Support My Blog

Sunday, October 6, 2013

KELAPA MATAG - APA KATA AKHBAR

KELAPA MATAG (Cocos nucifera 'Matag') merupakan sejenis varieti kelapa hibrid yang disyorkan untuk penanamankelapa di Malaysia oleh Jabatan Pertanian Malaysia. Kelapa merupakan tanaman dari keluarga Arecaceae atau dulu dipanggil keluarga Palmae merupakan tumbuhan pelbagai guna dari bahagian batang, daun dan buahnya iaitu sabut, air kelapa, tempurung dan isinya oleh manusia terutama di Asia Tenggara dan juga Kepulauan Pasifik. Penanaman kelapa dahulu boleh dikatakan tanaman wajib disetiap rumah dikawasan kampong. Sebut sahaja kelapa maka akan terbayang pokok yang tumbuh menegak tanpa cabang dengan daun yang banyak jejari dan lazimnya ditanam di kawasan tanah persisir pantai. Saya dapati terdapat beberapa varieti kelapa yang tumbuh sendiri atau ditanam secara komersil semenjak dahulu yang dikenali dengan varieti 'Malayan Tall'. Terdapat seluas 110,000 hektar tanaman kelapa di Malaysia pada tahun 2011 dengan pengeluaran sebanyak 527,650 metrik tan yang bernilai sekitar RM 264 juta. Walaupun keluasan tanaman kelapa telah berkurang daripada 121,011 hektar pada tahun 2005 (kurang hampir 10,000 hektar), tetapi pengeluaran kelapa masih ditahap memuaskan dari 538,807 mt kepada 527,650 sahaja. Ini kerana penanaman kelapa matag dipercayai meningkatkan hasil pengeluaran setiap hektar.

Kelapa matag adalah nama singkatan bagi kacukan antara varieti kelapa 'Malayan Tall' dangan kelapa 'Tagnanan' yang dicantumkan menjadi 'MATAG'. Varieti ini telah didaftarkan pada tahun 2003 dengan nombor pendaftaran CN10 (Matag Green), CN11 (Matag Red) dan CN12 (Matag Gold). Industri tanaman kelapa di Malaysia merupakan satu industri penting dikalangan petani yang menyumbang kepada sosio-ekonomi untuk pembasmian kemisikinan terutamanya pekebun kecil kelapa. Estet Jenderak di Teluk Intan merupakan satu-satunya estet kelapa Matag yang luas di Malaysia. Kebanyakan mereka mananam kelapa varieti 'Malayan Tall' yang telah tua dan tidak produktif lagi dengan penghasilan yang sangat rendah. Seramai lebih 80,000 petani dilaporkan terlibat dengan penanaman kelapa pada 2010 dengan keluasan mencapai 110,000 hektar terutama di beberapa kawasan seperti di Johor, Selangor, Perak, Sabah dan Sarawak. Kebanyakan mereka kini telah mula mengubah tanaman kelapa kepada tanaman lain seperti kelapa sawit dan dusun campuran kerana jaminan pendapatan yang lebih elok berbanding kelapa sahaja. Bagaimanapun pengenalan varieti kelapa 'Matag' telah membantu mengekalkan penanaman kelapa di sini kerana permintaan kelapa yang terus meningkat. Artikel petang diaras 10 Hotel Best Western Premier sambil melihat kenderaan yang 'jam' dijalanraya saya menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai laporan akhbar berkaitan usaha menanam kelapa Matag untuk bacaan dan rujukkan.


LAPORAN AKHBAR 1:
Ketara tanam 6,000 kelapa matag

Benih kelapa MATAG untuk edaran.
BESUT 15 Mei - Projek Pembangunan Terengganu Utara (Ketara) memperkenalkan tanaman kelapa matag di kawasan Baruh Keranji, Kampung Gong Bayor, dekat sini dalam usaha meningkat dan mempelbagaikan pendapatan para petani. Pengarahnya, Mohd. Kaberi Abd. Ghani berkata, seramai 22 peserta telah melibatkan diri mengusahakan kawasan tanah seluas 22.3 hektar dengan lebih 6,000 pokok kelapa tersebut sejak dua minggu lalu. Katanya, kawasan yang dipilih sudah dikenal pasti sesuai untuk tanaman kelapa matag itu kerana tanah gambut di situ tidak sesuai untuk tanaman lain. Menurutnya, selepas tempoh tiga tahun, kawasan tanaman itu bakal menghasilkan kira-kira 500,000 biji buah kelapa untuk dipasarkan yang dijangka memberikan pulangan lumayan kepada para petani. ''Setiap peserta dijangka akan dapat memperolehi pendapatan sebanyak RM15,000 setahun tidak termasuk hasil jualan air nira yang merupakan satu daripada perusahaan tradisi penduduk Kampung Gong Bayor," katanya semasa berucap pada majlis Perasmian Tanaman Kelapa Matag di Baruh Keranji Kampung Gong Bayor, semalam.  Perasmian majlis dilakukan oleh Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, Muhammad Pehimi Yusof.

Pada majlis yang sama, Pehimi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Putera menyampaikan peralatan pam air bernilai RM6,500 setiap satu kepada lima Kumpulan Pengurusan Air (KPA) dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Putera. Kaberi berkata, kerajaan menerusi Ketara telah membelanjakan sebanyak RM250,000 untuk melaksanakan projek tersebut bagi membolehkan petani menikmati pendapatan lebih baik berbanding sebelum ini. ''Apabila kelapa itu mengeluarkan hasil nanti, hasrat kerajaan untuk melihat golongan petani berpendapatan lebih daripada RM1,000 sebulan akan menjadi kenyataan,'' jelasnya. Selain itu, katanya, Ketara juga akan berusaha untuk menyediakan benih nenas kepada petani bagi mengoptimumkan penggunaan kawasan tanah tersebut sebagai tanaman selingan. ''Sementara menunggu pokok kelapa matag mengeluarkan hasilnya, para peserta juga boleh mendapat hasil nanas di samping parit yang ada dalam kawasan penanaman akan dilepaskan dengan ikan keli yang memberikan sumber pendapatan awal,'' ujarnya.



LAPORAN AKHBAR 2:
Projek kelapa matag komersial di Kuala Krau

TEMERLOH 20 Mei - Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Seri Kerdau akan melaksanakan projek tanaman kelapa matag secara komersial di kawasan seluas 70 hektar di kawasan Parlimen Kuala Krau tidak lama lagi. Pengurus Besar PPK Seri Kerdau, Abdul Razak Kassim berkata, Jabatan Pertanian bersetuju menyalurkan peruntukan sebanyak RM966,835 bagi melaksanakan projek tersebut. Bagi fasa pertama projek itu, sebanyak RM545,620 akan dibelanjakan membabitkan satu kawasan seluas 40 hektar di Kampung Pulau Raya di sini yang bakal disertai 80 peserta. ''Baki RM421,215 akan dibelanjakan iaitu bagi memajukan tanah seluas 30 hektar di Kampung Terenging di sini yang akan disertai 28 peserta. ''Tanaman tersebut boleh mengeluarkan anggaran hasil kelapa sehingga RM20,000 sehektar dan jika diusahakan secara komersial akan dapat memberikan pulangan lumayan kepada peserta,'' katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung PPK Seri Kerdau ke-27 di sini hari ini.

Menurut Abdul Razak, pihaknya menjangkakan tanaman kelapa matag itu dapat mengeluarkan hasil pertama dalam tempoh tiga tahun lagi. Selain kelapa matag, kawasan itu juga ditanam dengan tanaman selingan seperti pisang dan nanas untuk memberikan pendapatan sampingan kepada peserta. Projek tersebut, katanya, sekali gus dapat mewujudkan industri hiliran dan industri kecil dan sederhana (IKS) dalam usaha kerajaan untuk menghapuskan kadar kemiskinan tegar penduduk di luar bandar. Jika berjaya, projek tersebut akan diperluaskan ke kawasan lain dalam Parlimen Kuala Krau. Sehubungan itu, beliau menggesa penduduk yang mempunyai tanah terbiar dapat mengusahakan projek tanaman kelapa matag bagi menambahkan pendapatan. Dalam perkembangan lain, Abdul Razak meminta penduduk luar bandar mengusahakan ternakan ayam dan itik kerana ia boleh memberi pendapatan sampingan selain menjadi sumber makanan penduduk setempat. ''Ternakan itu sentiasa mendapat pasaran kerana harganya murah dan berpatutan iaitu di bawah paras RM10 sekilogram berbanding ikan yang melebihi RM10 sekilogram di pasaran," jelasnya.



LAPORAN AKHBAR 3:
Banjir jejas tanaman kelapa Matag
BALING 17 Nov. - Sejumlah penanam kelapa varieti Matag di beberapa daerah kawasan ini berhadapan masalah ekoran kawasan projek tanaman itu sering dilanda banjir. Difahamkan kawasan projek tanaman kelapa Matag di Kampung Charuk Jernih, Tawar dekat sini terjejas teruk apabila banjir yang lambat surut menyebabkan air kelapa menjadi masam, selain merosakkan akar pokok. Seorang pekebun, Shahidan Lahman, 59, berkata, projek hasil bantuan Jabatan Pertanian itu bermula sejak 2010, namun sehingga kini banjir yang sering melanda itu menjejaskan kesuburan tanaman walaupun dibekalkan dengan baja. Katanya, dia yang menanam sebanyak 200 pokok kelapa Matag masih belum menikmati hasilnya berikutan kesuburan tanaman itu terjejas akibat masalah banjir. "Kawasan ini sering banjir dan air yang bertakung menyebabkan berlakunya masalah air masam dan merosakkan akar pokok itu," katanya.

Shahidan yang mengusahakan tanaman kelapa Matag di tanah berkeluasan kira-kira 1 hektar itu masih menaruh keyakinan tinggi agar ada pihak membantu menyelesaikan masalah tersebut. Menurutnya, sebelum ini seramai 15 penduduk terlibat dengan projek itu, namun selepas dilanda masalah, kini hanya tinggal tujuh penduduk yang masih bertahan. Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKP) Kg. Binjol, Md. Yusoff Ismail berkata, beberapa petani di kampungnya turut menghadapi masalah yang sama menyebabkan tanaman itu masih belum mengeluarkan hasil. Katanya, masalah perparitan yang tidak sempurna menyebabkan aliran air yang tidak mampu menampung banjir apabila hujan lebat. "Banjir menyebabkan kawasan sekitar tanaman ini dipenuhi air dan pokok kelapa tidak membesar," katanya. Md. Yusoff berharap masalah tersebut akan mendapat perhatian pihak Jabatan Pertanian dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), seterusnya mengambil tindakan segera. Kelapa Matag yang popular di Perak dan Johor itu antara tanaman yang mudah tumbuh pada masa singkat dengan buah yang besar dan isi tebal berbanding buah kelapa biasa.


LAPORAN AKHBAR 4:
Pos Pantos perintis tanam kelapa mataq, durian

Ahmad Ishak (kanan) menyampaikan benih kelapa mataq kepada salah 
seorang penduduk Orang Asli dalam majlis penyerahan anak benih kelapa 
mataq dan durian jenis musang king di Pos Pantos, Kuala Lipis.
KUALA LIPIS 8 Julai - Masyarakat Orang Asli di Pos Pantos di sini bakal menerima pendapatan lebih baik apabila kawasan itu melaksanakan Projek Pembangunan Kawasan (PPK) yang menjadi pusat pengeluaran kelapa mataq dan durian jenis musang king. Ketua Pengarah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Datuk Ahmad Ishak berkata, kedua-dua hasil pertanian itu mendapat permintaan tinggi dalam pasaran. "Selain itu, FAMA juga turut menggalakkan penduduk di sini menanam pokok cempedak, durian serta beberapa tanaman kontan seperti serai, halia, lengkuas dan cekur," katanya selepas majlis penyerahan anak benih kelapa mataq dan durian jenis musang king kepada masyarakat Orang Asli terbabit di sini baru-baru ini.

Yang turut hadir Pengarah Kanan Komunikasi Korporat FAMA, Noor Azian Mustapha dan Pengarah FAMA negeri, Ibrahim Mahmud. Pada majlis tersebut, sebanyak 400 anak benih kedua-dua tanaman itu diserahkan kepada 200 peserta dan merupakan projek perintis anjuran FAMA dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa). PPK Pos Pantos mempunyai 173 Orang Asli beragama Islam terdiri daripada tujuh kampung berdekatan iaitu Kampung Serau, Kampung Nyentil, Kampung Sual, Kampung Harum, Kampung Perangkap, Kampung Ranai dan Kampung Pantos. Ahmad berkata, FAMA dari semasa ke semasa akan melaksanakan program turun padang bagi membantu masyarakat luar bandar memasarkan hasil pertanian mereka dan memberi pendidikan tentang penjagaan tanaman. "Kemudahan jalan raya yang sempurna seperti di Pos Pantos dapat membantu penduduknya memasarkan hasil pertanian dengan bantuan FAMA sebagai ejen pemasarannya," ujarnya.


KELAPA MATAG... POPULAR NAMANYA...
KELAPA HIBRID... RAMAI MENCARINYA...
BERIBU POKOK... BENIH DARI MANA ...
PROJEK DILANCAR... TUNGGU HASILNYA...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Room 1017, Best Western Premier Dua Central,
8, Jalan Tun Sambhanthan, Kuala Lumpur,
Malaysia.
(4 Oktober 2013)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...