Support My Blog

Tuesday, May 14, 2019

BUAH CERAPU - KENALI DIA

BUAH CERAPU (Garcinia prainiana) merupakan sejenis buah nadir dari keluarga Clusiaceae yang terdapat dihutan dan juga ada yang ditanam dikawasan keliling rumah. Tumbuhan ini adalah natif di Semenanjung Malaysia dan Selatan Thailand walau pun terdapat juga dibeberapa hutan trupika yang lain dengan spesis yang berbeza. Nama-nama lain bagi buah cerapu adalah seperti Buah Kecupu, Chepu, Cherapu, Cherupu, Kechupu, Menchupu, Chengkau, Chupak dan juga Manggis Butang (Button Mangosteen). Saya ada menjumpai buah ini dijual dalam perjalanan saya ke Mersing melalui beberapa pekan di Rompin, Pahang dan Bahau Negeri tidak Sembilan lama dulu. Sekali pandang kalau kali pertama melihat mungkin akan keliru dengan buah 'Pisang Kaki' atau pesimon yang banyak dibawa masuk dari negeri china (Baca artikel persimon - Sila Klik disini). Dalam membuat rujukkan dengan laporan statistik Jabatan Pertanian saya tidak dapat maklumat luas sebenar tumbuhan cerapu kerana ia mungkin amat sedikit ditanam. Terdapat beberapa spesis cerupu yang ada di negara kita dan belum didaftarkan lagi spesis ini. Artikel malam Ahad ini saya dapat idea menulis dalam blog "Anim Agro Technology"  mengenai sejenis buah nadir iaitu 'buah cerupu' untuk dijadikan bahan bacaan anda semua.


Cerupu adalah jenis pokok saka seakan pokok manggis yang tumbuh menegak dengan banyak cabang dan merimbun (Lihat foto pokok cerapu disebelah). Batangnya berkayu keras dengan bahagian dahan yang keluar dari paras bawah sehingga keatas pokok dimana ketinggian pokok mampu mencapai 7-10 meter. Pokok cerapu adalah dari jenis pokok yang lambat tumbuh dan berbanding dengan tumbuhan lain seperti durian, rambutan, jambu batu dan sebagainya. Anak benih yang ditanam tumbuh sangat perlahan iaitu beberapa centimeter sahaja dalam satu bulan. Daun cerapu berwarna hijau gelap, berbentuk ovat oblong dan tebal. Dahannya dari kayu keras dan mengeluarkan bunga di hujung atau di bahagian pucuk. Bunga cerapu berwarna putih hijau dan terletak di hujung tunas. Akar tunjang pokok cerapu agak kuat dan kukuh. Buah cerapu berwarna hijau ketika muda dan bertukar kepada kuning oren (atau ada kata warna jingga) apabila sudah masak. Buah cerapu berbentuk seperti 'butang' yang saiznya kecil daripada buah manggis.


Penulis mendapati salah satu buah Nadir yang mempunyai bunga kecil berwarna merah keputihan (Pinkish) berbentuk lima segi atau digelar 'pentamerous' dengan ukuran sekitar 2 cm garispusat. Bunga yang keluar dihujung dahan ini mempunyai 5 organ jantan (pistils) mengelilingi bunga betina. Buah muda berwarna hijau berkilat dengan berukuran 2.5 - 5.0 cm garispusat dan benrtuk bulat leper seperti 'butang' (lihat foto  buah muda disebelah). Apabila masak, buah cerapu akan menjadi kuning oren dengan ada lekukan kedalam dibahagian bawah buah (Sila lihat foto disebelah). Isinya juga lembut dengan rasa manis dan masam serta boleh dimakan. Mungkin ramai diantara kita jarang berpeluang makan buah cerapu yang dijual disetengah tempat seperti di Negeri Sembilan dimana ia disebut buah Cepu. Buahnya berwarna hijau muda dan kekuningan bila matang berukuran sekitar 2 – 3 cm besar. Rasa buah matang masam-masam manis dan mengeluarkan getah berwarna putih. Biasanya digunakan dalam campuran untuk membuat sambal cili padi atau dicampur dalam masakan masak lemak cili padi bersama daging salai.


Penanaman pokok cerapu lazimnya menggunakan biji yang boleh disemai dulu. Lazimnya ia sesuai tumbuh dikawasan tanah subur yang mempunyai saliran sempurna. Walau pun pokok jenis ini agak lambat tumbuh, tidak banyak perosak yang akan menyerang tumbuhan ini seperti juga pokok manggis (Sila lihat foto disebelah). Sehingga kini belum ada pakej amalan teknologi penanaman pokok cerapu disediakan untuk dijadikan rujukkan. Kalau hendak menanam pokok ini secara komersil, jarak penanaman yang sesuai adalah sekitar 7.5 meter x 7.5 meter dengan kepadatan tanaman 175 pokok sehektar. Buat lubang penanaman 60 cm x 60 cm x 80 cm dalam dan berhati-hati ketika memasukkan anak benih manggis. Akar pokok cerapu sangat sensitif dan mudah rosak. Pastikan dibubuh sungkupan dan penanda pada lokasi penanaman. Buat sulaman pada pokok yang mati. Kawasan yang sesuai untuk pokok cerapu berhasil tinggi adalah kawasan seperti tepi sungai, tepi kolam dimana akar pokok manggis kekal lembab sepanjang tahun. 


Buah Nadir ini ada dilaporkan dalam akhbar Harian Metro dengan tajuk "Cerapu berbunga, berbuah ikut musim" yang sesuai dirujuk. Dinyatakan dimana pokok cerapu berasal dari Thailand dan Malaysia. Di negara ini, pokok cerapu ini banyak didapati di Pahang, Perak dan Negeri Sembilan. Ia pokok berbunga dan berbuah mengikut musim iaitu pada Julai hingga September dan kadang-kadang boleh didapati hingga Disember. Malah pokok itu membiak melalui biji benih yang disemai dan juga secara cantuman baji. Buah cerapu berbentuk bulat dan leper sedikit di bahagian atas dan bawahnya. Buahnya berukuran dua hingga lima sentimeter (sm) lebar, buah yang masih muda berwarna hijau cerah dan licin berkilat. Sementara buah yang masak berwarna jingga juga licin berkilat. Di bahagian bawah buah terdapat bekas stigma yang besar berwarna perang dan tidak luruh hingga buahnya masak. Kulit buahnya nipis dan mudah dikupas. Isinya berwarna jingga, terdiri daripada enam hingga tujuh ulas yang kelihatan seperti bercantum dan mengandungi banyak jus. Jika dimakan mentah, rasa buah cerapu masam-masam manis dan ia mempunyai getah yang lekit. Buah cerapu muda biasanya dimasak gulai lemak cili api bersama-sama ikan kering atau ikan salai. Buah yang sudah masak, selain dimakan mentah juga boleh ditumbuk bersama-sama sambal untuk mengurangkan pedas sambal itu. Selain sesuai untuk dimakan bersama ulam-ulaman seperti pucuk paku, kacang, jering, petai dan kerdas. Ia boleh dimakan mentah dengan rasanya masam-masam manis. Pokoknya juga sesuai dijadikan tanaman hiasan atau teduhan halaman rumah. Semuga artikel ini memberikan ilmu tambahan kepada pembaca anim agro technology semusnya. Wasallam..!!
POKOK CERAPU...UNIK NAMANYA...
BUAH NADIR... OREN WARNANYA...
BUAH BERMUSIM...DIHUTAN ADANYA...
RASANYA MANIS...MASAM PUN ADA ...

By,
M Anem
Senior Agronomist
Jalan Istana, Persimpangan Bukit Beruang,
Bandar Melaka,
Melaka,
Malaysia
(16 Rejab 1434H)
Kemaskini pada 13 Mei 2019.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...