Support My Blog

Saturday, August 22, 2020

ANALISA INDUSTRI JAGUNG BIJIAN DI MALAYSIA (Part 1)

INDUSTRI TERNAKAN negara bergantung sepenuhnya kepada jagung bijian yang diimport daripada negara luar seperti Argentina dan Brazil. Malaysia mengimport sejumlah empat juta tan jagung bijian dengan nilai import RM7.3 bilion pada tahun 2018. Pergantungan ini menyebabkan telah pun berlakunya defisit dalam imbangan dagangan makanan ternakan sebanyak RM5.1 bilion sekali gus ianya boleh mewujudkan risiko dan ketidakstabilan industri. Tambahan pula dilaporkan dimana harga jagung bijian import yang tidak stabil dipengaruhi oleh kadar tukaran asing tidak menentu yang turut mempengaruhi kenaikan harga bekalan makanan seperti daging ayam, telur dan khinzir. Berdasarkan kajian penanaman di plot jagung bijian oleh Kementerian Pertanian, Jabatan Pertanian dan MARDI, purata hasil jagung bijian yang diperoleh ialah 6.5 t/ha semusim. Jumlah kos dalam pengeluaran sehektar berjumlah RM5,089.60 yang mana kos terbesar adalah kos penyediaan perkhidmatan jentera seperti bajak piring, bajak sikat dan bajak putar. Dengan harga jagung bijian RM850/t maka hasil yang diperoleh ialah RM435.40. Walau bagaimanapun adalah semakin tinggi hasil dan harga jualan yang diperoleh maka akan semakin tinggi keuntungan yang akan diperoleh penanam. Oleh itu projek pengenalan Tanaman Jagung (Zea mays L.) ialah tanaman jangka pendek yang banyak ditanam di Malaysia dan juga negara-negara lain. Ia merupakan satu jenis tanaman kedua terpenting di rantau Asia Tenggara selepas padi. Jagung terbahagi kepada dua jenis iaitu Jagung Manis dan Jagung Bijian. Jagung bijian dihasilkan daripada jenis Z. mays indurate atau Z. mays indentata manakala jagung manis pula adalah daripada jenis Z. mays saccharate. Tempoh penanaman bagi kedua-dua jagung ini adalah berbeza. Jagung manis mempunyai tempoh masa penanaman yang pendek iaitu 70 hari manakala jagung bijian mempunyai tempoh yang lebih panjang iaitu 100 – 105 hari. Ketika penuaian jagung manis, tongkol jagung yang dituai masih mempunyai kulit yang berwarna hijau dan mempunyai kandungan lembapan yang tinggi. Justeru itu penulis blog yang pernah mengetuai Jawatankuasa Projek Penanaman Jagung Manis Malaysia di Jabatan Pertanian mendapati dimana jagung manis digunakan dalam bentuk tongkol atau bijian segar sama ada direbus, dikukus, dibakar dan dijadikan kuih-muih atau produk berasaskan jagung seperti puding, bubur, aiskrim, bertih (popcorn) dan cucur. Berbeza dengan jagung bijian yang digunakan dalam bentuk tongkol atau bijian kering untuk kegunaan produk makanan seperti minyak jagung, tepung jagung dan juga makanan ternakan. Artikel dalam blog "Anim Agro Technology'' kali ini menulis semula satu artikel terbitan MARDI dengan kombinasi info yang penulis blog perolehi sendiri untuk bahan rujukkan anda semua.

Ketika penuaian jagung bijian, tongkol jagung yang dituai berwarna coklat dan matang dengan kandungan lembapan 20 - 25%. Untuk penghasilan makanan ternakan, kadar lembapan mestilah 13 - 14% bagi memastikan kualitinya terjamin dan aras aflatoksin dapat dikawal dengan berkesan. Jagung bijian mempunyai kandungan kanji yang lebih tinggi berbanding dengan jagung manis dan teksturnya juga lebih keras. Mengambil kira kepentingan jagung bijian sebagai komponen utama dalam penghasilan makanan haiwan dan sebagai sumber kekayaan baharu kepada petani dan negara, kerajaan Malaysia melalui Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) kini menjadi MAFI (Asas Tani menjadi Makanan) dilapor telah membangunkan pelan tindakan industri jagung bijian negara. Penanaman jagung bijian ini telah dilaksanakan di Malaysia di beberapa lokasi oleh agensiagensi bawah inisiatif Sumber Kekayaan Baharu (SKB). Walau bagaimanapun, perkara ini masih memerlukan masa untuk berkembang kerana ia adalah industri pertanian yang baharu diberi penekanan oleh kerajaan. Jagung bijian merupakan bahan mentah utama makanan ternakan sebagai sumber protein, terutamanya bagi kegunaan makanan ayam dan khinzir kerana 50 - 70% komponen dalam formulasi makanan ternakan haiwan terdiri daripada jagung bijian. Pada masa kini di Malaysia tidak menghasilkan jagung bijiannya sendiri, sebaliknya selalu bergantung kepada import daripada negara luar. Malaysia merupakan pengimport jagung bijian dengan import terbesar (93%) daripada Argentina serta Brazil dan selebihnya (7%) adalah daripada USA, Thailand, Myanmar dan Indonesia. Industri ayam dan khinzir yang semakin berkembang pesat dengan peratus kadar sara diri (SSL) melebihi 100% menyebabkan import bahan makanan ternakan termasuklah jagung bijian semakin meningkat

Jumlah import jagung bijian Malaysia pada 2018 adalah sebanyak 4 juta tan, peningkatan sebanyak 42% berbanding dengan tahun 2010 iaitu sebanyak 2.8 juta tan. Peningkatan import ini memberi impak yang negatif kepada imbangan dagangan negara [Balance of trade (BOT)]. Akibat dari ketidakstabilan ekonomi dan kejatuhan nilai Ringgit Malaysia (RM) berikutan krisis spekulasi mata wang dunia memburukkan lagi keadaan di mana nilai imbangan dagangan bagi makanan ternakan negara defisit sebanyak RM5.1 bilion pada tahun 2018. Pada tahun 1985, kadar tukaran asing Ringgit Malaysia (RM) dengan Dollar Amerika (USD) ialah RM2.48:1USD. Namun, pada tahun 2018, kadar ini telah meningkat kepada RM4.04:1USD. Ini memberi kesan langsung kepada peningkatan nilai import negara sekali gus menyebabkan kos pengeluaran makanan turut meningkat. Peningkatan ini turut memberi kesan kepada kenaikan harga daging ayam, telur dan daging khinzir. Tambahan pula, kebergantungan sepenuhnya kepada pasaran antarabangsa adalah berbahaya terutama apabila berlaku pengurangan dalam bekalan dunia. Ini kerana negaranegara pengeluar akan mengasingkan stok jagung bijian dari pasaran dunia bagi kegunaan dalaman mereka terlebih dahulu. Justeru, Malaysia akan menghadapi masalah untuk mendapatkan bekalan bagi memenuhi permintaan industri makanan ternakan terutamanya ayam dan khinzir. Situasi ini menyebabkan MOA berhasrat supaya Malaysia dapat menghasilkan makanan ternakan menggunakan sumber tempatan yang lebih berkualiti dan segar berbanding dengan yang diimport kerana ia baru dituai dan mempunyai kandungan protein yang tinggi

Setelah dibuat kajian selain penggunaan jagung bijian untuk kegunaan makanan ternakan lazimnya ia turut mempunyai permintaan yang tinggi untuk kegunaan etanol. Permintaan yang tinggi selalunya akan menyebabkan harga jagung dunia berpotensi untuk terus meningkat. Berdasarkan data purata harga jagung bijian dari tahun 1985 – 2018 (Rajah dibawah sekali) dimana harga jagung bijian telah meningkat daripada RM249/tan pada tahun 1985 kepada RM588/tan pada tahun 2018. Harga tertinggi yang pernah dicapai adalah pada harga RM841/tan pada tahun 2012. Berdasarkan unjuran yang dilakukan maka analisa menjangkakan harga akan terus meningkat sehingga akan mencecah RM900/tan pada tahun 2030. Sebenarnya pelan pembangunan industri jagung bijian negara bermula sekenjak 1980-an lagi dimana Kerajaan Malaysia telah mengenal pasti isu kenaikan nilai import jagung bijian yang pesat melebihi RM350 juta (USD73.17 juta). Oleh itu dikaji dimana dasar dan langkah-langkah ke arah membangunkan industri jagung bijian telah dicadangkan melalui Bengkel Jagung Bijian Nasional pada tahun 1987. Semasa perasmian bengkel tersebut, Menteri Pertanian pada ketika itu telah mengumumkan Dasar Tanaman Kedua Kebangsaan yang akan dilaksanakan oleh agensi-agensi bawah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani. Antara agensi yang terlibat ialah Jabatan Pertanian Malaysia (DOA), MARDI, LPP dan Kerajaan Negeri Malaysia. Walau bagaimanapun, usaha ini tidak diteruskan kerana kos pengeluaran yang tinggi, saluran pemasaran yang kompleks, produktiviti keluaran rendah, harga tidak menentu dan tidak terkawal serta pulangan yang rendah. Kini dilaporkan selepas melihat kembali keperluan domestik dan kebergantungan import yang tinggi terhadap jagung bijian, kerajaan Malaysia mengambil inisiatif semula untuk membangunkan kembali industri jagung bijian negara dengan melibatkan pemain industri di setiap rantaian bekalan industri. Penglibatan keseluruhan rantaian bekalan industri ini merujuk kepada pengeluaran jagung bijian, pengurusan penuaian dan lepas tuai, pemasaran, kualiti dan dasar. Penglibatan keseluruhan rantaian bekalan adalah penting untuk memastikan bahawa model yang dibangunkan adalah menyeluruh dan mampan. Justeru itu pada tahun 2016, pihak kementerian telah membangunkan Pelan Induk Pembangunan Jagung Bijian bagi tahun 2018 sehingga 2032. Matlamat utama pembangunan ini adalah untuk membolehkan negara menghasilkan 30% daripada keperluan jagung bijian untuk kegunaan domestik. Penulis blog ada terlibat dalam semua peringkat perancangan dan perlaksanaan projek ini masa itu. Berdasarkan jangkaan semasa dilaporkan negara perlu menghasilkan 1.4 juta tan jagung bijian untuk memenuhi keperluan sehingga 2032. Plot perintis dan kajian yang berterusan telah dijalankan oleh pihak MARDI dan Jabatan Pertanian serta beberapa agensi di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani untuk memperbaiki setiap aspek penanaman jagung bijian untuk memastikan hasil yang diperoleh adalah kos efektif. Artikel ini ada dua segmen iaitu Part 1 dan Part 2 untuk dibaca bersama. Semuga artikel ini memberi info berguna kepada semua pembaca blog anim agro technologi kali ini. Wasallam...
MENANAM JAGUNG... BIJIAN JENISNYA...
MAKANAN TERNAKAN...DIRANCANG JUA...
MALAYSIA IMPORT... DARI ARGENTINA...
KELUARKAN SENDIRI... BAGAIMANA....

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Precint 11, Putrajaya,
WP Putrajaya,
Malaysia.
(1 Muharram 1442H).

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...