Support My Blog

Sunday, May 24, 2015

KOSTING - JAGUNG MANIS


JAGUNG MANIS (Zea mays) merupakan sejenis tanaman singkat masa yang amat popular ditanam di Malaysia setiap tahun.  Jagung merupakan tanaman yang ditanam berasal dari kawasan asal di sungai Balsas Lembah berada di Mexico Selatan sebagai tanaman  makanan utama waktu itu/ Kajian mendapati terdapat sehingga 12% bahan genetik di dapati dari Zea mays ssp. mexicana melalui introgression. Pada masa ini penanaman jagung manis kebanyakannya adalah dari jenis kacukan atau hibrid yang diimport dari luar negara. Keluasan penanaman jagung di Malaysia sekitar 6,300 - 6,800 hektar CHE setiap tahun dimana hampir 90% adalah daripada varieti Jagung Manis Hibrid. Kawasan pengeluaran utama jagung manis di Malaysia adalah di Johor, Selangor, Perak dan Pahang. Di Johor sahaja mampu menghasilkan lebih 35% daripada bekalan jagung manis untuk pasaran tempatan dan eksport. Eksport utama jagung manis segar adalah ke Singapura. Jagung manis juga kini dijadikanan makanan snek yang popular menjadi produk 'cup corn' yang dijual di pusat membeli belah dan gerai di lebuhraya. Syarikat seperti Nelson diantara yang syarikat yang mempelopori produk berasaskan jagung manis cup corn terkenal di Malaysia (Sila baca artikel berkaitan - Sila klik disini). Persoalannya adalah menanam jagung manis ini menguntungkan?. Artikel subuh Sabtu ini saya menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai kosting tanaman jagung untuk dijadikan panduan semua.


Penanaman jagung manis perlukan sistem amalan agronomi yang sesuai untuk mendapatkah hasil optima. Penyediaan Tanah bagi tanaman jagung manis boleh ditanam dibanyak jenis tanah di negara ini. Tanah yang tidak terlalu masam (pH 5.5-6.5) dan mempunyai saliran yang baik adalah sesuai untuk tanaman ini. Bajak dan gemburkan tanah sedalam 15 hingga 25 cm. Tabur dengan kapur sekiranya pH tanah didapati rendah. Biasanya sebanyak 2.5 tan metrik kapur bagi setiap hektar kawasan adalah memadai. Kapur hendaklah digaul ke dalam tanah. Sekiranya penanaman dijalankan berterusan adalah disyorkan supaya kapur ditabur setahun sekali pada kadar 1 tan metrik sehektar setahun. Bagi tanah-tanah yang mudah terendam air batas perlulah dibuat. Keperluan Biji Benih sebanyak 10 kg diperlukan bagi setiap hektar kawasan. Seperti menanam jagung manis lain, petani-petani disyorkan supaya mendapat bekalan biji benih jagung Supersweet Kuning daripada pembekal-pembekal yang sah seperti Jabatan Pertanian. Petani-petani juga dinasihatkan supaya mendapatkan benih-benih baru setiap kali menanam. Menanam dilakukan dengan merendam biji benih dalam air biasa selama 1 jam untuk memudahkan percambahan. Biji benih kemudian digaul dengan racun kulat seperti thiram dan terus di tanam ke ladang. Gunakan tali yang telah ditanda dengan jarak tanaman yang disyorkan untuk memudahkan kerja menanam. Buat lubang untuk biji benih dengan menggunakan tugal. Masuk 1 atau 2 biji benih dan tambus. Pengairan dikebun dengan sistem renjis boleh digunakan. Sekiranya kawasan bergantung kepada air hujan sebaiknya menanam  rancangkan supaya masa penanaman adalah bertepatan dengan musim hujan setempat. Aktiviti pembajaan dengan menggunakan baja sebatian 15:15:15 sebanyak 400 kg digunakan sebagai baja asas. Baja tambahan sebanyak 130 kg urea ditabur 30-35 hari selepas menanam. Kawalan Rumpai tanaman jagung pada peringkat awal pertumbuhan adalah sangat penting. Racun pracambah seperti Atrazine digunakan sebaik sahaja baja asas dibubuh. Rumpai yang tumbuh, kemudiannnya boleh dikawal secara manual. Hasil dapat dipungut 68-72 hari selepas ditanam. Hasil yang boleh dipasarkan ialah sebanyak 26,000 hingga 40,000 tongkol sehektar (bergantung pada kesuburan tanah dan pengurusan tanaman).




Jadual 1 diatas menunjukkan kosting jagung manis yang disediakan oleh pihak Jabatan Pertanian. Jagung Manis mampu mengeluarkan sebanyak 40,000 tongkol sehektar dan jika harga ladang purata RM0.40 setongkol maka anggaran pendapatan kasar adalah RM20,000.00 sehektar semusim. Anggaran kos pengeluaran bagi pembelian bahan input menunjukkan ia sebanyak RM5,994.50, Kos Tenaga Kerja sebanyak RM3,430.00 dan Kos tetap sebanyak RM 1,662.00 dan kos kontigensi menjadikan jumlah kos pengeluaran sebanyak RM 11,086.83 sehektar. Analisa kewangan menunjukkan bahawa anggaran pendapatan kasar jagung manis agak rendah iaitu hanya RM8,359.18 sehektar. Lazimnya penanam jagung manis akan menanam seluas 2 hektar untuk mendapatkan margin keuntungan yang lebih tinggi dan berdaya maju. Analisa juga menunjukkan harga titik pulang modal adalah sebanyak RM0.29 setongkol. Ini menjadikan kadar Kos-Faedah tanaman labu manis (BC Ratio) sebanyak 1.72 bermakna setiap seringgit dilaburkan akan memberikan pulangan sebanyak RM1.71. Kini telah ramai penanam jagung manis di negara kita sejak dahulu disemua negeri untuk pasaran tempatan dan diproses manjadi 'cup corn' dan sebagainya. Penanaman jagung manis tidak mempunyai masaalah pemasaran walau pun berlaku serangan penyakit  dan harga ladang adalah lebih stabil.  Jualan jagung manis dilakukan segar walau pun ada masaalah penyimpanan dimana aktiviti lepas tuai sebelum dan selepas penuaian perlu dilakukan dengan baik. Semuga artikel ini dapat memberikan info berguna kepada pembaca semua. Wasallam!.

TANAM JAGUNG...VARIETI MANIS...
3 BULAN TANAM...MENGIKUT BARIS...
BENIH HIBRID... BUKA TIN DIGURIS...
PASAR MALAM... MEMANG LARIS..

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
TKPM Titi Gantung (Luas Tanam Jagung),
Kompleks Pertanian Titi Gantung,
Bota, Perak,
Malaysia
(4 Syaaban 1436H) 

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...