Support My Blog

Wednesday, August 7, 2019

ARS BUKIT QUION, TAWAU - TINJAUAN

STESYEN PERTANIAN BUKIT QUOIN di TAWAU SABAH (Agriculture Research Station - ARS) merupakan salah satu pusat penyelidikan pertanian yang penulis blog kunjungi untuk dapatkan info teknologi pertanian. Stesyen ini adalah salah satu daripada beberapa stesyen penyelidikan Jabatan Pertanian Sabah selain daripada Stesyen Penyelidikan Pertanian Lagud Sebrang Tenom, ARS Ulu Dusun dan ARS Tenom dan ARS Tuaran. Stesen Penyelidikan Pertanian di Bukit Quoin di Tawau ini ada menjalankan penyelidikan ke atas buah-buahan utama seperti durian, nanas, belimbing, betik, mangga, rambutan, duku, langsat, dokong, ciku, manggis, nangka, cempedak, sukun, salak dan tarap, dan buah-buahan nadir termasuk avokado, durian belanda, jambu air, buah delima, belimbing asam dan cermai serta koko. Tujuan utama program penyelidikan adalah untuk membangun, memperkenalkan bahan tanaman yang berhasil tinggi, bermutu dan teknologi terkini bagi tujuan meningkatkan hasil, mutu dan bagi mengurangkan kos pengeluaran, memaksimakan penggunaan sumber melalui sistem tanaman selingan dan juga menjalani kajian bersama di ladang petani bagi mempercepatkan dan berkesan menyebarkan teknologi bagi mewujudkan satu masyarakat tani yang berpengetahuan teknologi, progresif serta berdaya saing. Stesen ini sentiasa menyokong pembangunan industri buah-buahan dan koko melalui perkhidmatan pembekalan teknologi, inovasi bahan-bahan tanaman asas dan juga perkhidmatan kepakaran. Tujuan stesyen ini juga untuk menyediakan bahan-bahan tanaman asas (buah-buahan) yang bermutu untuk seksyen yang berkenaan didalam usaha memperbanyakkannya serta membekal bahan-bahan tanaman bermutu koko dengan jumlah mencukupi. Ia juga adalah untuk membekal teknologi dan inovasi kepada kakitangan Jabatan atau secara langsung kepada petani untuk meningkatkan pengetahuan dan minat mereka bagi pengurusan ladang yang cekap dan berkesan. Selain itu fungsinya untuk penyelesaian masalah dan memperbaiki pengurusan ladang melalui khidmat kepakaran. Dalam pada itu tidak ketinggalan stesyen ini menggalakkan pelabur menceburi industri pertanian dengan tersedianya bahan-bahan tanaman bermutu yang mencukupi dan sokongan teknologi serta kepakaran yang kukuh. Stesyen ini juga berusaha untuk meningkatkan pengeluaran bahan makanan melalui peningkatan penghasilan seunit tanah dan juga penambahan keluasan tanah. Artikel dalam "Anim Agro Technology" kali ini saya paparkan beberapa perkara yang saya tinjau di stesyen ARS ini untuk rujukkan anda semua.

Pegawai yang bertugas lebih 30 tahun disini adalah DDR Chong nyatakan dimana antara jenis perkhidmatan seperti bekalan bahan-bahan tanaman asas buah-buahan terpilih seperti durian, nanas, belimbing, betik, mangga, rambutan, duku, langsat, dokong, ciku, manggis, nangka, sukun, cempedak, salak dan tarap, avocado, durian belanda, jambu air, buah delima, belimbing asam dan cermai. Tanaman koko juga adalah antara tanaman penting di sini dimana ia dahulu memberikan kesan signifikan kepada industri koko di Sabah sebelum serangan Ulat Pengorek Buah Koko (UPBK) pada pertengahan tahun 1980 an. Jabatan ini juga memberikan pakej teknologi tanaman buah-buahan terpilih, koko dan khidmat kepakaran seperti amalan agronomi buah-buahan terpilih dan koko. Mereka yang ingin datang boleh terus ke Stesen Penyelidikan Pertanian Bukit Quoin, Peti Surat No. 324, 91007 Tawau dengan no telefon 089-920716 atau no faks 089-920335. Plot tanaman nanas MD2 dari benih kultur tisu (TC) antara plot pertama yang dilawati (Sila lihat foto disebelah). Nanas (Ananas commosus) ini diitanam dalam dua peringkat penanaman dimana benih diperolehi daripada makmal kultur tisu (TC) syarikat swasta berhampiran. Pokok yang berumur 5 bulan ini dilihat tumbuh dengan seragam diatas batas dengan plastik penutup batas silvershine. Penulis blog dijelaskan dimana kebanyakan pokok 80% mengeluarkan duri tajam (berbeza dengan pokok dari benih nanas sulur yang digalakan untuk jadi bahan tanaman di Semenanjung). Ciri-ciri pokok berduri dan lain-lain dilihat kurang menonjol kerana mereka sudah membuat 'rogging' pokok yang berlainan dari peringkat awal lagi. Tanaman nanas MD2 benih TC merupakan satu pendekatan di negeri ini apabila ada MoU antara mereka dengan syarikat yang terlibat dengan benih nanas tersebut. Kementerian Pertanian Malaysia dan Jabatan Pertanian Malaysia masih melarang penanaman nanas MD2 TC di Malaysia disebabkan potensi menghasilkan buah nanas MD2 yang tidak seragam.

Plot kedua yang penulis blog lawati adalah plot tanaman Buah Avocado. Pokok Avocado (Persia americana) yang ditanam dari jenis buah berbentuk 'pear' dengan kulit buah hijau semasa muda dan ungu apabila ia masak. Terdapat lebih daripda 50 pokok avovcado pelbagai umur daripada yang telah berbuah dan ada juga pokok baru yang disulam. Jenis avocado yang ditanam disini adalah yang telah dikenalpasti mampu berhasil tinggi (sehingga sebanyak 50 biji sepokok) pada umur pokok 4.5 tahun keatas. Buah avocado yang masak dan berkualiti mendapat harga pasaran RM20 - RM22 sekilogram dipasaran tempatan apabila masak sepenuhnya. Buah yang dijual masak dimakan segar atau diproses menjadi jus avocado atau dibuat salad. Antara masaalah yang dihadapi bagi tanaman avocado di plot ini adalah kes-kes kejadian Penyakit Kanker Akar dan Kanker Batang. Pokok yang subur kadang-kadang akan mudah mati akibat serangan penyakit ini dengan cepat jika tidak ada kawalan sesuai dilakukan. Pemeriksaan tanaman avocado ini memerlukan kawasan bersih dari rumput rampai dan perlu sentiasa di pantau. Kebersihan ladang, benih tanaman yang tahan serangan penyakit, amalan agronomi merupakan antara langkah pencegahan yang sesuai. Kawalan dengan racun kimia juga boleh dilakukan.

Ladang plot tanaman langsat, buah dokong dan duku amat menarik dilawati kerana semua pokok-pokok tersebut sedang bebuah dan sedia untuk dipetik dan dibuat ujirasa. Ketiga-tiga jenis tanaman dari keluarga Meliaceae ini ditanam mengikut barisan tanaman berlainan. Penulis blog dapati pokok dokong menghasilkan buah yang manis dan paling disukai oleh semua ahli rombongan. Penulis blog bepeluang memetik buah dokong (jenis dokong kering) yang ciri buahnya memang djamin terbaik (Sila lihat foto disebelah). Pokok Dokong (Lansium domesticum) merupakan pokok yang mudah diserang dengan masaalah Keruping dan perlu dikawal. Terdapat tiga jenis dokong yang agak berlainan dari segi ciri dan kualiti buah, iaitu DOKONG KERING, DOKONG AIR dan DOKONG BIJI atau dokong butir. Perbezaan dilihat diantara ketiga-tiga buah dokong adalah dimana Dokong Kering merupakan klon yang ditanam secara komersial kerana buah yang sangat manis, kulit tidak bergetah, kandungan biji yang rendah dan kebanyakan biji adalah kesep. Buah jenis ini tersusun rapat di tangkai. Klon Dokong Air pula saya dapati dimana ia mempunyai kandungan air dalam buah jenis ini sangat tinggi. Air akan terpancut keluar apabila kulit ditekan. Isi buah kurang manis jika dibandingkan dengan isi buah dokong kering. Kulitnya nipis akan tetapi bergetah. Jenis ini tidak ekonomik ditanam secara komersial kerana nilai dan sambutan pasaran adalah rendah.

Paling menarik mengenai stesyen ini apabila En Chong nyatakan memang ada beberapa pokok durian merah sedang berbuah semasa lawatan ini. Durian Isi Merah (Durio graviolens) merupakan spesis durian dari kateori buah nadir yang unik dan ikonik dari Negeri Sabah. Penulis blog amat 'exited' apabila ada sebakul mengandungi lebih daripada 15 biji buah durian isi merah ini dibawa ke pejabat di Stesyen Pertanian Bukit Quion di Tawau dan sedia untuk dibuat ujirasa. Selain buah ini juga dibawa 3 bakul varieti durian komersil lain seperti Durian Musang King, Durian Tembaga, Durian A19, Durian D24, Durian Musang King, Durian kampong dan sebegainya. Mula-mula penulis blog cuba ambil sebiji buah ini akan tetapi ketajaman durinya dengan mudah mencucuk tangan. Kemudian apabila ada sarung tangan dan kain baru boleh diambil beberapa biji dan dibelah dengan parang. Ia memang mudah sahaja dibelah dengan isi yang berwarna 'MERAH KUAT' dan amat menarik untuk terus dimakan. Kulit bahagian dalam buah berwarna putij krim sama dengan durian komersil yang lainnya. Warna isi merah ini memang unik sekali dan tidak sabar memakannya. Pengalaman penulis blog dalam tinjauan di stesyen ini bersama dengan rombongan banyak memberikan pengalaman dan bertukar-tukar idea serta teknologi bagi kebaikan bersama. Semuga semua pembaca anim agro technology ;mendapat info berguna untuk tambah pengalaman. Wasallam!!...
STESYEN PERTANIAN... DI TAWAU SANA...
TELAH DIBANGUNKAN... TANAH DI GUNA....
BANYAK TANAMAN... KAJIAN DILAKSANA...
PERANAN MEREKA... SUDAH TERLAKSANA..

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Room 8015, Hotel MB,
Jalan Hj Karim,
Tawau, Sabah,
Malaysia.
(29 DZulkaedah 1440H).

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...