Support My Blog

Sunday, November 24, 2019

ESTET NANAS BUKIDNON - TINJAUAN

ESTET NANAS BUKIDNON milik Syarikat Del Monte Philipines Incooperated (DPMI) di Lanao, Mindanao merupakan sebuah ladang nanas MD2 yang luas dan diusahakan secara pengurusan estet. Dikatakan sebagai perladangan nanas terluas di Asia Tenggara dengan dimulakan operasinya semenjak tahun 1926 lagi telah menjadikan banyak aktiviti pertanian. Terdapat 4 lokasi perladangan dengan tanaman nanas iaitu di kawasan Manolo Fortich, Sumilao, Impasug-Ong dan juga Libona dimana kilang pemprosesannya terletak di Bugo, Cagayan de Oro. Syarikat DPMI ini merupakan pengeluar nanas terlengkap didunia dengan mempunyai beribu hektar ladang nanas dan juga kelengkapan mesin dan jentera untuk pasaran domestik dan eksport termasuk rangkaian darat dan perkapalan sendiri. Selain nanas mereka juga merupakan pengeluar utama buah pisang jenis cavendish ke seluruh dunia. Penulis blog berkesempatan untuk membuat tinjauan teknologi ke ladang tersebut yang diaturkan oleh pihak tempatan untuk melihat sendiri salah satu dari ladang tersebut dan melihat bagaimana teknik penanaman nanas MD2 yang luas dikawasan tanah volkanik yang memang sesuai untuk pelbagai tanaman makanan lain seperti jagung manis, pisang, ubikayu, kacang tanah dan sebagainya. Kedudukan Pulau Mindanao yang beriklim panas dan tropika dengan sinaran matahari yang mencukupi membolehkan tanaman nanas seperti nanas hibrid MD2 mampu dalam memberikan buah nanas yang berkualiti. Bersama saya adalah beberapa rakan yang mana ada diantara mereka pernah bekerja di Mindanao dan dia memberikan sedikit penerangan mengenai penanaman nanas di negara tersebut. Artikel malam ini dalam blog "Anim Agro Technology" saya paparkan tinjauan teknologi dan pandangan peribadi iaitu berdasarkan kepada lawatan singkat keladang Del Monte ini untuk dijadikan bahan bacaan anda semua.


Lawatan singkat ke ladang Del Monte di Bukidnon ini adalah tidak dirancang pada peringkat awal dan merupakan lawatan persendirian. Perjalanan ke Bukidnon Pineapple Farm seluas lebih 5,000 hektar ini mengambil masa selama 2.5 jam daripada tempat penginapan kami di Xaviers Estate Chalet Club House yang terletak dikawasan ekslusif di Cagayan de Oro, dalam negeri Misamis Oriental, Philipines. Menaiki keenderaan Toyota Fortuner yang dipandu Paksan dan melalui perkampungan yang sibuk dan padat memang aktiviti yang memenatkan. Setibanya di sempadan masuk ke Bukidnon diminta berhenti kereta dan diminta turun semua penumpang untuk memijak tapak kaki didalam struktur konkrit yang basah dipercayai mengandungi bahan kimia (Sila lihat foto paling bawah). Saya pun pijak sehingga basah tapak kasut sebelum menaiki kereta dan kereta akan melalui kolam takungan yang mana ia mengandungi ubat pembasmian sebelum meneruskan perjalanan. Amalan ini adalah sebagai satu langkah bijak mengawal patogen bawaan kaki untuk keladang nanas dan tanaman makanan lain. Memasukki estet nanas milik Del Monte ada sebuah tugu buah nanas MD2 yang agak besar setinggi 10 kaki dan melalui kawasan pejabat dan juga perumahan serta pusat pengumpulan hasil (tidak singgah). Meneruskan perjalanan barulan terlihat ladang nanas MD2 yang luas dan sayup mata memandang. Penulis blog turun melihat sendiri tanaman nanas MD2 dikira berumur 2.5 bulan (Sila lihat foto disebelah). Memang cukup subur tanaman nanas disini dilihat dari mata kasar dan penjagaan pokok amat memuaskan.


Tanah jenis volkanik di sini memang penulis blog dapati telah pun dikenalpasti semenjak zaman penjajah lagi sebagai tanah yang subur untuk tanaman jenis makanan. Disepanjang perjalanan dilihat kawasan ini juga luas ditanam dengan Jagung Manis (Zea mays) ,Tebu Biasa  (Saccharum spp) dan juga Pisang (Musa acuminata) serta rumput napier dan banyak ladang lembu. Tanaman nanas (Ananas comosus) di ladang ini didakwa menggunakan bahan tanaman dari benih sulur dan kultur tisu seperti yang dipaparkan didalam youtube. Penulis blog turun memeriksa tanah yang peroi dan subur dimana ia berwarna coklat kehitaman (Sila lihat foto disebelah). Penanaman nanas MD2 diatas tanah volkanik ini tidak menggunakan plastik silvershine seperti amalan di Malaysia. Kawalan rumpai dilakukan dengan sistematik dimana memang tidak ada rumpai langsung didalam baris tanaman nanas disini yang luasnya beribu-ribu ekar. Seluas mata memandangkan yang kebanyakan blog ladang yang penulis blog lalui disepanjang perjalanan sehingga ke Tanah Tinggi Monolo Fortich Resort Highland adalah diperingkat awal penanaman. Purata ketinggian tanah di Bukidnon adalah sekitar 915 meter (3,002 kaki) diatas paras laut denga ketinggian puncak Gunung Kitanglad adalah 2,900 meter (9,511 kaki). Pusat peranginan ini ada tempat penginapan, pelbagai aktiviti riadah dan terkenal dengan 'Superman Flying Fox' yang mana ramai pengunjng setiap masa kerana cuacanya yang dingin.


Menurut rakan yang sama-sama dalam mengikuti tinjauan ini memang luas sekali penanaman nanas MD2 disini. Misi untuk meninjau akan sumber benih nanas MD2 dari ladang ini dapat dilihat dari segi kesesuaian varieti. Dari sumber yang diperolehi mendapati syarikat ini ada mengeksport benih sulur serta pastinya buah nanas segar dan nanas kaleng keseluruh dunia termasuk pasaran ke USA, Eropah, Asia Barat, China, Asia Tenggara dan merata lokasi. Keupayaan untuk mereka hasilkan nanas premium Del Monte dengan jenama 'Dole' sudah lama wujud dimana mereka menjual dengan harga yang sukar untuk ditandingi dengan negara-negara lain. Teknik pengurusan perladangan moden dan cekap membolehkan pengeluaran sentiasa konsisten dimana mereka mampu menanam sepanjang tahun diladang mereka. Kos dapat dikurangkan dengan tidak memasang plastik silvershine dan tidak memasang tudung atau cap nanas seperti yang perlu dilakukan di negara kita (Sila lihat foto disebelah). Kedudukan dikawasan tanah yang agak sederhana tinggi menyebabkan cuaca tidak panas sehingga mampu menurunkan kualiti buah nanas MD2. Pernah saya katakan dimana nanas yang ditanam dikawasan tanah agak tinggi memang lebih manis daripada buah nanas di tanah rendah atau gambut. Keadaan tiada rumpai yang tunbuh membolehkan kos pengeluaran nanas disini mempunyai daya saing yang baik. Semasa pebulis blog hadir World Food Intertional Fair di Dubai, UAE dimana nanas dari Filipina ditawarkan pada harga USD8.50 FOB sedangkan dari Malaysia hanya mampu menawarkan USD10 FOB iaitu lebih tinggi. Jumlah pengeluaran yang besar sertakualiti serta harga nurah sukar untuk kita bersaing cara biasa.


Sepanjang perjalanan dllihat pengurusan ladang menanam pokok kekacang dengan jarak penanaman 50 kaki diantara pokok. Pokok ini berbunga merah dan berbuah tetapi ketinggiannya dikawal hanya setinggi 1.5 meter sahaja dari paras tanah (Sila anda lihat foto disebelah). Selain daripada tumbuhan ini berfungsi sebagai tanaman hiasan disepanjang jalan kiri-dan kanan dengan bunga berwarna merah dipercayai ia mampu menghasilkan unsur Nitrijan (N) dan menarik serangga perosak dikawasn ladang nanas untuk jadi 'trap crop'. Pokok ini sentiasa dilihat berbunga dan berbuah sepanjang masa diakwasan tanah setinggi 3,000 kaki dari paras laut. Didakwa cuaca di sini adalah agak sejuk diantara 20 - 34 Celcius dengan purata taburan hujan sebanyak 2,800 mm setahun. Tanah subur dengan cuaca yang bagus membolehkan kawasan di sekitar Bukidnon merupakan kawasan pengeluaran penting makanan di Mindanao dengan produk seperti susu, tomato, kobis, kacang tanah, nanas, kopi, getah, pisang, bunga dan juga ubi kayu. Kawasan Bukidnon juga sangat aktif menghasilkan ikan air tawar seperti ikan tilapia, gourami, kap, ikan keli dan sebagainya dan juga hasilan ternakan.


Kawasan penanaman nanas di Bukidnon yang penulis blog dapat buat tinjauan singkat ini mampu menghasilkan bahan makanan kepada penduduk tempatan dan juga pasaran eksport. Nanas yang dihasilkan adalah dari jenis premium iaitu MD2 walau pun terdapat beberapa varieti lagi yang dikeluarkan. Walau pun Del Monte adalah syarikat gergasi didalam pengeluaran nanas di Bukidnon akan tetapi terdapat ramai petani kecil dan usahawan sederhana yang menanam buah nanas dan tanaman makanan lain.  Dalam tinjauan ke pasar besar di Cagayan de Oro oenulis dapat lihat bagaimana pelbagai buah tempatan termasuk Nanas, Mangga Carabao (Mangga Manila), Pisang dan sebagainya dijual dengan harga berpatutan dan buahnya segar lagi. Tinjauan ke ladang Del Monte di Bukidnon kali ini memberikan satu pengalaman baru kepada saya didalam sektor pertanian. Semuga artikel ini memberi info berguna kepada pembaca anim agro technology semua. Wasallam!!!... 
MENINJAU JAUH... MINDANAO SANA...
TANAMAN NANAS... MD2 VARIETINYA...
KAWASAN DEL MONTE... LUASNYA....
PASARAN EKSPORT...AMAT BERJAYA...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Room 502, Xaviers Estates Sports and Country Club,
Xaviers Estates, Fr, Masterson Avenue,
Cagayan de Oro, Misamis Oriental,
Philipines.
(20 RabiulAwal 1441H).

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...