BETIK (Carica papaya) merupakan satu jenis tanaman buah yang popular diseluruh dunia kerana ia dimakan segar dan sesuai untuk diproses. Betik merupakan jenis buah tidak bermusim daripada keluarga Caricaceae. Terdapat beberapa varieti tanaman betik di negara kita seperti iaitu Betik Sekaki, Betik Eksotika, Betik Subang, Betik Solo, Betik Piola dan beberapa lagi. Buah Betik juga dipanggil sebagai Papaya, Gandul dan pelbagai nama lain diseluruh dunia. Pada tahun 2013 dianggarkan seluas 3,125 hektar tanaman betik di usahakan di Malaysia dengan jumlah anggaran pengeluaran sebanyak 49,500 mt (Sumber: Laporan statistik Tanaman Jabatan Pertanian 2013). Antara kawasan utama tanaman betik sekaki ini adalah di Negeri Pahang (Daerah Rompin seluas 688 ha), Negeri Kedah (Daerah Padang Terap - 395 ha) dan Daerah Muar, Johor (182 ha) pada tahun 2013. Dengan jarak untuk penanaman betik disyorkan pada 1.8 meter x 2.7 meter (Eksotika dan Subang) ia akan memberikan sebanyak 2,000 pokok sehektar. Anggaran hasil betik sekaki adalah antara paling tinggi yang melebihi 8 mt/ha (Tahun ke 2 dan Ke 3) dan 32 mt/ha (pada tahun ke 4-5). Betik Sekaki (dikenali juga sebagai Betik Hong Kong) merupakan sejenis betik yang sangat popular ditanam oleh petani komersial. Nama Betik Sekaki diberi atas alasan panjang betik sehingga mencapai 1 kaki dan pasaran utamanya adalah Negara Hong Kong. Ada yang mengatakan disebut sekaki kerana pokok yang rendah dan mampu berbuah sekaki dari aras tanah. Penanaman betik sekaki bermula tahun 1990-1991 di Batang Padang Perak dan terus merebak keseluroh negara. Artikel subuh ini saya menulis sekali lagi "Anim Agro Technology" mengenai beberapa fakta penting bunga betik dalam penanaman betik untuk ia dijadikan bacaan dan rujukan anda semua.
Bunga Betik (Papaya Flower) selalunya berbau wangi, kelopak bunga seakan berlilin dan ada bunga betik yang mempunyai warna yang suram (Putih kekuningan). Bunga betik akan keluar apabila pokok betik telah matang (Sila lihat foto diatas). Betik lazimnya akan mengeluarkan BUNGA JANTAN, BUNGA BETINA dan BUNGA HERMAFRODIT. Penulis percaya ramai yang kenal bunga betik tetapi secara khususnya mungkin tidak kenal perbezaan akan 3 jenis bunga pada pokok betik tersebut. Hanya mereka yang pakar dan telah biasa menanam betik yang kenal akan bunga betik jantan, bunga betina dan bunga hermafrodit. Bunga betina lazimnya akan menghasilkan buah betik yang berbentuk bulat dengan lapisan isi buah yang nipis dan ia tidak sesuai dipasarkan dipasaran komersil (Sila lihat foto paling atas). Hanya Bunga Hermafrodit yang akan menghasilkan buah betik yang bulat panjang lonjong dengan isi yang tebal. Pada kebiasaanya apa yang penulis blog teliti dimana bunga betik jantan boleh dijadikan ulam kerana bunga betik jantan amat jarang atau tidak langsung mampu mengeluarkan buah betik. Bunga betik jantan secara lumrahnya bertangkai panjang dengan jumlah tagkaii bunga yang banyak pada satu-satu pokok betik jantan. Ia berbentuk kecil dengan warna hijau keputihan berbeza dengan bunga jenis betina atau bunga betik jantan (Sila lihat bunga betik jantan dibawah). Lazimnya pokok betik jantan akan dibuang oleh petani atau pokok tersebut dimusnahkan bagi mengurangkan kos pengurusan dan berkemungkinan akan menjadi punca penyakit.
Artikel kali penulis ingin kongsikan khasiat bunga betik kepada kegunaan untuk kesihatan kita. Bunga betik dipercayai amat baik untuk mengubati masaalah seperti pesakit darah tinggi. Walau pun dinyatakan rasanya yang pahit dimana ia akan membuatkan ramai yang tidak menyukainya. Namun juga didakwa bagi mereka yang sudah biasa makan bunga betik maka katanya rasa pahit hanya perkara kecil. Pada kebiasaanya cara bagi makan bunga betik dengan mana bunga betik tersebut dicelur terlebih dahulu bagi tujuan untuk melembutkannya dan mengurangkan sedikit rasa pahitnya. Ada juga yang merebus beberapa tangkai bunga betik jantan bersama air dan sedikit gula bagi menambah rasa enaknya. Air rebusan tersebut boleh diminum sehari dua kali pada waktu pagi dan malam apabila sudah sejuk. Kandungan papain didalam air rebusan tersebut didakwa mampu menyembuhkan beberapa penyakit. Ada dakwaan dimana mereka yang menghidapi masaalah 'Demam Chikungunya' dan Demam Denggi digalakkan makan pucuk betik dan mungkin bunga betik untuk menyembuhkannya. Terdapat beberapa tulisan yang boleh dirujuk mengenai perkara ini yang dianggap sebagai petua sahaja untuk dibaca (Sila klik disini). Ini bermakna jika ada menanam pokok betik disekeliling rumah maka telah ada bank ubat dari tumbuhan yang disediakan.
Teknologi menanam pokok betik kini telah disesuaikan dengan menentukan lebih banyak pokok betik hermaprodit akan berada didalam kebun. Salah satu cara untuk dapatkan pokok hermafrodit ini dalam kebun dengan menanam sebanyak 3-4 pokok pada satu point penanaman. Apabila pokok sudah membesar akan dilakukan proses penjarangan dengan membuang anak pokok yang menghasilkan bunga jantan dan juga bunga betina. Petani perlu kenal akan pokok betik ini berdasarkan kepada bunga yang dikeluarkan. Anak Pokok betik hermaprodit hanya akan ditinggalkan satu pokok sahaja setiap point tanaman dan yang lain akan dicabut dan dialihkan kedalam lubang penanaman yang lain. Kaedah kedua mendapatkan pokok betik hermaprodit yang banyak dalam kebun adalah dengan membuat cantuman dewasa pokok betik yang telah matang. Pokok betik yang berbuah dikenali dari jenis hermaprodit (Sila lihat foto disebelah) sesuai dibuat cantuman tunas. Cara ini walau pun sedikit lambat menentukan kejayaan yang amat signifikan untuk membiakan pokok betik diladang komersil. Anda boleh membaca kaedah ini dengan membuat pautan kepada tulisan saya sebelum ini (Sila klik disini) dan (Sila Klik disini). Semuga tulisan kali ini dapat memberi info berguna kepada anda semua pembaca blog anim agro technology semua. Wasallam!!!..
POKOK BETIK... ADA 3 JENIS BUNGA...
BUNGA HERMAFRODIT...IA UTAMA...
BUNGA JANTAN... TIDAK BERGUNA...
KURANGKAN JUGA...BUNGA BETINA..
By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Room 955, Hotel Marriot,
Putrajaya, WP,
Malaysia.
(22 Syawal 138H)
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.