui akan jenis dan spesis ubikayu yang sesuai ditanam di Malaysia. Sebenarnya ada ubikayu ditanam mengikut kegunaan terakhir sama ada untuk dimakan segar, diproses menjadi keripik, untuk biodisel, barangan kosmetik, kanji, ubatgigi dan sebagainya yang berlainan jenisnya. Jenis-jenis ubi kayu boleh dikenali dengan ciri-ciri tertentu. Umpamanya dikelaskan berdasarkan ciri morfologi seperti bentuk daun, saiz daun, warna tangkai daun, tinggi pokok, batang dan kulit ubi serta kandungan asid hidrosianik. Kandungan asid hidrosianik telah digunakan untuk mengkelaskan ubi kayu jenis manis dan jenis pahit. Menurut Gerona (1994) dilaporkan dimana Ubi Kayu Jenis Pahit mengandungi kandungan Asid hidrosianik dari 100 ppm hingga 400 ppm berdasarkan berat ubi segar. Sementara itu jenis Ubi Kayu Jenis Manis mempunyai nilai kandungan asid hidrosianik kurang dari 100 ppm. Kandungan Asid hidrosianik pada varieti jenis manis hanya terdapat pada bahagian kulit ubi dan pada bahagian isinya boleh dikatakan rendah. Pengkelasan varieti ubi kayu berdasarkan kandungan Asid hidrosianik harus berhati-hati kerana kandungan Asid hidrosianik pada varieti-varieti tertentu mungkin berbeza mengikut keadaan persekitaran tanaman ubi tersebut ditanam (Onwueme,1978 ). Dilaporkan dimana Ubikayu Jenis Manis ini biasanya digunakan untuk makanan dan tangkai daunya kebiasaanya berwarna merah. Diantara jenis-jenis varieti ubi kayu yang tergolong dalam jenis manis ialah Varieti Sawah, Varieti Medan, Varieti Kabu, Varieti Betawi, Varieti Pulut dan sebagainya. Pada umumnya jenis manis mencapai kematangan 6 - 10 bulan selepas ditanam. Ubinya mudah rosak jika penuaian lambat dilakukan. Jabatan Pertanian mengesyorkan varieti Sawah untuk ditanam oleh petani. Varieti ini didapati sesuai untuk dimakan setelah direbus kerana isinya empuk. Disamping itu juga ianya boleh digunakan untuk membuat kuih yang berasaskan ubi kayu. Sebenarnya Varieti Putih pula disyorkan untuk membuat kerepek ubi kayu. Ciri-ciri kedua-dua varieti ini ialah seperti dalam jadual 1.
Ubi Jenis Pahit adalah dimana ia ditanam untuk pengeluaran kanji dan juga makanan ternakan. Varieti jenis pahit pada kebiasaanya dari segi marfologi mempunyai tangkai daun berwarna kuning atau warna hijau. Diantara varieti ubi jenis pahit ialah seperti varieti Black Twig, varieti Perintis, varieti MM 92 dan lain-lain. Pada kebiasaanya jenis ubi kayu jenis pahit mencapai kematangan dalam masa 12 - 18 bulan selepas ditanam iaitu lebih lama daripada ubi jenis manis. Bagaimana pun satu varieti iaitu MM92 boleh mula dituai ketika umurnya mencapai 6 bulan selepas ditanam (Sila lihat foto disebelah). Varieti jenis pahit tidak mudah rosak jika penuaian lambat dilakukan dan selalunya lebih tahan lama disimpan berbanding dengan jenis ubi manis. Hanya bezanya adalah dimana kandungan serat mungkin tinggi. Varieti-varieti ubikayu pahit yang disyorkan oleh Jabatan Pertanian untuk ditanam oleh petani ialah MM92 dan varieti Perintis. Ciri-ciri kedua-dua varieti ini ialah seperti pada jadual 1diatas untuk dirujuk. Anggaran penghasilan bagi ubi pahit sekitar 30 - 40 metrik tan sehektar. Kandungan kanji bagi jenis Perintis adalah 78.4% dan sebanyak 80.1% bagi jenis MM92.
Kesesuaian tanah dan penyediaan tanah adalah penting dilakukan bagi tujuan penanaman ubikayu. Jenis tanah yang sesuai untuk ubi kayu adalah bersifat peroi berpasir dimana untuk kawasan penanaman yang baru dibuka seperti jika dari kawasan hutan sebaiknya kerja-kerja seperti pembersihan kawasan, pembuangan tunggul-tunggul kayu dan pembakaran perlu dibuat dengan sempurna. Penyediaan tanah hendaklah dibuat supaya perancangan jadual penanaman dapat dilakukan pada musim hujan. Tapak tanaman hendaklah dibajak dan putar. Ubi kayu sebaiknya ditanam di atas batas terutamanya tanah mineral tetapi boleh juga ditanam tanpa batas untuk tanah yang gembur seperti tanah gambut yang telah terurai. Namun paras air tanahnya hendaklah dikawal (30 - 60cm dari permukaan tanah). Cara penanaman tanpa batas untuk tanah mineral dapat dilakukan namun kerja-kerja penuaian sukar dilakukan, walau pun sebelum penanaman tanah telah dibajak. Akibat hujan dan panas tanah menjadi padat. Disamping itu ubi mudah reput sekira tempoh kematangan ubi berlaku pada musim hujan. Penggunaan batas-batas berukuran 60cm lebar dan 20cm tinggi membolehkan pembesaran ubi yang cepat serta memudahkan kerja-kerja seperti memunggut hasil, pengawalan rumpai dan sebagainya. Keadaan suhu yang optima untuk penanaman ubi kayu ialah antara 25 - 29 Celcius. Altitiud penanaman ialah dari 30 darjah utara (N) hingga 30 darjah Selatan (S). Ianya tidak tahan terhadap keadaan bersalji dan mesti terhindar dari keadaan bersalji selama 300 hari. Pertumbuhan ubi kayu akan terbantut sekiranya keadaan suhu kurang dari 10 Celcius dan hasil ubi segar akan berkurangan apabila keadaan suhu melebihi 29 Celcius. Ianya tidak sesuai ditanam di kawasan yang berada di aras ketinggian melebihi 1,000m dari paras laut. Jika ketinggian melebihi tahap ini, pertumbuhan pokok akan menjadi lambat dan hasil ubi segar akan berkurangan. Taburan hujan yang serata dengan kadar 100 - 150cm setahun adalah sesuai untuk pertumbuhan ubi kayu. Walau bagaimana pun untuk kawasan yang menerima hujan melebihi 250cm setahun ianya masih boleh ditanami dengan ubi kayu dengan syarat sistem peparitan hendaklah ada. Bagi kawasan yang menerima hujan tahunan kurang dari 50sm pula, sumber air hendaklah kedapatan di kawasan berkenaan.Walau pun ubi kayu tahan keadaan kemarau, namun peringkat awal pertumbuhan keratan memerlukan air. Artikel ini mempunyai 3 segmen yang perlu dibaca bersama. Semuga siri artikel ini memberi info berguna kepada semua pembaca blog anim agro technology kali ini. Wasallam!!...
JENIS MANIS... JENIS PAHIT YANG MANA...
BENIH DI TANAM... KEMUDIAN DI BAJA...
CUKUP UMUR... DITUAILAH HASILANNYA....
By,
M Anem,
Senior Agronommist,
Precint 11, Putrajaya,
WP Putrajaya,
Malaysia.
(29 RabiulAwal 1442H).
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.