Support My Blog

Saturday, December 12, 2015

PERUBAHAN CUACA - KESAN KEPADA MAKANAN


PERUBAHAN IKLIM (Climate change) bukan saja memberi implikasi kepada peningkatan suhu purata dunia tetapi ia juga turut mempengaruhi jaminan bekalan makanan kepada pengguna. Penulis yang hadir 'Workshop on climate change - risilient to agriculture system' di University of Agriculture Faisalabad (UAF), Punjab, Pakistan pada awal Disember 2015 ingin membincangkan beberapa informasi mengenai hubung kait keselamatan dan kawalan makanan dengan perubahan iklim. Workshop dimulakan dengan menjelaskan mengenai apakah maksud perubahan iklim dan kesannya kepada alam sekitar oleh pembentang pertama Prof Dr Perker Kenan dari Turki. Beliau nyatakan definisi paling umum bagi perubahan iklim ialah perubahan dalam ciri statistik bagi sistem iklim dalam tempoh satu dekad atau lebih panjang, tanpa mengambil kira puncanya daripada manusia atau faktor lain. Pemanasan global (global warming) katanya bukan satu-satunya kesan perubahan iklim, tetapi turut membabitkan sistem ribut lebih kuat, peningkatan pemendakan, musim kemarau yang panjang dan berlaku proses peningkatan aras laut akibat pencairan lembar ais Greenland. Perubahan berkenaan akan seterusnya dapat mempengaruhi pengeluaran dan keselamatan makanan sesebuah negara. Dalam fasa berikutnya pembentang menyatakan apa yang dimaksudkan dengan keselamatan makanan dan kepentingan penyelidikan. Pada beliau apa yang dimaksudkan dengan keselamatan makanan merujuk kepada pengendalian, persediaan dan penyimpanan makanan untuk menghalang penyakit bawaan berpunca daripada mikroorganisma dan bahan kimia. Objektif utama kajian keselamatan makanan ialah bagi memastikan bekalan makanan yang selamat kepada pengguna. Sebagai contoh di kalangan negara APO (ada 20 negara yang bergabung) beberapa negara mempunyai penduduk yang ramai (India seramai 1.3 billion) dan China (1.2 billion) dimana keperluan makanan akan teus meningkat dengan pertambahan penduduk dikawasan Asia. Artikel malam ini saya menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai perubahan cuaca yang memberi kesan kepada bekalan makanan (food secuutity) dan kesediaan makanan (food availability).


Antara isu-isu yang dibentangkan dalam workshop adalah bagaimanakah perubahan iklim menjejas keselamatan bekalan makanan. Sebenarnya makanan boleh menjadi ejen penyebaran penyakit kepada pengguna apabila berfungsi sebagai medium pertumbuhan bakteria dan pembangunan bahan kimia bahaya yang mengakibatkan keracunan dan penyakit. Makanan boleh menjadi tidak selamat akibat kehadiran patogen seperti bakteria, kulat, parasit dan virus, bahan kimia berpunca daripada mikotoksin, antibiotik dan dadah veterinari serta zarah fizikal daripada sumber seperti kaca dan kepingan plastik. Perubahan iklim boleh menjejaskan secara langsung atau secara tidak langsung sifat, taburan dan kelaziman patogen serta pencemaran bahan kimia dalam bekalan makanan. Cara untuk mengatasi masalah ini diatasi dengan mengenalpasti akan keperluan pengawasan wabak untuk pengesanan awal penyakit makanan dan air yang baru muncul serta penyakit bawaan air tidak dapat dipertikaikan. Pengawasan ini dapat membantu kerajaan membuat tindakan segera dengan lebih berkesan ketika kecemasan. Sistem kesihatan awam mesti mampu bertindak cepat terhadap penyakit bawaan makanan baru muncul dan muncul semula. Meningkatkan komunikasi dan kerjasama dalam kalangan ahli profesional bidang ini sangat penting bagi mengesan, meramal, mengenali dan mengurangkan kesan perubahan iklim global kepada penyakit berjangkit, termasuk penyakit bawaan makanan. Amalan pertanian, penternakan, akuakultur dan veterinari yang baik juga memastikan keselamatan dan kualiti hasil tanaman, akuakultur serta ternakan. Mekanisme pertukaran data yang baik diperlukan pada peringkat kebangsaan dan antarabangsa bagi membolehkan amalan sedia ada disesuaikan atau diubah berikutan perubahan iklim. Aktiviti seperti penyelidikan saintifik penting bagi mempelajari kesan perubahan iklim terhadap keselamatan makanan dan cara mengurangkan kesannya.


Perkara penting yang sentiasa disebut oleh semua pembentang dalam workshop ini adalah isu bagaimanakah perubahan iklim akan mempengaruhi sekuriti makanan. Sebenarnya tanaman makanan bijirin seperti padi sangat sensitif kepada iklim dan bencana alam. Sejarah pasaran beras dunia bagi tempoh empat dekad lalu menunjukkan krisis harga sering berlaku apabila penawaran terganggu dimana ia kebanyakannya adalah disebabkan perubahan cuaca dan bencana alam. Penulis dimaklumkan diantara krisis bekalan beras serius dialami dunia ialah pada awal 1970-an apabila berlaku kemarau di Russia dan Amerika yang menjejaskan pengeluaran bijirin terutama gandum. Paling terkini adalah krisin bekalan makanan pada tahun 2008 dimana ianya menyebabkan harga makanan utama dunia meningkat mendadak daripada sebelumnya. Harga beras meningkat tinggi, menjejaskan pengguna miskin yang membelanjakan sebahagian besar pendapatan mereka untuk makanan ruji itu. Cuaca juga antara faktor menyebabkan krisis makanan dunia pada 2008 apabila perubahan cuaca menjejaskan pengeluaran bijirin di Eropah Utara, Russia, Australia dan Afrika Barat. Pada masa sama saya juga dimaklumkan dimana negara Vietnam yang merupakan pengeluar utama beras dunia juga mengalami masalah serangan parasit, Negara Bangladesh telah dilanda banjir teruk dan dinegara China pula menghadapi masalah cuaca. Ini menyebabkan krisis dimana pasaran beras menjadi kritikal atau jadi `tipis’ apabila lebihan eksport hanya pada kadar tujuh peratus, menjadikan pasaran dan harga beras dunia tidak stabil. Pada masa itu, harga beras dunia mencapai paras tertinggi pernah direkodkan iaitu RM3,430 setan pada Mei 2008. Walaupun Malaysia melindungi harga padi dan beras kepada pengeluar dan pengguna, krisis itu meningkatkan harga beras tempatan terutama beras berkualiti tinggi dan negara mengalami masalah untuk mendapatkan bekalan dalam jangka masa pendek. Beberapa kajian menunjukkan bahawa perubahan iklim akan mempengaruhi pengeluaran melalui perubahan produktiviti, pengurangan kuantiti air untuk pengairan dan kekurangan tanah kerana peningkatan paras air laut.


Dalam soaljawab ditanya banyak kali mengenai apakah polisi diperlukan untuk menangani cabaran perubahan iklim bagi menjamin sekuriti makanan setiap negara ahli APO dan negara lain seluruh dunia. Dijelaskan bahawa sekuriti makanan wujud apabila semua individu memiliki akses ekonomi dan fizikal terhadap makanan yang selamat, berkhasiat serta memenuhi keperluan dan cita rasa pemakanan untuk hidup aktif dan sihat. Dalam kes kita, sebagai negara pengimport bersih makanan, Malaysia memberi penekanan kepada kes-kes kepentingan menjamin ‘sekuriti makanan’ sebagai antara strategi utama dalam polisi makanannya. Kini dilaporkan purata produktiviti padi di negara ini ialah 3.58 tan sehektar iaitu paras yang rendah tercapai di Bangladesh dan Vietnam. Malaysia perlu terus menghasilkan variate berciri produktiviti tinggi dan berdaya tahan untuk mengharungi perubahan cuaca dan tanah. Kita perlu pelan transformasi penyelidikan dan pembangunan bagi mencetuskan inovasi hijau dalam industri padi dan beras. Ini bermakna pelaburan ke dalam sektor makanan ditingkatkan. Tahap sara diri beras negara kita ialah 72 peratus yang bermaksud kita masih perlu mengimport hampir 30 peratus daripada keperluan dalam negeri. Tahap sara diri tertinggi pernah dicapai ialah 92 peratus, dicapai pada lewat 1970-an. Sasaran sara diri akan ditingkatkan kepada 85 peratus menjelang 2020 melalui peningkatan produktiviti terutama di kawasan jelapang padi utama. Kerajaan tidak memilih tahap sara diri 100 peratus kerana masih mampu mengimport hasil pendapatan negara yang mencukupi. Tahap sara diri disasarkan dengan mengambil kira situasi pasaran beras dunia dan kemampuan kewangan negara untuk membantu sektor itu serta mendapat bekalan dari luar negara. Perubahan cuaca memang akan memberikesan kepada pembekalan makanan dunia termasuk negara kita. Tulisan dalam artikel ini merupakan beberapa isu yang dapat saya kongsi bersama anda semua. Wasallam!.


PERUBAHAN CUACA... APA DIA...
BENCANA ALAM... BERLAKU JUGA...
HASIL MAKANAN.. KURANG KESANNYA...
TULIS ARTIKEL.... UNTUK DIBACA...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Gate 22, Lahore Airport,
Lahore, Pakistan.
(5 Disember 2015)
Waiiting for boarding Flight TG346 from Lahore to Bangkok.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...