Support My Blog

Sunday, August 16, 2020

INDUSTRI PADI DAN MASA HADAPAN DI MALAYSIA

INDUSTRI PADI DI MALAYSIA merupakan salah satu industri pertanian yang ke 3 terpenting di Malaysia selepas Kelapa Sawit dan Getah. Keluasan tanaman padi di Malaysia Musim Utama 2017/2018 dilaporkan 436,054 hektar dengan seluas 268,318 hektar padi sawah di Semananjung Malaysia, seluas 20,828 hektar padi sawah di Sabah dan seluas 76,198 hektar padi sawah di Sarawak. Data ini termasuk juga seluas 32,572 hektar padi bukit di Sabah dan seluas 135,164 hektar padi bukit di Sarawak. Terdapat 12 Jelapang Padi di Malaysia yang masih produktif dalam mengeluarkan padi iaitu MADA, KADA, IADA Kerian, IADA BLS, IADA P. Pinang, IADA Semb Perak, IADA KETARA, IADA Kemasin Semerak, IADA Pekan, IADA Rompin, IADA Kota Belud dan IADA Batang Lupar. KADA merupakan kawasan Jelapang Padi (Grainary Area) yang terluas di Malaysia dengan 100,659 hektar dan IADA Batang Lupar merupakan Jelapang Padi terkecil dengan keluasan 1,121 hektar. Kawasan penanaman padi Luar Jelapang Padi di Malaysia adalah seluas 218,174 hektar pada tahun 2018 dengan 57,673 hektar berada di Semenanjung Malaysia. Negeri Kedah juga mempunyai kawasan penanaman padi Luar Jelapang Padi teruas dengan 26,857 hektar dan Selangor serta Pulau Pinang tidak ada kawasan sawah luar jelapang. Data CCS Kebangsaan juga melaporkan dimana intensiti penanaman padi sawah di Malaysia adalah 94.5% dengan dua negeri mencapai 100% intensiti tanaman. Dua negeri tersebut adalah Perlis dan Pulau Pinang. Apa yang selalu menarik minat saintis dan orang ramai adalah purata hasil padi negara. Dilaporkan pada tahun 2018 purata hasil padi negara adalah 3,511 metrik tan sehektar dengan purata hasil padi sawah sebanyak 4,031 mt sehektar. Purata padi bukit menurunkan penghasilan nasional kerana purata padi bukit di Sabah hanya 2,714 mt sehektar dan sebanyak 1,958 di Sarawak. Dengan kiraan CCS dilaporkan pada musim utama tahun 2017/2018 pengeluaran padi negara adalah sebanyak 1,531,034 metrik tan. Dilaporkan kawasan jelapang padi menghasilkan 69.4% daripada pengeluaran padi negara dengan julat 4.0 - 5.9 kg sehektar. Artikel subuh ini dalam blog "Anim Agro Technology" saya menulis mengenai cabaran industri padi di Malaysia untuk dijadikan bahan bacaan dan rujukkan anda semua.

Pada penulis blog yang berkecimpong dalam sektor pertanian lebih 38 tahun mendapati bukan sesuatu yang pelik dengan masyarakat kita ke mana juga mereka pergi sama ada di dalam dan luar negara mereka tetap cari 'nasi'. Pernah ketika berada di sebuah restoran makanan segera, seorang teman saya tetap memesan nasi. Ternyata beras ataupun padi tetap jadi keutamaan negara walaupun, ladang kelapa sawit semakin menjadi rebutan ramai peladang kerana pendapatan lebih baik. Kerajaan kini membelanjakan beratus juta ringgit setiap musim untuk mengeluarkan subsidi padi kepada petani kita. Selain pemberian baja dan racun kepada kira-kira 1.2 juta hektar padi di seluruh negara, penanam padi juga menerima subsidi tunai. Walaupun ada rungutan mengenai pemotongan subsidi berkenaan, petani tetap bersyukur dengan kenaikan RM300 setiap satu tan yang diumumkan oleh Perdana Menteri Najib masa itu pada 2016. Namun, di sebalik subsidi kerajaan, hasil padi negara masih amat rendah dibandingkan negara jiran terutama Thailand dan Indonesia. Lebih pelik lagi dimana rakyat Amerika Syarikat yang tidak makan nasi, tetapi negara berkenaan menjadi pengeluar beras kelima terbesar di dunia.

Di negara kita tahap pengeluaran jauh lebih rendah dimana walau pun ada pelbagai kempen dan saranan yang telah dan sedang dilakukan kerajaan melalui kementerian berkenaan bagi meningkatkan hasil padi, bahkan ada pemimpin melahirkan rasa dukacita dengan pengeluaran padi kita yang menerima subsidi jauh lebih rendah daripada mereka yang tidak menerima bantuan sepenuhnya. Memang tidak dapat dibayangkan jika suatu hari nanti jika kerajaan tidak lagi mampu beri subsidi kepada penanam padi. Lihat sahaja dengan nasib ladang getah yang jatuh merudum akhir-akhir ini. Pengusaha penanaman padi, terutama sekali di Semenanjung adalah secara komersial berbanding sektor lain, iaitu padi ditanam dua musim setahun. Penanaman padi secara komersial di Semenanjung bertumpu di Sungai Muda dan Sungai Merbok di Kedah dan Perlis (MADA) dan kawasan lembah sungai di Kelantan (KADA) dan Terengganu. Kaedah penanaman padi basah di negara kita diperkenalkan orang Thailand (Siam) dan dibawa ke utara Semenanjung. Pembentukan masyarakat di Utara dan Selatan Semenanjung banyak dipengaruhi kaedah ini menjadikannya sumber penting pemakanan ruji penduduk Malaysia. Namun demikian, pembandingan carta hasil padi negara kita adalah jauh lebih rendah berbanding dengan jiran seperti Thailand dan Indonesia. Sikap dan minda pengusaha padi tempatan yang tidak peka serta tidak berani mencuba kaedah baharu untuk pertingkat hasil padi.

Dilaporkan dimana pesawah kita masih amal kaedah lama iaitu membakar jerami padi selepas menuai yang sangat bahaya kepada pengguna jalan raya disebabkan asap tebal itu adalah jerebu seperti selalu kita salahkan pihak lain kerana membakar hutan secara terbuka. Tentu jerebu menjadi punca masalah kesihatan serta pencemaran alam, hingga indeks pencemaran udara mencecah lebih 300 bacaan kerana pembakaran kepada sehektar jerami padi akan melepaskan sebanyak 12,950 kilogram (kg) karbon diokside (CO2) ke udara, menurut kajian negara jiran.  Kaedah membakar ini juga merosakkan nutrien pada tanah sawah padi atau bendang menjadi keras dan hilang kesuburan semula jadi hinggakan, kerajaan terpaksa menanggung subsidi besar ketika membiayai baja dan ubat kepada petani padi supaya dapat menghasilkan beras yang mampu untuk menampung permintaan makanan ruji ini. Malaysia terpaksa import sumber makanan dari luar negara dan selalunya membelanjakan RM30 bilion setahun. Beras adalah jumlah tertinggi dibelanjakan berbanding makanan lain ketika ekonomi dan pertukaran mata wang ringgit kita lemah lebih membebankan kerajaan dan rakyat. Dilaporkan dimana di pasaran tempatan sudah ada teknologi baharu yang berupaya menghuraikan jerami padi dalam masa kurang tujuh hari termasuk benih padi liar. Berdasarkan kajian menggunakan air organik ini petani sawah padi akan dapat baja organik atau kompos sebanyak enam tan sehektar daripada jerami padi yang reput pada sawah mereka. Apabila struktur tanah sawah padi dibaik pulih, ia akan meringankan kerja membajak kerana tiada akar. Jerami padi sentiasa melekat pada dis mesin membajak lalu menjimat masa, tenaga dan kos. Kaedah baharu itu juga mampu hidupkan nutrien dan kesuburan struktur tanah serta membawa hasil yang meningkat. Ia juga selaras dengan satu inovasi di Kementeiran Pertanian dan Industri Asas Tani iaitu bagi memajukan langkah untuk prospektif baharu. Petani seharusnya berterima kasih kepada kerajaan kita yang sentiasa prihatin, membantu mereka, proaktif dan mengambil inisiatif untuk memberi sumber terbaik kepada petani khususnya petani padi. Pada masa yang sama memantau setiap subsidi yang dikeluarkan bagi mengelak tidak berlaku penyalahgunaan subsidi kerajaan. Pemberian subsidi adalah bagi memastikan pengeluaran petani terus maju. Kerajaan beruntung kerana kewujudan pertubuhan peladang di setiap kawasan di negara ini mampu membantu melaksanakan dasar terutama dalam sektor pertanian. Akhir kata, saya sangat berharap agar Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani menggerakkan langkah menyelesaikan isu-isu permasalahan padi negara. Semuga artikel ini memberi info berguna kepada semua pembaca blog anim agro technology kali ini   Wasallam!!..
INDUSTRI PADI... PENTING DIJAGA...
MAKAN NASI... PILIHAN UTAMA KITA...
BANYAK SUBSDI... DISALURKANNYA...
MEMAKAN NASI.... SIHAT SENTIASA...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Precint 11, Putrajaya,
WP Putrajaya,
Malaysia.
(16 Zulhijjah 1441H).

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...