Support My Blog

Monday, July 23, 2012

BENIH PISANG

BENIH PISANG (Musa spp) di perolehi daripada pelbagai sumber untuk aktiviti penanaman pisang diladang. Benih pisang boleh di perolehi daripada Anak Benih Sulur yang dihasilkan oleh pokok induk yang matang dan kini paling popular adalah anak benih dari Kultur Tisu (Tissue culture). Terdapat pelbagai cara untuk mendapatkan anakbenih pisang dari varieti komersial di negara kita seperti Pisang Mas, Pisang Berangan, Pisang Rastali, Pisang Cavendish, Pisang Nipah, Pisang Tanduk, Pisang Lang dan sebagainya. Bekalan untuk anakbenih pisang dari kultur tisu amat mudah di perolehi dari pembekal-pembekal tempatan dengan harga diantara RM 1.00 - RM 2.00 sepokok dimana harga ditentukan bergantung kepada varieti, saiz pokok dan jarak penghantaran. Pengalaman saya membeli benih pisang kultur tisu dari pembekal tempatan amat membanggakan kerana kita akan dapat anak pisang yang terjamin keseragamannya, bebas penyakit, mudah di bawa, varieti terjamin dan harga yang berpatutan. Banyak syarikat-syarikat tempatan mampu membekalkan anakbenih pisang kultur tisu diseluroh negara dengan jaminan harga dan kualiti. Artikel kali ini saya membincangkan standard anakbenih pisang yang sesuai di beli untuk ditanam dari jenis anakbenih sulur dalam 'Anim Agro Technology' untuk rujukkan anda semua.


Sulur Anak Pisang ada berbagai saiz dan juga nama. Ada jenis Sulur Anak, Sulur Air, Sulur Pedang dan sebagainya. Kajian dan pembacaan dari beberapa standard luar negara seperti di India dan Thailand mendapati, mereka mengalakkan SULUR PEDANG sebagai bahan tanaman berasaskan sulur (Lihat foto kiri). Sulur Pedang adalah sulur yang keluar dari pangkal rumpun rizom pokok pisang dengan saiz rizom pangkal besar (berbonggol - conical shape) dan mempunyai saiz lai daun yang kecil dan tirus. Berbeza dengan sulur air yang mempunyai rizom berbentuk selinder lurus kecil (cylindrical shape) dengan bentuk daun yang lebar (Lihat foto atas sekali). Sulur Pedang lebih disyorkan untuk dijadikan bahan tanaman kerana ianya lebih cepat membesar, peratus kejayaan yang tinggi, cepat pengakaran dan memberikan pangkal pokok yang kuat dan kukuh dalam tanah. 


Pemilihan sulur pedang untuk dijadikan anakbenih sebaiknya dari pokok induk yang telah berbuah dan umur sulur tersebut lebih dari 3 bulan. Pada masa pungutan, adalah perlu dipastikan berat sulur tidak kurang dari 1 kilogram beratnya. Saiz ukurlilit sulur paling sesuai sekitar 20 cm lilitan. Jika ringan sangat bermakna sulur tersebut tidak padu isinya atau tidak sihat. Mula-mula tandakan sulur yang sesuai untuk di kutip dimana memenuhi ciri-ciri seperti saiz sederhana besar, ketinggian sesuai, mempunyai akar dibahagian pangkal dan dari varieti yang dikehendakki. Sebaiknya sulur diambil dari pokok induk yang tumbuh pada peringkat berbunga dan peringkat berbuah. Ini akan menjadikan kualiti sulur tersebut elok untuk di kutip dengan kepastian ianya akan berbuah seperti pokok induk. Sulur yang akan diambil sama ada untuk ditanam terus di ladang atau dihantar ke makmal untuk dijadikan bahan asas kultur tisu, perlulah ditandakan maklumat asas anakbenih tersebu. Antara maklumat yang perlu ditulis seperti maklumat asal usul benih, nama varieti, sumber asal benih, tarikh di kutip dan sebagainya seperti keperluan standard pengeluaran benih pisang. Pemerhatian selama 30 tahun dalam pertanian mendapati anak benih sulur yang baik tidak akan mengeluarkan daun lebar kecuali selepas mencapai ketinggian batang melebihi 1 meter. 


Penanaman pisang menggunakan benih sulur pedang perlu di rawat dahulu dengan racun serangga, racun kulat dan sebagainya (Racun nematod). Hanya anak benih yang telah disahkan sihat, tidak berpenyakit dan bebas dari cacing nematod sesuai untuk ditanam. Pada masa ini negara kita telah pun menghadapi masaalah serangan Penyakit Moko Pisang yang disebabkan oleh bakteria dikenali sebagai Ralstonia solanacerum. Penyakit Layu bakteria ini menyebabkan industri pisang di negara kita terjejas teruk dimana belum ada kaedah kawalan yang berkesan dan cepat untuk menghapuskannya. Penanaman pisang dengan sulur mempercepatkan lagi merebaknya penyakit ini dan memang anak benih sulur pisang yang telah terkena serangan penyakit ini TIDAK BOLEH digunakan sebagai bahan tanaman. Pastikan anda bertanya dengan Pegawai Pertanian untuk mendapatkan khidmat nasehat mengenai penyakit ini dan bagaimana untuk mendapatkan anakbenih pisang yang sesuai untuk ditanam. Wasallam!


ANAKBENIH PISANG .... SULUR PUNCANYA...
DI TANAM TERUS... JIKA ADA KESESUAINNYA...
DIHANTAR KE MAKMAL .... BENIH TISU JADINYA...
ELAKKAN PENYAKIT... LAYU BAKTERIA NAMANYA....


By,
M Anem
MARDI Station (Seed Unit)
MARDI, Serdang, 
Selangor , Malaysia.
(3 Ramadan 1433H).

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...