MANGGA HARUMANIS (Mangifera indica) iaitu sejenis mangga atau dipanggil mempelam merupakan tanaman yang subur di negeri utara tanah air iaitu Perlis sehingga menimbulkan keghairahan sesiapa sahaja untuk membelinya termasuk penduduk dari negeri lain ketika musim buah. Penelitian penulis mendapati walaupun harganya meningkat setelah banyak tahun tetapi orang ramai sanggup beratur panjang semata-mata mahu membeli Harumanis digerai ketika musim memuncak. Harumanis merupakan sejenis buah yang amat popular dan hanya banyak ditanam di negeri Perlis. Buahnya yang berbau harum dan isinya yang tebal kekuningan serta rasanya yang enak pasti menawan hati sesiapa saja yang mencubanya. Musim Harumanis adalah sekitar hujung bulan April dan awal Mei hingga awal Jun. Biasanya hasil buah harumanis sudah habis sebelum sempat memasuki bulan Jun. Lazimnya selain daripada kategori individu, penjual dan pengusaha restoran juga akan cuba mengambil kesempatan ketika musim Harumanis untuk menikmati keenakan serta hasil jualannya. Walau pun ramai yang cuba menanam pokok Harumanis di luar negeri Perlis tetapi hasilnya tidak menjadi walau pun pokok tumbuh subur. Ini berkemungkinan ia akan tidak berbuah atau kalau ada buah pun mungkin mempunyai rasa tidak semanis di Perlis. Ini kerana faktor cuaca dan tanah di negeri Perlis agak unik dan berbeza daripada negeri-negeri lain di Malaysia iaitu cuaca panas disiang hari dan sejuk dimalam hari serta tanah yang berteraskan kepada batu kapor. Faktor ini menjadikan Harumanis amat istimewa di Perlis dimana ia hanya benar-benar subur dan berbuah sangat manis di negeri Perlis dan kawasan Utara Negeri Kedah. Artikel pagi Sabtu ini saya menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai tanaman mangga Harumanis yang menjadi ikon negeri Perlis untuk dijadikan bahan bacaan.
Petani dan penanam mangga harumanis tidak ketinggalan dalam menerima awal tempahan yang ingin merasakan akan keenakan dan keharuman mempelam harumanis ini (Sila lihat pokoknya disebelah). Pokok harumanis di Perlis akan hanya berbunga pada awal musim kemarau dan masak pada awal musim hujan iaitu sekitar April. Lazimnya jika keadaan pokok sesuai dan cuacanya mengizinkan maka pokok akan disembur dengan bahan penggalak bunga dikenali sebagai Paclobutrazol (Sila anda baca artikel saya sebelum ini - Sila klik disini dan Sila Klik Disini). Pokok yang telah berbunga dan berputik dijaga dengan baik seperti pembajaan, mengawal serangga perosak dan penyakit sebelum putik buah dibalut dengan teliti. Buah yang matang akan dipetik berdasarkan kepada indeks pada tanda membalut pada kertas dan ia sesuai untuk dipasarkan. Pengusaha lazimnya akan menjual mangga Harumanis dari Gred A iaitu buah yang berwarna kuning kemerahan (warna asli Harumanis) yang rasanya lebih enak dan manis dan Gred-gred lain mengikut harga pasaran.
Mengikut rekod musim-musim terdahulu yang diperolehi daripada Jabatan Pertanian, memang agak ramai yang tidak berpeluang menikmati buah Harumanis ini kerana permintaan melebihi pengeluaran lebih-lebih lagi pada akhir musim. Setiap tahun terdapat kes-kes dimana pihak Jabatan Pertanian bersama petani dan pengusaha harumanis terpaksa memulangkan kembali bayaran serta menolak tempahan pada akhir musim kerana kehabisan stok buah. Pokok Mangga Harumanis banyak berada di Perlis dimana kawasan lain amat kurang ditanam. Kalau sesiapa yang teringin sangat hendak makan Mangga Harumanis kena ingat bulan penghasilannya setiap tahun iaitu pada bulan APRIL, MEI dan JUN. Bulan April biasanya buah paling banyak dan memuncak walau pun ia kadang-kadang mengikut cuaca. Apabila masuk sahaja bulan Mei berkemungkinan buah masih ada lagi bergantung juga kepada musim buah lebat atau pun melawas. Kepada mereka yang datang pada bulan Jun pula mungkin buah hanya tinggal sidikit sahaja dan kualitinya agak menurun sedikit. Kini kemanisan buah mangga harumanis dianggap diantara yang terbaik didunia dengan bacaan kemanisan mencecah lebih 18 - 20 darjah Brix. Kemanisannya yang luar biasa dicapai apabila buah masak sepenuhnya 100% diatas pokok dengan ada juga rasa lemak. Mangga bernama Harumanis mempunyai isinya dengan warna kekuningan dengan aroma baunya yang kuat apabila masak cukup untuk mengalirkan air liur.
Memang agak susah orang Selatan Tanah Air untuk dapatkan bekalan mangga ini kerana selalunya tidak sampai kepada mereka. Selain di Perlis mangga ini ada juga ditanam di Indonesia dengan nama 'Arumanis' dan memang serupa buahnya. Pada masa ini tahap permintaannya cukup tinggi tetapi penawaran buah masih amat kurang dan hanya bermusim. Kalau ada gerai tepi jalan yang menjual mangga harumanis pun pada bulan tertentu sahaja tetapi mangga jenis lain seperti Sala dan Cokanan mungkin ada dijual. Kegilaan peminat setia mangga harumanis sehingga sanggup booking secara online kepada pembekal buah harumanis sejak bulan Februari lagi. Kini telah mula ramai orang menganggap mangga harumanis ni sangat eksklusif, elit dan ada imej serta keunggulan yang tersendiri. Orang-orang kenamaan, keluarga diraja dan orang kaya sudah buat tempahan awal bagi mempastikan buah ini mereka dapat membelinya sejak awal. Kalau sekitar tahun 1980'an dan 1990'an buah ini dibawa dengan lori Jabatan Pertanian untuk diedarkan kepada semua negeri lain bagi membantu pasaran kini ia tidak berlaku lagi. Hasil promosi dijalankan maka buah harumanis dijual dengan harga 1kg antara RM 20 - RM25 sekilogram. Kalau beli buah gred A maka hanya dapat 2 biji sahaja.
Bagi mempastikan buah mangga harumanis ini mendapat pasaran antarabangsa, usaha mengeksport buah harumanis ke Jepun telah dilakukan. Orang Jepun cukup berminat untuk import Mangga Harumanis Perlis walau pun bekalan selalunya kurang atau tidak mencukupi. Kompleks Pertanian Jabatan Pertanian Bukit Temiangg merupakan antara lokasi penanaman dan untuk kajian dengan bilangan pokok tidak berapa banyak. Bagi penghasilan mangga harumanis yang terkenal Pusat Pertanian Bukit Bintang dengan lebih 64 hektar dan dianggap terbesar di Malaysia. Ladang ni dijangka mampu untuk mengeluarkan buah mempelam harumanis sehingga 120 tan dan boleh dituai dengan anggaran 350,000 buah dan bernilai lebih RM 1 juta. Buah dari sini banyak dieksport ke Jepun dengan harga sekitar 1kg iaitu RM 100 sekilogram. Harumanis dari beberapa analis ada yang dijual dengan harga RM 8 sekilo bagi gred A (saiz 450 - 650 gram sebiji), RM 7 sekilo untuk gred B (350 - 450 gram sebiji) dan RM 6 bagi gred C (bawah 350 gram sebiji). Potensi penanaman mangga harumanis ini dikembangkan oleh Jabatan Pertanian dengan cadangan menanam sehingga 1,000 hektar pokok dikalawan tanah yang sesuai di Perlis. Aktiviri cantuman dewasa pada pokok mangga Sala juga didapati mampu menambahkan bilangan pokok mangga harumanis pada masa akan datang. Program cantuman dewasa ini akan mempercepatkan pokok tersebut mengeluarkan hasil. Semuga artikel ini memberi info berguna kepada pembaca. Wasallam!.
MANGGA DITANAM... HARUMANIS...
KAWASAN SESUAI... IA DI PERLIS....
BAU ENAK... RASA AMAT MANIS...
TIBA MUSIM BUAH... AMAT LARIS...
By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Room 313, HIG Hotel Langkawi,
Kuah, Langkaei,
Kedah, Malaysia.
(27 Rejab 1436H)
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.