Support My Blog

Tuesday, May 31, 2016

CILI FERTIGASI vs JAGUNG


Menanam CILI FERTIGASI merupakan satu aktiviti dalam usaha penanaman sayur yang semakin popular di kalangan petani masa kini. Teknologi menanam cili besar atau cili padi kini dilakukan menggunakan sistem fertigasi kerana ia lebih mudah diuruskan dan menjamin pulangan lebih baik jika dibandingkan dengan cara penanaman cili secara konvensional diatas tanah. Walau pun kos untuk memulakan sistem tanaman cili secara fertigasi ini agak tinggi pada permulaannya tetapi ia dikatakan lebih menguntungkan untuk jangkamasa panjang. Bagaimana pun asasnya seseorang yang ingin menukar sistem tanaman cili secara konvensional atau yang baru mula menanam cili secara fertigasi perlu mendapatkan kemahiran melalui kursus atau amali diladang daripada orang lain dahulu. Ini kerana ada beberapa ilmu asas mengenai tanaman secara fertigasi semestinya dipelajari dahulu terutama dalam bancuhan baja, aliran air baja, kawalan air, titisan dan menjaga amalan agronomi tanaman. Sistem tanaman cili fertigasi boleh dilakukan dengan cara Fertigasi Terbuka (Open fertigation) atau Sistem Fertigasi dibawah Struktur Pelindung Hujan (SPH). Bagaimana pun bergantung kepada kemahiran sesorang usahawan cili, pemilihan sistem tanaman cili ini dipengaruhi oleh faktur pengalaman, modal yang ada, varieti, kesesuaian kawasan tanaman dan sebagainya. Beberapa teknik asas sistem tanaman fertigasi adalah serupa tetapi ada petua atau tips yang mungkin tidak diberitahu semasa berkursus atau membuat amali sebenar. Pada penulis yang sering memberi khidmat nasihat teknikal mengenai tanaman cili memberikan beberapa tips untuk menanam cili fertigasi. Malam ini saya menulis dalam "Anim Agro Technology" artikel ke 3,788 berkaitan dengan tips menanam cili fertigasi dan kaitannya dengan penanaman jagung sebagai satu tips sahaja.


Daripada data yang penulis perolehi daripada Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) dan Jabatan Pertanian dinyatakan penghasilan cili pada 2015 adalah sebanyak 46,500 mt. Meneliti maklumat pengimportan cili pula dilaporkan sebanyak 51,500 mt menjadikan negara masih perlu meningkatkan pengeluaran cili untuk mengimbangan perimbangan perdagangan (BOT - Balance of trade). Cili Segar diimport daripada beberapa negara seperti dari Thailand, Vietnam dan China untuk pasaran domestik. Pendekatan penanaman cili secara fertigasi dikatakan mampu untuk mengimbangi kadar pengimportan cili jika dilakukan dengan terancang dan sistematik. Jabatan Pertanian memantau penanaman cili secara fertigasi untuk peningkatan pengeluaran cili. Jika satu pokok cili yang ditanam diatas tanah secara konvensional mampu menghasilkan purata 2.0 kg cili besar sepokok, maklumat dari beberapa projek cili fertigasi dilaporkan di TKPM mampu menghasilkan diantara 2.5 - 3.0 kg sepokok. Malahan kini dengan beberapa pengubahasuaian teknologi ia didakwa mampu mencecah hasil sehingga 4 kg sepokok. Ini kerana penanaman cili secara fertigasi mampu dan dapat menghasilkan buah lebih cepat, bersaiz besar, kerap berbunga dan menghasilkan buah yang seragam. Jangkamasa menuai juga lebih lama terutama pokok cili fertigasi yang dijaga dengan baik. Kalau cara menanam cili dikawasan keliling rumah melalui pertanian bandar dan program bumi hijau dirasakan pengeluaran cili umumnya akan meningkat dan pengimportan akan berkurangan dan juga terus menurun. Ini membantu negara mengurangkan kadar bil import dari jumlah semua sebanyak RM18.4 juta pada tahun 2014 iaitu satu defisit perdagangan dalam sektor makanan. Kejatuhan nilai matawang Ringgit Malaysia pada 2015 berbanding dengan mata wang lain didunia juga telah menyumbang bertambahnya nilai defisit ini.


Penanaman cili besar dan juga cili padi memerlukan pendekatan Amalan Pertanian Baik (MyGAP). Penulis yang memeriksa dan meninjau beberapa projek penanaman cili fertigasi disekitar Daerah Kuantan, Bera, Rompin dan Raub mendapati ramai petani menanam cili secara fertigasi umumnya dengan Teknik Fertigasi Gantung (Hanged Fertigation). Ramai juga dikalangan mereka yang kini penulis anggap sebagai 'pakar' dalam menanam cili dengan Teknik Fertigasi Terbuka (Tanpa struktur Pelindung Hujan - SPH). Ada dikalangan usahawan ini amat mahir dengan teknologi penanaman cili sehingga mampu mereka memberikan hasil cili yang berkualiti. Amalan MyGAP seperti disarankan telah diamalkan oleh ramai usahawan cili fertigasi hasil bimbingan pegawai-pegawai teknikal di Jabatan Pertanian. Bagaimana pun dalam beberapa tinjauan penulis mendapati ada petani yang menanam jagung (Zea mays) berhampiran dengan tanaman cili fertigasi. Dinasehatkan agar petani segera memusnahkan pokok jagung kerana dikhuatiri ia akan menjadi perumah kepada serangga perosak (terutamanya jenis aphids) dan beberapa jenis kulat lain yang akan menyerang cili kelak (Sila anda lihat foto disebelah). Pokok jagung yang mulai kering merupakan perumah yang baik untuk pembiakan dan perebakan beberapa patogen yang boleh berpindah kepada tanaman cili yang baru mula berhasil atau sedang berhasil. Setakat ini beberapa peserta TKPM yang ingin menanam jagung perlu merujuk dengan jadual penanaman cili diprojek-projek TKPM atau Projek Kelompok yang lain. Penulis nasehatkan agar elakkan menanam cili fertigasi berhampiran dengan tanaman jagung untuk kurangkan risiko. Semuga coretan kali ini memberikan info berguna kepada anda semua. Wasallam!.
TANAM CILI... CARA FERTIGASI...
POLIBEG DISUSUN... BERDIRI...
ELAKKAN JAGUNG...HAMPIRI...
ADA PATOGEN..PERLU HINDARI...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Kg Chendor, Sg Baging,
Kuantan, Pahang,
Malaysia.
(23 JamadilAwal 1437H)

Monday, May 30, 2016

DAUN KETUM - KESAN GIAN

POKOK KETUM (Mitragyna speciosa) merupakan tumbuhan yang menghasilkan apa yang dinamakan sebagai daun ketum yang kini menjadi ancaman kepada rakyat negara ini. Kini penggunaan daun ketum dikalangan remaja dan murid sekolah menyebabkan kesan seperti dadah walau pun ada kenyataan umum menyatakan bahawa daun ketum 'tidak menggiankan'. Dalam satu laporan akhbar Utusan Malaysia oleh pemberita Norzaila Rosli menyatakan daun ketum atau lebih dikenali sebagai 'kratom' di kebanyakan negara adalah antara topik paling hangat diperkatakan di Malaysia ketika ini. Ini berikutan dengan berita penebangan sebatang pokok ketum berusia 60 tahun di Kampung Bandariang Gerik oleh sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gerik, Perak, pokok ketum mula mendapat perhatian umum. Ada yang berpendapat tindakan menebang pokok tersebut akan dapat mengurangkan aktiviti penagihan dadah. Namun begitu, tidak kurang juga yang menyuarakan kekesalan terutama daripada penggiat aktiviti pemuliharaan alam sekitar ia menghilangkan flora dan fauna biodiversiti negara. Di Malaysia penulis juga dimaklumkan dimana daun ketum turut dikenali sebagai 'Daun Biak' dimana ia telah lama digunakan dikalangan petani, pesawah dan sebagainya sebagai air yang menambah tenaga untuk bekerja. Artikel petang Ahad ini saya menulis didalam blog "Anim Agro Technology" mengenai info daun ketum sekadar ingin menambah ilmu berdasarkan kepada laporan akhbar tempatan.

Mengikut sejarah yang dilaporkan, daun ketum mula digunakan di Thailand sejak berkurun dahulu. Ia amat popular di kalangan orang biasa (bukan penagih) kerana kesan penagihannya yang minima selain dapat mengekalkan tenaga kuat sepanjang hari terutama kepada mereka yang melakukan kerja berat. Sementara itu dinegara kita dilaporkan pokok ketum sering menjadi tumpuan penagih sebagai alternatif untuk menghilangkan ketagihan sementara. Biasanya daun ketum akan direbus terlebih dahulu sebelum diminum airnya yang pahit dan hanya boleh disimpan selama dua hari sahaja. Daun ketum kini ditanam dan dijual oleh pihak tertentu untuk digunakan dalam negara dan juga dieksport kenegara jiran. Beberapa tangkapan pengedaran dan penjualan daun ketum berjaya ditumpaskan pihak berkuasa (Sila lihat foto disebelah). Ada laporan daripada pakar ketagihan dan saintis penyelidikan bersekutu, Yale University School of Medicine, Amerika Syarikat, Dr. Mahmud Mazlan berkata iaitu kandungan alkaloid di dalam daun ketum yang memberi kesan rangsangan akan hilang sekiranya rebusan itu tidak lagi segar. Daun ketum yang kering pula akan dikunyah seperti daun sirih tetapi kesannya tidak sebaik daun ketum segar.

Laporan oleh Dr. Mahmud mendapati jika pengambilan air rebusan daun ketum diminum ia boleh memberikan dua kesan yang berbeza. Pertama ia akan memberi kesan yang sama dirasai ketika mengambil morfin atau kokain. Ramai yang ambil untuk mendapatkan kesan kokain terutama orang kampung yang melakukan kerja-kerja berat. Kesan yang dirasai seperti mengambil kokain ini sebenarnya jarang diketahui oleh orang ramai.  Ianya menghasilkan dua tindak balas berbeza maka daun ketum kini telah dianggap sejenis tumbuhan yang unik kerana ia jarang dijumpai pada bahan lain. Kedua adalah kesan seperti mengambil morfin akan menyebabkan seseorang berasa mengantuk sama seperti selepas meminum arak atau ubat tidur. Kesan seperti ini hampir sama dengan mengambil kokain iaitu ianya akan menghasilkan tindak balas yang merangsangkan. Namun begitu, tindak balas yang terhasil daripada rebusan daun ketum adalah 10 kali lebih kurang daripada morfin sebenar. Ia hanya menyamai kesan yang dirasai selepas mengambil ubat batuk. Apa yang memelikkan dimana tindak balas minuman air daun ketum tersebut terhadap otak adalah berbeza dengan tindak balas morfin terhadap otak. Walau bagaimanapun, daun ketum dikatakan memberi kesan yang hampir sama dengan daun coca yang digunakan untuk membuat kokain. Minuman air ketum disediakan dalam pekk bungkusan plastik untuk dijual (Sila lihat foto disebelah). Ia ada dijual dibeberapa lokasi yang tersembunyi.

Dalam kes lain, jika hendak dibandingkan dengan daun coca asli dimana ia biasanya digunakan oleh buruh kasar di Amerika Selatan terutama yang menetap di Pergunungan Andes dan popular di Colombia. Daun coca akan dikunyah untuk menambahkan tenaga (Sila lihat daun coca disebelah)Selain kurang memberi kesan penagihan dilaporkan daun coca juga boleh mengekalkan tenaga dan menyesuaikan sistem tubuh manusia dengan kawasan beraltitud tinggi. Ini adalah diantara sebab ramai orang asli di Pergunungan Andes gemar mengunyah daun coca untuk mengekalkan tenaga sepanjang hari. Berbanding dengan daun ketum yang dianggap bahan paling kompleks ini jarang dilakukan penyelidikan. Setakat ini hanya terdapat sepuluh penyelidikan bertaraf antarabangsa dibuat ke atas daun atau pokok ketum termasuk di Jepun dan Eropah. Menurut Dr. Mazlan lagi kini di Malaysia terdapat dua kumpulan berbeza yang menggunakan daun ketum. Pertama adalah kumpulan para penagih dadah menggunakan daun ketum untuk cuba mengubat diri sendiri. Sebab itu daun ketum tidak boleh dipersalahkan. Semenjak tiga tahun lalu pihak keselamatan mendapati bekalan heroin didapati semakin berkurangan dan harganya pula semakin mahal. Ini menyebabkan ramai penagih di utara dan pantai timur Semenanjung Malaysia seperti Kedah, Perlis, utara Perak, Kelantan, Terengganu dan beberapa kawasan sekitar Pahang bertukar kepada daun ketum. Memandangkan daun ketum juga dapat memberikan kesan sama seperti morfin, penagih heroin mula bergantung kepada daun ketum pula. Kebanyakan golongan penagih yang ingin berhenti daripada mengambil heroin cuba merawat diri mereka dengan mengambil daun ketum.

Dilaporkan juga kesan seperti mengambil heroin daripada daun ketum hanya boleh bertahan di dalam badan mereka yang mengambilnya sehingga tiga atau empat jam sahaja. Ini menyebabkan para penagih heroin terpaksa mengambil rebusan daun ketum secara kerap sehingga mereka tidak boleh tidur lebih daripada empat jam. Kesan gian tersebut sebenarnya bukanlah tindak balas daripada daun ketum tetapi disebabkan kesan pengambilan heroin sebelum itu. Keadaan ini menyebabkan penagih heroin mula bertukar kepada ketagihan daun ketum. Malangnya dilaporkan kuasa daun ketum tidaklah sehebat heroin sebenar. Golongan penagih biasanya menggunakan daun ketum dalam bilangan yang banyak iaitu 8 hingga 10 botol sehari bagi mengurangkan rasa gian kepada heroin. Bagi golongan bukan penagih pula selalunya mereka memerlukan sebanyak satu tin minuman ringan rebusan daun ketum untuk mengekalkan tenaga ketika bekerja sepanjang hari. Golongan bukan penagih tidak akan merasai kesan gian malah boleh berhenti meminum air ketum pada bila-bila masa. Pengambilan rebusan daun ketum yang berterusan boleh mendatangkan beberapa kesan buruk. Pihak berkuasa akan terus membenteras penyalahgunaan daun ketum berterusan (Sila lihat foto disebelah). Ia memerlukan kerjasama semua pihak dalam isu mengawal masaalah ini.

Mereka yang mengambil air daun ketum dan meminumnya dengan banyak akan mendatangkan kesan kesihatan. Memang mudah minum air ketum dengan meneguk terus dalam mulut (Sila lihat foto disebelah). laporan klinikal menyatakan antara kesan negatif minum air ketum adaalah kulit menjadi gelap, tubuh menjadi kurus kering, kurang tidur, mata merah dan menjadi panas baran. Dari segi kelakuan dan sifat didapati keadaan tersebut dilihat sama seperti yang dialami oleh penagih heroin. Pengambilan rebusan daun ketum secara kerap selama tiga bulan juga boleh mendatangkan masalah buah pinggang dan hati. Dilaporkan juga penagih juga sering berasa loya dan menghidapi gastrik yang serius. Keadaan ini jauh lebih teruk daripada menagih heroin. Didapati juga penagih heroin yang cuba menggantikan heroin dengan daun ketum akan kembali kepada heroin selepas dua atau tiga bulan kerana kesan ketagihannya semakin teruk. Bagaimana pun dilaporkan adalah belum ada pihak tertentu (Pusat Pemulihan Dadah) menerima atau merawat individu yang ketagih daun ketum. Apa yang dinyatakan adalah dimana rebusan daun ketum tidak akan memberikan kesan khayal kepada seseorang penagih. Sebaliknya dilaporkan oleh saintis pengambilannya hanya dapat mengurangkan rasa gian jauh sekali membantu penagih daripada berhenti menagih. Berbanding daun ketum didapati pengambilan heroin boleh membuatkan seseorang penagih bertahan lebih lama sebelum berasa gian semula. Daun ketum hanya boleh bertahan selama empat jam pada satu masa walaupun bahan tersebut diambil sebanyak mana. Disebabkan tindak balas yang kurang berkesan itu, maka daun ketum tidak popular sebagai dadah utama. Semuga artikel dari akhbar tempatan yang ditulis semula ini dapat beri info tambahan kepada pembaca. Wasallam!.
DAUN KETUM... DITANAM DIMANA...
TUMBUH SENDIRI...HUTAN BERADA...
AIR REBUSANNYA... GIAN JADINYA..'
BACA ARTIKEL... INFO DITERIMA....

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Room 324, TH Convention Hotel,
Kelapa Batas, Alor Setar,
Kedah, Malaysia.
(23 Syaaban 1437H)

Sunday, May 29, 2016

PENGESYORAN VARIETI TUMBUHAN

Pendaftaran dan Pengesyoran Varieti Tumbuhan bagi tumbuhan adalah bertujuan untuk mendaftar kepelbagaian varieti yang komersil di Malaysia dilaksanakan oleh Jabatan Pertanian Malaysia (DOA). Varieti-varieti tumbuhan ini tidak dilindungi sebagai varieti baru kerana ia adalah varieti-varieti yang diketahui umum (common knowledge). Aktiviti dan proses Pendaftaran ini telah dilaksanakan oleh Bahagian Komoditi, Jabatan Pertanian sejak tahun 1930'an dan kini dipanggil Bahagian Hortikultur selepas penstrukturan semula Jabatan Pertanian pada tahun 2003. Melalui Mesyuarat Jawatankuasa Perancang dan Dasar Kementerian Pertanian Bil. 5/94 (JPPKPBil5/94) yang bersidang pada 13 Julai 1994, mesyuarat telah memutuskan bahawa Jabatan Pertanian diiktiraf oleh Kementerian Pertanian sebagai agensi pelaksana aktiviti pendaftaran dan pengesyoran kultivar dan varieti. Walau bagaimanapun, aktiviti ini tertangguh seketika berikutan penstrukturan semula jabatan dan penyediaan Akta Perlindungan Varieti Baru Tumbuhan 2004. Berikutan desakan dari petani bagi mendaftarkan varieti mereka, Jabatan Pertanian mengambil keputusan agar aktiviti Pendaftaran Varieti Tumbuhan Bagi Pendaftaran Varieti Kebangsaan dilaksanakan. Oleh yang demikian, pihak Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani telah mengarahkan supaya Jawatankuasa Pendaftaran dan Pengesyoran Kultivar Tanaman Jabatan Pertanian (JPKTJP) diaktifkan semula bagi membolehkan Jabatan Pertanian dapat memainkan peranan dalam perkara-perkara berkaitan dengan pendaftaran dan pengesyoran kultivar atau varieti tanaman. Sehubungan dengan itu, aktiviti ini dipertanggung jawabkan kepada Bahagian Kawalan Kualiti Tanaman, Seksyen Pendaftaran Perlindungan Varieti Tumbuhan (PVP), Seksyen 4(1)(g), Akta Perlindungan Varieti Baru Tumbuhan 2004 menyatakan bahawa penyimpanan rekod, selain daripada varieti baru yang diberi perlindungan, juga perlu dijalankan. Objektif Pendaftaran Varieti Kebangsaan adalah seperti untuk (a) merekod inventori sumber genetik yang terdapat di dalam negara; (b) memberi pengiktirafan kepada pemilik varieti; (c) sebagai rujukan rasmi negara dan pengenalpastian varieti; dan (d) sebagai sumber asas varieti. Skop Pendaftaran ini terbuka untuk semua komoditi tanaman di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani seperti buah-buahan; sayur-sayuran; tanaman kontan; tanaman bijirin; tanaman industri (kelapa, kopi, teh dan sebagainya); herba dan tanaman ubatan; cendawan; dan juga tanaman bunga dan hiasan. Artikel malam ini saya tulis semula dan paparkan dalam "Anim Agro Technology" laporan akhbar tempatan yang bertajuk 'DOA agensi yang melaksana pengesyoran varieti tumbuhan' untuk tujuan mengukuhkan aktiviti ini.

Aktiviti pengesyoran tanaman oleh Jabatan Pertanian telah membuka ruang dan peluang kepada petani menceburi bidang perniagaan. Pada tahun 1994, Jabatan Pertanian (DOA) telah merangka Akta Perlindungan Varieti Baru Tumbuhan dan dikuatkuasakan selepas pewartaan pada tahun 2008. Di bawah akta itu, pembiak baka akan mendapat hak dengan pengiktirafan dan perlindungan di atas sumbangan yang telah dilakukan. Tindakan itu seterusnya dapat merangsang petani, masyarakat terutamanya peribumi untuk terus meningkatkan pelaburan dalam pembangunan varieti baharu. Sehingga kini, sebanyak 66 varieti baharu tumbuhan telah didaftarkan. DOA telah diiktiraf sebagai agensi pelaksanaan pendaftaran dan pengesyoran varieti tumbuhan. Aktiviti pendaftaran itu telah dimulakan sejak tahun 1930-an bagi memastikan semua jenis tumbuhan direkod dengan baik dan dinilai sebelum sesuatu varieti tersebut disyorkan. Tujuan pendaftaran itu ialah merekod inventori sumber genetik yang terdapat dalam negara, mengiktiraf pemilik varieti, sebagai rujukan rasmi negara dan pengenal pasti varieti serta sebagai sumber asas.

'Musang King' merupakan satu nama yang semakin disebut-sebut dikalangan peminat durian. Durian ini telah dipromosikan untuk pasaran eksport terutama ke China kerana kualitinya yang memenuhi untuk pasaran eksport dan juga pasaan domestik. DURIAN Varieti Raja Kunyit (Durio ziberthinus Linn.) atau juga dipanggil Durian 'Musang King' telah didaftarkan dengan daftar D197 dalam senarai pendaftaran varieti tanaman Jabatan Pertanian. Durian ini merupakan varieti yang sangat popular dengan banyak di tanam di kawasan Kelantan, Pahang (Daerah Raub), Johor dan juga Perak. Varieti ini telah didaftarkan oleh Encik Wee Chong Beng dari Tanah Merah , Kelantan pada 9 Disember 1993. Semasa didaftarkan nama varieti asal durian ini adalah 'Raja Kunyit' berdasarkan pencirian durian ini yang berbentuk bulat bujur, kulit berwarna hijau muda, isi berwarna sangat kuning, isi tebal, rasa lemak, sangat manis dan sedikit rasa pahit. Masyarakat biasa atau orang tempatan di Malaysia lebih kenal varieti ini dengan panggilan Klon D197. Durian ini mendapat permintaan yang tinggi dilakangan petani untuk penanaman semenjak didaftarkan dan merupakan varieti durian yang popular. Pada masa ini kawasan di Bentong , Pahang merupakan kawasan pengeluaran utama durian ini dengan jenama 'Durian Musang King'. Harga durian ini merupakan antara varieti yang paling mahal dan stabil sepanjang tahun. Penulis dapati pada purata harga runcit durian Musang King adalah tinggi diantara RM 15.00 - RM40.00 sekilogram yang dijual digerai tepi jalan sekitar Raub dan Bentong. Berbanding dengan durian D24 dan D168 purata harga varieti durian tersebut adalah sekitar RM2.50 - RM5.00 sekilogram sahaja. 

Durian Munthong di Bangkok
Semua varieti yang didaftarkan kini direkod di dalam Buku Senarai Varieti Tanaman yang Didaftarkan oleh Jabatan Pertanian Malaysia. Pada masa in itelah banyak varieti yang telah didaftarkan dan beberapa varieti buah-buahan serta tanaman jangkapendek termasuk sayuran telah disyorkan. Proses pendaftaran varieti tumbuhan ini menggunakan borang DK-1 dengan percuma. Pemohon hanya perlu mengisikan borang tersebut dan dihantar kepada Jabatan Pertanian Putrajaya. Borang ini mudah didownload daripada website Jabatan Pertanian. Pegawai Teknikal dan Penyiasat akan mendaftarkan permohonan dan membuat siasatan selanjutnya. Apabila permohonan pendaftaran varieti biasa (common knowledge) diluluskan maka nombor pendaftaran varieti akan berikan bersama sijil perakuan pendaftaran. Bagi varieti yang didaftar dibawah Akta PVP 2004 akan diproses mengikut peraturan. Pengesyoran Varieti tanaman juga merupakan satu aktiviti berfungsi mengenal pasti varieti yang mempunyai sesuatu kelebihan dan berpotensi untuk ditanam secara komersial. Varieti bernilai komersial haruslah telah mempunyai keistimewaan seperti cita rasa baik, pengeluaran hasil tinggi, diterima baik oleh pengguna serta berdaya maju. Sebelum mengesyorkan sesuatu tanaman, kajian kes bagi sesuatu varieti perlu dilakukan mengikut kriteria-kriteria penilaian yang telah ditentukan oleh DOA. Penilaian untuk tujuan Pengesyoran dilaksanakan melalui kajian kes, berdasarkan data-data primer dan sekunder yang diperoleh daripada kebun pemilik varieti, verifikasi rekod dan maklumat yang disediakan oleh pembiak, petak ujian verifikasi tempatan (LVT) yang dijalankan oleh Jabatan Pertanian atau agensi penyelidikan. Penilaian dibuat berdasarkan kepada data-data dan maklum balas yang telah diperoleh daripada LVT yang dijalankan di pelbagai lokasi yang ditetapkan serta ladang komersial yang sedia ada. Penilaian dan kelulusan akan dibentangkan di dalam Jawatankuasa Teknikal Pengesyoran Varieti Tanaman dan seterusnya dihebahkan di laman web DOA. Sehingga kini sebanyak 47 varieti buah-buahan daripada 12 jenis yang disyorkan. Semuga anda faham akan tulisan ini. Wasallam!.
Mr Jason yang mendaftar Jambu Air E6
DAFTAR VARIETI ....PROSES BIASA....
JABATAN PERTANIAN... IA PERCUMA...
KENALPASTI ... CIRI VARIETI APA....
BACA ARTIKEL... RASA NAK CUBA...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Pusat DUS Nasional, Serdang,
Selangor, Malaysia.
(26 RabiulAwal 1437H)
Jason

Saturday, May 28, 2016

FERTIGASI GANTUNG - KESAN RIBUT

FERTIGASI GANTUNG merupakan satu daripada amalan teknologi yang semakin popular diamalkan oleh petani di Malaysia terutama di Negeri Pahang. Teknologi ini pada asasnya dilakukan untuk kawasan berisiko banjir dan juga dikawasan yang sering dilanda musim tengkujuh. Sistem ini dilakukan dengan mengisi polibeg dengan media tanaman (terutama media jenis cocopeat) dan akan digantung dengan ketinggian sekitar 1 meter daripada paras tanah. Cara untuk gantung pula menggunakan para yang melibatkan dawai dan tiang kayu. Beberapa rekabentuk untuk membuat fertigasi gantung ini disesuaikan dengan kos, lokasi dan kemahiran petani dan jenis tanaman. Teknologi ini membolehkan petani menanam beberapa jenis sayuran seperti Timun (Cucumis sativus), Petola, Peria, Terung (Solanum melongena), Cili (Capsicum annum) dan beberapa lagi. Berat setiap polibeg dengan media tanaman, pokok dan hasilnya mencecah 5-8 kg sepokok pada pokok dewasa yang lebat hasilnya terutama pokok terung dan timun. Rekabentuk tiang yang kukuh amat penting disediakan agar struktur fertigasi gantung ini tahan lasak dan tanah lama. Lazimnya tiang kayu utama berukuran 4"x4"x10' dipasang disokong dengan kayu tiang tengah berukuran 2"x4"x10' dengan disokong oleh dawai bersaiz kasar. Dalam keadaan cuaca biasa lazimnya struktur ini tahan sehingga beberapa tahun. Bagaimana pun adalah ia tidak berisiko untuk tumbang atau musnah jika kena ribut?. Ini merupakan salah satu risiko yang akan dialami oleh petani yang menjalankan penanaman sayuran secara fertigasi gantung. Mereka akan kerigian besar jika struktur fertigasi gantung ini tumbang serta musnah kerana kos menyediakan fertigasi gantung ini sekitar RM20,000 seekar (0.4 hektar). Artikel subuh ini dalam "Anim Agro Technology" saya menulis mengenai kesan ribut terhadap petani yang mengalami kerigian besar akibat kesan ribut kencang terhadap projek tanaman sayur menggunakan teknologi fertigasi gantung di Daerah Bera, Pahang.


Cuaca di Malaysia dan seluruh dunia kini semakin tidak menentu dengan keadaa kemarau teruk dan banjir yang mampu memusnahkan tanaman dan sebagainya. Kini perubahan cuaca dan pemanasan suhu global (Global warming) semakin mengancam semua sektor terutama sektor pertanian yang membekalkan makanan. Kini ramai telah faham dan pandan menyebut akan kesan El-Nino dan La-Nina  yang berlaku diseluruh dunia dan negara kita Malaysia semasa artikel ini ditulis masih mengalami kemarau panjang selama 4 bulan dan suhu tinggi sehingga 39 celcius. Dibeberapa lokasi lain pula berlaku ribut petir dan angin kencang serta hujan rubut pada waktu petang yang juga akibatkan banjir kilat. Petani masih bingung dengan senario ini kerana cuaca panas dan kemarau panjang disambung dengan ribut dan angin kencang dibeberapa tempat sehingga menjejaskan program jadual penanaman mereka. Mereka cuba menjadualkan sistem tanaman konvensional, penanaman fertigasi dan sebagainya dengan cuaca dan harga sayuran dipasaran. Teknologi fertigasi seperti fertigasi gantung ini merupakan teknologi yang sesuai dilakukan kerana ia memerlukan air yang sedikit dan praktikal.


Kesan kering kini berhadapan dengan senario lain iaitu kejadian ribut dan tiupan angin yang kencang. Kawasan penanaman fertigasi gantung lazimnya adalah kawasan lapang yang terdedah kepada tiupan angin ribut. Beban berat yang terdiri daripada polibeg mengandungi media dan buah serta daun yang basah kerana kena hujan berganda beratnya. Akibatnya ada dawai pengikat tiang yang tercabut atau terputus dan ini menyebabkan seluruh sistem para fertigasi gantung tidak stabil dan tumbang (Sila lihat foto disebelah). Kejadian struktur fertigasi gantung tumbang ini selalunya berangkai dimana ia akan terus menjejaskan keseluruhan atau sebahagian besar struktur yang dibina tumbang. Kerugian yang dialami oleh petani amat teruk kerana pokok dalam polibeg akan musnah dan terpaksa mengeluarkan kos banyak untuk memperbaikinya. Dalam tinjauan yang di lakukan di 3 lokasi di Pahang mendapati petani yang baru menuai 5 kali mengeluh kerana bencana ini memusnahkan tanamannya. Ini merupakan antara risiko yang perlu dihadapi petani yang menanam sayuran dengan sistem fertigasi gantung. 


Pengalaman ini menyebabkan petani yang menanam fertigasi gantung mesti memeriksa akan struktur yang dibina mengikut jadual. Jika ada beberapa tiang kayu yang reput atau tidak mampu menampong berat masa ia perlu di kukuhkan atau diganti dengan baru. Kesan ribut ini memang tidak boleh dijangka bila boleh berlaku. Walau pun begitu apa aspek yang penting dalam memilih lokasi untuk fertigasi gantung adalah lokasi yang tidak mudah dengan tiupan angin kencang dan pemasangan sistem struktur yang kukuh. Segala kelebihan daripada teknologi fertigasi gantung yang dipaparkan akan musnah jika struktur roboh. Dalam kes lain penulis tertarik dengan fertigasi tanaman cili menggunakan 3 pokokm dalam satu polibeg (Sila lihat foto disebelah). Cara ini dilakukan oleh penanam cili yang mahukan hasil lebih cepat, lebih banyak dan berkualiti. Penanaman cili secara fertigasi gantung bertingkat juga dilakukan oleh petani di TKPM Inderapura, Kuantan, Pahang sebagai satu inovasi dalam menggalakkan tanaman ini. Kesan ribut terhadap sistem tanaman fertigasi gantung perlu di ambilkira semasa pemasangan struktur di peringkat awal. Wasallam!.

FERTIGASI GANTUNG... CARA BARU...
POLIBEG DIGANTUNG... BERAT TU...
JIKA KENA RIBUT... ROSAK TERHARU..
PERLU DITELITI... AWALNYA DAHULU...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Taman Mesra, Raub,
Pahang, Malaysia.
(11 Syaaban 1437H)

Friday, May 27, 2016

TANAM BELIMBING BULOH MONOKROP

BELIMBING BULUH (Averrhoa bilimbi) merupakan sejenis tanaman dalam kategori buah nadir dimana kini telah ada petani yang menanam pokok tersebut secara monokrop. Monokrop adalah menanam sejenis tanaman dalam satu kawasan berbanding dengan 'Mixed crop' iaitu menanam secara bercampur beberapa jenis tanaman dalam satu kawasan. Tanaman dari keluarga Oxalidaceae ini merupakan tumbuhan yang natif di Malaysia dan Indonesia tetapi ia juga banyak tumbuh di negara Asean lain dan kawasan tropika. Belimbing buluh ini ada kalanya dipanggil sebagai 'Belimbing Asam' dimana memang sesuai dengan buahnya yang selalunya memang masam. Buah belimbing berbentuk kecil dan seakan berbentuk empat segi panjang dimana ia jarang dimakan segar kerana rasanya terlalu masam. Buah yang hampir masak biasanya digunakan sebagai penyedap rasa dan sebagai ramuan sambal yang menjadi pencecah untuk sayuran tradisional. Pada penulis juga saya sering gunakan belimbing buluh dalam masakan seperti untuk masakkan ikan kari asam pedas dan udang lemak kuning. Dilaporkan iaitu buah belimbing buluh dapat menghilangkan rasa hanyir terutamanya ikan-ikan darat (ikan air tawar) dimana ia sering digunakan untuk masakan orang Melayu dan orang Cina. Dalam kes lain, tanaman belimbing buloh jika diekstrak ia hasilkan cecair yang mengandungi bahan metanol dari bahagian daun pokok ini. Bahan ekstrak ini juga mempunyai sifat antibakteria terhadap Pseudomonas aeruginosa dan Staphylococcus aureus serta sedikit kesan terhadap Bacillus subtilis . Bagaimanapun laporan mendapati ekstrak itu juga langsung tidak berkesan terhadap bakteria lain seperti Staphylococcus aureus, Bacillus subtilis, Escherichia coli, Pseudomonas aeruginosa dan Klebsiella pneumonia. Sebaliknya bahagian pokok ini peka terhadap bakteria-bakteria ini. Ini merupakan satu potensi dalam perubatan yang perlu dibuat kajian lanjut. Artikel subuh ini saya menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai beberapa khasiat belimbing buluh dan usaha penanaman belimbing buluh secara monokrop hasil tinjauan penulis dikebun dan daripada beberapa bahan rujukkan untuk pembaca semua.


Menegenai penggunaanya, belimbing buluh sering juga digunakan dalam perubatan tradisi moden. Dalam kes perubatan Melayu dulu memang tidak kenal penyakit moden seperti kencing manis atau darah tinggi. Oleh itu ada beberapa petua yang diamalkan dan tidak berdasarkan mana-mana kajian moden melainkan hanya amalan tradisi dan tidak ditulis akan tahap klinikal atau keberkesanannya. Buah belimbing buluh segar amat mudah dihasilkan jika pokok dijaga dengan baik. Buah matang yang berwarna hijau (Sila lihat foto disebelah) juga sesuai diprses menjadi jus. Jus buah ini dikatakan sebagai amat berkesan untuk melegakan penyakit darah tinggi, kencing manis dan pitam. Bagaimana pun penulis dapati tidak banyak testimoni yang dinyatakan mengenai perkara ini. Selain itu ia juga ia berkesan untuk melicinkan kulit muka serta mengatasi masalah jerawat dan merawat sakit gigi. Bagi mereka yang menghidapi batuk yang berterusan, adalah dinasihatkan agar anda merebus buah ini dan minum air rebusan ini setiap pagi dan petang. Buah belimbing ini adalah berbentuk kecil dengan bentuk bulat selinder atau seakan bersegi panjang dengan warna hijau muda ketika muda kemudian sedikit kekuningan apabila telah matang. Pada masa ini tidak ada maklumat keluasan tanaman ini dilaporkan di Malaysia tetapi penulis mampu menganggarkan sekitar 15-20 hektar CHE. Buah Belimbing ini jarang dimakan segar kerana rasanya terlalu masam menyebabkan ia sesuai untuk dijadikan bahan masakan atau diproses menjadi produk lain. Buah yang hampir masak biasanya digunakan sebagai penyedap rasa masakan dan sebagai ramuan sambal yang menjadi pencecah untuk sayuran tradisional seperti Sambal Hitam Belimbing Buluh yang terkenal di Pahang (Sila klik disini). Belimbing buluh juga digunakan sebagai ramuan masakan seperti masakan ikan kari asam pedas dan udang lemak kuning. Buah belimbing buluh dapat menghilangkan rasa hanyir terutamanya untuk masakan dengan jenis ikan darat (ikan air tawar) seperti ikan baung, ikan patin, ikan keli dan sebagainya. Resepi masakan ikan patin merupakan satu hidangan yang poplar di Pahang yang dimasak dengan belimbing buluh. Penulis sendiri memang suka makan nasi dengan ikan patin di Temerloh yang enak dan lazat suka dengan masakan ini. Masakan istimewa ikan patin dengan belimbing buluh ini juga memang disukai oleh semua kaum di Malaysia dan harga jualan juga mengikut kemampuan. Buah belimbing buluh juga sering digunakan untuk beberapa jenis masakan orang Melayu dan orang Cina mengikut kesesuaian resepi. Bekalan belimbing buloh ini memang mudah didapati dipasar malam atau pasar tani dan ia selalunya ditanam sebagai tanaman keliling rumah sahaja. Terdapat beberapa petani di Negeri Pahang, Selangor dan Johor yang ada juga mengusahakan tanaman belimbing buluh secara monokrop dan komersil untuk jualan. Uniknya pokok ini mampu untuk berbuah sepanjang tahun dan kurang diserang penyakit.


Penanaman belimbing buloh secara monokrop amat jarang dilakukan petani. Ini kerana jika hasilnya banyak dilaporkan agak sukar untuk dijual dipasaran kerana permintaan dari pengguna tidak banyak seperti buah-buahan komersil lain. Rasa buahnya yang masam seperti dinyatakan dalam para diatas tidak mempunyai nilai pasaran yang tinggi dan hanya ditanam untuk kegunaan sendiri sahaja. Memadai dengan setiap rumah menanam sepokok belimbing buluh tetapi boleh digunakan oleh ramai penduduk kampong. Apa pun penulis telah melawat beberapa lokasi di Daerah Lipis, Jerantut dan Raub di Pahang yang mana ada petani yang menanam pokok belimbing buloh secara monokrop (Sila lihat foto disebelah). Mereka dapat galakkan daripada Jabatan Pertanian dan menanam belimbing buluh cara monokrop kerana ada permintaan dikalangan usahawan membuat 'Sambal Hitam' iaitu satu produk khusus Negeri Pahang. Mereka menggunakan benih yang disemai daripada biji dimana buah untuk dijadikan benih ini diambil daripada pokok dewasa yang banyak hasilnya. Benih yang berumur antara 3-4 bulan sesuai ditanam dengan jarak tanaman 3mx3m atau 2.5m x 3m bergantung kepada keadaan kawasan. Pokok ini dijaga dengan baik dengan membaja, memberi bekalan air (peringkat awal penanaman sehingga pokok matang) dan dikawal musuh dan serangan penyakit (jika ada). Penggunaan baja organik mampu menambah kesuburan tanaman ini. Penulis syorkan agar mereka menggabungkan penggunaan baja NPK dan Baja Fish Meal untuk meningkatkan produktiviti. Lazimnya pokok belimbing buluh akan berbuah setelah 1.5 - 2 tahun selepas ditanam atau lebih cepat jika dijaga dengan baik. 


Pokok belimbing buluh mampu berbunga sepanjang tahun tetapi ada masa puncak. Bunganya akan terbit daripada bahagian batang dan dahan secara berjambak dengan kelopaknya berwarna kemerahan (Sila anda lihat foto disebelah). Bunga ini akan menjalankan proses pendebungaan yang dibantu oleh serangga dan angin. Satu jambak bunga akan mengeluarkan banyak bunga dimana ia akan gugur sendiri jika berlaku kekurangan air atau unsur nutrien seperti apa yang penulis lihat di Kg Lubuk Kulit, Lipis, Pahang baru-baru ini. Cuaca panas terik dan suhu tinggi mencecah 38 Celcius menyebabkan hampir 50% bunga belimbing buluh gugur dan daun pada pucuk belimbing buluh ada kesan terbakar (scorching). Menurut petani yang penulis temubual mereka menyatakan panas tahun 2016 ini amat berbeza dan kesannya teruk terhadap tanaman belimbing buluh yang telah berumur 1-3 tahun ini. Walau pun tidak ada sistem pengairan titis dipasang tetapi petani ini menyiram secara manual walau pun kolam takungan air amat kurang untuk semua pokok. Buah yang dipetik dijual kepada pembeli dengan harga antara RM0.80 - RM1.20 sekilogram dimana ia juga bergantung kepada musim dan kuantiti. Petani ini juga masih berharap jika harga sekitar RM2.50 keatas sekilogram ianya boleh memberikan pendapatan yang lebih dan menguntungkan. Penulis dapati potensi tanaman belimbing buloh ini amat baik dengan sistem ladang kontrak dan ada jaminan pasaran. Diharap tulisan kali ini memberi info bernilai kepada pembaca semua. Wasallam!


BELIMBING BULUH... MASAM RASANYA...
DITANAM MONOKROP...PETANI USAHA...
MUSIM PANAS...DISIRAM SENTIASA ...
JARANG DIBUAT... PERLU DICUBA...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Kebun Belimbing Buluh,
Kg Lubuk Kulit, Lipis,
Pahang, Malaysia.
(14 Syaaban 1437H)

Thursday, May 26, 2016

NFT (NUTRIENT FILM TECHNIC) - APA DIA?

Nutrient Film Technique (NFT) merupakan salah satu cara dalam sistem tanaman Hidroponik yang diperkenalkan buat pertama kali oleh Dr. A.J Cooper di Glasshouse Crops Research Institute, Littlehampton, England sekitar akhir tahun 1960-an dan teknologi ini terus berkembang pada awal 1970-an secara komersial. Konsep asas teknologi NFT ini adalah suatu kaedah dimana tanaman yang mempunyai akar tanaman tumbuh pada lapisan air baja yang tipis (dangkal) dan sentiasa mengalir sehingga tanaman dapat memperolehi cukup air, baja tanaman dan oksigen. Ia direkabentuk sebegitu rupa daripada unit yang paling kecil dan mudah-alih (Sila lihat foto diatas) sehingga kepada keluasan yang besar untuk pengeluaran hasil secara komersil. Di negara kita iaitu Malaysia khususnya kawasan pertanian disekitar tanah tinggi seperti Cameroon Highland, penulis dapati teknologi NFT ini sudah menjadi satu kelaziman bagi pengusaha sayuran jenis berdaun bernilai tinggi seperti tomato, salad, cili benggala dan sebagainya. Walau pun kos asas penggunaan teknologi NFT ini agak tinggi dan memerlukan kemahiran tinggi, namun pulangan yang tinggi dan cepat menyebabkan ia telah dipilih sebagai satu kaedah penanaman sayuran yang semakin popular di Cameroon Highlands. Dalam menilai dan membuat pemerhatian mengenai teknologi ini, penulis dapati dimana tanaman akan tumbuh dalam lapisan styrofoam putih dengan akar tanaman terendam dalam air yang berisi larutan baja yang sentiasa mengalir secara terus menerus dengan tekanan daripasa pam air. Lazimnya kawasan perakaran n terus menyerap makanan untuk proses tumbesaran. Ia mampu tumbuh secara normal dengan mempastikan air dan larutan baja akan terus mengalir. Tanaman akan cepat dituai dan kurang serangan serangga perosak jika ia ditanam dalam Struktur Pelindung Hujan dan Kalis Serangga. Artikel malam ini saya menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai teknologi NFT sebagai satu sumber ilmu untuk rujukkan anda semua.


Teknologi NFT ini merupakan teknologi alternatif yang boleh di laksanakan untuk beberapa jenis tanaman tertentu terutamanya jenis sayur-sayuran. Diantara beberapa kelebihan penggunaan Teknologi NFT seperti memudahkan pertumbuhan zon akar tanaman, keperluan makanan dan air dapat terpenuhi dengan baik dan mudah, keseragaman sumber nutrien dan pemberian nutrien mengikut kadar keekatan seperti yang diperlukan oleh tumbuhan. Kadar baja ini boleh disesuaikan dengan umur dan jenis tanaman ikut jadua pembajaan yang khusus. Teknologi ini membolehkan untuk penanaman dapat diusahakan beberapa kali dengan jangkamasa penanaman tanam yang pendek. Ia juga amat sesuai untuk menjalankan kajian atau penyelidikkan mengenai pembajaan, varieti dan amalan penanaman kerana kadar pembajaan dan persekitaran boleh dikawal (Controlled factor). Ini membolehkan pelbagai kombinasi amalan agronomi boleh dijalankan dengan kawalan (control) dimana ia memungkinkan untuk meningkatkan produktiviti. Ia juga sesuai dengan konsep penanaman Sistem Padat (High Density). Kualiti hasil boleh ditingkatkan dengan ujudnya kawalan dari peringkat awal penanaman. Namun NFT juga mempunyai beberapa kelemahan seperti kos pelaburan awal yang tinggi dan ilmu kemahiran tinggi oleh pengusahanya. Teknologi ini juga sangat bergantung kepada bekalan tenaga ELETRIK dimana kegagalan bekalan letrik dalam tempoh tertentu mampu merencatkan pertumbuhan tanaman malahan menyebabkan kematian jika tidak di pulihkan segera. Antara kelemahan lain adalah apabila berlaku infestasi serangan penyakit yang menyerang tanaman ianya akan mudah berjangkit jika tidak dikawal sejak awal lagi.


Dalam Sistem NFTbeberapa keperluan asas sistem ini adalah seperti Struktur Palung, Tangki Air Baja dan Pam Air. Palung merupakan struktur untuk dialirkan air larutan baja didalamnya sama ada diperbuat daripada plastik, logam, styrofoam atau bahan lain yang kini banyak dijual dipasaran. Kedai-kedai pertanian yang menjual kelengkapan untuk Rumah Hijau (Green House) atau Rumah Struktur Pelindung Hujan (SPH) memang ada menjual kelengkapan palong ini. Palung uang biasa digunakan di Malaysia jhususnya di Cameroon Highland lazimnya daripada jenis plastik. Jenis palung yang standard dijual dipasaran lazimnya berukuran  4 meter panjang dan 13-17 cm lebar. Tangki simpanan Air dan Air Baja lazimnya dijual dipasaran sama sepertii tangki air domestik sama ada diperbuat daripada Fiberglass, Plastik atau Polyethylene. Ia mempunyai pelbagai saiz mengikut kegunaan air dan jumlah tanaman yang diusahakan. Jika saiz tangki kecil boleh dipasang beberapa buah yang boleh disambungkan. Tangki Air ini perlu diletakkan di tempat yang tinggi untuk tujuan memberikan tekanan baik kepada sistem pam air. Pastikan saiz dan kedudukan tangki air memudahkan kerja-kerja membancuh larutan baja dan mempunyai bekalan eletrik. Asingkan antara tangki menyimpan air bersih dengan tangki menyimpan larutan baja. Seterusnya adal Pam Air yang akan menghantar air larutn baja kepada palung tanaman yang disusun sendeng (Aliran air dari bahagian Tinggi kepada Bahagian Rendah) dengan kadar kecerunan palung diantara 1-5 Darjah. Elakkan daripada mengalirkan larutan air terlelu CEPAT kerana ia merugikan tenaga dan kurang effisien. Sebaiknya aliran air dikawal dengan kiraan 0.3-0.75 Liter/minit untuk tahap kecekapan serapan air baja optima bagi akar tanaman.


Sistem NFT merupakan sistem hidroponik sederhana yang bekerja mengalirkan air, oksigen dan larutan baja secara terus-menerus dengan ketebalan arus air 2-3 mm. Tanaman diatur dengan sedemikian rupa untuk membolehkan bahagian akar tanaman menyentuh larutan air baja yang diberikan. Kedudukan palung yang senget (slunting) atau dibuat miring dengan salah satu sisi lebih tinggi dari sisi lainnya iaitu sekitar maksima 5% dari panjang alir berarus dapat mengalir dengan lancar (Sila lihat foto disebelah). Perlu diingat bahawa air dan larutan baja yang diberikan tidak akan terbuang terus disebabkan aliran air ini akan masuk semula kedalam tangki simpanan melalui sistem pam kitar semula. Ia akan berpusing beberapa kali sehingga simpanan air baja kurang dan perlu ditambah semula. Semuga artikel ini memberi info berguna kepada pembaca semua. Sila dapatkan khdmat nasihat dari Jabatan Pertanian untuk mendapatkan info lanjutan atau menghadiri kursus mengenai teknologi ini. Wasallam!...
 

TEKNOLOGI NFT... CARA TERKINI...

BAGAIMANA PUN...KOS AWAL TINGGI...
BANYAK FAEDAH... PRODUK KUALITI...
BACA ARTIKEL... TIDAK CULUP LAGI...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Tingkat 13, Desaminium Flora,
Seri Kembangan, Selangor,
Malaysia.
(16 RabiulAkhir 1437H)

Wednesday, May 25, 2016

SATE IKAN - PRODUK POPULAR

SATE IKAN (LockChing) merupakan satu produk industri asas tani yang berasaskan ikan dan bahan-bahan lain yang dikategorikan sebagai mananan ringan (snack food). Kita di Malaysia lebih biasa dengan jenis sate daging (Selalunya Daging Lembu), Sate Ayam, Sate Perut, Sate Kambing dan kadang-kadang terdapat gerai yang sering menjual Sate Rusa. Bagaimana pun terdapat satu lagi jenis sate yang sangat popular di Segamat dan Tangkak, Johor iaitu Sate Kerang. Sate kerang merupakan sate yang dibuat daripada kerang dan penulis amat suka. Pada saya semua jenis sate yang saya disebutkan diatas adalah hampir sama teknik penyediaan, pembakaran dan juga cara memakanya. Sate ini akan disediakan dengan memotong daging, diperap dengan rempah kemudian dibakar dan dimakan dengan kuah sate. Kuah sate adalah kuah yang dibuat daripada ramuan terdiri daripada cili bor, kacang tanah, asam jawa, gula dan garam. Ini amat berbeza dengan sate ikan yang resepinya adalah berlainan dimana kuahnya juga adalah berlainan. Sate ikan bukan sahaja terdapat di Malaysia tetapi menjadi makanan yang dijual di Indonesia dan beberapa negara jiran lain sebagai makanan ringan yang agak popular. Di Malaysia sate ikan ada dijual diibukota atau lokasi yang ada banyak ikan. Bagaimana pun kini terdapat jenis sate ikan nipis yang komersil ada dijual dikedai-kedai makanan laut dimana ia sedia untuk dimakan terus dan mempunyai perasa manis atau pedas. Sate ikan jenis ini pada penulis adalah seperti Keropok Ikan sahaja yang disalut dengan perasa pedas manis. Artikel malam ini saya dapat sedikit masa untuk menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai sate ikan yang popular dijual dikawasan pantai yang banyak bahan asas ikan seperti di Kelantan, Johor Terengganu, Pahang, Sabah dan Sarawak.

Penyediaan sate ikan memerlukan sedikit ilmu asas memasak dan kemahiran. Antara beberapa bahan asas membuat sate ikan adalah isi ikan atau juga menggunakan bahan suremi ikan. Dalam saya mencari beberapa resepi dan membuat tinjauan dibeberapa usahawan sate ikan yang mudah membuat sate tersebut, akhirnya dapat apa yang dikatakan resepi Lokching Tradisional. Cara penyediaan sate ikan dengan menyediakan bahan asas iaitu bahan 500gm isi ikan selayang atau jenis sardin, 100gm tepung ubi kayu atau tepung kanji, 1 biji bawang besar, 1 sudu besar garam dan juga 1 sudu besar serbuk penaik. Kesemua bahan-bahan tersebut memang agak mudah diperolehi dan dibeli dikedai runcit kecuali ikan segar yang perlu dibeli dipasar basah. Cara untuk menyediakan bahan tersebut adalah dengan mengisar isi ikan bersama bawang besar sehingga adunan tersebut sebati. Kemudian ramuan ini perlu digaul bersama tepung ubi kayu dan garam serta serbuk penaik. Setelah adunan yang digaul itu betul-betul sebati kemudian kita hanya membuat pembentukan atau kepal atau bulat-bulatkan mengikut saiz yang dikehendakki. Kepalan ini disesuaikan dengan ia sesuai dicucuk pada lidi kelapa. Kemudian kepalan ini perlu dimasak atau dikukus dulu sehingga separuh masak. Ada juga sate ikan yang akan dibakar dahulu diatas bara arang sebelum dihidangkan. Ada dikalangan usahawan sate ikan yang menjual sate ikan secara pukal (menimbang atau mengikut bilangan) dan ada yang menyucuknya dengan batang lidi kelapa.

Sate ikan biasanya enak dimakan dengan mencampur sedikit kuahnya. Cara untuk membuat kuah sate ikan juga amat mudah dimana anda boleh membuatnya sendiri dirumah (Sila lihat foto disebelah). Ada pengusaha lain yang membuat kuah sate ikan dengan menggunakan bahan diperlukan iaitu 1 biji bawang putih (dibakar dulu kemudian ditumbuk bagi menaikkan bau), Cili kisar, Air, Gula Melaka (boleh juga guna gula tapi gula melaka lagi best) dan sedikit asam jawa. Bahan lain adalah sedikit garam, sedikit tepung jagung yang dibancuh dengan sedikit air (bertujuan untuk pekatkan sos) dan juga akhirnya bahan pewarna merah. Cara membuat kuah sate ikan adalah dengan membakar bawang putih dan kemudian ia ditumbuk. Seterusnya perlu dimasukkan semua bahan kecuali tepung jagung dan juga pewarna merah di dalam periuk untuk dipanaskan. Akhirnya kita masukkan tepung jagung yang sudah dibancuh hingga kuah menjadi sedikit pekat. Kuah sate ini boleh dituang keatas sate ikan atau pun sate tersebut dicelup dalam kuah tersebut. Apa pun tahap kepedasan dan manis kuah juga memainkan peranan penting terhadap keenakkan sate ikan yang dihidangkan.

Kalau anda berkunjung kepantai timur seperti di Kelantan dan Terengganu, lazimnya kita akan dapat melihat sate ikan dijual dibanyak lokasi. Ramai penjaja yang akan menolak gerai atau mempunyai gerai tetap menjual sate ikan terutama dikawasan yang ramai orang. Di kawasan sekitar bandar kita boleh lihat bagaimana sate ikan ini dijual dengan murah dan enak (Sila lihat foto disebelah). Tinjauan penulis mendapati harga jualan sate ikan amat murah iaitu sekitar RM0.30 satu cucuk atau dalam iklan ditulis RM1.50 untuk 5 cucuk sate ikan. Sate ikan mengandungi khasiat baik jenis iaitu mengandungi banyak bahan protin yang baik dan mampu untuk mencerdaskan otak kita. Makanan sate ikan ini memang enak dimakan semasa agak panas atau suam tetapi jika sejuk rasanya kurang enak sedikit. Produk sate ikan ini telah banyak kali dipromosikan oleh Jabatan Perikanan dan LKIM sebagai satu produk asas ikan yang menjana pendapatan kepada keluarga nelayan di Malaysia. Wasallam!.
SATE AYAM... LEMBU PUN ADA...
SATE KERANG...PERUT ENAKNYA...
SATE IKAN... KENAPA BERBEZA...
ISI IKAN.... MACAM KEROPOK SAJA...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Room ST241, Lead View Hotel,
Taman Samudera, Jalan Lumut, Manjung,
Lumut, Perak,
Malaysia.
(1 Muharam 1436H) 

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...