Support My Blog

Wednesday, November 21, 2012

CENDAWAN SHIITAKE

CENDAWAN SHIITAKE (Lentinula edodes) merupakan sejenis cendawan diberi nama Jepun dari keluarga Marasmiaceae yang popular diseluruh dunia. Cendawan ini diberi nama tersebut kerana ia memang natif dari Asia Timur (Jepun, Korea dan China) yang asalnya banyak tumbuh pada pokok Shii (Pokok Cendawan) atau nama botani pokok tersebut adalah Castanopsis cupidata dan juga pokok Berangan (Castanea crenata). Cendawan ini yang mempunyai bau kuat (macam bau jering ketika segar) dan bentuknya juga macam biji jering dari pandangan atas. Cendawan Shiitake mengandungi bahan 'Lentinan' iaitu sebatian antikanser dimana ia didakwa dapat membantu mengurangkan kesan tumor dan mampu menurunkan kadar kolesterol yang baik untuk kesihatan. Selain daripada dimakan segar, cendawan ini telah diekstrak untuk dijadikan herba cendawan yang berkhasiat dan dipasarkan diseluruh dunia. Artikel subuh ini saya buat entry dalam 'Anim Agro Technology' mengenai cendawan Shiitake untuk dijadikan bahan bacaan dan rujukan semua berdasarkan pengalaman, pembacaan dan kajian.


Saya berpeluang melihat aktiviti penanaman Shiitake semasa berkursus sebulan di Korea dan membuat lawatan kerja di Beijing, China beberapa tahun dulu. Penanaman cendawan shiitake ini dijalankan secara komersil dimana cendawan shiitake juga merupakan cendawan kedua terpopular diusahakan diseluruh dunia. Dipercayai candawan ini telah diusahakan lebih dari 1,000 tahun dulu semenjak zaman empayar Maharaja China dan Maharaja Jepun. Kaedah tradisional mengusahakan cendawan ini dibuat dengan memotong kayu 'pokok shii' dan disusun dibawah hutan (Lihat foto sebelah) dan dijaga dimana cendawan shiitake akan keluar sendiri. Cendawan ini akan dipetik mengikut tahap kematangan. Negara China merupakan kini merupakan antara pengeluar utama cendawan shiitake dan menjadikan cendawan shiitake kering dan diekspot keseluruh dunia termasuk Malaysia.


Di Malaysia kini tidak ramai berani menanam cendawan shiitake dikawasan tanah rendah kerana kurang sesuai. Terdapat usaha menanam shiitake di Kundasang, Sabah dan Cameroon Highland, Pahang serta di Gunung Jerai, Kedah semenjak pertengahan tahun 1980'an walau pun kadar kejayaan pada tahap sederhana. Kaedah penanaman ini menggunakan kaedah media hampir serupa dengan kaedah menanam cendawan tiram kelabu cuma kedudukan bongkah akan disusun menegak. Paling penting adalah untuk mendapatkan benih shiitake yang bermutu dari bunga bersaiz besar, batang bersaiz besar, kejat dan mempunyai insang tertutup untuk proses kultur tisu. Selain itu ada teknologi dimana ia perlu diubah kepada media oat terlebih dahulu dari kultur tisu sebelum ditanam sepenuhnya kerana dimana dengan cara ini peluang hidup lebih tinggi berbanding terus kepada kultur tisu.


Susunan polibeg shiitake perlu diletakkan menegak bagi membolehkan miselliumnya bergerak dari atas ke bawah dan cara ini kemudiannya membentuk koloni. Mengenai penjagaan pula, cendawan akan muncul di mulut polibeg dalam tempoh tujuh hingga sepuluh hari dan kemudian akan direhatkan selama 20 hari. Selepas 20 hari, ia perlu disiram dalam keadaan polibeg tertutup dan terbalikkan dimana cendawan akan muncul semula pada hari kelima. Ia boleh menghasilkan cendawan dalam tempoh tiga atau empat bulan sebelum memulakan penanaman baru dalam keadaan pengurusan yang terkawal dilokasi. Pengeluaran hasil dari ladang didapati mampu mencecah sehingga 150 kilogram sehari.


Cendawan Shiitake Kering dalam negara banyak diimpot di Malaysia terutama daripada China. Bungkusan cendawan ini dikeringkan dan dimasukkan kedalam bungkusan yang kedap udara (Lihat foto). Sebelum makan, cendawan kering ini perlu direndam dulu dalam air bersih sehingga ia mengembang dan lembut. Sebaiknya ia dipotong untuk di gunakan atau dimasak terus seperti bentuk asal. Antara menu masakan cendawan shiitake adalah seperti Nasi Goreng Cendawan, Sup Cendawan, Burger Cendawan dan sayur campur cendawan shiitake. Menu masakan ini sering kita jumpa di restoran, masakan di hotel dan sebagainya. 

CENDAWAN SHIITAKE... ASIA TIMUR ASALNYA...
BANYAK KHASIAT... ELAKKAN KANSER KATANYA...
CENDAWAN KERING.... KITA MENGIMPOTNYA...
DIRENDAM DIPOTONG... DIMASAK DIMAKANNYA...

By,
M Anem
Room 344, Ming Star Hotel,
Kuala Terengganu, Terengganu,
Malaysia.
(8 Muharram 1434H)   

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...