Support My Blog

Monday, October 30, 2017

RACUN TIKUS - BAHAYANYA

ADAKAH ANDA KENAL RACUN TIKUS?... Pada penulis blog yang lama dalam bidang pertanian memang tidak asing melihat racun tikus yang sering digunakan dikawasan sawah padi. Kini racun tikus boleh didapati dalam berbagai jenama dan bentuk sediaan. Di Malaysia sahaja terdapat lebih kurang 60 jenama yang berdaftar diantaranya seperti MATIKUS, KING KONG, STORM, WARFARIN, RACUMIN dan banyak lagi. Setengah daripadanya digunakan begitu meluas di ladang dan kebun tanpa was-was untuk tujuan membunuh tikus yang merosakkan tanaman. Begitu juga racun tikus sering digunakan didalam rumah untuk tujuan menghapuskan tikus rumah. Racun tikus yang digunakan di rumah biasanya dalam bentuk sediaan debu, serbuk, butir dan umpan pepejal. Bagaaimana pun ibubapa mesti selalu waspada kerana racun tikus sediaan dalam bentuk butir berwarna terang biasanya menarik perhatian kanak-kanak yang menganggap sebagai makanan ringan. Walaupun ia tidak merbahaya pada manusia dan haiwan peliharaan tetapi setengah daripada racun tikus mengandungi bahan kimia tertentu yang toksik kepada manusia. Jika diambil dengan dos yang tinggi tentunya ia akan mendatangkan masaalah kepada kanak-kanak yang memakannya. Daripada beberapa lap[oran yang penulis rujuk menyatakan kadar keracunan racun tikus kepada manusia bergantung kepada kandungan bahan aktif. Kandungan bahan aktif (bahan kimia) dalam sediaan racun tikus terdiri dalam berbagai jenis diantaranya seperti Brodifacoum, Bromadiolone, Calcium cyanide, Chlorophacinone, Coumatetralyl, Doumatetralyl, Flocoumafen, Warfarin dan Zinc phosphide. Penulis gerun mendengar bahan aktif tersebut kerana ia semua adalah toksik. Racun tikus yang mengandungi bahan kimia yang amat toksik kepada manusia telah diharamkan penjualannya oleh kerajaan dan tidak sepatutnya disimpan di rumah. Direkodkan diantara racun yang sangat toksik dan ianya merbahaya adalah seperti Arsenik, Fosforus, Talium, Flourida, Sianida dan Strichnin yang telah diharamkan. Artikel malam Ahad ini dalam "Anim Agro Technology" saya kembangkan lagi ilmu pengetahuan mengenai bahaya racun tikus dan bagaimana menggunakannya.


Bahan-bahan kimia yang disebutkan tadi boleh menyebabkan keracunan atau pun maut jika diambil dengan kadar dos yang tinggi. Artikel kali ini saya berkongsi info dan seterusnya akan membincangkan tentang racun tikus yang ada di pasaran sekarang dan mungkin digunakan dan disimpan oleh pembaca blog anim agro technology semua. Sebenarnya racun tikus yang mengandungi bahan aktif Zinc phosphide merupakan antara racun yang merbahaya dengan mempunyai kadar toksik yang tinggi. Kandungan peratusan bahan aktifnya adalah sebanyak 80%. Racun tikus ini mengeluarkan bau seperti ikan busuk dan rasanya tidak akan membuatkan haiwan lain tertarik, tetapi ciri-ciri ini menarik perhatian tikus. ZINC PHOSPHIDE merupakan bahan perawis aktif bagi racun tikus dari Kumpulan ‘Phospine’ dengan cara tindakan mengeluarkan gas phospine dalam perut tikus setelah memakan upan racun tersebut. Gas METI ini akan menyebabkan tikus akan mati dengan kadar cepat dan merupakan racun tikus yang popular digunakan dikawasan sawah padi sejak dulukala. Ada juga dilaporkan ular yang makan bangkai tikus yang mati akibat racun tikus zinc phosphide juga akan mati jika makan dengan kuantiti banyak. Racun tikus jenis ini adalah terkawal dan ada yang menyatakan telah diharamkan di Malalysia. Antara jenama racun tikus jenis ini adalah seperti GOLD COIN ZINC PHOSPHIDE, MAPA ZINC PHOSPHIDE dan ITA ZINC PHOSPHIDE. Biasanya racun tikus ini akan terdapat di pasaran dalam bentuk serbuk dan pepejal. Racun ini boleh memasuki badan kita menerusi saluran pernafasan, mulut atau diserap melalui luka. Bila racun ini dicampur atau bersentuhan dengan air atau asid lemah ia akan membebaskan gas fosfin.


Dalam kes penggunaan racun tikus, kadar dos penting kerana anggaran dos mautnya lebih kurang 40 mg/kg. Keracunannya akan menyebabkan kesesakan paru-paru, tekanan darah menjadi rendah, sukar bernafas, muntah, kadar denyutan jantung tidak menentu, gelugut dan seterusnya akan jadi dan menyebabkan koma, kerosakan ginjal, pengurangan sel darah putih dan boleh membawa maut dalam masa 4 hari hingga 2 minggu. Jika berlaku keracunan rawatan awal yang perlu dilakukan ialah dengan memberikan mangsa minuman susu atau air bertujuan meneutralkan asid dalam perut, ikhtiarkan muntah dan segera bawa mangsa ke hospital untuk dapatkan rawatan lanjut. Antikoagulan (agen pencair darah) adalah kelas racun tikus mempunyai tahap keracunan yang rendah pada manusia. Antikoagulan adalah terbahagi kepada dua kumpulan iaitu Coumarin dan juga jenis Indanedione. Warfarin, difenacoum, bromadiolone dan brodifacoum merupakan salah satu komponen utama dalam bahan aktif 4-hydroxycoumarin manakala Indanedione pula terdiri daripada diphacinone, pindone dan chlorphacinone.


Dalam pada itu kepekatan Warfarin dalam setiap racun tikus biasanya antara 0.025 - 0.5%. Warfarin tidak mempunyai rasa, bau ataupun warna. Brodifacoum, difenacoum dan chlorphacinone dijual dalam pasaran dengan kepekatan antara 0.005 - 2%. Kumpulan ini juga dikenali sebagai superwarfarin. Kesemua komponen tersebut terdapat di pasaran dalam sediaan serbuk, butir, tablet dan kapsul. Racun tikus warfarin bila dimakan berulangkali dalam masa sehari menyebabkan pendarahan pada tikus mahupun manusia kerana darah tidak lagi mudah membeku. Sekiranya hanya sekali sahaja diambil kesan toksik pada manusia tidak ketara. Anggaran dos mautnya ialah lebih daripada 5-20 mg sehari diambil selama lebih daripada 3-5 hari. Kumpulan superwarfarin didapati lebih toksik daripada warfarin di mana ia boleh memanjangkan lagi masa pendarahan. Dos keracunan kumpulan superwarfarin adalah berbeza-beza mengikut kandungan racun tersebut. Dos keracunan melalui mulut bagi chlorphacinone ialah 250 - 625 mg, 7.5 mg bagi brodifacoum (0.12 mg/kg) dan 500 mg bagi difenacoum. Kumpulan ini sama juga dengan warfarin jika diambil sekali tidak merbahaya pada manusia. Ketoksikannya akan bertambah jika diambil berulangkali selama beberapa hari. Dalam pada itu tanda-tanda keracunan racun tikus antikoagulan seperti terasa mual atau muntah dan cirit birit.


Kebanyakkan racun adalah toksik kepada manusia. Kesan racun ada pendarahan yang berlaku menyebabkan luka lambat sembuh, gusi atau hidung berdarah, najis dan kencing berdarah dan dalam keadaan teruk boleh menyebabkan renjatan dan tidak sedarkan diri akibat dari pendarahan dalam termasuk pendarahan usus. Jika berlaku keracunan ikhtiarkan supaya mangsa muntah dan segera bawa mangsa ke hospital. Oleh itu, segala racun makhluk perosak yang digunakan di rumah janganlah dipandang ringan walaupun ia kurang toksik. Jika terdedah berulangkali dalam jangkamasa yang lama boleh menyebabkan keracunan kronik kepada pengguna. Walau apa pun kes keracunan, pesakit harus mendapat rawatan dan pemeriksaan doktor secepat mungkin untuk mengelak kejadian yang tidak diingini berlaku. Pusat Racun Negara perlu dihubungi jika berlaku keracunan untuk mendapat nasihat dan maklumat lanjut tentang keracunan.


Menjawab soalan iaitu bagaimanakah kaedah penyimpanan dan penggunaan racun tikus di rumah?. Racun tikus hendaklah disimpan dengan selamat sebelum dan selepas ianya digunakan untuk mengelakkan kejadian yang tidak diingini berlaku. Seelok-eloknya simpan ditempat tinggi dan tidak dapat dilihat oleh kanak-kanak. Tempat simpanan yang berkunci dan jangan simpan bersama bahan-bahan makanan dan minuman. Simpan dalam bekas asal racun tersebut dan jangan pindahkan ke dalam bekas lain. Kebiasaannya racun tikus digunakan pada waktu malam memandangkan pada waktu ini tikus berkeliaran mencari makanan. Tempat racun diletakkan hendaklah tidak mudah dilihat oleh kanak-kanak dan haiwan peliharaan. Gunakan bekas yang hanya untuk menyediakan racun tersebut dan jangan sekali-kali gunakan bekas itu untuk menyediakan makanan. Jangan sediakan racun tikus dengan tangan dan sebaiknya cuci tangan selepas menyediakan racun tersebut. Kepada pembaca bog anim agro technology boleh merujuk kepada tulisan saya sebelum ini mengenai racun tikus (Sila klik disini). Semuga tulisan ini memberi info berguna kepada anda semua. Wasallam!!!...
RACUN TIKUS... BANYAK JENAMA...
BELI SEBUNGKUS... UNTUK DIGUNA...
KALAU DIGUNA... PERLU DI JAGA...
PERLUKAN PENGETAHUAN...SEMUA...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Taman Cendana, Jalan Istana,
Bandar Melaka, Melaka,
Malaysia.
(12 Zulhijjah 1438H)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...