Support My Blog

Sunday, August 23, 2020

ANALISA INDUSTRI JAGUNG BIJIAN DI MALAYSIA (Part 2)

INDUSTRI TERNAKAN negara bergantung sepenuhnya kepada jagung bijian yang diimport daripada negara luar seperti Argentina dan Brazil. Malaysia mengimport sejumlah empat juta tan jagung bijian dengan nilai import RM7.3 bilion pada tahun 2018. Pergantungan ini menyebabkan telah pun berlakunya defisit dalam imbangan dagangan makanan ternakan sebanyak RM5.1 bilion sekali gus ianya boleh mewujudkan risiko dan ketidakstabilan industri. Tambahan pula dilaporkan dimana harga jagung bijian import yang tidak stabil dipengaruhi oleh kadar tukaran asing tidak menentu yang turut mempengaruhi kenaikan harga bekalan makanan seperti daging ayam, telur dan khinzir. Berdasarkan kajian penanaman di plot jagung bijian oleh Kementerian Pertanian, Jabatan Pertanian dan MARDI, purata hasil jagung bijian yang diperoleh ialah 6.5 t/ha semusim. Jumlah kos dalam pengeluaran sehektar berjumlah  RM5,089.60  yang mana kos terbesar adalah kos penyediaan didalam perkhidmatan jentera seperti bajak piring, bajak sikat dan bajak putar. Dengan harga jagung bijian RM850/t maka hasil yang diperoleh ialah RM435.40. Walau bagaimanapun adalah semakin tinggi hasil dan harga jualan yang diperoleh maka akan semakin tinggi keuntungan yang akan diperoleh penanam. Oleh itu projek pengenalan Tanaman Jagung (Zea mays L.) ialah tanaman jangka pendek yang banyak ditanam di Malaysia dan juga negara-negara lain. Ia merupakan satu jenis tanaman kedua terpenting di rantau Asia Tenggara selepas padi. Jagung terbahagi kepada dua jenis iaitu  Jagung Manis dan Jagung Bijian. Jagung bijian dihasilkan daripada jenis Zea mays indurate atau Zea mays indentata  manakala jagung manis pula adalah daripada jenis Zea mays saccharate. Tempoh penanaman bagi kedua-dua jagung ini adalah berbeza. Jagung manis mempunyai tempoh masa penanaman yang pendek iaitu 70 hari  manakala jagung bijian mempunyai tempoh yang lebih panjang iaitu 100 - 105 hari. Ketika penuaian jagung manis, tongkol jagung yang dituai masih mempunyai kulit yang berwarna hijau dan mempunyai kandungan lembapan yang tinggi. Justeru itu penulis blog yang pernah mengetuai Jawatankuasa Projek Penanaman Jagung Manis Malaysia di Jabatan Pertanian mendapati dimana jagung manis sesuai digunakan dalam bentuk tongkol atau bijian segar sama ada direbus, dikukus, dibakar dan dijadikan kuih-muih atau produk berasaskan jagung seperti puding, bubur, aiskrim, bertih (popcorn) dan cucur. Berbeza dengan jagung bijian yang digunakan dalam bentuk tongkol atau bijian kering untuk kegunaan produk makanan seperti minyak jagung, tepung jagung dan juga makanan ternakan. Artikel dalam blog "Anim Agro Technology'' kali ini menulis semula satu artikel terbitan MARDI dengan kombinasi info yang penulis blog perolehi sendiri untuk bahan rujukkan anda semua.


Melihat kepada potensi dan hala tuju pengeluaran jagung bijian di Malaysia dilaporkan telah ada perancangan khusus di pihak kementerian dengan serius bermula pada tahun 2015. Jagung bijian mempunyai potensi pasaran yang besar. Permintaan jagung bijian yang tinggi di pasaran tempatan dan antarabangsa membuka peluang perdagangan kepada negara yang mengusahakan jagung bijian. Sebagai contoh di negara Indonesia yang pada awalnya mengimport jagung bijian dari luar kini telah berjaya mencapai 100% SSL. Begitu juga Thailand yang telah sekian lama mengeluarkan jagung bijian, kini telah stabil dari aspek pengeluaran benih dan makanan ternakan. Selain itu didakwa pasaran jagung bijian juga dijangka akan terus berkembang sejajar dengan permintaan bahan bakar etanol dunia. Di Malaysia, jagung bijian berpotensi untuk ianaya dibangunkan memandangkan industri ternakan unggas dan khinzir yang semakin berkembang selari dengan peningkatan populasi dan perubahan cita rasa masyarakat zaman sekarang. Walau bagaimanapun, kos pengeluaran jagung bijian adalah agak tinggi dan hasil yang diperoleh sekarang masih rendah. Kajian masih dijalankan bagi mengurangkan kos pengeluaran per unit dengan mendapatkan varieti benih yang mampu memberikan hasil yang tinggi. Buat masa ini, antara varieti jagung bijian yang ditanam terdiri daripada jenis hibrid GWG 888, GWG 5005, GWG 333, GWG 111 dan R310. 


Hasil purata di peringkat ladang masih rendah iaitu sekitar 3 - 6 t/ha. Penyelidikan benih dan pengurusan pertanian baik oleh Jabatan Pertanian dengan kerjasama pihak MARDI masih lagi dipergiatkan bagi mengoptimumkan lagi pengeluaran jagung bijian tempatan. Jumlah kos pengeluaran bagi sehektar tanaman jagung bijian ialah RM5,089.60. Kos terbesar adalah kos perkhidmatan jentera iaitu RM2,335 (46%), diikuti kos input baja sebanyak RM1,206 (24%), kos pengeringan RM845 (16%), kos input racun RM403.60 (8%) dan kos benih RM300 (6%) (Rajah 3). Analisis margin kasar menunjukkan anggaran pendapatan yang diperoleh oleh penanam jagung bijian bagi hasil 6.5 t/ha dengan harga RM850/t ialah RM435.40 (Jadual 1). Walau bagaimanapun, dengan kos pengeluaran yang sama, tetapi hasil yang lebih baik dan harga yang lebih tinggi, petani mampu memperoleh keuntungan yang lebih tinggi. Contohnya jika hasil tuaian bersih meningkat kepada 7.0 t/ha dan harga jualan pula berharga RM900, keuntungan yang diperoleh ialah RM1,210.40/ha. Walau bagaimanapun, sekiranya hasil tuaian menurun kepada 6.0/ha di samping harga jualan turut menunjukkan penurunan sehingga RM800/t, penanam akan rugi sebanyak RM289.60/ha. Kos penyediaan perkhidmatan bagi jentera agak tinggi memandangkan penggunaan jentera yang pelbagai di sepanjang penanaman seperti bajak sikat (harrow), bajak piring (disk plough), bajak putar (rotor), jentera penanaman (seeder), boom sprayer dan jentera penuaian (combine harvester). MARDI turut menjalankan kajian dengan melihat kepada penanaman jagung bijian yang meminimumkan penggunaan jentera dan mendapat hasil yang optimum bagi meningkatkan keuntungan pengusaha. 


Selain itu, kajian peningkatan hasil melalui amalan penanaman serta varieti jagung bijian terbaik turut dilakukan bagi meningkatkan produktiviti agar hasil yang diperoleh dapat memberikan pulangan yang lebih baik kepada petani. Dengan meningkatkan daya maju tanaman jagung bijian menggunakan strategi-strategi berikut, Malaysia dijangka akan memperkukuhkan lagi industri ini pada masa hadapan jika komitment projek jagung bijian diteruskan. Anatara pendekatan boleh dilakukan dengan menambah kawasan pengeluaran secara berperingkat kepada 30,000 hektar pada tahun 2032. Penambahan kawasan ini dijangka akan menghasilkan sebanyak 1.4 juta tan jagung bijian. Tumpuan pengeluaran jagung bijian di kawasan yang berpotensi dimajukan secara komersial. Antara kawasan yang dikenal pasti sesuai untuk dimajukan ialah Chuping, Seberang Prai dan Bachok. Disasarkan agarkajian terus dilakukan bagi menghasilkan varieti jagung yang berhasil tinggi dan rintang terhadap penyakit. Penanaman dilakukan dengan kaedah mengoptimumkan jarak tanaman yang sesuai agar hasil yang diperoleh lebih tinggi dan menguntungkan. Teknologi untuk mengurangkan kos pengeluaran dengan dengan cara memperkenalkan amalan penanaman zero tillage iaitu tiada operasi penyediaan tanah seperti bajak piring (disk plough), bajak sikat (harrow) dan bajak putar (rotor). Sumbangan jagung bijian kepada pembangunan ekonomi negara boleh ditingkatkan dengan menjadikan jagung bijian sebagai tanaman dalam skala ekonomi yang optimum dengan pulangan yang optimum. Penglibatan pihak swasta adalah penting untuk mengkomersialkan industri ini di samping sokongan kerajaan dari segi pembangunan infrastruktur seperti sistem pengairan dan saliran yang baik serta rangkaian jalan raya dan jalan ladang yang boleh menghubungkan kawasan pengeluaran dengan pusat pengumpulan serta pusat pengeringan. Sistem rantaian yang lengkap perlu bagi memastikan ruang pasaran adalah tersedia bagi mengelakkan berlakunya lambakan dan kerugian kepada petani. Kerjasama dua hala atau pertanian kontrak bersama kilang pengeluar makanan ternakan adalah salah satu program yang akan melengkapkan rantaian tersebut. Di samping pasaran domestik, pasaran eksport ke negara-negara yang berpotensi adalah perlu untuk meningkatkan lagi daya maju industri ini.


Jagung bijian adalah tanaman pertanian yang memainkan peranan penting dalam industri makanan ternakan dan biji benih. Mengambil kira kepentingannya sebagai komponen utama untuk pembentukan makanan haiwan dan sebagai inisiatif untuk mengurangkan kebergantungan ke atas import, keputusan kerajaan untuk membangunkan industri jagung bijian dengan menjadikannya sebagai salah satu sumber kekayaan baharu akan memberi sumber pendapatan baharu kepada negara. Walaupun kos pengeluaran jagung bijian masih tinggi, kajian demi kajian akan terus dilaksanakan agar hasil yang diperoleh adalah tinggi dan berkualiti sekali gus dapat menampung kos pengeluaran dan meningkatkan pendapatan petani. Walau bagaimanapun, kejayaan industri jagung bijian di Malaysia turut bergantung kepada pengurusan sistem rangkaian bekalan yang komprehensif dengan penglibatan aktif semua pihak, terutamanya sektor swasta. Dengan strategi dan pelaksanaan yang hebat bermula dari sekarang, diharapkan industri ini dapat dipacu dengan pembangunan yang lebih dinamik dan pesat. Industri ternakan negara bergantung sepenuhnya kepada jagung bijian yang diimport daripada negara luar seperti Argentina dan Brazil. Malaysia mengimport sejumlah empat juta tan jagung bijian dengan nilai import RM7.3 bilion pada tahun 2018. Pergantungan ini menyebabkan berlakunya defisit dalam imbangan dagangan makanan ternakan sebanyak RM5.1 bilion sekali gus boleh mewujudkan risiko dan ketidakstabilan industri. Tambahan pula, harga jagung bijian import yang tidak stabil dipengaruhi oleh kadar tukaran asing tidak menentu yang turut mempengaruhi kenaikan harga bekalan makanan seperti daging ayam, telur dan khinzir. Berdasarkan kajian penanaman di plot jagung bijian MARDI, purata hasil jagung bijian yang diperoleh ialah 6.5 t/ha semusim. Jumlah kos pengeluaran sehektar berjumlah RM5,089.60 yang mana kos terbesar adalah kos penyediaan perkhidmatan jentera seperti bajak piring, bajak sikat dan bajak putar. Dengan harga jagung bijian RM850/t, hasil yang diperoleh ialah RM435.40. Walau bagaimanapun, semakin tinggi hasil dan harga jualan yang diperoleh, semakin tinggi keuntungan yang akan diperoleh. Sebagai kesimpulan kini penulis blog dapati pada tahun 2020 sudah tiada kedengaran usahawan yang menjalankan aktiviti penanaman jagung bijian di Malaysia yang dilaporkan media seperti dahulu. Semuga ada usaha kearah mengeluarkan jagung bijian di Malaysia.  Artikel ini ada dua segmen iaitu Part 1 dan Part 2 untuk dibaca bersama. Semuga artikel ini memberi info berguna kepada semua pembaca blog anim agro technologi kali ini. Wasallam...

MENANAM JAGUNG... BIJIAN JENISNYA...
MAKANAN TERNAKAN...DIRANCANG JUA...
MALAYSIA IMPORT... DARI ARGENTINA...
KELUARKAN SENDIRI... BAGAIMANA....

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Precint 11, Putrajaya,
WP Putrajaya,
Malaysia.
(1 Muharram 1442H).

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...