Support My Blog

Friday, November 23, 2012

NANGKA MASTURA

NANGKA MASTURA (Artocarpus heterophyllus) merupakan satu varieti nangka yang popular di Malaysia. Nangka ini telah dinamakan dengan varieti NANGKA MASTURA dengan nombor daftar J37 dalam senarai varieti tanaman Nasional Malaysia dimana telah diperkenalkan pada tahun 2000 oleh Prof Zainal daripada USM Pulau Pinang dengan nama Mastura CJ - USM yang kemudian popular ditanam diseluruh negara. Nangka ini mempunyai beberapa ciri-ciri khas hasil daripada program kacukan melibatkan 6 varieti nangka terpilih selama 6 tahun dijalankan aktiviti penyelidikan.  Diantara ciri yang baik pada varieti ini adalah seperti saiz buah yang besar (purata mencecah seberat 25 kg keatas sebiji), warna isi buah yang kuning keemasan dan juga mempunyai bau atau aroma yang kuat. Saya pernah menanam dan banyak kali makan nangka mastura segar yang mempunyai rasa yang manis, rangup (crunchy) , saiz ulas yang besar dan bahagian isi yang tebal. Saya lebih suka makan ulas nangka mastura yang telah disejukan dalam peti ais dan dimakan ketika lapar. Artikel petang sabtu ini saya menulis sedikit info mengenai teknologi berkaitan nangka mastura dalam 'Anim Agro Technology' untuk rujukan dan bacaan anda bersama.


Pokok nangka mastura.
Penanaman nangka di Malaysia adalah seluas 3,965 hektar dengan penghasilan lebih dari 27,800 metrik tan pada tahun 2012 (Laporan ststistik Jabatan Pertanian). Negeri Pahang merupakan negeri yang paling luas menanam buah nangka terutama daripada varieti Tekam Yellow yang kini mencapai kualiti ekspot. Penanaman nangka mastura banyak di Johor, Selangor dan Perak semenjak tahun 2000 dimana kebanyakannya adalah untuk pasaran domestik. Pengalaman saya menanam nangka mastura di Dusun Nukleus di Segamat dan Dusun Nukleus Lenga mendapati, pokok ini sesuai ditanam mengikut pakej amalan teknologi yang disyorkan oleh Jabatan Pertanian. Nangka ini menjadi sebutan ramai dan mendapat permintaan bekalan benih yang tinggi setelah dilaporkan dalam beberapa akhbar tempatan beberapa kali. 


Benih nangka mastura boleh didapati dengan mudah daripada pembekal benih tempatan atau PPK atau Jabatan Pertanian dengan harga diantara RM 3.00 - RM 10.00 bergantung kepada saiz dan kualiti. Sebaiknya beli benih nangka mastura yang telah disahkan ketulinannya daripada Jabatan Pertanian melalui skim SPBT terutama jika dibeli dari pembekal swasta. Sediakan lubang penanaman dengan jarak 25 kaki x 25 kaki dan ubahsuai jarak penanaman dengan keadaan tanah dan persekitaran. Berikan baja asas dan baja organik secukupnya semasa menyediakan lubang penanaman. Nangka mastura perlukan kawasan yang cukup cahaya matahari dan kawasan dimana tidak mudah banjir.


Pemerhatian saya di Segamat dan Pahang mendapati, pokok nangka mastura cepat berbuah iaitu seawal 18 bulan selepas ditanam. Saiz buahnya juga besar dimana saya dapati mudah sahaja untuk mendapatkan berat buah lebih 20 kg sebiji apabila bilangan buah di buat kawalan. Nangka kampong yang lain lazimnya berbuah selepas 2 tahun ditanam untuk mendapatkan saiz minima 25-30 kg setahun. Pokok yang berbuah rendah ini memudahkan proses penuaian nangka. Pokok nangka mastura yang masih rendah akan mengeluarkan dahan dan ada buah yang terletak diatas tanah. Serangan babi hutan sering makan buah nangka rendah ini di Projek Dusun Bukit Merah, Segamat dahulu.


Prof Dr Zainal tunjukan isi
nangka mastura.
Isi nangka mastura berwarna kuning keemasan dengan rasa yang manis jika betul-betul masak. Isinya juga agak berair jika hendak dibandingkan dengan varieti nangka Tekam Yellow (J33) yang agak lebih kering sedikit. Dari segi kemanisan yang saya buat ujirasa menggunakan Brixmeter telah mencecah 12 - 16 darjah brix. Buah nangka ini perlu dibalut ketika peringkat putik untuk mengelakkan serangan Lalat Buah (Bactocera spp) dan juga serangga perosak lain.  Dr Zainal beberapa kali berbincang dengan saya dahulu bagaimana ciri-ciri baik nangka mastura dan program pembangunan tanaman nangka mastura sebelum beliau bersara. Setelah hampir 10 tahun nangka ini dihasilkan, kini ia telah menjadi satu varieti yang ditanam oleh ramai petani terutama diprojek anjuran Jabatan Pertanian dan PPK.


Pada masa ini nangka merupakan buah yang mendapat perhatian ramai petani di Malaysia. MAHA International 2012 di MAEPS Serdang yang kini sedang berlangsung mempromosikan program penanaman dan pembangunan nangka seperti pada Gerai LPP dan Jabatan Pertanian. Saya dapati selain daripada untuk makan segar, kini buah nangka telah di proses untuk dijadikan kerepek nangka (Teknologi 'vacuum fry'), Jus nangka, Kordial Nangka, Pes Nangka dan pelbagai produk lain yang dipamerkan. Selain daripada varieti Mastura, beberapa varieti nangka lain yang dipromosikan adalah varieti Tekam Yellow, Varieti Hong , Varieti Mantin dan banyak lagi. Nangka mastura boleh ditanam di negara kita untuk mendapatkan keuntungan selaras dengan moto 'Pertanian Satu Perniagaan' yang berasaskan kepada inovasi.

NANGKA MASTURA... POPULAR NAMANYA....
BUAH BESAR.... KUNING EMAS WARNANYA...
CEPAT BERHASIL ... 18 BULAN LAMANYA....
DAPATKAN BENIH... PASTIKAN KETULINANNYA...

By,
M Anem
Senior Agrlogist,
Gerai MAHA International,
MAEPS Serdang, 
Selangor,
Malaysia.
(10 Muharram 1434H)   

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...