Support My Blog

Monday, July 3, 2017

SUSU KAMBING - SEMAKIN POPULAR

SUSU KAMBING (Goats Milk) adalah susu yang dihasilkan oleh kambing betina setelah melahirkan daripada beberapa jenis kambing susu yang diternak. Antara jenis kambing susu yang popular seperti Kambing Saanen yang mana ia mampu menghasilkan susu kambing berkualiti. Lazimnya susu kambing segar yang diambil dalam jangkamasa 0-3 hari adalah susu kolostrum yang mengandungi sangat banyak zat permakanan jika dibandingkan dengan susu lembu. Susu kambing pun biasanya diminum dengan kadar sedikit berbanding dengan susu lembu dimana ia didakwa mampu untuk menyembuhkan berbagai jenis penyakit. Dari segi sejarah didapati susu kambing dahulu memang banyak di ambil di Timur Tengah sejak 7,000 tahun sebelum masihi. Kajian menunjukkan dimana susu kambing memiliki protein terbaik setelah telur. Susu kambing terbaik adalah susu yang segar (raw goat milk) dimana didapati susu kambing memiliki aroma yang khas bau kambing yang disebabkan oleh asida caproat dalam susu kambing tetapi bau ini boleh di kurangkan dengan dengan memberikan makanan tambahan yang khusus. Kajian makmal mendapati komposisi susu kambing mengandungi bahan protein sebanyak 3.6%, lemak 6.17%, bahan kering 15.49% dan Bahan kering tanpa lemak (BKTL) sebanyak 9.32%. Komposisi dalam zat dalam susu kambing sering dipengaruhi oleh cara permakanan yang diberikan. Pemberian bahan makanan yang kaya dengan bahan Omega-3 dan Omega-6 terhadap kambing mampu meningkatkan kandungan omega-3 dan omega-6 pada susu kambing. Pengeluaran susu kambing di Malaysia masih ditahap kurang memuaskan kerana belum ramai usahawan yang berjaya. Malaysia masih pengimport susu dari luar negara untuk menampung kekurangan. Artikel subuh ini saya menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai susu kambing seperti dilaporkan dalam akhbar tempatan untuk dijadikan bahan rujukkan.

Sejak kebelakangan ini dilaporkan pasaran tempatan dipenuhi susu formula berasaskan susu kambing seperti cendawan tumbuh selepas hujan. Apa yang menarik adalah dimana susu formula berasaskan susu kambing banyak diilhamkan oleh anak tempatan yang masih muda. Mereka memformulasikan susu kambing sesuai untuk memenuhi keperluan semua lapisan masyarakat. Kini kebanyakan pengusaha susu formula yang berasaskan susu kambing mampu menjana pendapatan lumayan, malah ianya dapat melahirkan ramai usahawan sama ada di bandar dan luar bandar. Muncul dengan pelbagai jenama, trend perniagaan ini dilihat merancakkan lagi ekonomi negara dengan mana ia membuka peluang perniagaan di kalangan mereka yang bergelar stokis ejen dan 'dropship'. Baik dari bandar atau luar bandar golongan ini terdiri daripada generasi muda yang berlumba-lumba menambah pendapatan dengan tawaran perniagaan yang ada. Kini dengan kecanggihan teknologi dan penggunaan media sosial menjadi medium untuk mempromosikan produk masing-masing dan mampu mencecah juta ringgit walaupun masih baharu dalam pasaran. Hingga ke hari ini terdapat pelbagai jenama susu kambing muncul di pasaran dan masing-masing punya kelebihan serta kekuatan tersendiri untuk bersaing antara satu sama lain. Bagaimanapun sebenarnya dengan hanya menggunakan kebaikan susu kambing sebagai platform utama mempromosikan produk mereka tidak memberikan jaminan produk mereka bertahan lama. Mereka perlu kreatif, inovatif dan bijak mengambil peluang untuk terus bertahan dan bersaing secara sihat. Walaupun mereka masih baharu dalam pasaran, usahawan tersebut sentiasa melakukan penambahbaikan bagi memastikan produk mereka menjadi pilihan pengguna dan memberikan khasiat serta membantu tumbesaran manusia.

Sebaiknya berkongsi khasiat dengan orang ramai mengenai kehebatan khasiat susu kambing adalah perlu. Berpengalaman beberapa tahun mengamalkan minuman susu kambing untuk ahli keluarganya, Pengarah Urusan SK Rich International Sdn Bhd, Anas Che Mat Hadzer mahu berkongsi dan membantu mereka yang memerlukan. Anas berkata, anak sulungnya yang kerap sembelit dan demam menyebabkan dia melakukan pelbagai usaha untuk dianya membantu menyembuhkannya. Beliau telah menggunakan pelbagai susu dan akhirnya saya menggunakan susu formula berasaskan susu kambing. Alhamdulillah, anak saya tidak sembelit dan mempunyai antibodi yang kuat. Selain mahu membantu, dia juga mahu menukar mentaliti rakyat tempatan yang gemar memberikan anak mereka susu formula berasaskan susu lembu supaya memberikan susu kambing yang mempunyai lbih banyak khasiat. Melihat kepada perkembangan tersebut, Anas melakukan kajian dan penyelidikan pada 2014 dan telah mengambil keputusan memperkenalkan susu kambing bertujuan membantu ibu dan anak-anak yang mempunyai masalah minum susu formula selain susu kambing. Kini telah banyak testimoni yang mereka perolehi menunjukkan susu kambing membantu mereka menyelesaikan masalah yang dihadapi. Antaranya membantu memperbanyakkan susu ibu, anak yang sihat dan mempunyai antibodi yang kuat.

Laporan akhbar menyatakan dimana produk susu Khalish mempunyai tiga kategori iaitu sesuai untuk kanak-kanak, ibu hamil dan ikhtiar hamil. Susu Kambing Khalish juga ada mempunyai perasa asli dan koko kurma. Formula susu kambing koko kurma diambil daripada kajian saya sendiri terhadap masyarakat Arab yang gemar minum susu kambing bersama koko dan kurma. Ia memberikan pelbagai khasiat kepada mereka yang mengamalkannya. Walaupun masih baharu dalam pasaran, Khalish menjadi pilihan pelanggan malah perniagaannya berkembang maju. Pada awal pelancarannya, Khalish hanya mempunyai 20 ejen sahaja kini meningkat kepada 800 ejen di seluruh negara termasuk Brunei dan Singapura serta mempunyai 50 stokis. Khalish juga boleh didapati di lebih 400 outlet. Khalish kini menyasarkan pertumbuhan jualan RM8.5 juta pada tahun ini, setakat ini, Khalish telah mencapai RM3.5 juta. Saya menyasarkan untuk menjual 300,000 kotak menjelang akhir tahun ini. Kadar peningkatan tersebut dipacu iklan di media sosial dan elektronik serta penyertaannya dalam pelbagai karnival dan membuka ‘booth’ di beberapa pasar raya di seluruh negara. Kini usaha tersebut dilakukan untuk mengukuhkan Khalish dalam pasaran tempatan. Khalish juga bakal menembusi pasaran Libya dan Timur Tengah dalam masa terdekat. Setakat ini, ia dalam proses peringkat akhir dan dijangkakan Khalish akan dieksport ke sana sebanyak 100,000 kotak sebulan.

Menyentuh mengenai harga, sekotak susu kambing Khalish yang mempunyai berat 500 gram adalah RM44 bagi pasaran Semenanjung Malaysia dan RM50 bagi Sabah dan Sarawak. Apabila ditanya mengenai persaingan susu formula dalam pasaran, Anas optimis permintaan susu kambing akan meningkat setelah orang ramai menyedari kebaikannya. Beliau kini yakin dengan kaedah pemasaran yang terbaik, penjenamaan semula dan penambahbaikan dari segi pembungkusan, Khalish menjadi pilihan bukan sahaja masyarakat Melayu malah bangsa lain juga. Daripada maklum balas daripada pemilik farmasi terhadap teknologi pembungkusan saya memberikan saya semangat untuk terus memajukan Khalish. Kini selepas penjenamaan semula pada Mac tahun ini, jualan Khalish meningkat. Susu kambing yang diimport dari Belanda itu adalah material yang asli dan dijadikan serbuk tepung, tidak hamis dan formula yang digunakan adalah tidak manis dan berbau serta tanpa bahan kimia. Kini telah lahir ramai usahawan berkaitan susu kambing termasuk Syarikat Lazz Ain Marketing Sdn Bhd (Lazz) berada dalam pasaran tempatan selepas melihat permintaan susu kambing semakin meningkat dalam kalangan masyarakat tempatan. Pengasasnya, Norhidayati Mohd Redha berkata penglibatannya dalam perniagaan susu formula berasaskan susu kambing tercetus apabila meminati bidang keibubapaan. Ini menyebabkan dia sering menjadi rujukan ibu yang tidak mampu menyusukan bayi mereka. Kini dia membantu mereka untuk memberikan susu ibu kerana susu badan adalah susu yang terbaik dan akan memperkenalkan susu kambing sekiranya mereka tidak mampu memberikan susu badan kepada bayi mereka. beliau menjadi konsultan kepada mereka dan saya melihat susu kambing mempunyai permintaan yang tinggi dan melihat potensi industri tersebut yang mempunyai pasaran luas.

Syarikat mengeluarkan susu Lazz sesuai untuk bayi dan dewasa dimana ia kini berada di pasaran setahun lebih dan Lazz mendapat permintaan tinggi. Kebanyakan pelanggan yang membeli pertama kali akan membeli kembali susu Lazz yang berat 500 gram dijual RM45 di Semenanjung Malaysia dan RM50 di Sabah dan Sarawak. Ia mempunyai tiga kategori iaitu Lazzcoffe, Lazz Asli dan Lazz Kurma. Sebenarnya selain membantu menyelesaikan masalah ibu menyusukan bayi produk Lazz juga adalah inisiatifnya melahirkan usahawan baharu. Setakat ini Lazz mempunyai lebih 600 ejen di seluruh negara dan Brunei serta Singapura. Lazz juga boleh didapati lebih 1,000 outlet farmasi, kedai barangan Muslim dan kedai runcit di seluruh negara. Lazz amat mementingkan ejen dan pelbagai bantuan diberikan kepada mereka untuk memastikan mereka mampu meneruskan perniagaan Lazz. Setakat ini, Lazz terjual 60,000 kotak setiap bulan. Lazz adalah serbuk susu kambing diimport dari Holand (Belanda) yang tidak panas dan hamis, penghasilan tanpa bahan kimia sintetik dan berasaskan non-GMO. Mereka mahu mengukuhkan pasaran dengan kaedah penambahan ejen. Lazz juga menjadi pilihan ibu pelbagai bangsa yang kebanyakannya minum untuk kesihatan sendiri dan usaha untuk hamil. Setakat ini didakwa terdapat lebih 70 pelanggan kami hamil dan ini memberikan kepuasan kepada saya kerana dapat membantu orang lain yang mana beliau memulakan perniagaan dengan bermodalkan RM30,000.

Satu lagi syarikat berkait dengan susu kambing ini adalah syarikat pengeluar susu formula Rayden Susu Kambing (Rayden). Syarikat Rayden Resources kini mahu mengukuhkan kedudukannya dalam pasaran tempatan untuk bersaing dengan pengeluar lain. Pengasasnya, Atikah Ashari berkata, Rayden menjadi pilihan semua peringkat umur setelah berada dalam pasaran tempatan selama sebulan. Rayden dipasarkan melalui dua perasa iaitu Goat Milk Chocolate (Coklat) dan Goat Milk Original (Asli) yang kini terjual lebih 1,000 kotak. Beliau memulakan perniagaan susu kambing kerana melihat potensi kepada keperluan susu dalam kalangan masyarakat kita. Rayden bukan sahaja sesuai untuk kanak-kanak malah untuk sesiapa sahaja dari bayi berusia setahun ke atas sehingga warga emas. Kini walaupun hanya mempunyai lima stokis dan 10 ejen di seluruh negara beliau mahu memastikan Rayden dikenali dan menjadi pilihan penggemar susu kambing. Setakat ini, kebanyakan pelanggan akan membelinya melalui ejen dan atas talian. Syarikat mahu menambah stokis dan ejen kerana ada kawasan yang mempunyai permintaan Rayden tetapi kami tidak mempunyai stokis atau ejen. Mereka yang ada berminat untuk menjadi stokis dan ejen bolehlah berusaha menghubungi ibu pejabat Rayden yang beroperasi di Rawang, Selangor.  Rayden semakin menjadi pilihan kerana kandungan bahan-bahan digunakan dalam kedua-dua produknya. Rayden yang bermodalkan RM50,000 itu mempunyai kekuatan tersendiri kerana kebaikan dan kotak pembungkusannya yang menggunakan warna pastel. Ia mahu memberikan yang terbaik kepada penggemar susu kambing. Pengalaman saya sendiri yang sukar untuk mendapatkan susu kambing sebelum ini memberikan ilham kepada saya untuk membuat Rayden. Harga Rayden adalah mampu milik supaya mereka yang kurang berkemampuan mampu memilikinya. Setakat ini, pasaran Rayden dalam Malaysia sahaja dan merancang akan menembusi beberapa pasaran luar negara. Rayden akan memfokuskan kepada pasaran tempatan untuk mengukuhkan jenamanya setanding dengan susu kambing sedia ada. Ia mempunyai kelebihan tersendiri antaranya tidak rasa hamis dan tanpa gula tambahan serta bebas bahan pengawet. Rayden juga mahu mengeluarkan dua lagi produk baharu kerana maklum balas yang diterima mereka mahukan perasa lain. Kedua-dua produk tersebut khusus untuk menambahkan susu badan dan sesuai untuk ibu hamil. Rayden adalah susu kambing organik yang diimport dari Netherland dan diproses serta dikilangkan oleh kilang milik Muslim yang mempunyai pekerja Melayu sahaja.

Penulis blog dapati semakin ramai percaya untuk mengambil susu kambing yang mana dahulu ia merupakan perkara yang jarang didengar. Masyarakat telah berubah dengan adalknya alam siber yang canggih untuk mencari informasi. Antara dakwaan mengenai khasiat susu kambing adalah seperti susu kambing mampu menyelesaikan masalah keselesaan ketika perut kosong. Ia juga membantu golongan ibu hamil dan ibu yang menyusukan anak dengan memberikan bekalan tenaga. Susu Kambing akan menghasilkan susu badan yang berkualiti dan memperkasakan sistem dalam penghadaman. Ia dapat menguatkan sistem imunisasi badan dan susu kambing tiada kandungan protien kompleks yang menyebabkan alahan. Khasiat susu kambing juga mampu untuk meningkatkan daya kepekaan, penumpuan dan ingatan. Diharap rencana ini memberi info berguna kepada pembaca blog anim agro technology kali ini. Wasallam dan Selamat Hari Raya!...
SUSU KAMBING... BANYAK KHASIATNYA...
KAMBING SAANEN...ANTARA JENISNYA...
DIMINUM SELALU... SIHAT PENGGUNA...
BACA ARTIKEL... MENDAPAT INFONYA...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Taman Cendana, Jalan Istana,
Bandar Melaka, Melaka,
Malaysia.
(3 Syawal 1438H)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...