Support My Blog

Sunday, November 1, 2020

PENGURUSAN SEMAIAN KELAPA (PART 3)

TANAMAN KELAPA (Cocos nucifera) merupakan tanaman yang ke 4 terpenting di Malaysia selapas tanaman Kelapa Sawit, Getah dan Padi. Industri tanaman kelapa di Malaysia dahulu merupakan satu komoditi yang menghasilkan pendapatan baik kepada pekebun kecil sebelum tanaman kelapa sawit dan getah popular. Kebanyakan varieti kepala sedia ada dikawasan utama tanaman kelapa adalah Malayan Tall (CN1) dan kini terdapat beberapa varieti kelapa yang digalakan penanamannya termasuk Kelap Matag (CN13, CN14 dan CN15), Kelapa Tacunan, Kelapa Pandan (CN6) dan beberapa varieti lain. Kesemuanya memerlukan benih sebagai asas untuk menanam baru kelapa. Terdapat beberapa semaian kelapa yang di miliki oleh Jabatan dan Agensi serta beberapa usawasan swasta di Malaysia. Bagaimana pun untuk pengeluaran kelapa hibrid seperti kelapa Matag ianya masih dipunyai oleh pihak tertentu sahaja. Pengurusan tapak semaian yang bersistematik diperlukan bagi menyediakan bekalan bahan tanaman yang berkualiti dan terbaik untuk pembangunan kawasan baharu atau penanaman semula kelapa di kawasan pekebun kecil dan estet. Bahan tanaman yang berkualiti hanya akan diperolehi daripada amalan dan kaedah pengurusan tapak semaian kelapa yang betul dan mengikut semua prosedur yang telah ditetapkan serta mempunyai perancangan yang rapi dan sistematik. Ini termasuklah dari aspek pemilihan kawasan yang sesuai, pembangunan infrastruktur yang lengkap, reka bentuk yang sesuai dan yang paling penting adalah kaedah pengurusan yang betul dari semua aspek di tapak semaian. Artikel pagi ini dalam blog "Anim Agro Technology" saya paparkan teknologi pengurusan semaian kelapa dari tinjauan penulis blog dan rujukkan dari jurnal MARDI, Risalah Jabatan Pertanian serta pihak swasta untuk rujukkan pembaca semua.

Beberapa amalan kultur di tapak semaian mesti dijalankan ternasuk aktiviti penyiraman. Siraman dua kali sehari dilakukan jika tiada hujan iaitu pada pukul 11.00 pagi dan 4.00 petang. Elakkan menyiram pada waktu antara 11.00 pagi hingga 4.00 petang (Sila lihat foto disebelah). Sekiranya penyiraman menggunakan cara gubakan tangan adalah disarankan agar setiap anak pokok memperoleh sekurang-kurangya 0.5 liter air sehari pada peringkat permulaan semaian dan 2.5 liter sehari pada umur 8 bulan ke atas. Bagi tapak semaian di kawasan tanah gambut, untuk tiga bulan pertama haruslah menyiram dengan air paip kerana air di kawasan tanah gambut terlalu masam (pH + 3.0) dan boleh menyebabkan daun anak pokok kering dan melecur. Kerja merumpai mestilah dilakukan sekurang-kurangnya sebulan sekali di kawasan antara dan di dalam polibeg. Aktiviti ini boleh dilakukan dengan kaedah menggunakan tangan untuk kerjakerja merumpai di dalam polibeg dan cangkul untuk kerjakerja merumpai di kawasan di antara polibeg. Racun rumpai jenis sentuh boleh juga digunakan untuk merumpai di kawasan di antara polibeg dengan memastikan di hujung alat penyembur dipasangkan dengan bekas keselamatan berbentuk kon. Elakkan daripada penggunaan racun rumpai jenis hormonal di tapak semaian bagi mengelakkan kerosakan yang teruk pada anak pokok.

Ditapak semaiak perlu dibuat aktiviti membaja dimana zat yang seimbang sangat diperlukan untuk pertumbuhan subur pada peringkat awal pertumbuhan. Pembajaan akan bermula apabila dua helai daun kembang sepenuhnya kepada permulaan daun ketiga tumbuh. Pastikan tiada rumpai yang tumbuh di dalam polibeg. Pada kebiasaannya, pembajaan dijalankan dengan menggunakan baja kimia yang mengandungi semua jenis zat utama iaitu nitrogen (N), fosforus (P), kalium (K) dan magnesium (Mg) (Jadual 1). Cara terbaik membaja adalah selepas penyiraman dilakukan. Jika pembajaan dilakukan sebelum menyiram, dikhuatiri akan menyebabkan daun dan batang anak pokok kelapa melecur. Baja sebatian N, P, K, Mg yang berkadar 15:15:6:4 juga boleh digunakan semasa peringkat tapak semaian. Penggunaan baja daripada sumber najis haiwan dan manusia perlu dielakkan kerana kandungan nutrien yang tidak diketahui dan boleh menyebabkan pertumbuhan anak pokok yang tidak menentu, bahkan akan menyukarkan proses pemilihan anak pokok untuk ditanam ke ladang.

Kawalan perosak dan penyakit dalam tapak semaian kelapa dilakukan mengikut jadual. Kawalan perosak dan penyakit hanya dilakukan apabila terdapat tanda serangan serius. Racun serangga dan penyakit utama haruslah sentiasa disimpan di dalam stor tapak semaian. Penggunaan semua jenis racun perosak mestilah boleh dilakukan dengan berhati-hati dan mengikut arahan yang diberikan. Penggunaan racun serangga mestilah dicampuri dengan agen pelekat (sticker) dan agen pembasah (wetting agent) supaya kesan semburan tahan lebih lama pada pokok. Semburan mestilah dilakukan semasa musim panas atau semasa daun dalam keadaan kering antara pukul 1.00 tengah hari hingga 3.00 petang. Seterusnya adalah aktiviti Penakaian (culling). Penakaian anak benih di tapak semaian mesti dilakukan sebelum anak benih dipindahkan ke ladang. Ini bertujuan untuk mengenal pasti anak pokok yang tidak normal semasa di peringkat semaian yang disebabkan oleh genetik, serangan perosak dan penyakit, kesilapan semasa menyemai dan penjagaan yang tidak sempurna terutama semasa menyiram, merumpai dan mengalih. Penakaian juga dilakukan untuk memastikan anak pokok yang benar-benar sihat sahaja yang akan ditanam di ladang. Proses penakaian anak pokok yang tidak normal adalah dengan memusnahkan seperti memotong pangkal pokok. Untuk jaminan anak pokok yang berkualiti, adalah lebih baik tidak mengehadkan jumlah atau peratus tertentu penakaian.

Aktiviti penakaian boleh dilakukan dalam 3 peringkat iaitu Peringkat Awal, Peringkat Pertengahan dan Peringkat Akhir. Penakaian Peringkat Awal dimana dibuat semasa anak pokok dialihkan dari tapak semaian sementara ke polibeg besar atau 2 - 3 bulan selepas bercambah. Biasanya 5-10% anak pokok tidak normal akan ditakai pada waktu ini. Masa untuk penakaian peringkat pertengahan adalah selepas daun terbuka untuk membentuk pinat iaitu 6 - 7 bulan selepas semai atau 3 - 4 bulan selepas dialihkan ke polibeg besar. Biasanya 5 - 10% anak pokok tidak normal akan ditakai pada waktu ini. Sementara itu penakaian peringkhir dilakukan satu (1) bulan sebelum anak benih ditanam di ladang atau setelah anak benih berumur 10 bulan dari tarikh bercambah. Biasanya kurang daripada 5% anak pokok tidak normal akan ditakai pada waktu ini. Pada penulis bliog dapati dimana pengurusan tapak semaian yang sistematik mampu menjamin bahan tanaman yang berkualiti untuk penanaman kelapa. Anak pokok normal dan berkualiti hanya akan diperoleh daripada amalan kultur dan kaedah pengurusan yang sistematik dan cekap. Ini termasuklah dari aspek pemilihan kawasan yang sesuai, pembangunan infrastruktur yang lengkap, reka bentuk yang sesuai dan yang paling penting adalah kaedah pengurusan yang betul dari semua aspek di tapak semaian. Bahan tanaman yang berkualiti pastinya akan menjamin hasil pengeluaran buah kelapa yang banyak dan menguntungkan semua penanam kelapa.


Pengurusan tapak semaian yang lebih sempurna bukan hanya tertumpu kepada bahan tanaman sahaja, tetapi turut meliputi amalan kultur (seperti penyediaan kawasan, sistem pengairan, pemilihan jenis tapak semaian, amalan kultur dan kawalan perosak serta penyakit) dan pengurusan yang sistematik. Bahan tanaman yang baik dan berkualiti hanya diperoleh daripada amalan dan kaedah pengurusan tapak semaian kelapa yang sistematik. Pemilihan jenis tapak semaian juga sangat penting bagi tujuan menjimatkan kos input, mengelakkan jumlah anak pokok tidak normal ditanam di ladang dan mengurangkan penggunaan tenaga kerja. Dengan permintaan yang tinggi dan harga kelapa yang stabil, industri tapak semaian kelapa mampu menjana pendapatan yang lumayan untuk jangka masa panjang kepada pengusaha tempatan selain membuka peluang perniagaan dan pekerjaan di sektor pertanian untuk masyarakat Malaysia.  Artikel ini mempunyai tiga (3) segmen iaitu Part 1, Part 2 dan Part 3 untuk dibaca bersama. Semuga artikel ini memberi info berguna kepada semua pembaca blog anim agro technology kali ini. Wasallam!!!...
TANAM KELAPA... DAPATKAN BENIHNYA...
BUAT SEMAIAN... UNTUK BENIH KELAPA...
AMALAN AGRONOMI... PENTING ASASNYA...
BENIH TERJAMIN... TANAMAN BERJAYA...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Taman Cendana, Persimpangan Bukit Beruang,
Bandaraya Melaka, Melaka,
Malaysia.
21 Muharam 1442H.
Uploaded from:
Hospital Besar Melaka.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...